Bayaran itu adalah sebagai honorarium bagi sajak “Citra 3” yang dijadikan lagu puisi oleh Kopratasa.
Sebelum itu, pihak Kopratasa memang telah menghubungi saya melalui telefon untuk meminta izin secara lisan dan memaklumkan bahawa sajak “Citra 3” akan dijadikan lagu puisi.
Tentu sahaja saya bersetuju! Selepas bertahun-tahun khusyuk mendengar lagu-lagu puisi seperti “Masihkah Kau Ingat,” “Tetamu Senja” dan “Kekasih” tentulah sesuatu yang membanggakan apabila sajak saya sendiri dijadikan lagu puisi.
Apatah lagi, oleh kumpulan Kopratasa yang amat disegani.
Sajak “Citra 3” saya tulis sempena Ratib Seribu Syair anjuran Gapena pada 2-3 November 2001.
Bagaimanapun, hanya “Datukku Bahasa Malaysia” dan “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” dideklamasikan pada acara itu. Sajak “Citra 3” dimuatkan dalam antologi Ratib Seribu Syair (Gapena: 2005).
Selepas membaca “Citra 3,” mungkin ada yang mahu membaca sajak “Citra” dan “Citra 2”.
Sebenarnya, sajak “Citra” dan “Citra 2” tidak wujud!
Sajak saya berjudul “Gelap 3” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 8 November 1992. Sajak ini juga sama kes kerana “Gelap” dan “Gelap 2” tidak wujud.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca “Citra 3”.