30 Apr 2010

Badut Pilihan Raya Umum

Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum seterusnya perlu diputuskan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal. (Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April 2013 - RUJUK JADUAL)
.
Kalau kiraan saya betul, baru hampir dua tahun sejak Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat memulakan tugas untuk Berkhidmat Kepada Rakyat. Sebenarnya, tidak cukup dua tahun; jika ditolak segala perlakuan badut dan kurang pintar yang sering ditonjolkan oleh individu yang ada masanya “terpaksa” diundi oleh Rakyat kerana tiada pilihan.
.
Sejak dua bulan lalu, saya sebagai Rakyat Biasa amat menyampah membaca berita di mana ahli politik ini dan ahli politik itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
.
Apakah tokoh seperti ini berfikir bahawa kehidupan Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen hanya untuk berkempen, memancing undi, menabur janji kosong, menang dalam pilihan raya, bercakaran seperti anjing dengan kucing dan kemudian mula berkempen bagi pilihan raya seterusnya; walaupun belum cukup dua tahun memegang jawatan yang “disedekahkan” oleh Rakyat?
.
Selepas pemilihan parti selesai, parti kami kini bersiap untuk menjamin kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian kata seorang pemimpin sebuah parti politik.
.
Saya mahu semua ahli dan pemimpin parti bersiap sedia dan mendekati rakyat bagi memastikan kita menang besar dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian seruan seorang lagi pemimpin lebih tinggi.
.
Tidak menghairankan bagi saya jika kelompok manusia seperti ini hanya pandai memperkudakan Rakyat. Rakyat yang lupa bahawa merekalah yang sebenarnya berkuasa. Wakil daripada golongan Rakyat yang diangkat menjadi Wakil Rakyat juga mudah lupa diri (harap bukan semua) apabila sudah mula pandai menyalak bersama-sama gerombolan anjing jalanan yang disertai.
.
Wakil Rakyat dipilih (diundi) untuk berkhidmat kepada dan untuk Rakyat; bukan untuk parti politik tempat dia berselindung. Dewan Rakyat bukan tempat untuk mana-mana badut menunjukkan aksi sarkas, tetapi tempat untuk bersuara mewakili Rakyat. Suara Rakyat, bukan suara parti. Suara Rakyat, bukan lawak lucah. Suara Rakyat, bukan bersuara dan melompat seperti katak puru.
.
Selepas segala janji kepada Rakyat (semasa kempen pilihan raya umum yang lalu) diingkari dan dilupai sebaik keputusan pilihan raya diumum, sibuk pula mahu berkempen bagi pilihan raya umum seterusnya sedangkan baru dua tahun menderhaka kepada Rakyat.
.
Umpama seorang lelaki yang baru seminggu berkahwin tetapi sudah mula sibuk menghantar rombongan bagi meminang calon isteri kedua. Siapa termakan cili, dia terasa pedasnya.
..
Nota: Sila KLIK DI SINI untuk Panduan Mengundi Tanpa XKLIK DI SINI untuk maklumat Hak Tidak Mengundi dan KLIK DI SINI untuk Panduan Mengundi Calon Paling Uzur. Topik berkaitan: Bar1san Nas1onal dan Politicians are Clowns. Baca juga: Tolak Politik Perkauman.

29 Apr 2010

Impikan Toleransi Zaman Nabi Muhammad SAW

Seperti yang saya suarakan dalam keluaran lalu, sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya.
.
Selain daripada Insya-Allah, frasa Alhamdulillah pula biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita gembira. Katakanlah, sebagai contoh, pelajar tadi datang menyampaikan berita mengenai kemenangannya dalam pertandingan pidato.
.
Alhamdulillah, tahniah,” jawab saya bagi menyatakan rasa syukur dan yakin bahawa pelajar itu menyampaikan segala puji kepada Tuhan yang mengizinkan (memungkinkan) kemenangannya.
.
Atau mungkinkah “Syukur. Tahniah. Segaja puji kepada Tuhan” paling sesuai? Atau “Tahniah!” sahaja kerana kita masih beranggapan orang bukan Islam tidak memahami konteks “segala pujian kepada Tuhan”?
.
Saya sering ditegur rakan-rakan beragama Islam apabila saya secara spontan (dan tanpa sebarang niat jahat) menggunakan frasa dan ungkapan di atas sewaktu berkomunikasi dengan rakan-rakan Islam. Khabarnya ungkapan-ungkapan itu hanya boleh diucapkan oleh umat Islam; khususnya sejak timbul isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah” oleh Herald.
.
Saya tidak pasti setakat mana kebenaran kata-kata itu. Saya juga tidak tahu jika ada sebarang Hadis, fatwa atau undang-undang yang menjurus ke arah itu. Namun, sepanjang pemerhatian saya, demikian pendirian rakan-rakan beragama Islam.
.
Nampaknya isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penerbit Herald ditafsir dalam konteks yang menyimpang jauh dalam soal penggunaan frasa-frasa seperti “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” yang saya sebutkan ini.
.
Berdasarkan pemahaman saya sebagai seorang individu yang berfikiran terbuka dalam memahami dan menghormati kepelbagaian agama, isu sebenar adalah apabila kalimah “Allah” digunakan oleh Herald untuk merujuk kepada “Tuhan” (atau “God”) dalam konteks agama Kristian.
.
Berbeza pula dengan penggunaan frasa-frasa “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” yang saya perkatakan di sini kerana frasa-frasa berkenaan digunakan oleh individu bukan Islam (seperti saya) apabila berbual dengan individu beragama Islam.
.
Lebih penting adalah bahawa frasa-frasa berkenaan ditujukan kepada individu beragama Islam dan digunakan dalam konteks pemahaman sepenuhnya tanpa sebarang niat jahat.
.
Dalam hal-hal berkaitan agama Islam, saya suka menggunakan Nabi Muhammad (SAW) sebagai model dan contoh paling unggul. Sikap dan sifat baginda menjadi “acuan” apabila saya bergaul dan berkomunikasi dengan saudara beragama Islam.
.
Masalah yang saya perhatikan sendiri sejak kanak-kanak adalah apabila sebilangan individu beragama Islam kurang “mengenali” Nabi Muhammad (SAW), lalu membuat andaian dan tafsiran dengan fikiran sempit dan jauh daripada ajaran sebenar Islam. Demikian pemerhatian ikhlas saya tanpa sebarang prasangka dan prejudis. Boleh sahaja dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan.
.
Mungkin sahaja impian saya terlalu tinggi apabila saya katakan bahawa saya masih mengharapkan wujud perasaan saling memahami, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan dalam konteks kepelbagaian agama di Malaysia; seperti yang saya percaya wujud pada zaman Nabi Muhammad (SAW) di Mekkah dan Madinah.
.
Sementara itu, apa pun perkembangan dan keputusan (fatwa) di Malaysia, mujurlah sejak dahulu, saya boleh menggunakan frasa dan ungkapan yang saya jelaskan di atas tanpa prejudis apabila berkomunikasi dengan saudara Islam di/dari luar negara.
.
Bekas pelajar saya yang berasal dari Pakistan, Bangladesh, India, Oman dan Arab Saudi sedikit pun tidak prejudis apabila saya menggunakan frasa-frasa seperti “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” apabila berbual atau berkomunikasi bersama mereka menerusi e-mel.
.
Atau jika pun dibuat undang-undang atau peraturan (fatwa) yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan frasa-frasa dan ungkapan berkenaan dalam mana-mana konteks, bolehkah suara hati manusia dihalang daripada mengucapkan frasa dan ungkapan berkenaan apabila bertemu saudara Islam? Allahu-Alam!
..
(Bahagian 2 “Suara Hati Saya” disiarkan dalam IluvIslam keluaran 23-29 April 2010)
..
Nota: Huraian saya mengenai "salam" boleh dibaca DI SINI. Perbincangan berkaitan kalimah "Allah" boleh dirujuk DI SINI.

28 Apr 2010

Kisah Politik Thandira Nari

Saya sudah menaip semula manuskrip cerita rakyat India bertajuk Nari! Nari! untuk diterbitkan semula dalam edisi baru oleh sebuah penerbit berwibawa dan terkemuka.
.

Lima daripada sembilan cerita yang terkandung dalam buku itu menampilkan watak seekor serigala yang menggelar dirinya “Veera Nari” dan “Thandira Nari” – tetapi penghuni hutan sekadar memanggilnya “Nari”.

.

Terdapat juga cerita mengenai seekor lembu jelmaan bernama Kovil Maadu, seekor monyet yang suka menyanyi serta seekor cerpelai bernama Kiripulle.

.

Cerita rakyat ini sesuai untuk bacaan kanak-kanak berumur 10-12 tahun. Demikian sasaran saya sewaktu buku ini terbit kali pertama pada 1995 (ulang cetak pada 2000).

.

Bagaimanapun, sambil saya menaip semula manuskrip cerita rakyat India ini untuk terbitan edisi baru, saya melihat cerita-cerita ini tidak jauh berbeza dengan cerpen-cerpen berbentuk parodi yang saya hasilkan sejak tahun 1992.

.

Watak-watak binatang dalam kumpulan cerita rakyat ini ternyata hanya ikon dan penanda kepada watak-watak manusia yang ada di sekeliling kita; khususnya puak yang saya gelar “Badut Paul Lathic” dan selalu muncul dalam karya-karya faksyen yang saya suka hasilkan.

.

Maka, apabila edisi baru Nari! Nari! terbit nanti, saya tidak harus hanya menyasarkan publisiti dan promosi kepada khalayak kanak-kanak. Sebaliknya, khalayak dewasa yang berfikiran matang serta pemerhati politik tanah air juga perlu diambil kira.

.

Sementara kanak-kanak terhibur sambil menimba nilai-nilai murni dan mengenali budaya India, khalayak dewasa pula bolehlah meneliti sindiran politik yang tersirat di sebalik kisah yang tersurat.

27 Apr 2010

Air Mata Hari Jadi

Saya mendapat kejutan yang menggembirakan (pleasant surprise) semasa membelek-belek majalah Fokus SPM keluaran Mei 2010 pada petang 26 April 2010. Tidak pula saya sangka dan menjangkakan cerpen “Air Mata Hari Jadi” akan disiarkan dalam keluaran Mei.
.

Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa majalah e-baca, e@siswa dan Fokus SPM keluaran Mei 2010 akan menyiarkan cerpen-cerpen yang mengangkat tema bersesuaian dengan Hari Guru.

.

Apa pun, jangan kita lupa bahawa Hari Ibu disambut pada 9 Mei 2010 (Ahad kedua bulan Mei setiap tahun) dan cerpen “Air Mata Hari Jadi” juga ada sedikit sentuhan keibuan daripada watak “emak” 9(ibu Dhurga) dan Chellama (ibu Janaki).

.

Cerpen ini turut menyentuh mengenai filem Little Buddha (1994) lakonan Keanu Reeves dan filem Anbe Sivam (2003) lakonan Kamal Haasan dan Madhavan.

.

Sedikit catatan awal mengenai “Air Mata Hari Jadi” boleh dibaca DI SINI manakala kisah penuh boleh dinikmati dalam majalah Fokus SPM, Mei 2010. Sila KLIK DI SINI untuk membaca rasional penggunaan ‘hari jadi’ berbanding ‘hari lahir’.

26 Apr 2010

Kolumnis yang Tidak Tahu Bahasa

Dalam mengendalikan bengkel penulisan cerpen, makalah, rencana dan berita, saya seorang tenaga pengajar yang sangat tegas. Sebagai pencinta dan pejuang bahasa, saya akan menetapkan syarat pertama bahawa peserta bengkel wajib menguasai bahasa (selalunya Bahasa Malaysia) sebelum menyertai bengkel yang saya kendalikan di bawah Kumpulan Sasterawan Kavyan.
.

Penguasaan bahasa yang saya maksudkan termasuklah aspek ejaan, tatabahasa, imbuhan, tanda baca dan kata sendi. Syarat mengirim manuskrip cerpen, misalnya, boleh dirujuk DI SINI.

.

Sebagai seorang penulis, sejak awal penglibatan dalam bidang ini, saya sentiasa membaca, menyemak, membetulkan serta menyunting manuskrip saya beberapa kali sebelum manuskrip itu dikirim kepada editor. Saya mahu permudahkan tugas editor, sebagaimana Tuhan permudahkan kerja penulisan saya.

.

Tidak hairanlah ramai editor “suka” menerima manuskrip saya kerana tidak perlu memeningkan kepala menyemak serta membetulkan ejaan, tatabahasa, imbuhan, tanda baca dan kata sendi pada manuskrip yang saya kirim. Sebaliknya, perlu dibaca, dinilai dan (jika sesuai) disiarkan.

.

Baru-baru ini, saya berpeluang menatap manuskrip asal tiga tokoh yang menjadi kolumnis di sebuah akhbar harian. Segala macam kesalahan bahasa yang wujud di mayapada boleh ditemui pada manuskrip-manuskrip berkenaan yang panjangnya 700-900 patah perkataan. Belum lagi diambil kira segala kesalahan fakta, kesilapan nama dan kejahilan menaip menggunakan komputer.

.

Kolumnis berkenaan bukan calang-calang orang; masing-masing berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang media, penulis, bekas guru, pensyarah undang-undang dan pemegang ijazah kedoktoran. Ramai pembaca yang khabarnya ternanti-nanti kolum mereka saban minggu.

.

Sebenarnya, pihak editorial akhbar berkenaan yang terpaksa memecah kepala membetulkan dan “memurnikan” segala ‘sampah-sarap’ itu sebelum disajikan sebagai ‘hidangan istimewa’ kepada pembaca.

.

Secara relatif, kemampuan menulis dan penguasaan bahasa golongan remaja dan belia yang menyertai bengkel penulisan anjuran Kavyan jauh lebih baik berbanding tiga tokoh @ kolumnis berkenaan.

.

Kalaulah ditakdirkan ketiga-tiga kolumnis itu mengirim manuskrip kepada saya, saya pasti akan mewajibkan mereka belajar Bahasa Malaysia sebelum mula menulis!

25 Apr 2010

Penulis Kaum India; Sedekad Kemudian

Saya mula mengenali Raja Rajeswari Seetha Raman (serta keluarganya) apabila beliau menghubungi saya pada tahun 1998 untuk mendapatkan bahan dan maklumat memandangkan beliau pada waktu itu sedang menghasilkan tesis sarjana sastera di Universiti Putra Malaysia (UPM) berdasarkan cerpen-cerpen saya.

Saya tumpang bangga dan gembira apabila beliau mula menulis setelah diberi motivasi dan bimbingan berterusan, lalu kini muncul sebagai antara pemuisi yang dikenali umum. Malah, beliau menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/07 bagi sebuah sajak yang termuat dalam kumpulan sajak sulung beliau, Mekar Bunga (2006).

Sebelum menjadi pemuisi – dan sesudah itu – Raja Rajeswari menulis beberapa makalah khusus mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. [Bandingkan perubahan sikapnya pada 2017 - BACA DI SINI.]

Artikel paling awal yang ditulis oleh Raja Rajeswari dan disiarkan di media cetak arus perdana adalah sebuah rencana mengenai penulis kaum India di Malaysia. Saya telah berbincang, mengulas dan menyunting artikel itu sebelum disalurkan kepada editor. Artikel berkenaan disiarkan pada Februari 1999, iaitu sebelum Kavyan diasaskan dan sebelum Raja Rajeswari aktif mengarang sajak.

Selepas Kavyan diasaskan, beliau menulis sebuah lagi makalah khusus untuk disiarkan dalam surat berita Kavya.

Sebuah lagi rencana pada 2005 mengkhusus pada unsur intertekstualiti dalam karya.

Makalah dan rencana yang beliau hasilkan pada peringkat awal boleh membantu orang ramai mengenali kelompok Sasterawan Kavyan secara umum. [Tetapi Raja Rajeswari mula menyalurkan data palsu dan fakta rekaan pada 2017. Saya yang "melahirkan"nya terpaksa bertindak menghalang segala penipuan yang dilakukannya! -- BACA DI SINI.]

Dalam ketiga-tiga rencana peringkat awal, Raja Rajeswari menyebut Saroja Theavy dan saya sebagai penulis kaum India yang aktif berkarya. Beliau turut bertanya, apakah para penulis kaum India yang selebihnya akan turut aktif berkarya pada masa hadapan.

Dua daripada rencana itu ditulis dan disiarkan lebih sedekad lalu; sebuah lagi lima tahun lalu. Bagaimanakah realiti sekarang?

Tiga makalah berkenaan adalah “Karya Penulis Kaum India Diiktiraf”, “Reformasi Budaya yang Gagal?” dan “Intertekstualiti dan Pengarang”. Sila klik pada tajuk makalah untuk membaca teks sepenuhnya.

Sudilah membaca rencana berkenaan sebelum mengemukakan komen dan pandangan anda berhubung topik berkaitan. 

24 Apr 2010

Pantun Khas SPR sempena Pilihan Raya Kecil


HULU SELANGOR - Membuat sesuatu yang baru daripada amalan biasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencipta pantun untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor.

.

Pantun itu dicipta anggota SPR, Datuk Jamdir Buyong dan diedarkan kepada media pada 24 April 2010 untuk siaran bagi tatapan parti politik dan calon yang bertanding serta pengundi pada pilihan raya kecil itu.

.

Pantun berupa panduan dan nasihat yang dibahagi kepada dua senario iaitu semasa dan selepas mengundi, antara lain, menghuraikan secara jelas perkara-perkara yang harus dipatuhi calon serta parti bertanding dan pengundi.

.

Pantun itu adalah seperti berikut:

.

PENGUNDIAN

.

Tiada pondok boleh berdiri

Tempat berhimpun suara perang

Jangan berkempen hari mengundi

Elakkan sengketa suasana tegang

.

Hulu Selangor dataran permai

Ramai tokoh pandai berpantun

Datanglah mengundi beramai-ramai

Ikut adat bersopan santun

.

Pokok manggis di tanah rata

Buahnya manis sedap dirasa

Setiap undi intan permata

Penyinar cahaya negara bangsa

.

Bunga teratai mekar kembang

Tumbuh subur rapat-rapat

Usah takut janganlah bimbang

Hadir mengundi tiada yang sekat

.

SELEPAS PENGUNDIAN/PENGUMUMAN

.

Kertas undi di dalam peti

Dikawal ketat hingga ke petang

Jumlah dikira penuh teliti

Usah sangsi janganlah bimbang

.

Dari jauh mencari tunang

Masuk kampung hingga ke bandar

Adat bertanding kalah dan menang

Jangan marah salahkan SPR

.

Pokok pandan di puncak bukit

Buahnya jatuh di atas tanjung

Menang besar kalah sedikit

Jangan dicemuh hormat dijunjung

.

Khidmat cemerlang sudah sempurna

Semoga mendapat segala berkat

Terima kasih yang bijaksana

Bakti dikenang sepanjang hayat

.

Pagi-pagi makan ketupat

Hidangan asli sejak berkurun

gambar calon merata tempat

Lepas bertanding mestilah turun


[Panduan menanda kertas undi - klik di sini]

Apabila Menteri Besar Membaca Cerpen

Pada 19 April 2010, saya mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan mengendalikan aktiviti Baca Cerpen di Perpustakaan Pekan Hulu Bernam, Hulu Selangor.
.

Acara berkenaan sempena Sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS).

.

Sejumlah 21 kanak-kanak dan remaja mengambil bahagian dalam aktiviti Baca Cerpen. Kebanyakan daripada mereka adalah murid/pelajar SMK Methodist, SMK Khir Johari dan SJKT Tan Sri Dato’ Manickanasagam.

.

Saya memberi sedikit taklimat kepada peserta mengenai cara membaca cerpen dan Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003.

.

Para peserta memilih buku cerita Bahasa Malaysia yang ada di Perpustakaan Pekan Hulu Bernam dan membaca petikan beberapa halaman untuk dinilai.

.

Sebaik sahaja Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba, beliau melawat tempat aktiviti Baca Cerpen berlangsung. Maka, saya secara spontan mengundang beliau mengambil bahagian.

.

Tan Sri Abdul Khalid terus bersetuju dan mula membelek-belek buku Kathakali lalu memilih cerpen “Cerita Moorthy” untuk dibaca sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS, Dr Halimah Ali dan Pengarah PPAS, Puan Mastura Muhammad.

.

Kemudian, peserta meneruskan pembacaan masing-masing. Kesemua peserta diberi cenderamata berupa diari korporat dan kotak pensel sumbangan PPAS; manakala peserta terpilih turut menerima buku Kathakali dan Rudra Avatara sumbangan Kavyan.

.

Sementara itu, saya turut tertarik pada ucapan perasmian Sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa peringkat PPAS. Menteri Besar Selangor menumpukan sepenuhnya ucapan beliau terhadap buku, kanak-kanak, tabiat membaca, perpustakaan, literasi maklumat, kreativiti, internet, kedai buku, peranan ibu bapa dan karya pengarang tempatan.

.

Tidak diselitkan walau sedikit pun unsur politik dan kempen dalam ucapan Tan Sri Abdul Khalid; walaupun kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sedang hangat di kawasan sekitar.

.

Tidak dapat tidak, saya kagum dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh beliau. Kita memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau.

23 Apr 2010

Usah Takut Bayang-bayang

Saya pernah terbaca di blog seorang individu (bukan “blogger”) di mana individu itu dengan penuh rasa “takut pada bayang-bayang sendiri” meluahkan ketakutan (inferiority complex) dengan mengatakan bahawa beliau tidak faham mengapa terdapat manusia yang kononnya mahu menjadi wira dengan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia.
.

Tentu sahaja bukan ditujukan kepada saya atas dua sebab: satu, saya bukan mahu menjadi wira; dan dua, saya bukan memperjuangkan “Bahasa Melayu” sebagai “Bahasa Malaysia”.

.

Individu berkenaan – sambil ternyata berusaha menyembunyikan perasaan takut dan tangan yang bergetar-getar – bertanya apakah “wira yang memperjuangkan Bahasa Malaysia” rasa gerun mendengar bunyi “Melayu”.

.

Beliau juga bertanya apakah “kaum pendatang” yang lahir di Malaysia tidak mempelajari sejarah negara dan bahasa.

.

“Tidak faham-faham lagikah?” Demikian lebih kurang beliau menengking (mungkin kepada diri sendiri).

.

Reaksi saya bagi persoalan seperti ini amat mudah: Saya memang terasa hairan kerana nampaknya masih ada manusia yang mengakui dirinya warga Malaysia tetapi tidak tahu (atau berpura-pura tidak tahu) mengenai Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 dan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”. Ternyata manusia seperti itu tidak faham (atau berpura-pura tidak faham) sejarah negara. Atau mungkinkah manusia seperti itu takut mendengar istilah “Bahasa Malaysia” – umpama hantu, syaitan dan iblis yang takut apabila doa dan ayat-ayat suci dilafazkan?

.

Mungkin saya perlu berusaha menjejak semula blog yang dimiliki individu berkenaan dan mendidik beliau mengenai sejarah, latar belakang dan perkembangan Bahasa Malaysia di negara ini.

.

Maklumat yang saya maksudkan boleh dibaca DI SINI.

22 Apr 2010

Guna Frasa Islam dengan Ikhlas

Sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya.
.

Antaranya adalah “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam”. Perkara ini ada saya perkatakan SEBELUM INI.

.

Bagi saya, bukanlah sesuatu yang pelik jika seorang individu bukan Islam di Malaysia menggunakan frasa-frasa berkenaan secara spontan dan dengan penuh pemahaman, serta sedikit pun tiada niat mempersenda (atau menghina) Islam.

.

Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Malaysia sebuah “Negara Islam” tetapi peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara amat jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi, manakala kebebasan beragama diberikan kepada penduduk bukan Islam.

.

Walau di pelosok atau penjuru mana negara seseorang berada, pasti ada interaksi dengan masyarakat beragama Islam, secara langsung atau tidak langsung.

.

Sebagai contoh, sejak mempunyai televisyen di rumah pada awal tahun 1980-an, saya sendiri hampir setiap hari mendengar azan serta membaca terjemahan di kaca televisyen.

.

Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan bukan Islam sering tertanya-tanya mengapa “la ilaha illallah” diterjemah ke Bahasa Malaysia pada skrin televisyen sebagai “tiada Tuhan yang disembah selain Allah” sedangkan terjemahan yang tidak tepat itu membawa konotasi “masih ada Tuhan lain selain daripada Allah”.

.

Mujurlah kesilapan terjemahan yang pastinya tidak disengajakan itu sudah diperbetulkan.

.

Dalam kehidupan seharian – sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat kerja, tempat beriadah, gerai makan, pasar atau di mana sahaja – pasti berlaku interaksi antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Apatah lagi dalam situasi keharmonian masyarakat majmuk di negara kita.

.

Maka, secara sedar atau tidak sedar, secara langsung atau tidak langsung, berlaku proses perkongsian maklumat, budaya dan amalan. Dalam konteks negara kita, masyarakat bukan Islam tidak menghadapi sebarang masalah untuk memahami budaya dan amalan rakan-rakan beragama Islam.

.

Pemahaman yang saya sebutkan ini tidaklah sampai menghakis jati diri budaya dan agama individu bukan Islam itu; jauh lagi mewujudkan asimilasi yang pasti kurang disenangi semua pihak.

.

Sebaliknya, masyarakat bukan Melayu-Islam sudah terbiasa dengan budaya Melayu-Islam sehingga tidak timbul apa-apa rasa hairan; misalnya berkaitan amalan berpuasa, solat, aurat, haram dan halal.

.

Keadaan yang kita saksikan di negara kita, saya percaya, juga wujud pada zaman Nabi Muhammad (SAW). Wujud perasaan saling memahami, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan yang wujud.

.

Saya juga tidak terkejut atau berasa hairan apabila ada rakan-rakan bukan Islam menggunakan beberasa frasa yang biasanya dikaitkan dengan orang Islam. Malah, saya juga sering secara spontan menggunakannya tanpa berniat jahat.

.

Namun, dalam menyaksikan (melihat sendiri) perkembangan semasa di Malaysia, nampaknya frasa dan ungkapan berikut tidak bebas saya gunakan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam.

.

Contohnya, Insya-Allah yang biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita mengenai sesuatu yang masih dalam perancangan.

.

Misalnya, pelajar saya di kolej memberitahu bahawa dia akan menyertai pertandingan pidato. “Insya-Allah kau akan berjaya,” saya menjawab spontan kerana pelajar itu tentu sedar bahawa dia boleh menang jika diizinkan Tuhan.

.

Atau mungkinkah “Jika diizinkan Tuhan, kau akan berjaya” paling sesuai? Atau “Kau mungkin berjaya” sahaja wajar digunakan memandangkan pelajar itu beragama Islam dan saya pula bukan Islam?

.

(Bahagian 1 “Suara Hati Saya” ini disiarkan dalam IluvIslam keluaran 16-22 April 2010. Ikuti Bahagian 2 dalam IluvIslam keluaran 23-29 April 2010 - DI SINI.)

21 Apr 2010

Label pada Dahi

Semasa dijemput menyampaikan kertas kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 1998, saya menegur tindakan pengerusi majlis memperkenalkan saya sebagai “Penulis Tamil”. Saya melakukan pembetulan dengan membuat kenyataan bahawa saya adalah sasterawan Malaysia yang menulis dalam Bahasa Malaysia.
..

Semasa mengikuti Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Perlis pada Ogos 2002, saya turut menegur sikap beberapa pengkaji sastera kebangsaan yang mengklasifikasi golongan sasterawan seperti saya sebagai “Penulis Tamil” dan/atau “Penulis Bukan Melayu”.

..

Saya sentiasa berusaha membetulkan kesilapan yang timbul dalam melabelkan golongan penulis seperti saya. Mungkin sahaja saya sendirian dalam melakukan pembetulan ini. Atau mungkin saya menerima sokongan daripada penulis lain.

..

Sila KLIK DI SINI untuk membaca cacatan penuh sebelum mengemukakan pandangan saudara dalam hal ini.

20 Apr 2010

Pembaca Berotak Suatu Hipokrasi?

Adalah menjadi suatu kesalahan besar – mungkin juga dosa besar – jika anda sebagai seorang sasterawan memilih untuk menghasilkan karya yang mencabar minda; serta menulis khusus untuk khalayak yang gemar membaca karya-karya yang mencabar minda.
.

Demikian pandangan yang dikemukakan oleh pihak tertentu apabila saya terus terang mengatakan bahawa saya hanya memerlukan sekurang-kurangnya sepuluh membaca berotak untuk membuatkan saya terus berkarya.

.

Saya menyatakan pendirian itu dalam majalah Dewan Sastera, Mei 1997 [BACA DI SINI] dan di Universiti Sains Malaysia pada November 1998 [BACA DI SINI].

.

Ada peneliti yang memahami apa yang saya maksudkan [BACA DI SINI] dan tentulah ada peneliti yang sebaliknya menghadapi “sedikit kesukaran” [BACA DI SINI] dan [BACA DI SINI].

.

Selesai membacanya, sudilah berkongsi hasil penelitian anda.

19 Apr 2010

Makalah yang Berterbangan di Ruang Siber

Ruang siber ternyata tiada sempadan dan menyimpan pelbagai “bahan arkib” yang tidak disangka boleh ditemui semula.
.

Mujurlah pelbagai makalah saya turut dimuat naik ke ruang siber sejak 2001. Pada mulanya, saya menggunakan lama sesawang Geocities yang sudah “tiada” sejak 26 Oktober 2009.

.

Namun, mujurlah, rupa-rupanya pelbagai bahan yang saya muat naik itu sebenarnya masih “berterbangan” di ruang siber.

.

Semasa mencari bahan-bahan lama, saya turut menemui sebuah makalah lama yang saya sendiri terlupa mengenai kewujudannya!

.

Makalah bertajuk “Budaya Tradisional dan Kelainan Generasi Muda” saya tulis atas permintaan untuk siaran akhbar Kosmo! Dan disiarkan pada 8 September 2004.

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca makalah berkenaan.

18 Apr 2010

Sajak

Saya lebih dikenali sebagai cerpenis (penulis cerpen) daripada seorang pengarang sajak (puisi moden). Saya sendiri menganggap diri saya demikian kerana saya merasakan lebih “mudah” – suatu pernyataan yang amat subjektif sifatnya – menulis cerpen dan makalah berbanding mengarang sajak.
.
Walau bagaimanapun, “sengat” beberapa sajak saya tidak kurang “bisa”nya; khususnya sajak-sajak berkaitan perjuangan mendaulatkan Bahasa Malaysia. [BACA DI SINI]
.
Sebuah sajak diterjemahkan ke Bahasa Jerman manakala sebuah dijadikan lagu puisi.
.
Berikut beberapa sajak yang saya “jumpa” semula dalam beberapa antologi dan di ruang siber. Sila klik pada judul untuk membaca sajak berkenaan. Sila maklum bahawa senarai di bawah disusun secara rawak.
.
.
.
..
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.