Penulis bebas itu berkata, beliau telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya selaku salah seorang anggota panel bebas itu, yang kini sudah pun dibubarkan.
Pandangan itu dikeluarkan ketika wakil masyarakat Cina pula menyuarakan pandangan agar novel itu digugurkan daripada digunakan di sekolah.
Jumaat lalu, Uthaya berkata, pendirian wakil kaum India sejak dilantik ke dalam panel tersebut adalah tetap dan tidak berubah iaitu jika segala pindaan yang diperakukan tidak dilakukan sepenuhnya, maka buku itu perlu dikeluarkan daripada dijadikan teks Komsas.
“Malah, sehingga kini, pendirian wakil kaum India adalah sama. Malangnya, seperti diketahui umum, pada 16 Mac 2011, pihak tertentu sudah bersetuju untuk menarik balik senarai yang mereka kemukakan dan ada kaitan dengan sensitiviti kaum Melayu dan kaum Cina.
“Maka, wakil kaum India tidak dapat bertegas mempertahankan saranan pindaan itu kerana sudah ditarik balik oleh pihak yang mengemukakan cadangan itu,” katanya sambil menambah, beliau berpandangan bahawa selagi ia tidak murni selengkapnya, ia tidak wajar digunakan.
“Kita tidak boleh perjuangkan sensitiviti kaum lain dalam panel bebas itu, ini sangat jelas,” katanya dengan merujuk kepada terma rujukan.
Uthaya turut menjelaskan mengenai terma rujukan yang digunakan panel bebas sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran.
“Begitu juga dengan cadangan pindaan yang diperakukan panel bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011,” katanya.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Uthaya yang juga Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berkata:
“Beberapa wakil media menghubungi saya untuk meminta komen mengenai tindakan pihak tertentu yang masih meneruskan usaha mendesak supaya novel Interlok edisi murid ditarik balik sepenuhnya daripada dijadikan teks Komsas tingkatan lima.”
Penulis bebas itu merupakan salah seorang daripada tiga wakil kaum India yang menganggotai panel bebas bagi mengkaji pindaan-pindaan yang perlu ekoran bantahan sejak awal tahun ini.
Panel bebas itu, hasil mesyuarat akhirnya pada 4 Mac lalu, telah mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran sebanyak 106 pindaan, termasuk 19 perkara yang sensitif.
“Dalam hal ini, perlu ditekankan bahawa ketiga-tiga wakil kaum India dalam panel bebas sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan oleh Menteri Pelajaran yang melantik kami bertiga menganggotai panel berkenaan.
“Sekiranya masih ada apa-apa kekurangan, maka bukan salah wakil kaum India,” katanya.
Kata Uthaya, beliau sebenarnya pernah menyatakan sebelum ini bahawa mereka bertiga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa reaksi masyarakat sekiranya kesemua pindaan yang diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011 gagal dilaksanakan atas apa alasan sekali pun.
“Saya juga diberitahu bahawa pihak tertentu menggunakan bahan-bahan dari blog saya untuk tujuan mendesak novel Interlok edisi murid ditarik balik. Dalam hal ini juga saya tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan.
“Blog saya terbuka kepada umum dan boleh diakses atas pilihan sendiri kerana dilabel sebagai ‘kandungan dewasa’. Bahan-bahan di blog saya boleh disebarkan kepada orang lain asalkan sumbernya dinyatakan,” katanya lagi.
Malah, kata Uthaya, beliau juga dimaklumkan bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Cina sudah mula “bersuara” – walaupun agak lewat bagi melahirkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap gambaran kaum itu dalam novel berkenaan.
“Perkara ini sebenarnya sudah saya jangkakan, khususnya apabila menghadiri Forum Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu.
“Kali ini, biar saya menjadi penonton sahaja,” katanya lagi. [RUJUK KENYATAAN MEDIA DI SINI]
Novel itu dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akhir 1960-an.
Pada 24 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Parlimen bahawa kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali”.
Interlok edisi asal diterbitkan kali pertama pada 1971 dan kemudian diulang cetak dua tahun kemudian dengan diperbaiki dan edisi kedua diterbitkan pada 1996.
Interlok Edisi Murid diterbitkan pertama kali pada 2010 berikutan novel ini dipilih oleh Jawatankuasa Penilai Teks Sastera Kementerian Pelajaran sebagai Novel Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) untuk Tingkatan Lima mulai tahun ini.
(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 1 April 2011)