28 Feb 2010

Masya—

Sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya.
.

Namun, dalam menyaksikan (melihat sendiri) perkembangan semasa di Malaysia, nampaknya frasa dan ungkapan berikut tidak bebas saya gunakan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam.

.

Insya-Allah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita mengenai sesuatu yang masih dalam perancangan. Misalnya, pelajar saya di kolej memberitahu bahawa dia akan menyertai pertandingan pidato. “Insya-Allah kau akan berjaya,” saya menjawab spontan kerana pelajar itu tentu sedar bahawa dia boleh menang jika diizinkan Tuhan. Atau mungkinkah “Jika diizinkan Tuhan, kau akan berjaya” paling sesuai? Atau “Kau mungkin berjaya” sahaja?

.

Alhamdulillah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita gembira. Katakanlah, sebagai contoh, pelajar tadi datang menyampaikan berita mengenai kemenangannya dalam pertandingan pidato. “Alhamdulillah, tahniah,” jawab saya bagi menyatakan rasa syukur dan yakin bahawa pelajar itu menyampaikan segala puji kepada Tuhan yang mengizinkan (memungkinkan) kemenangannya. Atau mungkinkah “Syukur. Tahniah. Segaja puji kepada Tuhan” paling sesuai? Atau “Tahniah!” sahaja?

.

Masya-Allah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita yang mengundang perasaan seperti hairan, terkejut dan kagum. Misalnya, rakan sekerja menyampaikan berita mengenai tragedi tanah runtuh atau kemalangan. “Masya-Allah! Ada yang terkorban?” Tanya saya. Atau bertemu bekas pelajar saya di pasar malam. “Masya-Allah! Apa khabar?” Sapa saya sambil memeluknya (jika lelaki). Atau rakan sekerja muncul dalam rancangan khas di televisyen. “Masya-Allah! Bagus cara kau bercakap di TV tadi,” kata saya apabila kami bertemu. Dalam ketiga-tiga contoh di atas, tentulah rakan sekerja dan bekas pelajar sedar bahawa apa yang berlaku adalah seperti yang dikehendaki oleh Tuhan. Atau mungkinkah “Aduh! Itu kehendak Tuhan. Ada yang terkorban?” dan “Pertemuan ini adalah apa yang dikehendaki oleh Tuhan. Apa khabar?” dan “Kemunculan kau di TV tadi adalah atas kehendak Tuhan. Bagus kau bercakap tadi” paling sesuai? Atau “Ada yang terkorban?” dan “Apa khabar?” dan “Bagis kau bercakap di TV tadi” sahaja?

.

Apa pun perkembangan dan keputusan di Malaysia, mujurlah sejak dahulu, saya boleh menggunakan frasa dan ungkapan berkenaan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam di/dari luar negara.

.

Atau jika pun dibuat undang-undang, bolehkah suara hati saya dihalang daripada mengucapkan frasa dan ungkapan berkenaan apabila bertemu saudara Islam? Allahu Alam! -- Siaran dalam iluvislam boleh dibaca DI SINI.

27 Feb 2010

Majlis Pelancaran Mari Membaca 1Malaysia

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengadakan Majlis Pelancaran Mari Membaca 1Malaysia bertempat di Auditorium Aras 2, PNM, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2 Mac 2010 (Selasa), jam 10.00 pagi.
.

Majlis akan disempurnakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.

.

Penolong Pegawai Perpustakaan, Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Muhammad Azizi Bin Muhamad Rani dalam e-mel kepada Kumpulan Sasterawan Kavyan mengundang orang ramai hadir ke majlis ini yang terbuka kepada umum.

.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Penolong Pengarah, Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Puan Beghum Ulhfat Shehnaaz Amir Razli di talian 03-2687 4339.

26 Feb 2010

Tuhan dan saya

Sejak kecil, saya menyedari kewujudan Tuhan – walau apa pun nama yang diberikan kepada-Nya. Dalam senyap, saya mengakui Tuhan Maha Kuasa dan Tuhan Maha Esa. Tanpa perlu bising-bising dan tanpa perlu menunjuk-nunjuk.
.

Tuhan Maha Pengasih dan Tuhan Maha Mengetahui. Tuhan memutuskan untuk melahirkan saya sebagai manusia beragama Hindu. Diciptakan-Nya saya daripada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan ditiupkan-Nya atma (roh) ke dalam ciptaan-Nya.

.

Maka, mati saya nanti sebagai manusia beragama Hindu; tubuh dikembalikan kepada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan atma kembali kepada Pencipta. Hanya Tuhan yang boleh mengubah ketetapan ini; jika demikianlah dikehendaki-Nya.

.

Saya bukan seorang penganut agama yang ceremonial. Saya tidak terikut-ikut melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.

.

Pada ruangan “Religious Views” di Facebook, saya catatkan begini: Hindu inter-faith.

.

Saya yakin, Tuhan yang memutuskan untuk menghantar saya ke muka Bumi sebagai manusia beragama Hindu sesungguhnya melahirkan manusia dalam kepelbagaian dan perbezaan untuk membolehkan manusia yang pelbagai dan berbeza-beza ini saling mengenali, memahami, menghormati, menerima dan mengasihi.

.

Maka, selain daripada ajaran sebenar dan sejarah agama Hindu, minda dan hati saya turut terbuka menerima ajaran sebenar dan sejarah pelbagai agama, anutan dan kepercayaan yang semuanya menjurus kepada kebaikan. Saya yakin, demikianlah dikehendaki Tuhan.

.

Terus terang, saya tidak pernah mencari Tuhan kerana Dia sudah sentiasa berada dalam atma saya, di sekeliling saya; di mana-mana. Tidak perlu ada perantara (medium atau pun orang tengah) untuk saya berhubung dengan-Nya.

.

Saya tidak mahu mewujudkan pengantara (apa-apa yang memisahkan) dengan melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.

.

Jika mahu mempersoalkan pegangan saya dalam hal-hal ini, tidaklah wajar bertanya kepada saya. Ilmu saya tidak cukup tinggi untuk mampu menjelaskannya.

.

Bertanyalah terus kepada Tuhan. Tidak perlu ada perantara.

25 Feb 2010

Persembahan Hebat

Tidak lama dahulu, saya berpeluang mengikuti suatu persembahan yang sangat menakjubkan dan dijayakan beberapa individu berbakat, profesional dan berpakaian kemas. Hadirin hampir 250 orang walaupun perlu berbelanja agak besar.
.

Tidak! Persembahan ini tidak melibatkan penyanyi atau pelakon sebagai “umpan”. Tidak juga mengundang orang politik untuk berucap (baca: berkempen). Bukan juga sebuah konsert, teater atau acara baca puisi yang sering dihadiri kumpulan manusia yang sama.

.

Gaya persembahan tenaga pakar terbabit begitu mempersona sehingga mampu membuatkan hadirin menitiskan air mata; bukan sekali tetapi beberapa kali. Apatah lagi, apa-apa yang dipersembahkan adalah mengenai para hadirin, bukan mengenai orang lain.

.

Persembahan yang cukup istimewa ini membawa hadirin melihat ke dalam diri sendiri; sekali gus melihat alam. Unik!

.

Ditambah pula penggunaan audio-visual yang menjadikan persembahan amat mengasyikkan. Bayangkan: tiga skrin yang amat besar di pentas itu sendiri menayangkan visual jelas (crystal-clear) penuh warna sementara sistem audio membuatkan kesan bunyi (sound effect) dan kesan khas (special effect) menggegarkan tempat persembahan, sekali gus menusuk jiwa.

.

Bayangkan jika Tun Mahathir berpeluang menyaksikan persembahan ini! Beliau mungkin akan berkata, "If they can make this, they can make anything." [Baca DI SINI]

.

Hadirin diajak (dan diharapkan) terlibat sama dalam persembahan sedari mula. Misalnya, soalan yang sama (dengan nada yang berbeza) diajukan (malah diteriakkan) berulang kali selagi hadirin belum meneriakkan jawapan.

.

Biasanya, jawapan yang perlu adalah sama bagi puluhan soalan yang dikemukakan beberapa individu berbakat, profesional dan berpakaian kemas itu.

.

Hadirin yang mempunyai daya membayangkan (imaginasi) hebat serta berupaya menitiskan air mata dengan penuh emosi hampir setiap 15 minit, pasti pulang dengan penuh keinsafan dan kepuasan rohaniah.

.

Jangan tersalah tafsir! Saya mempunyai daya imaginasi yang bagus dan pulang dengan kepuasan dan kesedaran; tanpa perlu menangis. Banyak perkara baru dan lama – ilmu – yang saya timba daripada persembahan ini.

.

Mungkin sahaja isu-isu yang diangkat dalam persembahan itu perkara lumrah, konvensional dan sering dipandang enteng. Bagaimanapun, kepakaran vokal beberapa individu berpakaian kemas, kesan audio-visual yang canggih serta penglibatan hadirin (sama ada menangis atau tidak!) menjadikan keseluruhan persembahan sangat unik, berjaya dan bertaraf dunia.

24 Feb 2010

Faksyen RTM

Entah mengapa saya belum pernah menulis cerpen berdasarkan pengalaman di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
.
Saya menerima tawaran menyertai RTM (Jabatan Penyiaran) pada 2 Julai 1996 dan tarikh terakhir saya berkhidmat sebagai kakitangan RTM adalah pada 31 Januari 2010.
.
Dalam tempoh itu, saya pernah berhenti pada 2002 selepas kelahiran Devishi Prabha Sankari, serta mahu menumpukan pada tugas sebagai pensyarah; sebelum diundang semula sebagai pengulas akhbar bermula 2 Februari 2005.
.
Saya juga berpengalaman sebagai penyampai berita dari Januari hingga Julai 2008.
.
Saya melepaskan jawatan penyunting berita dengan notis 24 jam pada 7 April 2008 kerana isu perkauman; kononnya saya cuba memasukkan “anasir-anasir keling” dalam berita Bahasa Malaysia. [BACA KISAH LANJUT DI SINI]
.
Saya sempat bersama Bernama Radio24 dari Ogos hingga Oktober 2008 sebelum "dibawa" semula ke Angkasapuri untuk menyelia Unit Bencana RTM.
.
Saya memberi notis peletakan jawatan apabila Unit Bencana RTM dimansuhkan dan saya “makan gaji buta”.
.
Pasti sahaja ada pelbagai pengalaman dunia penyiaran sepanjang saya bersama RTM. Akan tetapi, entah mengapa hati saya belum terbuka untuk mengangkat pelbagai kisah “menarik” dan pengalaman “eksklusif” di sana dalam bentuk karya faksyen.
.
Mungkin kerana suasana kerja dan suasana politik di sana membuatkan saya tidak berminat berbuat demikian.
.
Saya menjadi pensyarah di beberapa kolej swasta dari 1999 hingga 2007. Pelbagai pengalaman di sana, saya tuangkan ke dalam karya faksyen; dan masih ada banyak kisah yang boleh ditulis.
.
Kini, selepas berhijrah dari RTM, mungkin hati saya akan terbuka untuk menghasilkan karya faksyen berdasarkan dan bersandarkan pengalaman di RTM.

23 Feb 2010

Manuskrip Cerpen

Saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa yang berminat mengirim manuskrip cerpen Bahasa Malaysia kepada saya untuk dinilai dan dikomen secara objektif.
.

Bagaimanapun, saya sentiasa mengingatkan mereka supaya mementingkan aspek bahasa, kerana bahasalah satu-satunya wahana yang digunakan untuk menyampaikan keseluruhan cerita.

.

Sekiranya ada penulis baru yang bercadang mengirim manuskrip cerpen kepada saya untuk dinilai dan dikomen, sila KLIK DI SINI untuk membaca panduan dan syarat penting yang wajib dipatuhi.

.

Perlu ditegaskan bahawa saya mementingkan kualiti.

22 Feb 2010

Bengkel Moral SPM

Pelajar Tingkatan 4 dan 5 dipelawa menyertai Bengkel Pendidikan Moral SPM pada 21 Mac 2010 (Ahad), 8:30 pagi – 12:30 tengah hari di Tingkat 13, Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur (berhampiran KLCC).
.

Ulang: 21 MAC 2010.

.

Program anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Lifelong Learning Centre (LLL) menampilkan guru berpengalaman yang akan memberikan panduan kepada peserta mengenai teknik memahami subjek Pendidikan Moral peringkat SPM.

.

Bengkel ini terbuka kepada umum tetapi penyertaan terhad kepada 20 pelajar yang paling awal mendaftar dan membuat bayaran.

.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut dan cara pendaftaran. Harap sudi sebarkan juga kepada rakan-rakan yang mungkin berminat.

21 Feb 2010

Mengimbau Aktiviti Kavyan

Sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan terus aktif mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara.
.

Pasti sahaja saya secara peribadi amat terhutang budi kepada setiap individu yang komited memberi kerjasama ke arah kejayaan Kavyan.

.

Sedikit maklumat aktiviti Kavyan dari Ogos 1999 hingga Disember 2002 boleh dibaca DI SINI. Dapat juga saya mengimbau kisah lama serta mengenang sumbangan beberapa individu yang terlibat sama dalam menggerakkan Kavyan pada awal penubuhannya.

.

Bagi tahun 2010, pelbagai aktiviti terus dirancang dari semasa ke semasa atas usaha Jawatankuasa Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak.

.

Senarai sebahagian aktiviti yang dirancang bagi 2010 boleh dirujuk DI SINI. Tentu sahaja Kavyan sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan orang ramai – dan ramai orang – menyertai pelbagai aktiviti yang dikendalikan.

20 Feb 2010

Ahad Ketiga Bulan Jun

Sejak belakangan ini, saya banyak menerima makluman (notification) dalam Facebook bahawa si polan dan si polan “took good note of your birthday” serta memasukkan foto saya dalam kalendar yang dinamakan Birthday Album.
.

Lalu, saya membalas begini: Thanks to those who “took good note” in their “Birthday Album” of my “birthday” on Facebook. It's very easy, actually. Third Sunday of June; every year. The same day as Father’s Day; every year.

.

Sebenarnya, sejak bergelar bapa, saya lebih suka menyambut Hari Bapa berbanding Hari Jadi.

.

Demikian juga saya jelaskan di Facebook pada 10 Jun 2009 apabila ramai sahabat menulis catatan “Happy Birthday” pada dinding (wall). Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan saya.

.

Maka, pada 21 Jun 2009, saya mengubah maklumat di Facebook dan menyesuaikannya kepada “Ahad ketiga Jun”.

.

Saya tidak menghalang sesiapa menyambut Hari Jadi masing-masing. Cuma, jangan ada sesiapa yang mempertikaikan keputusan saya untuk mengutamakan Hari Bapa berbanding Hari Jadi saya.

.

Sekian. Terima kasih.

19 Feb 2010

Novel dari Penjara

Saya selesai membaca karya Jeffrey Archer berjudul False Impression (2006); novel sulung beliau selepas keluar dari penjara pada 2003. Juga novel pertama Jeffrey Archer yang saya baca!
.
Novel False Impression saya beli dengan harga RM15.00 dari kedai buku terpakai, Novel Hut Shah Alam, pada 6 Februari 2010.
.
Keadaan fizikal buku itu tidak begitu baik. Ternyata pemilik (dan para pembaca) buku berkenaan tidak menjaganya dengan begitu baik.
.
Malah, beberapa halaman prelim – termasuk halaman hak cipta – sudah hilang; bukan kerana tertanggal tetapi ternyata dikoyak sebelum dijual kepada pemilik kedai buku terpakai.
.
Dalam keadaan biasa, saya tidak akan sanggup membeli sebuah buku yang berada dalam keadaan seperti itu.
.
Bagaimanapun, buku ini agak “istimewa” kerana dibawa keluar dari penjara! Saya percaya itulah sebabnya beberapa halaman prelim dikoyak sebelum dijual semula.
.
Saya terus teringat kepada seorang bekas pelajar saya yang pernah berada di penjara sementara menanti rayuan atas tuduhan kes bunuh. Dia (nama dirahsiakan) mula berminat membaca novel-novel Ramlee Awang Murshid sebagai mengisi masa di penjara.
.
Malah, apabila saya dan Ganesan Duraisamy mengunjunginya di Penjara Kajang pada 2006, dia meminta dibelikan novel terbaru Ramlee.
.
Novel False Impression yang saya beli pada 6 Februari 2010 pula ditapis oleh seorang “wadar” (warder) di Penjara Tapah, Perak pada 11 Julai 2007. Nama seorang pemuda yang ditulis pada salah satu halaman prelim masih kelihatan; walaupun cuba ditutup menggunakan cecair pemadam. Mungkin nama banduan terbabit, kerana pelbagai angka dan huruf seperti “ATH” dan “TMR” juga kelihatan di bawah nama itu.
.
Saya mula membaca novel berkenaan pada hari yang sama. Sepuluh watak yang wajar diberi perhatian ialah Anna Petrescu, Jack Fitzgerald, Bryce Fenston, Karl Leapman, Olga Krantz, Tina Forster, Takashi Nakamura, Arabella Wentworth, Anton Teodorescu dan Sergei Slatinaru.
.
Latar masa yang digunakan bermula 10 September 2001; sehari sebelum insiden 9/11 di World Trade Center (WTC), New York.
.
Dan membaca gambaran 9/11 terus mengingatkan saya pada Avatar kerana pada Januari 2010, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan: If they can make Avatar, they can make anything.” [Baca DI SINI] [Baca juga - Avatar tiru Blue Crow]
.
Bagus juga jika Jeffrey Archer singgah ke pejabat Petronas di KLCC untuk membincangkan idea bagi karya seterusnya!
.
Saya sudah membaca kumpulan cerpen A Quiver Full of Arrows (1980), A Twist in the Tale (1989), Twelve Red Herrings (1994), The Collected Short Stories (1997) dan To Cut a Long Story Short (2000) tetapi hati belum terbuka untuk membeli Cat O’Nine Tales (2006). Saya juga tidak pasti sama ada And Thereby Hangs a Tale (2010) sudah berada dalam pasaran di Malaysia.
.
Sejak 6 Februari 2010, saya memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap hari untuk membaca False Impression, novel pertama Jeffrey Archer yang saya baca sepanjang hayat. Saya selesai membaca novel itu pada 17 Februari 2010.
.
Kesimpulan yang saya peroleh: Saya lebih suka membaca cerpen-cerpen Jeffrey Archer berbanding novel-novelnya.
.
Sila klik DI SINI untuk membaca blog rasmi Jeffrey Archer.

18 Feb 2010

Dunia Faksyen

Unsur faksyen bukan sesuatu yang baru dalam dunia sastera. Saya menggunakannya dalam kebanyakan karya.
.

Senario politik – antarabangsa dan setempat – sering menjadi pencetus idea bagi sasterawan untuk ketawa sendirian dan seterusnya berkongsi kisah-kisah itu bersama khalayak dalam bentuk karya kreatif dan imaginatif.

.

Saya suka menghasilkan karya faksyen mengenai Badut Paul Lathic yang boleh dan perlu dibaca berulang kali pada lapis makna berbeza.

.

Kisah-kisah yang saya paparkan dalam karya berbentuk faksyen sesungguhnya ditulis berdasarkan pelbagai insiden sebenar; kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.

.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan karya faksyen.

17 Feb 2010

The Painted Cat

Pada 27 Januari 2010, Sharon Bakar menghubungi saya melalui e-mel dan menyatakan bahawa dia bersama-sama Bernice Chauly sedang menyelenggarakan sebuah buku yang mengumpulkan karya para penulis yang pernah mengambil bahagian dalam sesi Reading sejak lima tahun lalu.

Saya pernah membaca petikan cerpen “Cat2” pada 30 Ogos 2008 dan petikan cerpen “Nayagi” (bersama-sama Puan Shyamala Dhoraisingam Samuel yang membacakan petikan “Nayagi, Mistress of Destiny”) pada 26 September 2009 di Seksan’s sebagai memenuhi undangan Sharon Bakar.

Saya bersetuju menyumbangkan karya bagi buku yang sedang diselenggarakannya. Selain menyokong usaha Sharon Bakar, saya juga mahu karya saya sampai kepada khalayak yang tidak tahu Bahasa Malaysia.


Selepas berfikir, saya memutuskan untuk menterjemah cerpen “Cat” yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 21 Disember 1997 – “era” orang ramai hampir pasti siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.


Cerpen “Cat” juga dimuatkan dalam Vanakam (2002) dan Rudra Avatara (2008) – “era” selepas pelbagai perkara “menarik” berlaku dalam arena politik tanah air.


Saya melakukan proses penterjemahan “Cat” pada waktu malam 31 Januari dan 1 Februari 2010 – hari terakhir saya sebagai kakitangan Jabatan Penyiaran (RTM) dan hari pertama saya sebagai anggota keluarga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.


Judul yang saya berikan adalah “The Painted Cat” dan saya amat suka dengan pilihan itu. Cerpen “The Painted Cat” dikirim melalui e-mel kepada Sharon Bakar pada 2 Februari 2010 untuk dinilai bagi buku yang sedang diselenggarakannya.


Pada 30 Ogos 2002, saya menterjemah cerpen “Sang Penulis” (Mingguan Watan, 11 Jun 1995 dan Siru Kambam, 1996) kepada “The Writer” tetapi tidak dikirim ke mana-mana.


Cerpen “Nayagi” (Menara 5, 1993 dan Nayagi, 2000) pernah diterjemah oleh orang lain sebagai “Nayagi, Mistress of Destiny” (Sea of Rainbows, 2009) dan “Yang Aneh-aneh” (Dewan Sastera, Mei 1996 dan Sasterawan Pulau Cinta, 2001) diterjemah sebagai “Strange Things” (In the Shadow of the Palm, 2009).


Saya akan berusaha menterjemah semula “Nayagi” dan “Yang Aneh-aneh” ke Bahasa Inggeris kerana kecewa dengan “Nayagi, Mistress of Destiny” dan “Strange Things”.


Sementara itu, sila KLIK DI SINI untuk membaca petikan “The Painted Cat”. Maklumat kumpulan cerpen The Painted Cat (2023) pula [di sini].

16 Feb 2010

Sebelum Sultan dan Endhiran

Saya sepatutnya menonton filem Chandramukhi bersama-sama Ganesan Duraisamy pada 5 Mei 2005 tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan apabila Ganesan kemalangan semasa dalam perjalanan ke pawagam.
.

Hampir lima tahun sudah berlalu dan hari ini, saya mahu memperkatakan filem itu.

.

Selepas filem Baba (2002) kurang mendapat sambutan, saya percaya Rajinikanth telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan untuk berlakon dalam Chandramukhi (2005).

.

Tentu sahaja banyak rombakan dan perubahan besar dilakukan pada skrip asal bagi memastikan Super Star Rajinikanth muncul sebagai watak paling utama dalam filem berkenaan.

.

Dalam memperkatakan mengenai Chandramukhi (2005), saya akan berbicara juga mengenai Manichitratazhu (1993), Apthamitra (2004), Rajmohol (2005) dan Bhool Bhulaiyaa (2007).

.

Sila KLIK DI SINI jika ingin membaca catatan yang saya lakukan sementara menanti kemunculan Rajinikanth dalam filem Tamil Endhiran (“Robot”) dan filem animasi Sultan: The Warrior.

15 Feb 2010

Why Do They Have to Die?

As the number of thinking readers in Malaysia is growing rapidly, sadistic writers are going to have a very tough future unless they start thinking of good reasons for killing their characters.
.

That’s what I wrote in an article published in New Straits Times on 2 June 2001.

.

I was counseling young writers against killing off their characters gratuitously in their short stories.

.

After nearly nine years, the article might still be useful for some. Kindly CLICK HERE to take a look.

14 Feb 2010

Keturunan, Kaum, dan Bangsa


Sejak dahulu, kalau saya
mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan - Malayalam, kaum - India, bangsa - Malaysia. Tambahan, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali).
.
Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kepada kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa - India.
.
Lalu saya bertanya; bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya.
.

Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”.
.
Kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”.
.
Jadi, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India.

.
Saya kemukakan contoh bagi membezakan kaum dan bangsa. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari negeri Selangor dan C dari negeri Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat kenegerian, kita faham apa yang dimaksudkan.
.
Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat kedaerahan. Kita faham apa yang dimaksudkan.
.
Sekarang kita teliti pula konvensi di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.
.
Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila kita katakan G, H dan I memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia atau pun masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan?

.
Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya, timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan.
.
Jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa lagu kebangsaan, bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan dan seumpamanya!
.

Contoh-contoh di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman.
.
Sementara itu, saya akan tetap mengisi borang-borang rasmi dengan data yang sama: 

keturunan - Malayalam
kaum - India
bangsa - Malaysia

.
(Uthaya Sankar SB, Pelita Bahasa, September 1998 dan Risalah Online ArahKiri, Disember 2002. Sila KLIK DI SINI untuk paparan lebih menyeluruh mengenai kaum India di Malaysia. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat asas berkaitan agama Hindu. Miliki pelbagai buku yang membuka minda di sini.)

13 Feb 2010

Amir's Take - again

He was willing to sacrifice greater commercial success for this principle, but I am pleased to report that the stories in here, all previously published in places like Mingguan Malaysia and Dewan Sastera, aren’t hectoring lessons in political correctness. I don’t mind hectoring, but this writer’s particular gifts lie in his narrative skill and playful deconstructions of the story form. He easily ranks among the finest writers in this country because his seriousness of purpose is wedded to an admirable lightness of touch. He has fun with the stories, and the fun is infectious.
.

He knows how to bait and hook, lure and jab, refine and condense. Long may he reign even as he so wisely chooses not to compromise his gifts for the sake of convenience, conformity and filthy lucre.

.

The above is what Amir Muhammad wrote in New Straits Times on 13 February 2002. Simply CLICK HERE to find out more and decide if things have changed after eight years!

12 Feb 2010

Pertanyaan yang Tetap Memalukan ... 13 Tahun Kemudian

“Bagaimana saudara mampu menguasai Bahasa Malaysia sedangkan saudara bukan orang Melayu?”
.

Soalan seumpama ini sering diajukan kepada saya oleh wartawan dan rakan-rakan; malah oleh para peserta bengkel penulisan yang saya kendalikan.

.

Biasanya saya akan memilih untuk tidak menjawab soalan seperti itu. Bukan kerana saya ego atau megah diri, tetapi kerana saya rasa terkilan dan kecewa dengan pertanyaan seperti itu. Malah, saya rasa semacam dihina.

.

Apa yang menghairankan jika saya mampu menguasai Bahasa Malaysia – secara lisan mahupun bertulis? Apa yang pelik? Bagi saya, tidak ada apa-apa yang menghairankan jika saya mampu bertutur dan menulis Bahasa Malaysia dengan baik.

.

Namun, pertanyaan wartawan dan rakan-rakan membuatkan saya berfikir tentang pandangan dan tanggapan orang terhadap kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa kebangsaan.

.

Katakanlah saya boleh bertutur bahasa asing – Bahasa Jerman misalnya – dan wartawan kagum dengan keupayaan saya; lalu mereka bertanya bagaimana saya mampu menguasai Bahasa Jerman sedangkan saya bukan orang Eropah. Pertanyaan seperti itu sangat logik dan wajar.

.

Tetapi betapa menghairankan – malah memalukan – apabila seorang wartawan hairan dengan keupayaan seorang rakyat Malaysia menguasai Bahasa Malaysia. Apatah lagi selepas lebih 40 tahun negara merdeka dan Bahasa Malaysia diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

.

Nampaknya masyarakat kita masih menganggap Bahasa Malaysia (atau “Bahasa Melayu”) sebagai bahasa orang/kaum Melayu sahaja. Oleh itu, apabila kaum lain meguasainya, timbul rasa kagum dan hairan – mungkin juga sedikit rasa cemburu dan rasa tercabar.

.

Pada masa yang sama, apabila dua orang kaum India, misalnya, bertutur menggunakan Bahasa Tamil di tempat awam, ada pula pihak yang mengatakan mereka tidak ada semangat kebangsaan.

.

[Walhal hak dua orang kaum India yang bertutur Bahasa Tamil sebenarnya termaktub dalam Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 pula menyebut “Bahasa Melayu” sebagai bahasa rasmi; sebelum Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 memperkenalkan istilah “Bahasa Malaysia”.]

.

Saya sering menghadapi “tuduhan” begini apabila menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Tamil sewaktu berbual dengan rakan-rakan kaum India dan Cina. Kononnya saya tidak berjiwa Malaysia.

.

Tanggapan dan pendirian masyarakat terhadap penggunaan Bahasa Malaysia nampaknya masih berbelah bagi. Bahasa Malaysia masih belum “diterima” sepenuhnya sebagai bahasa seluruh rakyat Malaysia.

.

Kita masih terpegun melihat orang “Bukan Melayu” bertutur Bahasa Malaysia dengan cukup fasih; sedangkan orang itu lahir di Malaysia dan belajar menggunakan Bahasa Malaysia sejak Darjah Satu.

.

Anak-anak saudara saya yang berumur antara tiga hingga sembilan tahun fasih berkomunikasi secara spontan menggunakan Bahasa Malaysia. Semoga apabila mereka dewasa, tidak akan ada lagi pihak yang “menghina” mereka dengan pertanyaan “Bagaimana saudara mampu menguasai Bahasa Malaysia sedangkan saudara bukan orang Melayu?”

.

(Uthaya Sankar SB, Pelita Bahasa, Ogos 1997)