Wednesday, 31 August 2011

Mer(d)eka 2011

[Sila klik untuk besarkan]

Arkib Interlok Edisi Murid

Pasti ramai yang mahu mendapatkan koleksi bahan-bahan berkaitan kontroversi novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010) yang dijadikan teks Komsas.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengambil inisiatif mengumpulkan bahan-bahan berkenaan di blog bagi tujuan dokumentasi dan rujukan.


Sila ambil perhatian bahawa apa yang dimuatkan di blog ini hanyalah sebahagian bahan berkaitan topik itu. Kesemua bahan ini hanya boleh diakses dan dibaca oleh sesiapa atas pilihan sendiri. Sila KLIK DI SINI untuk membaca bahan-bahan berkenaan.

Tuesday, 30 August 2011

Syawal, Perjuangan Diteruskan

Perjuangan menuntut keadilan bagi lima rakan penulis dalam isu royalti teks Komsas diteruskan pada Syawal 1432.

Pada mulanya Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya berharap dapat menyampaikan “berita gembira” kepada kumpulan penulis itu menjelang 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011).


Rohani Deraman dari Johor, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) merasakan diri mereka menjadi mangsa penganiayaan, penindasan, kezaliman dan penipuan penerbit tidak beretika dalam soal penerbitan karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas.


Isu penindasan ini mula diketengahkan dalam artikel di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 15 Ogos 2011. Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran turut disiarkan pada 26 Ogos 2011.


Bagaimanapun, sehingga 29 Ramadan 1432 (29 Ogos 2011), Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran dan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi lima penulis terbabit.


Hal ini bermakna, penerbit yang tidak beretika berpeluang mengaut untung bersih sekitar RM11,000 setiap tahun bagi sebuah cerpen secara haram dengan “restu” Putrajaya.


Walaupun Kementerian Pelajaran yang menangani Komsas gagal membela nasib penulis yang teraniaya, perjuangan menuntut hak royalti, hak cipta dan harta intelek diteruskan pada Syawal 1432.


Tuhan sentiasa bersama golongan yang ditindas, dianiaya dan dizalimi. Tuhan pasti mendengar doa mereka dalam linangan air mata. Keadilan dan kebenaran pasti menang kali ini!

FAQ: Isu Royalti Teks Komsas

Selepas Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran disiarkan pada 26 Ogos 2011, pelbagai reaksi diterima. Kita lupakan sahaja komen-komen yang tidak membina dan usaha memperkecilkan tindakan berani kelima-lima penulis berkenaan “bersuara” di ruang siber.

Beberapa orang turut menghubungi saya menerusi SMS, telefon, Yahoo! Messenger dan Facebook, lalu bertanyakan pelbagai soalan. Sebahagian daripadanya sudah saya paparkan pada ruangan status akaun Facebook.


Untuk makluman, saya sudah “memurnikan” soalan-soalan yang dikemukakan supaya sesuai bagi tatapan umum. Soalan berbaur perkauman dan menghina diketepikan.


Berikut soalan (S) yang dikemukakan serta jawapan (J) saya. Selamat membaca!


S: Awak tak takutkah “menentang kuasa-kuasa besar” dalam menuntut royalti bagi penulis teks Komsas?


J: Takut. Saya memang sangat takut. Tapi saya berpura-pura berani demi memperjuangkan hak rakan-rakan penulis.


S: Bila awak harap isu royalti teks Komsas ini selesai?


J: Sebelum 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011).


S: Awak fikir menteri akan bertindak?


J: Tak. Saya harap menteri bertindak.


S: Apa yang menteri mampu buat dalam isu royalti Komsas?


J: Itu kena tanya menteri. Asalkan tidak buat Panel Bebas sudahlah! Nanti sandiwara berikutan penubuhan Panel Bebas Interlok Edisi Murid mungkin berulang.


S: Awak ingat hebat sangat kalau surat terbuka disiarkan di blog awak tu?


J: Memang tak hebat sebab blog saya tidak boleh diakses di China. Mujur juga Free Malaysia Today, The Malaysian Insider dan Malaysiakini turut menyiarkannya. Rakan-rakan turut memaparkannya pada dinding Facebook mereka. Malangnya, Facebook juga tidak boleh diakses di China.


S: Awak memang dah tak ada kerja lain selain menulis tentang isu-isu ini?


J: Tak. Saya memang penulis sepenuh masa. Saya juga suka tidur kalau ada masa lapang.


S: Khabarnya dalam kes royalti Komsas bagi karya Hizairi Othman, awak sendiri yang menghubungi ibunya, Timah Baba?


J: Benar. Saya masih terhutang budi kepada Allahyarham Dr Othman Puteh (suami Timah Baba). Saya mengambil cek daripada pengarah urusan Sasbadi Sdn Bhd, Encik Law King Hui pada 25 Ogos 2011 dan menyerahkannya kepada Puan Timah Baba pada 27 Ogos 2011.


S: Awak ni memang suka sibuk, ya?


J: Ya, saya suka sibuk. Saya juga suka membaca, menulis dan menonton.


S: Awak tak takut kena ISA?


J: Tiada kena-mengena, walaupun klon Subari Ahmad’ dan ‘Wan Asyeah Wan Nawang pasti suka. Saya boleh makan, tidur di rumah sendiri.


S: Kalau penerbit dakwa di mahkamah berikutan segala pendedahan yang dibuat, awak mampu ambil peguam?


J: Tak mampu. Saya hanyalah seorang penulis. Sama nasib seperti rakan-rakan penulis yang menjadi mangsa penganiayaan dalam isu royalti teks Komsas ini.


S: Karya awak tak apa pun dalam Komsas, kenapa menyibuk?


J: Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.


S: Kenapa awak tak tolong penulis kaum India?


J: Adakah karya penulis kaum India dalam Komsas? Apa pun, saya dan Kavyan tidak melihat isu ini dari segi “kaum”.


S: Kenapa kecoh di internet? Kenapa tak jumpa terus?


J: Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran batalkan pertemuan pada 18 Ogos 2011. Saya dah bersiap dan pakai kasut baru dari Beijing pada hari tu.


S: Kenapa awak kacau BBT? Kenapa tak jumpa penerbit?


J: Saya bertemu pengarah urusan Sasbadi Sdn Bhd pada 25 Ogos 2011; semua isu teknikal selesai segera secara amat baik dan profesional dalam suasana harmoni. Penerbit lain belum hubungi saya.


S: Kenapa mesti kecoh di internet? Kenapa tak serah sahaja surat rayuan terbuka itu kepada Menteri Pelajaran?


J: Kerana ia surat rayuan terbuka. Kita perlu faham konsep itu.


S: Kenapa awak sahaja buat kerja ni? Mana penulis lain?


J: Saya percaya mereka sentiasa mendoakan kejayaan.


S: Mungkinkah penulis lain diam sahaja kerana “carma”?


J: Itu kena tanya mereka. Saya tidak berhak masuk campur dan jejaskan periuk nasi mereka. (Istilah “carma” iaitu “cari makan” dipelopori SN Datuk A. Samad Said pada Julai 2011.)


S: Kenapa Kavyan sahaja? Mana persatuan penulis lain?


J: Saya percaya mereka juga sedang giat berusaha untuk cuba membantu dengan cara dan kemampuan sendiri.


S: Benarkah ada persatuan penulis peringkat nasional mengenakan bayaran dalam bentuk komisyen sehingga 50 peratus untuk membantu penulis dalam isu tuntutan royalti?


S: Saya juga ada mendengar perkara itu daripada beberapa penulis. Saya tidak akan menyebut nama persatuan itu dan saya juga tidak mahu masuk campur urusan mereka. Apa yang pasti, Kavyan dan saya tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi perkhidmatan yang kami berikan kepada penulis terbabit.


S: Awak dan Kavyan bukan pakar undang-undang, kan?


J: Benar. Walaupun hanya Kavyan yang kelihatan “bising dan buat kecoh” tapi sebenarnya kami menerima bantuan daripada pelbagai pihak yang meminta identiti mereka dirahsiakan. Mereka termasuk (tetapi tidak terhad kepada) peguam, penulis, wartawan, pakar ICT, penganggur, pesara, akauntan bertauliah, pegawai SPRM, mahasiswa, sasterawan, aktivis sosial, NGO, persatuan penulis, pegawai kerajaan, pegawai badan berkanun, pegawai kementerian dan penerbit. Maka, saya dan Kavyan hanyalah “the tip of the iceberg” (Kamus DBP: “baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya; baru bunganya sahaja”).


S: Benarkah parti pembangkang mendalangi usaha ini?


J: Kavyan tidak pernah dan tidak akan bernaung di bawah mana-mana parti politik. Kavyan ada tulang belakang dan tidak tunduk pada atau bernaung di bawah mana-mana politikus; walaupun saya ada ramai kawan yang aktif dalam parti politik.


S: Awak anti-kerajaan?


J: Tak. Saya suka kerajaan. Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Rakyat adalah kerajaan. Mana boleh saya anti-rakyat!


S: Berapa kerap awak berbincang dengan kumpulan penulis yang kononnya tertindas itu?


J: Hampir setiap hari sejak “pendedahan” menerusi artikel di portral berita Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 15 Ogos 2011.


S: Kamu semua berjumpa di mana?


J: Perbincangan dan komunikasi menggunakan telefon, e-mel dan Facebook sahaja. Saya belum pernah bertemu mereka; kecuali Puan Timah Baba.


S: Jadi, mereka semua (penulis terbabit) bukan kroni awak?


J: Memang pun kami kroni! Kami “kroni” dalam menuntut hak royalti teks Komsas.


S: Betulkah awak yang drafkan surat izin yang diberi oleh penulis kepada awak untuk melantik awak mewakili mereka?


J: Ya. Memang ada draf standard dan profesional yang disediakan oleh syarikat saya. Sedang juga diedarkan kepada beberapa lagi penulis yang menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan berhubung kes tuntutan royalti Komsas dan kes-kes lain.


S: Berapa mereka (penulis) bayar awak?


J: Untuk rekod, tiada sebarang bayaran dikenakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) atau Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya bagi perkhidmatan itu.


S: Benarkah awak yang drafkan surat rayuan terbuka itu?


J: Ya. Memang itu sebahagian tugas saya sebagai wakil dan perunding profesional.


S: Berapa lama awak menulis draf surat rayuan terbuka itu?


J: Tiga jam; 3:00-6:00 pagi, 26 Ogos 2011. Termasuk mengedit, meneliti, merombak dan memurnikannya.


S: Kalau kerajaan masih tak dengar suara rayuan ini?


J: Kita boleh bersuara pula melalui undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.


S: Awak tak takut buat kenyataan macam itu yang mungkin kedengaran berbaur ugutan?


J: Tak. Ini bukan ugutan. Jangan bimbang. Saya belajar sendiri daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa beliau berkempen di Hulu Selangor (April 2010) dan Sibu (Mei 2010). Anda boleh membaca mengenainya secara terperinci menerusi artikel “Can We Have a Deal?” oleh Vijay Kumar Murugavell dalam buku March 8: Time for Real Change (2010).

Monday, 29 August 2011

Aidilfitri




Kaut Untung Dengan Teks Komsas!

Daripada kenyataan yang dipaparkan sebelum ini – BACA DI SINI – sudah nyata bahawa ada sekumpulan penerbit yang berlagak lebih “berkuasa” daripada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri dalam soal penerbitan teks Komsas.

Maka, tidak mustahil lebih ramai penerbit mahu turut serta dalam usaha licik, tidak bermoral, tidak berperikemanusiaan dan tidak beretika mengaut untung menerusi penerbitan teks Komsas menjelang tahun 2021.


Untuk menjayakan “niat” itu, penerbit perlu mempelajari beberapa taktik kotor yang amat penting bagi menindas, menzalimi, menganiaya dan menafikan hak golongan penulis yang menghasilkan karya sastera.


Sila KLIK DI SINI untuk membaca panduan lengkap bertajuk “Kaut Untung Dengan Komsas” yang disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Ogos 2011.


Kepada penerbit terbabit: Selamat menjadi penghuni neraka!

Media: Penulis Dizalimi, TPM Membisu

Penulis sepenuh masa dari Johor, Rohani Deraman layak menerima royalti sekitar RM55,878.50 daripada antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) yang dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Dua.

Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani Deraman mula-mula termuat dalam antologi Hanya Kita Yang Tinggal (Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd: 2001) dan penulis hanya dibayar RM40.


Kemudian, cerpen sama dimuatkan dalam sebuah antologi terbitan Edu Quest Publisher pada 2007 dan penulis tidak dibayar walau satu sen. [BACA DI SINI]


Data di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan bahawa Edu Quest Publisher pernah menerbitkan beberapa buku kanak-kanak dan remaja pada 2000, 2005, 2006, 2007 dan 2008.


Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd adalah ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) tetapi Edu Quest Publisher umpama sebuah syarikat “misteri” dan tiada banyak maklumat mengenainya.


Saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd yang “memiliki” Nur-Ilmu Sdn Bhd juga “memiliki” Edu Quest Publisher.


Pada 31 Mac 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia sudah membuat pembayaran secara elektronik kepada para penerbit asal bagi karya-karya yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius.


Royalti yang dibayar kepada Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd sebagai penerbit asal bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” adalah RM11,175.70 dan jumlah itu hanyalah royalti bagi cetakan pertama (2010).


Sebagai sebuah penerbit yang beretika dan bermoral, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd sepatutnya berkongsi 50 peratus daripada “untung bersih” itu bersama penulis; iaitu sebanyak RM5,587.85.


Bagaimanapun, pada realiti, berapakah “hasil” yang dinikmati oleh penulis? Hanya RM40 iaitu apa yang dibayar pada 2001. Itu sahaja!


Orang ramai mempunyai alasan munasabah untuk beranggapan bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd “mencuri” duit royalti Rohani Deraman bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” sebanyak RM5,587.85 setahun.


Maka, bagi tempoh 2011-2020, jumlah duit royalti milik Rohani Deraman bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” yang “dicuri secara licik dan terancang” oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd adalah RM55,878.50.


Apa yang amat menghairankan, menyedihkan, mengecewakan dan menimbulkan kemarahan adalah bahawa isu mengenai penindasan dan penganiayaan terhadap Rohani Deraman serta beberapa penulis lain sudah pun diceritakan dalam Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran pada 26 Ogos 2011.


Surat rayuan terbuka (open appeal letter) itu turut disiarkan di portal berita The Malaysian Insider, Free Malaysia Today,dan Malaysiakini dan Inside Sarawak.


Surat itu ditulis selepas Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengesahkan mereka “tidak mampu” dan “tidak boleh” berbuat apa-apa berhubung kes ini.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang cuba membela nasib para penulis terbabit sejak 15 Ogos 2011, mengharapkan “berita gembira” daripada Menteri Pelajaran menjelang 1 Syawal 1432.


Bagaimanapun, sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, Menteri Pelajaran “tidak mampu” dan “belum mampu” berbuat apa-apa untuk membantu membela nasib Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) yang secara terang-terangan dianiaya dan dimanipulasi sekumpulan penerbit yang mempamerkan sikap tidak berwibawa, tidak beretika, tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.


Malah, orang ramai mendapat gambaran seolah-olah para penerbit terbabit “lebih berkuasa” daripada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.


Dalam keadaan seperti ini, orang ramai juga mempunyai alasan munasabah untuk mula tertanya-tanya secara senyap dalam hati: Apalah gunanya [kuasa pada tangan] seorang Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri jika beliau tidak mampu menggunakan kuasanya dan kuasa-kuasa khas yang ada padanya untuk membela lima penulis yang dizalimi?


Tepuklah dada, tanyalah selera. – Uthaya Sankar SB

Media: SPM 2011 Tanpa Interlok

Berikut kenyataan media presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB pada 29 Ogos 2011:

Masih Boleh Ambil SPM Tanpa Interlok


1. Tidak menjadi masalah jika novel Interlok Edisi Murid (cetakan 2010) tidak digunakan langsung oleh calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan kertas Bahasa Malaysia pada 14 November 2011.


2. Sama ada novel ini digunakan atau tidak digunakan sebagai teks Komsas pada tahun 2011, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap wajib memberi royalti kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain bagi naskhah yang dicetak pada 2010.


3. Kenyataan media Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari 2011 menyebut: “Novel Interlok (edisi murid) hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah.”


4. Pada Jun 2011, muncul usaha menggunakan “pelekat ajaib”. Kavyan menentang sekeras-kerasnya tindakan itu yang bertentangan dengan keputusan yang dicapai dan diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.


5. Akhirnya, pada 22 Jun 2011, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik Bernama Online berkata: “kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula.”


6. Akhbar Utusan Malaysia (22 Jun 2011) melaporkan: “pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel itu walaupun pindaan dibuat.”


7. Novel Interlok Edisi Murid yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula seperti dijanjikan belum lagi dihantar ke sekolah-sekolah di Zon 2 (Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya).


8. Maka, ada alasan kukuh untuk “menangguhkan” penggunaan edisi baru novel itu sehingga tahun 2012.


9. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 bertarikh 25 November 2009 daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia kepada semua Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Negeri menyebut: “Pengagihan novel adalah mengikut zon. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberi kepada pihak sekolah untuk memilih judul novel yang bersesuaian bagi murid sekolah berkenaan.”


10. Maka, tidak menjadi kesalahan (atau dosa) sekiranya sekolah-sekolah di Zon 2 tidak menggunakan novel Interlok Edisi Murid (cetakan 2010) pada tahun ini.


11. Kavyan yakin bahawa guru-guru di Zon 2 mempunyai kepakaran, semangat, kebolehan dan ilmu untuk membantu pelajar Tingkatan Lima meneliti novel Kembara Amira (Zon 1), Sutera Dalam Lukisan (Zon 3) atau Kabus Di Perbukitan (Zon 4) sebelum 14 November 2011.


Huraian lanjut mengenai perkara ini boleh dibaca menerusi artikel “SPM 2011 Tanpa Interlok” di portal berita The Malaysian Insider pada 29 Ogos 2011. [KLIK DI SINI]


Sekian. Terima kasih.

SPM Tanpa Interlok: Bukti Uthaya Anti Interlok?

“Uthaya yang sangat-sangat anti Interlok.”

Demikian komen pemegang akaun ‘Majlis Teater Negeri Selangor’ di Facebook sebagai reaksi kepada kata-kata “Kita kenal siapa Uthaya” oleh seorang individu pada dinding Facebook milik Amy Suzani Ainuddin pada 27 Ogos 2011.


Saya tidak mahu membazir masa dan tenaga menjawab tuduhan-tuduhan seperti itu. Biarkan Luncai dengan labu-labunya.


Sebaliknya, dalam kesibukan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menguruskan isu tuntutan royalti teks Komsas bagi beberapa rakan penulis, saya sempat menulis artikel bertajuk “SPM 2011 Tanpa Interlok”.


Percayakah anda jika saya katakan bahawa tidak menjadi apa-apa masalah sekiranya novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010) tidak digunakan langsung oleh calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan kertas Bahasa Malaysia pada 14 November 2011?


Ya! Mungkinkah orang seperti ‘Majlis Teater Negeri Selangor’ (rasa-rasanya, bukan nama sebenar) akan mula mengasah parang dan mengasap keris untuk memulakan perang?


Artikel berkenaan yang ditulis berdasarkan fakta, hujah, akal, rujukan dan bukti – bukan menggunakan pengasah parang dan kemenyan hantu – boleh difahami dan dibahaskan selepas DIBACA DI SINI pada 29 Ogos 2011.


Akhir kata: Lokas samastha sukhino bhavantu. Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira.

Sunday, 28 August 2011

Terima Kasih, Cikgu Saleeh!

Saya mengenali Dr Mohamed Saleeh Rahamad (foto: depan, tengah) semasa saya meneruskan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1993-1998).

Sejak dahulu hingga kini, saya memanggil beliau sebagai “Cikgu” – sementara saya memanggil Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai “Pak Haji” semasa hayatnya.


Cikgu Saleeh antara lain merupakan pensyarah saya bagi Kursus Penulisan Kreatif I (Cerpen) – sementara Allahyarham Sasterawan Negara Dr S. Othman Kelantan mengajar Kursus Penulisan Kreatif II (Novel).


Saya masih ingat bagaimana saya menghasilkan sebuah cerpen bagi tujuan kursus. Selepas membincangkannya di kelas, Cikgu Saleeh menghulurkan borang penyertaan Hadiah Cerpen Esso-Gapena dan menggalakkan saya menyertainya.


Akur pada permintaan serta menghargai suntikan semangat yang diberikannya secara penuh ikhlas, saya mengambil bahagian.


Manuskrip cerpen dan borang penyertaan itu saya serahkan pada saat akhir kepada salah seorang orang kuat Gapena, Haji Hamzah Hamdani yang pada waktu itu (1996) bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Itulah cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang menggunakan latar masa 26 Februari 1994 dan menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.


Kemudian, pada suatu hari, Cikgu Saleeh membawa akhbar Mingguan Watan bertarikh 4 Ogos 1996 ke kelas dan mengucapkan tahniah kerana cerpen “Pedas” – yang saya hasilkan bagi satu lagi kursus yang ‘entah apa-apa’ – tersiar di akhbar berkenaan; sebelum dimuatkan dalam Surat dari Madras (1999).


Malah, Cikgu Saleeh juga penyelia saya bagi tesis ijazah Sarjana Muda Sastera bertajuk “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998).


Semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid sedang hangat pada Januari 2011, saya bertugas sebagai Penolong Editor di akhbar Sinar Harian.


Saya menghubungi Cikgu Saleeh yang juga presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mendapatkan komen dan bahan berita yang kemudian disiarkan di akhbar itu. [CONTOH BERITA]


Malah, apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bercadang menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 15 Januari 2011, saya memberitahu Cikgu Saleeh bahawa saya mahu hadir sama. Tambahan pula, saya ahli seumur hidup Pena.


“Lebih baik awak jangan hadir dalam perhimpunan Sabtu; takut sentimen,” katanya dengan nada risau dan mengambil berat pada lewat malam 13 Januari 2011.


Saya nyatakan bahawa para penulis yang hadir nanti adalah kawan-kawan saya juga dan pasti tidak ada apa-apa yang perlu beliau risaukan.


“Tak apa; datanglah,” balas beliau akhirnya.


Saya menghadiri perhimpunan itu dan catatan pengalaman saya boleh dibaca DI SINI.


Saya kenal hati budi Cikgu Saleeh seawal tahun 1996. Sebab itulah apabila seorang individu cuba menabur fitnah terhadap beliau, saya bukan bodoh untuk mempercayainya.


Individu berkenaan menelefon saya hampir setiap hari bermula 20 Disember 2010 dan mengutuk novel Interlok Edisi Murid serta kepimpinan Pena.


Kemudian, pada 23 Februari 2011, individu itu menambah dosa dengan memberitahu saya menerusi perbualan telefon bahawa dia sebenarnya “diarahkan” oleh Cikgu Saleeh untuk menghubungi saya dan “mengorek rahsia” mengenai pendirian Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid!


“SMS awak pun saya telah forward kepada semua AJK Pena dari awal (20 Disember 2010). ... Kita akan jumpa di mahkamah,” katanya menerusi SMS yang boleh dibaca DI SINI.


Saya tidak memanjangkan isu itu atau bertanya kepada Cikgu Saleeh mengenainya kerana saya tidak mahu “ambil pusing” kata-kata individu berkenaan yang mungkin menghadapi masalah peribadi.


Pada petang 28 Ogos 2011, semasa tidur sebentar – saya memang suka tidur kalau ada masa lapang! – saya bermimpi bertemu Cikgu Saleeh. Maka saya menulis catatan ini sebagai kenang-kenangan.

Khas: Selamat Hari Raya

(Sila klik di atas untuk besarkan)

Interlok: Biar Saya Jadi Penonton

KUALA LUMPUR, 1 April 2011 — Bekas anggota panel bebas mengkaji pindaan Interlok, Uthaya Sankar SB yang sebelum ini menyifatkan novel kontroversial itu belum cukup murni walaupun sedang melalui kerja-kerja ‘pemurnian’ hari ini berkata, “kali ini biar saya menjadi penonton sahaja.”

Penulis bebas itu berkata, beliau telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya selaku salah seorang anggota panel bebas itu, yang kini sudah pun dibubarkan.


Pandangan itu dikeluarkan ketika wakil masyarakat Cina pula menyuarakan pandangan agar novel itu digugurkan daripada digunakan di sekolah.


Jumaat lalu, Uthaya berkata, pendirian wakil kaum India sejak dilantik ke dalam panel tersebut adalah tetap dan tidak berubah iaitu jika segala pindaan yang diperakukan tidak dilakukan sepenuhnya, maka buku itu perlu dikeluarkan daripada dijadikan teks Komsas.


“Malah, sehingga kini, pendirian wakil kaum India adalah sama. Malangnya, seperti diketahui umum, pada 16 Mac 2011, pihak tertentu sudah bersetuju untuk menarik balik senarai yang mereka kemukakan dan ada kaitan dengan sensitiviti kaum Melayu dan kaum Cina.


“Maka, wakil kaum India tidak dapat bertegas mempertahankan saranan pindaan itu kerana sudah ditarik balik oleh pihak yang mengemukakan cadangan itu,” katanya sambil menambah, beliau berpandangan bahawa selagi ia tidak murni selengkapnya, ia tidak wajar digunakan.


“Kita tidak boleh perjuangkan sensitiviti kaum lain dalam panel bebas itu, ini sangat jelas,” katanya dengan merujuk kepada terma rujukan.


Uthaya turut menjelaskan mengenai terma rujukan yang digunakan panel bebas sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran.


“Begitu juga dengan cadangan pindaan yang diperakukan panel bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011,” katanya.


Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Uthaya yang juga Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berkata:


“Beberapa wakil media menghubungi saya untuk meminta komen mengenai tindakan pihak tertentu yang masih meneruskan usaha mendesak supaya novel Interlok edisi murid ditarik balik sepenuhnya daripada dijadikan teks Komsas tingkatan lima.”


Penulis bebas itu merupakan salah seorang daripada tiga wakil kaum India yang menganggotai panel bebas bagi mengkaji pindaan-pindaan yang perlu ekoran bantahan sejak awal tahun ini.


Panel bebas itu, hasil mesyuarat akhirnya pada 4 Mac lalu, telah mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran sebanyak 106 pindaan, termasuk 19 perkara yang sensitif.


“Dalam hal ini, perlu ditekankan bahawa ketiga-tiga wakil kaum India dalam panel bebas sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan oleh Menteri Pelajaran yang melantik kami bertiga menganggotai panel berkenaan.


“Sekiranya masih ada apa-apa kekurangan, maka bukan salah wakil kaum India,” katanya.


Kata Uthaya, beliau sebenarnya pernah menyatakan sebelum ini bahawa mereka bertiga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa reaksi masyarakat sekiranya kesemua pindaan yang diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011 gagal dilaksanakan atas apa alasan sekali pun.


“Saya juga diberitahu bahawa pihak tertentu menggunakan bahan-bahan dari blog saya untuk tujuan mendesak novel Interlok edisi murid ditarik balik. Dalam hal ini juga saya tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan.


“Blog saya terbuka kepada umum dan boleh diakses atas pilihan sendiri kerana dilabel sebagai ‘kandungan dewasa’. Bahan-bahan di blog saya boleh disebarkan kepada orang lain asalkan sumbernya dinyatakan,” katanya lagi.


Malah, kata Uthaya, beliau juga dimaklumkan bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Cina sudah mula “bersuara” – walaupun agak lewat bagi melahirkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap gambaran kaum itu dalam novel berkenaan.


“Perkara ini sebenarnya sudah saya jangkakan, khususnya apabila menghadiri Forum Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu.


“Kali ini, biar saya menjadi penonton sahaja,” katanya lagi. [RUJUK KENYATAAN MEDIA DI SINI]


Novel itu dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akhir 1960-an.


Pada 24 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Parlimen bahawa kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali”.


Interlok edisi asal diterbitkan kali pertama pada 1971 dan kemudian diulang cetak dua tahun kemudian dengan diperbaiki dan edisi kedua diterbitkan pada 1996.


Interlok Edisi Murid diterbitkan pertama kali pada 2010 berikutan novel ini dipilih oleh Jawatankuasa Penilai Teks Sastera Kementerian Pelajaran sebagai Novel Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) untuk Tingkatan Lima mulai tahun ini.


(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 1 April 2011)

Novel Bersiri “Panchayat” di FMT

Novel Panchayat terbit pada 2002 dan saya bercadang menerbitkannya semula pada 2011 dengan judul Panchayat: Edisi Khas. Sila KLIK DI SINI untuk membaca kertas cadangan berkenaan.

Kerja-kerja penyuntingan dan pemurnian dilakukan oleh Editor Bersekutu yang terdiri daripada Jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan membaiki segala kelemahan, kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan pembetulan maklumat ke arah menyajikan sebuah karya sastera yang lebih bermutu.


Tentu sahaja pengalaman daripada Kontroversi Novel Interlok Edisi Murid menjadi panduan amat berguna dalam usaha pemurnian ini.


Saya turut mendapat kerjasama daripada beberapa individu yang tampil menawarkan diri menjadi Editor Bersekutu dan menyunting manuskrip novel berkenaan sebagai persiapan menerbitkan Panchayat: Edisi Khas. Antaranya: Devaraj P Thangaraju, Ambiga Rajanthran, Serigaring Lim @ Lim Ah Nee, Badrul Hassan dan Dhanesh Rajanthran. [MAKLUMAT LANJUT]


Malangnya, atas sebab kekangan kewangan, novel berkenaan belum dapat dicetak.


Bagaimanapun, portal berita Free Malaysia Today (FMT) bersetuju untuk menyiarkannya secara bersiri mulai 5 Jun 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca sedikit catatan mengenainya.


Pada akhir setiap bahagian, terdapat catatan berikut:


“Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.”


Langkah ini bagi menggalakkan orang ramai turut terlibat dalam usaha memurnikan novel berkenaan sebagai persiapan sebelum ia dicetak nanti; dengan izin Tuhan.


Sila KLIK DI SINI untuk membaca novel Panchayat: Edisi Khas (ISBN: 978-983-40562-6-1) yang disiarkan secara bersiri pada Sabtu dan Ahad di Free Malaysia Today mulai 6 Jun 2011.

Saturday, 27 August 2011

Cerpen yang Tercicir

6 Jun 2011 – Pada hari ini, saya dijadual mewakili seorang penulis penting tanah air, Azman Hussin, untuk mengadakan perbincangan dengan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung sebuah cerpennya yang “tercicir” daripada antologi khas bagi cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Kisah ini bermula pada 24 Mei 2011 apabila Azman membeli antologi Cinta Sekerdip Embun (DBP: 2010) tetapi terkilan kerana cerpennya yang menang kategori cerpen dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2002/03 tidak termuat dalam antologi itu.


“Cerpen saya bertajuk ‘Tahun Depan di Jurusalem’ tersiar di akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 2002, kemudian diumumkan menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, HSPM serta Hadiah Sastera Kelantan pada tahun sama.


“Saya pernah dihubungi pegawai DBP berhubung antologi itu dan saya sudah beri surat izin terbit pada tahun 2009. Saya marah dan terkilan. Macam hak saya telah dinafikan,” kata penulis kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu ketika menghubungi saya pada keesokan hari.


Antologi Cinta Sekerdip Embun yang diusahakan oleh Bahagian Penerbitan Sastera DBP memuatkan 50 cerpen yang menang HSPM dari 1996/97 hingga 2004/05.


Bagi karya yang menang HSPM 2002/03, hanya cerpen “Tahun Depan di Jurusalem” tercicir manakala 12 cerpen lain dimuatkan di dalamnya.


“Saya tak mahu hak saya dinafikan. Dulu manuskrip kumpulan cerpen saya, Dongeng Pascamerdeka pernah ditolak DBP, kemudian dimenangkan pula untuk HSPM 1998/99 selepas saya menerbitkannya sendiri. Bagi saya, ini bukan soal tak ada rezeki atau mutu karya saya dipertikaikan. Kalau cerpen ‘Tahun Depan di Jurusalem’ tidak dimuatkan, maka antologi Cinta Sekerdip Embun tidak tepat dari segi fakta HSPM,” katanya sebagai meluahkan perasaan kepada saya.


Saya menghubungi Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan yang menulis pengenalan bagi antologi itu untuk mendapatkan pandangan beliau.


Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu menjelaskan bahawa beliau bukan penyelenggara; sebaliknya hanya menerima manuskrip antologi itu untuk menulis pengenalan.


“Jadi, dalam kedudukan itu, saya memang tidak tahu jika ada cerpen yang tertinggal dalam antologi berkenaan. Apa pun, saya sudah mengirim e-mel kepada pegawai berkenaan di DBP dan minta mereka menyemak dengan segera,” katanya yang turut bersedih atas apa yang berlaku.


Pada petang 25 Mei, saya mengirim e-mel mengenai perkara ini kepada Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Termuzi Abdul Aziz dan dua pegawai yang pernah terlibat dalam projek antologi berkenaan.


Kemudian, pada 1 Jun, saya dimaklumkan bahawa DBP akan mengadakan perbincangan dengan Azman untuk menjelaskan kedudukan sebenar cerpen “Tahun Depan di Jerusalem”.


Ketua Bahagian Penerbitan Buku Sastera DBP, Puan Norimah Bajuri dalam e-mel balasannya kepada saya berkata, “Perbincangan akan dipengerusikan oleh Pengarah Penerbitan DBP pada 6 Jun, pukul 10:00 pagi, di bilik Pengarah Penerbitan, Tingkat 10, Menara DBP.”


Terdahulu, pada 29 Mei, Dr Anwar memanjangkan kandungan e-mel yang beliau terima daripada Puan Norimah di mana antara kandungan e-mel itu adalah seperti berikut:


“Cerpen Azman Hussin yang berjudul ‘Tahun Depan di Jerusalem’ yang memenangi HSPM 2002/03 tidak dimasukkan dalam buku tersebut. Hal ini demikian kerana sepanjang kami menguruskan penerbitan buku tersebut, kami gagal menghubungi beliau untuk mendapatkan izin terbit. Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk menjejaki alamat terkini beliau, terutama melalui teman-teman penulis tetapi gagal. Oleh itu, kami mengambil keputusan mengeluarkan cerpen tersebut semasa manuskrip sudah di peringkat pruf akhir (pracetak).”


Azman pula menjelaskan bahawa beliau ada menerima surat meminta izin terbit dan juga panggilan telefon daripada pihak DBP pada 2009.


“Saya telah memberi persetujuan untuk karya itu diterbitkan. Macam mana pula dikatakan saya tidak dapat dihubungi? Rasanya salinan fotokopi surat meminta izin terbit itu masih ada dalam simpanan saya. Tidak betul jika dikatakan saya tidak dapat dihubungi,” katanya.


Mengulas lanjut isu sama, Azman berkata: “Jika diberi alasan tidak dapat dihubungi, itu tipu. Logikkah sebelum ini saya pernah dihubungi untuk diskusi buku Dongeng Pascamerdeka pada tahun 2000, kemudian dihubungi lagi pada tahun sama untuk makluman HSPM, kemudian pada 2004 untuk HSPM 2002/03. Semuanya melalui surat ke alamat yang sama. Saya masih boleh dihubungi di alamat surat-menyurat yang sama sehingga hari ini. Cuba periksa rekod DBP, alamat saya ada dalam simpanan mereka. Kalau tidak, DBP takkan dapat hubungi saya untuk minta izin terbit cerpen tersebut pada tahun 2009.”


Datuk Anwar pula berpendapat bahawa sebaik-baiknya Azman berhubung terus dengan pihak DBP untuk menjernihkan perkara ini berbanding meminta pihak ketiga menguruskannya.


Azman menghubungi saya dari Kelantan pada 31 Mei dan menceritakan beberapa perkara yang membuatkan saya lebih memahami mengapa beliau “keberatan” untuk berurusan sendiri bersama pihak DBP berkenaan isu ini.


Ringkasnya, Azman menaruh kepercayaan kepada saya selaku pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ untuk mewakili beliau dalam pertemuan dan perbincangan bersama pihak DBP bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu cerpennya yang “tercicir” daripada antologi Cinta Sekerdip Embun.


Azman juga sudah menyediakan surat rasmi pada 2 Jun untuk menyatakan bahawa beliau melantik saya sebagai wakil. Maka, secara rasmi, saya akan mewakili Azman dalam pertemuan dan perbicangan bersama pihak DBP pada pagi ini. Saya sudah pun memaklumkan perkara ini kepada Puan Norimah menerusi e-mel pada 2 Jun.


Saya pergi dengan niat murni sambil memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh salah seorang pengarang penting tanah air. Saya pergi kerana kami berdua tidak mahu nasib sama menimpa penulis lain pada masa hadapan.


(Uthaya Sankar SB, The Malaysian Insider, 6 Jun 2011)

Friday, 26 August 2011

Royalti Komsas: Surat Rayuan Terbuka kepada TPM

Kepada:

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia


Daripada:


1. Rohani Deraman, Johor


2. Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Kelantan


3. Hazama Harun @ Aida Shahira, Kuala Lumpur


4. Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal, Kuala Lumpur


5. Erda Roslan Khairi, Putrajaya


Perkara: Surat Rayuan Terbuka kepada Menteri Pelajaran


Tan Sri,


Nasib kami berlima adalah ibarat kata peribahasa Melayu, Malang Pak Kaduk, ayamnya menang, kampung tergadai”.


Karya kami, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetapi kami merasakan diri kami teraniaya kerana penerbit bagaikan menafikan hak kami berlima untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek kami sebagai penulis kreatif.


1. Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


2. Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini novel itu diterbitkan oleh Nur-Ilmu dengan judul Cempaka Putih Untukmu dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis. [BACA LAGI DI SINI]


3. Puisi “Seorang Insan Istimewa” karya Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


4. Cerpen “Limau Bali dan Semangkuk Daging” karya Amy Suzani Mohd Ainuddin memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995. Cerpen itu tersiar dengan judul “Budi Semangkuk Daging” dalam antologi Budi Semangkuk Daging terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis. [BACA LAGI DI SINI]


5. Novel Di Sini Bukan Duniaku karya Hazama Harun @ Aida Shahira diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Bukan Duniaku oleh Karya Hartamas Enterprise dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka. Malangnya, penulis hanya diberi sedikit saguhati dan diminta menandatangani resit kononnya menerima bayaran hampir lima kali ganda. Penulis juga tidak diberikan salinan resit itu apabila diminta.


6. Novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Hikmah oleh V-Nice Resources dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malangnya, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd meminta penulis menuntut bayaran daripada V-Nice Resources manakala V-Nice Resources pula mengatakan ia sudah membuat bayaran kepada Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd.


7. Cerpen “Israk” karya Erda Roslan Khairi tersiar di majalah Dewan Siswa pada tahun 2010. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Harga Remaja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Empat di seluruh negara. Malangnya, penulis tidak pernah dihubungi oleh penerbit mahupun Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran untuk memaklumkan hal itu atau meminta izin terbit bagi karyanya.


Dengan segala dolak-dalik pihak terbabit, kami berlima merasakan diri kami bagaikan teraniaya dan mungkin juga dipergunakan pihak tertentu untuk mengaut untung.


Maka kami berlima memutuskan untuk mengemukakan surat rayuan terbuka ini kepada Tan Sri.


Kami merayu Tan Sri menggunakan kuasa dan hak sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan isu royalti, hak cipta dan harta intelek ini.


Pada masa sama, kami berlima memuji sikap profesional dan penuh beretika yang diamalkan oleh Sasbadi Sdn Bhd yang sudah pun membuat bayaran royalti pertama pada 25 Ogos 2011 kepada Timah Baba bagi karya anaknya, Hizairi Othman, yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Dua.


Kami merayu Tan Sri membela nasib kami berlima sebagai penulis yang berhak menerima royalti dan hasil pendapatan halal menerusi penulisan karya sastera.


Kami berharap kes ini tidak dilihat sebagai kes terpencil dan dipandang ringan.


Kami berlima mengharapkan “berita gembira” berupa pembelaan terhadap hak cipta, harta intelek dan hak royalti kami menjelang 1 Syawal 1432.


Pada kesempatan ini, kami dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Tan Sri sekeluarga serta seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sekian. Terima kasih.


Catatan: Surat ini dikirim menerusi e-mel pada 26 Ogos 2011 kepada Uthaya Sankar SB selaku presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya untuk disiarkan di blog serta disebarkan kepada wakil media dan mana-mana pihak yang difikirkan wajar.