Tuesday, 30 June 2009

Pos Berdaftar

Pada pagi 29 Jun 2009, saya ke Pejabat Pos Besar Shah Alam untuk mengambil suatu dokumen berdaftar yang dialamatkan kepada saya.

Saya biasanya akan menasihatkan sesiapa sahaja supaya mengelakkan kiriman melalui pos berdaftar atau pos laju kerana biasanya tiada orang di rumah untuk menerima penghantaran itu; lalu saya perlu memperuntukkan masa ke Pejabat Pos Besar Shah Alam atau pejabat Pos Laju Shah Alam.

Bagaimanapun, pada kali ini, saya tidak merungut kerana saya tahu apakah dokumen itu dan siapa yang mengirimnya.

Pengirimnya adalah saya sendiri!

Jika ingin tahu mengapa saya melakukan perkara seperti itu – dan apakah dokumen berdaftar itu – sila KLIK DI SINI dan bacalah mengenainya.

Monday, 29 June 2009

Siru Kambam

Seorang pemilik kedai buku mendapat maklumat mengenai sebuah kampung kecil di Taiping, Perak. Kebetulan, pemuda berkenaan berminat untuk pergi ke tempat-tempat yang masih terpelihara keaslian kehidupan tradisional dan kurang dikenali umum. Lalu, dia berusaha mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam.

Kisah ringkas di atas bukan menceritakan semula apa yang terdapat dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang pernah menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), dimuatkan dalam Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2008) serta versi Bahasa Tamil cerpen berkenaan disiarkan menerusi MinnalFM (RTM) pada 28 Jun 2009 (Ahad), 10:45 pagi. [BACA DI SINI]

Seorang pemilik kedai buku bernama Sivapriyan sempat mendengar cerpen berkenaan menerusi MinnalFM dan sedikit terkejut dengan persamaan watak dan perwatakan antara dirinya dan watak “Saya” dalam cerpen berkenaan!

Pada pagi 29 Jun 2009 (Isnin), Sivapriyan telah mengubungi pejabat MinnalFM dan bercakap dengan penerbit cerpen, Cik Kavitha untuk mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam dan si penulis.

Kavitha menghubungi saya untuk mendapatkan kebenaran sebelum memberikan nombor telefon saya kepada Sivapriyan. Saya mengizinkan dengan perasaan gembira apabila dimaklumkan bahawa ada pendengar MinnalFM mahu mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam.

Beberapa minit kemudian, Sivapriyan menghubungi saya. Beliau antara lain bertanya, adakah saya pemilik kedai buku – iaitu watak “Saya” dalam cerpen itu. Saya katakan tidak.

Beliau bertanya, apakah kisah itu benar-benar berlaku. Saya katakan ia berciri faksyen; iaitu bauran antara fakta dan fiksyen.

Sivapriyan amat berminat dan ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Siru Kambam. Maka, saya meminta beliau melayari blog dan laman sesawang saya atau melakukan pencarian kata kunci “Siru Kambam” menggunakan enjin pencarian seperti Google.

Anda juga boleh berbuat demikian jika ingin mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam yang dihuraikan oleh Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai “suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, 1996).

Sunday, 28 June 2009

Anjing!

Dua hari lalu, saya sempat membelek-belek majalah Dewan Sastera keluaran Julai 2009.

Perkara yang mencuri tumpuan saya adalah mengenai kehadiran dua buah cerpen yang ada kaitan dengan anjing.

Saya katakan perkara itu mencuri tumpuan saya kerana terdapat sebuah cerpen berjudul “Anjing” dalam Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009).

Ada seseorang yang memberitahu saya bahawa kehadiran “Anjing” mungkin sedikit menjejaskan sambutan masyarakat Melayu-Islam terhadap Kathakali.

Saya cuba memberitahunya bahawa setahu saya, dalam Islam, pemeliharaan anjing (secara fizikal) masih dibenarkan jika untuk tujuan memburu dan/atau mengawal harta-benda.

Cuma, Malaikat Jibrail tidak masuk ke rumah yang ada anjing.

Bagaimanapun, cerpen “Anjing” saya tiada kaitan – apatah lagi menjejaskan – semua itu.

Akan tetapi, seseorang itu hanya memandang saya dengan pelik, lalu menukar topik.

Saturday, 27 June 2009

Markah Peperiksaan

Devishi Prabha Sankari mendapat kad laporannya hari ini. Sekitar pukul 1:40 tengah hari, sewaktu saya di KL Sentral – dalam perjalanan dari Kepong ke Angkasapuri – Devishi menelefon untuk memaklumkan markah-markah yang diperolehnya.

Bahasa Malaysia (Pemahaman) – 85%
Bahasa Malaysia (Penulisan) – 85%
Bahasa Inggeris – 99%
Matematik (Bahasa Inggeris) – 100%
Sains (Bahasa Inggeris) – 96%
Pendidikan Moral – 96%
Pendidikan Seni – 66%

Devishi memang sedia maklum bahawa jumlah markah yang diperoleh bukan penting; apatah lagi kedudukan dalam kelas.

Pada hari-hari yang saya berpeluang mengambilnya selepas sekolah, saya akan berbual dengan Devishi tentang apa perkara baru yang dipelajarinya di sekolah.

Saya juga sentiasa menasihatkannya supaya tidak berorientasikan markah peperiksaan. Apa yang penting adalah ilmu yang ditimba.

Dan saya gembira kerana Devishi memahami bahawa apa yang penting adalah ilmu dan pemahaman; bukannya markah dan kedudukan dalam kelas.

Pastinya bimbingan si ibu juga amat membantu si anak cemerlang dalam pelajaran.

Membeli Kathakali

Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia boleh juga diperoleh di:

1) Sentuhan Ilmu Book Distributor dengan menghubungi sdr Vishnu (017-277716, 07-9481597, vishnucom82@yahoo.com.my). Stok telah beliau ambil daripada saya pada 26 Jun 2009. Sdr Vishnu bercadang mengedarkan Kathakali ke seluruh negara.

2) Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka Berhad iaitu Kedai Buku DBP di Tingkat Bawah, Menara DBP, Kuala Lumpur. Kalau tidak jumpa buku di rak, sila bertanya di kaunter bayaran. Atau hubungi Puan Khalizah Mohd Yusof (Eksekutif Pemasaran Koperasi DBP Berhad, 03-21433504, 03-21433505, 03-21485869). Stok terhad telah saya serahkan pada 26 Jun 2009.

3) Untuk pembelian secara “tempahan tempatan” (LO), hubungi uthayasb@yahoo.com.my atau 012-3368142.

Sabtu yang Sibuk

Perancangan aktiviti saya pada Sabtu, 27 Jun 2009:

12:00 am – 8:00 am: Bertugas di Bilik Operasi Unit Bencana RTM.

9:00 am: Menaiki Komuter dari Angkasapuri ke Kepong.

10:00 am: Pertemuan dan perbincangan bersama Encik Koh dan Encik Ng mengenai kerjasama antara Kumpulan Sasterawan Kavyan dan One Nusantara Sdn Bhd bagi menjayakan aktiviti bahasa dan sastera.

2:00 pm: Menaiki Komuter dari Kepong ke Angkasapuri.

4:00 pm: Liputan “Readings” di Bangsar Baru.

5:30 pm: Liputan “10 Tahun Silverfish Books” di Bangsar Baru.

8:00 pm: Majlis Semarak Seniman di Angkasapuri.

Friday, 26 June 2009

Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah

Versi Bahasa Tamil cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, USSB: 2008) dijadual untuk disiarkan di MinnalFM (Radio Bahasa Tamil RTM) pada Ahad, 28 Jun 2009, pukul 10:45 pagi.

Saya sebutkan sebagai “versi Bahasa Tamil” dan bukannya “terjemahan Bahasa Tamil” kerana cerpen tidak diterjemah 100%.

Sebaliknya dipendekkan dan diubahsuai sedikit supaya sesuai dengan karya Bahasa Tamil, khalayak pendengar sasaran dan medium siaran radio.

Terima kasih kepada Hemantha Kumar Nagapan yang memberikan idea serta motivasi bagi menjayakan usaha ini. Beliau juga yang menjadi penyunting bagi versi Bahasa Tamil.

Terima kasih juga kepada Kumaran dan Kavitha dari MinnalFM yang menguruskan penilaian dan penerbitan cerpen ini.

Bagi saudara yang faham Bahasa Tamil, jangan lepaskan peluang mendengar cepen ini.

Sekadar makluman, kisah dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” [Baca petikan DI SINI] menggunakan latar tempat Siru Kambam dan latar tarikh 26 Februari 1994 – iaitu tarikh saya ditimpa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecacatan kekal.

Kalau saudara keliru – atau belum puas – selepas mendengar cerpen versi Tamil menerusi MinnalFM pada 28 Jun 2009, cubalah membaca versi asal dalam Rudra Avatara.

Selamat mendengar dan membaca! Dan sudilah mengemukakan reaksi dan komen selepas itu.

Sasterawan Negara untuk Dr Lim Swee Tin

Usaha sudah diambil secara serius untuk mencalonkan penulis terkemuka negara, Prof Madya Dr Lim Swee Tin bagi Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara”.

Saya sedang giat menyediakan laporan pencalonan itu kerana saya amat percaya, Dr Lim Swee Tin sudah layak menerima gelaran “Sasterawan Negara” sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada sastera negara.

Saya berharap orang ramai, khususnya peminat dan pengkaji karya-karya Dr Lim Swee Tin akan tampil membantu dengan mengemukakan maklumat yang diperlukan untuk menulis laporan pencalonan.

Maklumat lengkap dan terperinci terdapat DI SINI.

Wednesday, 24 June 2009

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Hari ini – 24 Jun 2009 – menandakan genap dua tahun sejak tsunami kecil melanda berikutan tersiarnya sajak yang maha mudah berjudul “Pe(r)juang(an) Bahasa II” (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007).

Sajak yang amat mudah itu dikutuk sesedap rasa oleh sekumpulan kecil manusia yang menggelar diri mereka “pejuang bahasa”; kononnya sajak saya “menghina” bahasa Melayu.

Banyak SMS dan e-mel berbentuk kutukan dan penghinaan yang saya terima daripada seteru dan sekutu. Semuanya saya simpan sebagai bahan dokumentasi yang pasti berguna pada masa hadapan.

Salbiah Ani dari akhbar Berita Harian begitu seronok menghentam saya melalui tulisannya. [Baca DI SINI]

Malah, beliau berjaya menyiarkan petikan surat terbuka daripada Dr Anwar Ridhwan yang menarik diri daripada menjadi Penasihat Kavyan berikutan “kandungan” sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang digambarkan oleh Salbiah sebagai “melabelkan pejuang bahasa sebagai dalang, petualang dan talam yang cuba mencabar.”

Betapa “bijak” insan yang membuat andaian demikian secara membabi-buta. Biarkan. Biarkan Luncai dengan labu-labunya. Bak kata pepatah dalam budaya masyarakat Melayu: Anjing menyalak, bukit tak kan runtuh.

Pada 24 Jun 2008 – genap setahun – saya siarkan di laman sesawang saya, ulasan sajak berkenaan yang pernah disiarkan di laman sesawang Komuniti Penyair pada 26 Disember 2002.

Ya, sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” dihasilkan pada akhir tahun 2002 selepas Perdana Menteri waktu itu, Tun Mahathir mengumumkan keputusan muktamad pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Lalu, saya melihat visi dan aspirasi saya menjelang tahun 2010.

Maka terhasillah sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang menyaksikan Bahasa Malaysia dikembalikan sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan (manakala dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di SJK Cina dan SJK Tamil).

Masalahnya adalah apabila golongan “bijak pandai” tertentu (bukan semua) melihat sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” dengan fikiran maha sempit, penuh prejudis dan bahang perkauman.

Tentu sahaja mereka tidak faham (dan tidak mungkin boleh/akan faham) tentang visi dan aspirasi perjuangan bahasa kebangsaan yang terkandung dalam “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.

Biarkan. Biarkan Luncai dengan labu-labunya. Anjing menyalak, bukit tak kan runtuh.

Kalau mereka memilih untuk meludah ke langit, saya tidak terasa apa-apa.

Bacalah sedikit kisah itu DI SINI sebelum meluahkan reaksi saudara dengan penuh berani.

Dirgahayu bahasaku!
Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Tuesday, 23 June 2009

Catatan 22 Jun 2009

Aktiviti saya pada Isnin, 22 Jun 2009 agak padat sehingga saya tidak sempat menjawab entah berapa panggilan telefon.

(Tidak mengapa. Kalau tujuan panggilan itu amat penting, maka si pemanggil pasti akan menghubungi saya semula.)

Pukul 9:30 pagi, saya mengiringi Puan Haslina dan Encik Rahim untuk bertemu Dato’ Hussamuddin di pejabat beliau di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Perbincangan utama adalah mengenai usaha “memperkenalkan semula” Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang; khususnya kepada generasi muda.

Agak lucu juga apabila tokoh yang saya segani itu merujuk kepada saya sebagai “my friend”. Nampaknya si bapa dan si anak (Faiz; bekas pelajar saya) kini sama-sama menjadi “sahabat” saya.

Pada sekitar 11:00 pagi, saya membawa Puan Haslina dan Encik Rahim ke pejabat Alaf21 untuk bertemu Encik Norden dan Kak Wan. Perbincangan kali ini lebih menjurus pada usaha-usaha menerbitkan semula karya-karya Dato’ Usman Awang.

Pukul 12:05 tengah hari, saya terpaksa meminta diri. Saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke KL Sentral.

Pukul 1:00 tengah hari, pertemuan dengan Puan Lee Yoke Chan dari One Nusantara Sdn Bhd. Beliau menghadiahkan satu set “Siri Cerita Klasik China” yang dilancarkan di Perpustakaan Negara Malaysia pada 18 Jun 2009.

Kami berbincang mengenai aktiviti yang dirancang bagi Julai dan Ogos 2009. Kami turut merancang mengadakan siri “Baca Cerita Klasik China” dan “Baca Puisi Lim Swee Tin”.

Pada pukul 3:00 petang, di tempat yang sama, saya bertemu Bissme, wartawan akhbar theSun yang menyediakan beberapa soalan penuh kontroversi bagi ruangan “Conversation” akhbar berkenaan.

Antara soalan yang ditanya adalah berhubung isu istilah “Bahasa Malaysia”, pandangan saya mengenai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), nasib Sasterawan Negara, mengapa saya menyokong Dr Lim Swee Tin sebagai calon Sasterawan Negara, mengapa saya tidak lagi muncul di kaca televisyen untuk membuat ulasan akhbar dan membaca berita, pemahaman saya terhadap konsep “Satu Malaysia”, mengapa saya melepaskan jawatan penyunting berita di RTM pada April 2008, mengapa saya tidak menulis cerpen Bahasa Inggeris dan bermacam-macam lagi.

Apabila disiarkan nanti, “Conversation” berkenaan pasti akan menambah koleksi “musuh”!

Apapun, seperti yang saya beritahu Bissme dengan memetik kata-kata Mahatma Gandhi: “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperkatakan kebenaran” dan “Andalah yang harus menjadi perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini”.

Pukul 5:00 petang, saya menaiki Komuter ke stesen Angkasapuri. Hemantha Kumar yang baru sahaja tamat waktu bertugas di RTM menumpangkan saya ke stesen Komuter Shah Alam.

Saturday, 20 June 2009

Ahad Ke-3 Bulan Jun

Selamat Hari Bapa.
Happy Father’s Day.
Thandeiyer Thinam Valtugal.
Fu Qin Jie Kuai Le.

Dan terima kasih kepada anak-anak tersayang!

Readings di Seksan's

Peminat sastera – khususnya sastera Bahasa Inggeris – diundang menghadiri acara “Readings” yang merupakan acara bulanan yang menampilkan barisan penulis dan penggiat sastera yang dikenali pada peringkat “glokal”.

Acara akan datang adalah pada 27 Jun 2009 (Sabtu), bermula pukul 3:30 petang di Seksan’s (67 Jalan Tempinis Satu, Lucky Gardens, Bangsar) dan bakal menampilkan Alina Rastam, Jerome Kugan, Robert Raymer, Chuan Guat Eng dan Michelle Gunaselan.

Penyelaras “Reading”, Sharon Bakar mengundang saya mengambil bahagian selepas mendapat tahu mengenai penerbitan Kathakali; lalu saya bersetuju untuk turut serta pada Ogos 2009.

(Saya mengambil bahagian buat kali pertama pada 30 Ogos 2008 dan membaca cerpen “Cat2” dari Rudra Avatara.)

Haslina Usman dari UA Enterprises Sdn Bhd juga akan turut serta; dan dijangka membaca puisi-puisi arwah ayahnya, Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang.

Untuk maklumat lanjut mengenai “Reading”, hubungi Sharon Bakar (017-2644956 atau sharonbakar@yahoo.com) atau layari Bibliobuli.

Friday, 19 June 2009

Pelancaran Festival Kuala Lumpur


Majlis Pelancaran Festival Kuala Lumpur 2009 akan berlangsung pada 30 Jun 2009 (Selasa), 8:30 malam di Auditorium Perdana, RTM, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Pengesahan kehadiran perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 22 Jun 2009 (Isnin).

Sila dapatkan maklumat lanjut DI SINI dan harap sudi hadir mewakili Kavyan.

Thursday, 18 June 2009

Haram

Katakan saudara berpeluang membaca sebuah buku sebelum buku berkenaan diharamkan oleh pihak berkuasa di negara saudara.

Atau katakan saudara berpeluang menyaksikan pratonton sebuah filem sebelum filem berkenaan diharamkan – atau pada mulanya diluluskan, sebelum kemudian diharamkan.

Atau saudara berada di luar negara dan berpeluang membaca sebuah buku atau menonton sebuah filem yang tidak diharamkan di negara berkenaan, walaupun diharamkan di negara saudara.

Saya percaya, secara sedar atau tidak, apa yang dibaca atau ditonton akan kekal dalam ingatan.

Mustahil untuk “memadam” ingatan itu walaupun pihak berkuasa di negara saudara memutuskan untuk mengharamkan filem/buku itu atas alasan tertentu.

Begitu juga halnya dengan sebuah dokumentari muzikal yang pernah saya tonton sebelum diharamkan.

Saya tidak berminat untuk memperkatakan soal halal-haram di sini; sebaliknya mengenai beberapa perkara yang menyentuh hati/jiwa saya dan masih bermain dalam minda bawah sedar.

[Mungkin akan berhenti “bermain dalam minda” selepas saya tulis di sini.]

Antaranya, melalui dokumentari muzikal itu, saya mendapat tahu bahawa ada tiga jenis petai yang masing-masing digemari masyarakat Melayu, Cina dan India.

Bahawa ada dua jenis limau bali; manis yang digemari penduduk tempatan dan masam yang digemari pelancong barat.

Saya juga tertawa menyaksikan beberapa lagu yang dimuatkan dalam dokumentari muzikal berkenaan; misalnya mengenai suatu fahaman, pelombong bijih timah dan kepentingan kad pengenalan.

Juga seronok dan berdebar apabila jurukamera terjatuh dalam lubang semasa penggambaran di sebuah estet!

Saya tidak mahu bercakap soal halal-haram … eh! Kenapa diulang? Ini bukan iklan, kan?

Apapun, dokumentari muzikal ini membantu menaikkan semangat cinta akan negara dan semangat patriotik dalam jiwa saya.

Juga membuatkan saya bertanya dan tertanya-tanya: adakah kaum India dan Cina turut memperjuangkan kemerdekaan negara pada tahun 1950-an?

Dari segi sinematografi pula … tidak perlulah saya huraikan kerana sudah pernah dihuraikan oleh beberapa tokoh perfileman dan kebudayaan selepas pratonton dokumentari muzikal berkenaan di negara Antah Berantah.

Wednesday, 17 June 2009

Kathakali Siap Esok

Dato’ Thomas Iruthayam dari Percetakan Asas Jaya (M) Sdn Bhd menghubungi saya pada pagi 17 Jun 2009 untuk memaklumkan bahawa buku Kathakali akan siap dicetak pada 18 Jun 2009.

Maka, saya akan pergi mengambil buku berkenaan pada petang 18 Jun 2009 supaya boleh mula diedarkan pada 19 Jun 2009.

Kepada mereka yang sudah membuat tempahan berbayar sebelum 31 Mei 2009, buku akan dikirim melalui pos pada 20 Jun 2009.

Begitu juga bagi 6 individu yang menyumbangkan “Pengantar” dan Presiden MBBY yang menyumbangkan “Pendahuluan”.

Juga bagi beberapa wartawan yang sudah menghubungi saya sebelum 10 Jun 2009 untuk mendapatkan naskhah percuma bagi tujuan membuat ulasan dan promosi.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai Kathakali DI SINI.

Meraikan Kepelbagaian Kaum

Masih mengenai penggunaan “penulis/peserta pelbagai kaum” … sebagai sambungan kisah semalam [BACA DI SINI].

Sesungguhnya saya tidak menentang penggunaan frasa itu. Malah, Kumpulan Sasterawan Kavyan sering menggunakannya apabila merujuk pada peserta/penulis yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Maknanya, tidak dibezakan atas faktor kaum; sama ada Melayu, Cina, India atau apa sahaja. Kepelbagaian haruslah diraikan; bukan dijadikan alasan untuk memisah-misahkan. Apatah lagi, Bangsa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan keturunan.

Namun, nampaknya, ada pihak yang berpendirian bahawa “kaum Melayu” tidak termasuk dalam kategori “pelbagai kaum”.

Saya tidak tahu dan tidak faham siapa dan atas alasan apa “kaum Melayu” (peserta kaum Melayu; penulis kaum Melayu) diberi kedudukan eksklusif sehingga perlu dilihat sebagai bukan sebahagian daripada “pelbagai kaum” (peserta pelbagai kaum; penulis pelbagai kaum).

Misalnya, dalam majalah Tunas Cipta (Jun 2009), diperkatakan mengenai “Penulis Pelbagai Kaum” dalam konteks “tidak termasuk penulis kaum Melayu”.

Adakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri menganggap “penulis kaum Melayu” sebagai eksklusif dan tidak termasuk dalam “penulis pelbagai kaum”?

Rasa-rasanya tidak. Saya pernah menyertai pelbagai aktiviti anjuran DBP di bawah label “pelbagai kaum” tetapi memang ada peserta/penulis “kaum Melayu”.

(Malah, sering kali peserta/penulis “kaum Melayu” lebih ramai daripada peserta/penulis “kaum Bukan Melayu”. Saya menyedari hal ini kerana sering disebut-sebut oleh pihak penganjur sendiri.)

Apapun kedudukan dan tanggapan orang terhadap frasa “pelbagai kaum”, Kavyan akan tetap menggunakannya sebagai merujuk kepada semua tanpa batas kaum; dalam konteks “meraikan kepelbagaian kaum” dan bukan dalam konteks “meminggirkan” mana-mana kaum, keturunan atau etnik.

Tuesday, 16 June 2009

Penulis Pelbagai Kaum

Apakah makna sebenar frasa “pelbagai kaum” seperti yang biasa digunakan, contohnya dalam “Penulis Pelbagai Kaum” dan “Peserta Pelbagai Kaum”?

Sejak diasaskan pada Ogos 1999, kesemua aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan adalah terbuka kepada peserta pelbagai kaum; walaupun Kavyan diterajui sekumpulan penulis kaum India.

Hakikat ini amat jelas di www.kavyan.blogspot.com yang merupakan blog rasmi Kavyan.

Sejumlah aktiviti disusun oleh Kavyan sepanjang Julai dan Ogos 2009 sempena Festival Kuala Lumpur dan Pesta Buku Negeri Selangor.

Namun, nampaknya ada individu/pihak yang beranggapan kononnya Kavyan mengamalkan diksriminasi kaum atau bersikap perkauman.

Kononnya, aktiviti Kavyan khusus bagi “Peserta Bukan Kaum Melayu” kerana khabarnya istilah “pelbagai kaum” merujuk kepada “Bukan Melayu”.

Jadi, aktiviti Kavyan dikatakan khusus bagi peserta Bukan Melayu sahaja!

Malah, frasa “penulis pelbagai kaum” dikatakan merujuk khusus kepada para penulis yang bukan keturunan Melayu.

Entahlah di mana silapnya sehingga ada individu/pihak yang beranggapan dan berpendirian demikian.

Saya bukan pakar bahasa tetapi saya percaya “pelbagai kaum” tidak sesekali membawa makna “Bukan Melayu”.

Adakah ayat “Dia menguasai pelbagai bahasa” bermakna “tidak termasuk bahasa Melayu”?

Adakah “Pelbagai juadah dihidangkan pada majlis itu” membawa makna “tidak termasuk juadah Melayu”?

Adakah “Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum hidup aman damai” bermakna “tidak termasuk rakyat kaum Melayu”?

Saya ada mengemukakan pertanyaan mengenai “pelbagai kaum” di Facebook pada 16 Jun 2009 dan menerima reaksi yang tetap memeningkan.

Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pakar-pakar bahasa boleh membantu memberi penjelasan bagi meredakan kekeliruan yang wujud; sekaligus membantu menjelaskan adakah Kavyan bersikap perkauman apabila kesemua aktiviti terbuka kepada “peserta pelbagai kaum”. - Baca lagi DI SINI.

Asimilasi vs Jati Diri

Beberapa pelajar di beberapa IPTS di mana saya pernah mengajar subjek Malaysian Studies (1999-2008) menghubungi saya untuk menyatakan bahawa apa yang pernah saya kuliahkan kepada mereka mengenai “perpaduan”, “integrasi”, “asimilasi”, “jati diri” dan seumpamanya kini ‘berguna’ apabila mereka cuba memahami konsep Satu Malaysia yang sedang “didedahkan sedikit demi sedikit” oleh Perdana Menteri sejak April 2009.

Memang benar. Saya ada juga menyatakan mengenai pengalaman mengajar Malaysian Studies sewaktu diundang memperkatakan mengenai Satu Malaysia di Astro Awani pada 17 April 2009.

Juga dalam kertas kerja yang saya bentangkan di Seremban pada 9 Mei 2009 dan BOLEH DIBACA DI SINI.

Sejak awal, saya nyatakan bahawa Satu Malaysia bukan formula baru. Pasti sahaja ramai yang “bermati-mati” menafikan kata-kata saya.

Apapun, akhirnya, pada 6 Jun 2009, Perdana Menteri sendiri mengakui hakikat itu. [BACA DI SINI]

Dan pada 15 Jun 2009, Rakyat berpeluang mendapat lebih banyak maklumat dan penjelasan yang membuktikan bahawa Satu Malaysia tidak jauh berbeza dengan Bangsa Malaysia.

Pada sidang Dewan Rakyat, Perdana Menteri menjelaskan bahawa Satu Malaysia “menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.”

Sebagaimana konsep Bangsa Malaysia, Satu Malaysia juga menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar semua rakyat boleh hidup bersama-sama dalam keadaan saling menghormati sebagai Bangsa Malaysia.

Bagaimanapun, jangan lupa bahawa Satu Malaysia mementingkan “perpaduan” manakala Bangsa Malaysia yang diimpikan mahu merealisasikan “integrasi”.

Maka, bagi saya, Satu Malaysia adalah langkah awal (err … masih di tahap “awal” selepas lebih 50 tahun?) ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Pandangan saya mengenainya BOLEH DIBACA DI SINI untuk penjelasan lanjut.

Apapun, Satu Malaysia bukan berciri “asimilasi”, sebaliknya mementingkan “jati diri”; dan jaminan ini amat penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia.

Monday, 15 June 2009

Orang Kelainan Upaya

Penggunaan istilah “Orang Kelainan Upaya” menggantikan “Orang Kurang Upaya” bukan sesuatu yang baru dalam kalangan ahli Kavyan.

Berbekalkan pengalaman saya sendiri bergaul bersama beberapa OKU, ternyata mereka bukan “kurang upaya” sebaliknya memiliki “kelainan upaya”.

Antara rakan-rakan saya yang secara kebetulan tergolong sebagai OKU ialah Sumitha Ramasami, Bathmavathi Krishnan dan Prakash Suriyamurthy.

Malah, saya mengenali Thivya, gadis dari Simpang, Taiping yang buta, pekak dan bisu sejak bayi tetapi jauh lebih berbakat daripada “Orang Upaya”.

“Kelainan” upaya golongan OKU ada juga saya “lahirkan” melalui beberapa cerpen yang turut dimuatkan dalam Kathakali.

Tentu sahaja “kelainan upaya” yang saya “lahirkan” melalui karya adalah berdasarkan kekaguman saya terhadap beberapa individu OKU yang saya kenali secara peribadi.

Apapun, tentulah hakikat OKU lebih sesuai disebut sebagai “Orang Kelainan Upaya” dan bukannya “Orang Kurang Upaya” tidak dipandang orang apabila dinyatakan oleh pihak Kavyan atau “Rakyat” atau OKU sendiri.

Beberapa OKU yang saya temui memang tidak setuju dengan label “kurang upaya” tetapi tentulah suara mereka tidak didengar oleh mana-mana media.

Sebaliknya, kenyataan itu menjadi berita penting apabila disebut oleh Menteri Belia dan Sukan, lalu dilaporkan oleh kebanyakan media pada 14 Jun 2009.

Siapalah Kavyan, siapalah OKU dan siapalah Rakyat berbanding menteri.

Saturday, 13 June 2009

Forum Satu Malaysia

Pada pagi 13 Jun 2009 (Sabtu), saya diberi peluang menjadi pemudah cara (moderator) bagi “Forum Satu Malaysia” anjuran Bahagian Perkhidmatan Maklumat Umum, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Dewan Serbaguna PNM.

Panel terdiri daripada Encik Mohd Arof bin Ishak dan Encik Gunasekharan a/l Surutayah; manakala Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim beraral untuk hadir.

Baca catatan ringkas saya DI SINI.

Om ... Shanti

Jangan terkejut jika saudara melihat saya bersama-sama rakan-rakan (bekas pelajar saya) dari beberapa Negara Islam dan mereka mengucapkan “Assalamualaikum” walaupun mereka tahu saya Bukan Islam.

Malah, apabila mereka (yang sudah tamat belajar dan kembali ke negara asal atau ke negara-negara lain untuk bekerja) menghubungi saya (melalui telefon atau internet), perkara pertama yang mereka ucapkan adalah “Assalamualaikum, Bayya/Brother”.

Saya juga tidak berasa janggal untuk memberi salam kepada mereka; dan mereka juga akan menjawab salam itu dengan penuh ikhlas.

Pasti sahaja keadaan ini agak mustahil diperhatikan apabila saudara melihat saya bersama-sama rakan-rakan beragama Islam dari Malaysia.

Malah, semasa di alam persekolahan, saya pernah diberitahu oleh beberapa guru dan rakan-rakan (beragama Islam) bahawa mereka dilarang memberi salam kepada atau menjawab salam daripada seorang Bukan Islam.

Walaupun saya pada waktu itu hairan dan tertanya-tanya akan rasional di sebalik “syarat” seperti itu, saya terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mahu “dilabel” mempersoalkan “peraturan” agama.

Termasuk juga apabila diberitahu oleh seorang rakan beragama Islam bahawa jika ada orang Bukan Islam memberi salam, maka perlu dijawab dengan kata-kata (dalam Bahasa Arab, tentunya) yang membawa makna yang kurang enak dan berbentuk “kutukan”.

Tentu sahaja semua itu amat menghairankan bagi saya sebagai seorang pengamal budaya India dan agama Hindu kerana dalam budaya India-Hindu, kata-kata yang sering diucapkan (dalam Bahasa Sanskrit) adalah “Lokas samastha sukhino bhavantu. Om … Shanti, Shanti, Shanti.”

Saya tidak pandai Bahasa Sanskrit, tetapi apa yang difikirkan dalam hati dan jiwa semasa mengucapkan kata-kata itu adalah (lebih kurang): “Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.”

Tentu sahaja “semua orang” yang dimaksudkan merujuk kepada “semua orang” – tanpa mengira kaum, agama, bangsa, sekutu atau seteru.

Om … Shanti, Shanti, Shanti!

Friday, 12 June 2009

Penulis Kaum India & Mantan MPR

Majalah Tunas Cipta (DBP) sedang mencari mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) daripada kalangan peserta kaum India sehingga tahun 2002 untuk segmen “Alumni MPR” majalah berkenaan.

Editor Tunas Cipta, Puan Noraini Abd Hamid dalam e-mel yang diterima pada pagi 12 Jun 2009 berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengenal pasti para penulis kaum India berumur di bawah 35 tahun dan giat menulis dalam Bahasa Malaysia untuk segmen “Bicara Tunas”.

Majalah Tunas Cipta yang menggunakan moto “Sastera Generasi Baharu” membuka ruang penyiaran karya (khasnya cerpen, sajak dan makalah) bagi penulis muda berumur bawah 35 tahun.

Kavyan pernah bekerjasama dengan majalah berkenaan untuk menganjurkan siri Baca Cerpen Tunas Cipta [BACA DI SINI].

Penulis kaum India – tidak semestinya ahli Kavyan – yang berkenaan dan yang berminat, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk urusan selanjutnya.

Thursday, 11 June 2009

Prakash Suriyamurthy di Kosmo!

Saya pernah menulis mengenai Prakash Suriyamurthy di blog saya [BACA DI SINI] selepas bertemu dengan beliau tahun lalu. Kini, Prakash juga dipilih menjadi Timbalan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Baru pada 10 Jun 2009, saya mengirim sebuah makalah yang ditulis oleh Prakash kepada editor majalah Tunas Cipta untuk dinilai bagi tujuan terbitan. Makalah berkenaan adalah mengenai pengalaman beliau membaca kesemua buku Harry Potter dalam versi Braille bagi tujuan tesis Sarjana di Universiti Malaya.

Pada pagi 11 Jun 2009, semasa bertugas di Bilik Operasi Unit Bencana RTM, Noor Akmar Aziz memberitahu saya bahawa sebuah rencana mengenai Prakash disiarkan dalam akhbar Kosmo! (10 Jun 2009).

Selepas hampir setahun bersemuka dengan beliau, saya masih berpeluang mengetahui beberapa perkara baru mengenai Prakash melalui rencana berkenaan yang ditulis oleh Subashini.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca rencana berkenaan sepenuhnya.

Wednesday, 10 June 2009

Hari Lahir vs Hari Bapa

Alahai! Nampaknya tak ada peluang dan ruang untuk saya “lupa” tarikh lahir sebab ramai yang setia mengingatkan di Facebook dan melalui kiriman SMS.
.
Sebenarnya, saya lebih suka menyambut Hari Bapa sejak bergelar “Acha” (“ayah” dalam Bahasa Malayalam).
.
Hmm … Lepas ni nak tukar tarikh lahir di Facebook kepada “Ahad ketiga bulan Jun”. he he he

Tuesday, 9 June 2009

Trivia Kathakali

Sementara menanti kelahiran Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia, saya mempelawa saudara membaca sedikit trivia berkaitan buku berkenaan.

Sila KLIK DI SINI untuk membacanya. Kalau ada trivia tambahan, harap sudi kemukakan pada ruangan “comments”.

Monday, 8 June 2009

Kathakali: Bakal Terbit

Sukacita dimaklumkan bahawa Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia akan siap dicetak dalam masa beberapa hari lagi.

Buku Kathakali memuatkan 16 cerpen Bahasa Malaysia yang pernah tersiar di beberapa akhbar dan majalah aliran perdana serta sesuai bagi bacaan remaja pelbagai kaum berumur 16-21 tahun.

Judul: Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia
ISBN: 978-983-40562-5-4
Kategori: Cerpen Remaja (16-21 tahun)
Pengarang: Uthaya Sankar SB
Penerbit: Uthaya Sankar SB (978-983-40562)
Halaman: 176 halaman (tidak termasuk 24 halaman prelim)
Harga: RM20.00

Sebuah lagi buku saya yang terbit pada Julai 2008 memuatkan 11 cerpen untuk bacaan dewasa:

Judul: Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia
ISBN: 978-983-40562-4-9
Kategori: Cerpen Umum
Pengarang: Uthaya Sankar SB
Penerbit: Uthaya Sankar SB (978-983-40562)
Halaman: 120 halaman (tidak termasuk prelim)
Harga: RM20.00

Sekiranya berminat, bolehlah membeli buku-buku ini terus daripada saya secara tunai; atau daripada syarikat milik saya, Exult Resources secara Pesanan Tempatan (LO).

Sudilah menghubungi saya untuk maklumat lanjut. Maklumat buku boleh dibaca DI SINI.

Saturday, 6 June 2009

Forum Satu Malaysia: Kemukakan Soalan

Pada 13 Jun 2009, saya diundang menjadi pemudahcara bagi “Forum Satu Malaysia” anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada pukul 10:30 pagi di PNM.

Kalau sebelum ini saya membentangkan kertas kerja mengenai “Satu Malaysia” [BACA DI SINI] kali ini menjadi moderator pula.

Ahli penal terdiri daripada Dato’ Haji Omar Mohd Hashim (Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Sejarah Malaysia), Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (Ahli Suruhanjaya Suhakam).

Dalam e-mel yang dikirim kepada saya pada pagi 6 Jun 2009, dinyatakan bahawa “Forum Satu Malaysia” bakal “membincangkan peranan masyarakat dalam usaha menyokong konsep 1Malaysia dari pandangan 3 panel dari 3 kaum utama di Malaysia”.

Selain itu, menurut e-mel itu lagi, forum berkenaan juga “membincangkan mengenai perpaduan antara masyarakat Malaysia sejak dahulu sehingga sekarang”.

Saya mengharapkan penyertaan seluruh Bangsa Malaysia dalam forum ini.

Jika saudara tidak dapat hadir, tidak mengapa. Saudara masih boleh mengirim soalan, pandangan dan pertanyaan saudara kepada saya melalui e-mel ke alamat uthayasb@yahoo.com.my supaya dapat saya ajukan kepada panel semasa forum nanti.

Saya akan menerima kiriman e-mel sehingga pukul 3:30 petang, 12 Jun 2009.

Setiap e-mel wajib disertakan nama penuh (nama lengkap), tempat tinggal dan jawatan (yang berkenaan).

Hanya e-mel yang sesuai akan saya bawa ke forum berkenaan.

Satu Malaysia: Pengesahan Rasmi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akhirnya mengakui bahawa Satu Malaysia bukanlah konsep atau formula baru.

Saya amat lega mendapat “pengesahan rasmi” daripada Perdana Menteri dalam suasana sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 6 Jun 2009.

Datuk Seri Najib secara terbuka mengakui bahawa matlamat akhir konsep Satu Malaysia adalah “perpaduan nasional”.

Beliau juga mengakui bahawa aspek perpaduan antara kaum yang menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu, telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad yang lalu.

Maka, jelaslah bahawa “Satu Malaysia” mementingkan “perpaduan” dan menjadi asas kepada pembinaan “Bangsa Malaysia” yang mengimpikan “integrasi”. [BACA DI SINI]

“Jika disingkap kembali sejarah, semenjak mula para patriot memperjuang kemerderkaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan kerana semua pihak sedar tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional dapat diterjemahkan,” kata Perdana Menteri dalam laporan yang sempat saya baca di Bernama.com.

... dan Kerajaan Perpaduan

Terus-terang, saya memang tertarik dengan gagasan “Kerajaan Perpaduan” yang hangat diperkatakan sekarang tetapi mahu tahu secara jelas perbandingan (persamaan & perbezaan) antara “Kerajaan Perpaduan”, “Satu Malaysia”, “Bangsa Malaysia” dan “Malaysian Malaysia”.

Apa yang lebih penting, saya mahukan jaminan daripada kerajaan (negeri dan persekutuan) bahawa tidak akan ada mana-mana Rakyat yang dijadikan “kuda tunggangan” dalam keghairahan masing-masing pihak merealisasikan retorik politik yang dinamakan “gagasan”.

Friday, 5 June 2009

Kathakali, Dramatari Orang Malayalam

KATHAKALI. Perkataan tersebut mungkin terlalu asing bagi banyak pihak tetapi tidak bagi sebahagian peminat atau pengamal seni, khasnya dalam kalangan masyarakat India.

Kathakali sebenarnya adalah suatu tarian klasik India yang berbentuk dramatari dan mula ditarikan di negeri Kerala oleh orang Malayalam sejak abad ke-17.

Jika bercakap mengenai tarian klasik India, kita biasanya hanya mengetahui mengenai Bharathanatyam dan bukannya mengenai Kathakali kerana ia kurang ditarikan di Malaysia.

Malah, ada segelintir kaum India sendiri di negara ini tidak mengenali Kathakali.

Hal ini kerana majoriti kaum India di Malaysia berketurunan Tamil dan Bharathanatyam adalah tarian klasik yang ditarikan kaum India berketurunan Tamil; manakala Kathakali adalah tarian/dramatari kaum India berketurunan Malayalam.

Bagi mengulas lebih lanjut, Sinar Harian menemu ramah penulis buku Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia, Uthaya Sankar SB untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai Kathakali.
.
Sila KLIK DI SINI untuk membawa wawancara oleh Kalidevi Mogan Kumarappa.

Thursday, 4 June 2009

Kathakai di Sinar Harian

Kalidevi Mogan, wartawan akhbar Sinar Harian (edisi utara) menghubungi saya pada pukul 11:58 pagi, 4 Jun 2009 untuk memaklumkan bahawa wawancara yang beliau lakukan bersama saya mengenai dramatari “kathakali” disiarkan dalam akhbar berkenaan hari ini.

Malangnya, hanya dalam edisi utara. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya penduduk di negeri-negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) akan berpeluang membaca dan mendapat maklumat mengenai “kathakali”.
.
Saya juga sempat menghubungi seorang rakan di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di Shah Alam. Beliau akan menyediakan senaskhah akhbar Sinar Harian (edisi utara) untuk saya ambil petang nanti.

Tuesday, 2 June 2009

Alahai, Sasterawan Negara!

Semalam (1 Jun 2009) saya menulis mengenai Sasterawan Negara. Hari ini (2 Jun 2009) masih lagi mengenai Sasterawan Negara.

Akan tetapi, dari perspektif yang berbeza.

Bukan lagi mengenai cadangan dan saranan supaya Prof Madya Dr Lim Swee Tin diiktiraf sebagai Sasterawan Negara. [BACA DI SINI]

Sebaliknya tentang “nasib” Sasterawan Negara yang sedia ada – dan telah tiada.

“Kebajikan” karya dan diri Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dijaga oleh Wira Bukit Sdn Bhd; manakala “kebajikan” karya Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang dijaga oleh UA Enterprises Sdn Bhd.

Kebetulan – dan bernasib baik kerana – saya mengenali individu yang menguruskan kedua-dua syarikat berkenaan.

Saya melihat – dan lebih banyak “merasakan” – kesukaran yang dialami oleh “pemegang amanah” seperti Encik Helmy Samad, Puan Haslina Usman dan Encik Abdul Rahim Affandi dalam menjaga khazanah negara yang secara tidak langsung dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Daripada apa yang saya perhatikan, tidak ada pula pihak berwajib – dan tentunya di sini saya merujuk secara khusus pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dipertanggungjawabkan dengan Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” – melakukan apa yang sepatutnya dan seharusnya dilakukan bagi menjaga “kebajikan” para Sasterawan Negara dan karya-karya mereka.

Setahu saya, antara “hak” (penghargaan dan penghormatan) para Sasterawan Negara termasuk juga:

a) Kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta.
b) Kemudahan untuk penerbitan karya.
c) Kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaa.

Mungkinkah kerana sudah ada Wira Bukit Sdn Bhd dan UA Enterprises Sdn Bhd, maka DBP boleh bersikap “lepas tangan” terhadap tanggungjawab menjaga “kebajikan” Sasterawan Negara dan karya-karya mereka?

Apatah lagi apabila hak cipta bagi karya-karya Pak Samad dan Arwah Usman Awang dipegang (kesemuanya atau sebahagiannya) oleh Wira Bukit Sdn Bhd dan UA Enterprises Sdn Bhd.

Mungkin saya perlu bertanya “nasib” yang [sedang] dialami oleh para Sasterawan Negara lain berhubung soal “kebajikan” diri dan karya mereka.

Monday, 1 June 2009

SN Dr Lim Swee Tin?

Pada saya Prof Madya Dr Lim Swee Tin sudah layak diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN). Apakah faktor-faktor yang semacam “menghalang” usaha ke arah itu dalam pada kita bercakap mengenai “Satu Malaysia”?

Demikian komen yang saya kemukakan pada 1 Jun 2009, 10:12 pagi melalui Facebook kepada Sayed Munawar, peneraju rancangan bicarawara “Di Luar Lingkungan”.

Sebetulnya, Dr Lim bersama-sama Prof Abdullah Hassan dan Puan Raja Rajeswari Seetha Raman akan menjadi panel untuk membincangkan topik “Bahasa Melayu: 100 Tahun Dahulu, 100 Tahun Akan Datang” secara langsung di TV1, pukul 9:00 malam, 1 Jun 2009.

Secara peribadi, saya juga berasa bangga kerana kedua-dua nama panel yang saya cadangkan dan sarankan diterima oleh pihak penerbitan rancangan berkenaan.

Berbalik pada topik asal tadi, persoalan “di luar lingkungan” yang saya benar-benar berharap akan diulas oleh Sayed Munawar dalam siaran langsung pada malam ini adalah berhubung ketokohan Dr Lim sebagai calon SN berdasarkan kelayakan yang memang sudah sedia beliau miliki.

Anugerah Sastera Negara (yang membawa gelaran “Sasterawan Negara”) dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Malaysia dan menurut pendapat Panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi.

Soal kaum, keturunan, etnik dan agama tidak timbul langsung. Saya terpaksa juga menyatakan perkara ini kerana di Facebook Sayed, ada juga yang bertanya, “sudikah kerajaan yang punya ras Melayu menerima orang Bukan Melayu?” (1 Jun 2009, 1:24 tengah hari).

Mungkinkah persoalan ini akan dirungkai dalam siaran “Di Luar Lingkungan” atau terus diletakkan ... di luar lingkungan?

Terima kasih, Pak A.F. Yassin

Jaringan sosial seperti Facebook.com bukan hanya bagi golongan remaja untuk bersosial (dengan konotasi positif) malah juga untuk golongan “tua” (terpulang pada interpretasi sendiri) untuk saling berhubung.

Salah seorang “rakan” terbaru saya di Facebook ialah Ahmad Fadzil Yassin yang lebih dikenali sebagai A.F. Yassin.

Beliau “menambah” saya baru-baru ini dan saya terus “menerima” dan menulis pada “dinding” beliau, betapa saya berasa seronok dan bangga menerima beliau sebagai “rakan” di ruang siber.

Saya “mengenali” Pak A.F. Yassin pada tahun 1990-an melalui Allahyarham Dr Othman Puteh yang aktif menyelenggarakan antologi cerpen dan cerita rakyat untuk terbitan Fajar Bakti (di mana Pak A.F. Yassin bertanggungjawab terhadap penerbitan karya sastera).

Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kepada Pak A.F. Yassin tetapi beliau pula mendahului dengan mengirim mesej kepada saya menggunakan Facebook untuk mengucapkan terima kasih kerana “saya rasa terhutang budi kerana sdr sudi menyumbang karya kepada penerbit Fajar Bakti”.

Aduh! Sama seperti sikap Allahyarham Dr Othman Puteh yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan Kavyan.

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti …


Terima kasih, Pak A.F. Yassin. Dan tafakur untuk Allahyarham Pak Haji Othman Puteh.

Mengenang Dato' Usman Awang

Setiap kali menjelang sambutan Hari Guru, sajak “Guru O Guru” karya Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang pasti muncul dalam minda.

Begitu juga sajak-sajak “Ke Makam Bonda”, “Pak Utih” dan “Anak Jiran Tionghua”.

Saya berpeluang bertemu “pemegang amanah” karya-karya Allahyarham pada 19 Mei 2009 semasa majlis Pertemuan TPM Dengan Sasterawan Tempatan di Putrajaya.

Kemudian, pada 30 Mei 2009, saya sempat berbincang selama hampir lima jam bersama-sama Puan Haslina Dato’ Usman dan Encik Abdul Rahim Affandi mengenai pelbagai isu berkaitan Allahyarham, konsep Satu Malaysia, aktiviti bahasa dan sastera, komitmen penerbit dan bermacam-macam lagi.
.
12 Julai 2009 - ulang tahun ke-80 kelahiran Dato' Usman Awang, negarawan unggul yang semakin dilupakan.

Jika ingin tahu lebih lanjut, sudilah [KLIK DI SINI].