18 Dec 2020

Tuan, encik, anda, atau saudara?


Penggunaan kata ganti nama diri sudah menjadi kelaziman apabila kita berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan, sama ada lisan atau bertulis. Setiap bahasa mempunyai cara dan panduan yang berbeza; termasuk dari segi kesantunan berbahasa.

Misalnya, penggunaan you dalam bahasa Inggeris mampu menggantikan kata ganti nama diri dan kata panggilan seperti awak, kamu, anda, tuan, saudara, puan, dan encik. Ramai juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ketara menggunakan awak apabila bercakap kepada guru atau orang dewasa.

Penggunaan kata ganti nama diri kedua saudara, tuan dan puan di negara kita telah melalui proses perkembangan dan penyesuaian yang menarik juga untuk ditelusuri. Perbincangan mengenai cara penggunaan yang betul berlaku di akhbar tempatan sejak tahun 1930-an.

Pada waktu dahulu di Sarawak, misalnya, memang menjadi amalan menggunakan gelaran tuan besar kepada pengurus syarikat, ladang, lombong arang atau ketua jabatan.

Akan tetapi, Sarawak Gazette pada Februari 1914 memetik arahan Charles Brooke (Raja Putih) bahawa gelaran itu merupakan hak eksklusif Raja-raja Melayu, khususnya putera sulung. Maka, penggunaan di luar konteks perlu dihentikan serta merta.

 Surat pembaca di Malay Tribune pada Mei 1931 menjelaskan penggunaan tuan hanya digunakan bagi “orang putih” berdasarkan warna kulit dan kedudukan mereka. Tuan dikatakan kata sopan setaraf sir dan turut digunakan sesama orang Melayu.

Penulis surat itu berkata, sekiranya dia menggunakan tuan kepada kaum India, maka rakan-rakan Melayu akan mentertawakannya kerana dianggap tidak tahu menggunakan bahasa ibunda dengan betul.

Menurutnya lagi, kakitangan awam juga tidak layak digelar tuan. Orang Melayu dan Cina dewasa perlu dipanggil encik, orang Arab dipanggil habib, peniaga Cina dipanggil towkay (tauke), orang Tamil dipanggil iah (ayya), anak muda India patut digelar tambi, dan lelaki India dewasa pula mama (pak cik).

Panduan gelaran, panggilan dan kata ganti nama diri ini mungkin dianggap tidak sesuai sekarang tetapi sangat menarik untuk kita mengetahui dan memahami budaya pemikiran masyarakat majmuk di negara ini pada masa silam.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku esei Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 3 Disember 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 12 Disember 2020. © Uthaya Sankar SB]