29 Jun 2009

Siru Kambam

Seorang pemilik kedai buku mendapat maklumat mengenai sebuah kampung kecil di Taiping, Perak. Kebetulan, pemuda berkenaan berminat untuk pergi ke tempat-tempat yang masih terpelihara keaslian kehidupan tradisional dan kurang dikenali umum. Lalu, dia berusaha mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam.

Kisah ringkas di atas bukan menceritakan semula apa yang terdapat dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang pernah menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), dimuatkan dalam Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2008) serta versi Bahasa Tamil cerpen berkenaan disiarkan menerusi MinnalFM (RTM) pada 28 Jun 2009 (Ahad), 10:45 pagi. [BACA DI SINI]

Seorang pemilik kedai buku bernama Sivapriyan sempat mendengar cerpen berkenaan menerusi MinnalFM dan sedikit terkejut dengan persamaan watak dan perwatakan antara dirinya dan watak “Saya” dalam cerpen berkenaan!

Pada pagi 29 Jun 2009 (Isnin), Sivapriyan telah mengubungi pejabat MinnalFM dan bercakap dengan penerbit cerpen, Cik Kavitha untuk mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam dan si penulis.

Kavitha menghubungi saya untuk mendapatkan kebenaran sebelum memberikan nombor telefon saya kepada Sivapriyan. Saya mengizinkan dengan perasaan gembira apabila dimaklumkan bahawa ada pendengar MinnalFM mahu mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam.

Beberapa minit kemudian, Sivapriyan menghubungi saya. Beliau antara lain bertanya, adakah saya pemilik kedai buku – iaitu watak “Saya” dalam cerpen itu. Saya katakan tidak.

Beliau bertanya, apakah kisah itu benar-benar berlaku. Saya katakan ia berciri faksyen; iaitu bauran antara fakta dan fiksyen.

Sivapriyan amat berminat dan ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Siru Kambam. Maka, saya meminta beliau melayari blog dan laman sesawang saya atau melakukan pencarian kata kunci “Siru Kambam” menggunakan enjin pencarian seperti Google.

Anda juga boleh berbuat demikian jika ingin mendapatkan maklumat mengenai Siru Kambam yang dihuraikan oleh Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai “suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, 1996).