Saya selesai membaca karya Jeffrey Archer berjudul False Impression (2006); novel sulung beliau selepas keluar dari penjara pada 2003. Juga novel pertama Jeffrey Archer yang saya baca!
.
Novel False Impression saya beli dengan harga RM15.00 dari kedai buku terpakai, Novel Hut Shah Alam, pada 6 Februari 2010.
.
Keadaan fizikal buku itu tidak begitu baik. Ternyata pemilik (dan para pembaca) buku berkenaan tidak menjaganya dengan begitu baik.
.
Malah, beberapa halaman prelim – termasuk halaman hak cipta – sudah hilang; bukan kerana tertanggal tetapi ternyata dikoyak sebelum dijual kepada pemilik kedai buku terpakai.
.
Dalam keadaan biasa, saya tidak akan sanggup membeli sebuah buku yang berada dalam keadaan seperti itu.
.
Bagaimanapun, buku ini agak “istimewa” kerana dibawa keluar dari penjara! Saya percaya itulah sebabnya beberapa halaman prelim dikoyak sebelum dijual semula.
.
Saya terus teringat kepada seorang bekas pelajar saya yang pernah berada di penjara sementara menanti rayuan atas tuduhan kes bunuh. Dia (nama dirahsiakan) mula berminat membaca novel-novel Ramlee Awang Murshid sebagai mengisi masa di penjara.
.
Malah, apabila saya dan Ganesan Duraisamy mengunjunginya di Penjara Kajang pada 2006, dia meminta dibelikan novel terbaru Ramlee.
.
Novel False Impression yang saya beli pada 6 Februari 2010 pula ditapis oleh seorang “wadar” (warder) di Penjara Tapah, Perak pada 11 Julai 2007. Nama seorang pemuda yang ditulis pada salah satu halaman prelim masih kelihatan; walaupun cuba ditutup menggunakan cecair pemadam. Mungkin nama banduan terbabit, kerana pelbagai angka dan huruf seperti “ATH” dan “TMR” juga kelihatan di bawah nama itu.
.
Saya mula membaca novel berkenaan pada hari yang sama. Sepuluh watak yang wajar diberi perhatian ialah Anna Petrescu, Jack Fitzgerald, Bryce Fenston, Karl Leapman, Olga Krantz, Tina Forster, Takashi Nakamura, Arabella Wentworth, Anton Teodorescu dan Sergei Slatinaru.
.
Latar masa yang digunakan bermula 10 September 2001; sehari sebelum insiden 9/11 di World Trade Center (WTC), New York.
.
Dan membaca gambaran 9/11 terus mengingatkan saya pada Avatar kerana pada Januari 2010, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan: “If they can make Avatar, they can make anything.” [Baca DI SINI] [Baca juga - Avatar tiru Blue Crow]
.
Bagus juga jika Jeffrey Archer singgah ke pejabat Petronas di KLCC untuk membincangkan idea bagi karya seterusnya!
.
Saya sudah membaca kumpulan cerpen A Quiver Full of Arrows (1980), A Twist in the Tale (1989), Twelve Red Herrings (1994), The Collected Short Stories (1997) dan To Cut a Long Story Short (2000) tetapi hati belum terbuka untuk membeli Cat O’Nine Tales (2006). Saya juga tidak pasti sama ada And Thereby Hangs a Tale (2010) sudah berada dalam pasaran di Malaysia.
.
Sejak 6 Februari 2010, saya memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap hari untuk membaca False Impression, novel pertama Jeffrey Archer yang saya baca sepanjang hayat. Saya selesai membaca novel itu pada 17 Februari 2010.
.
Kesimpulan yang saya peroleh: Saya lebih suka membaca cerpen-cerpen Jeffrey Archer berbanding novel-novelnya.
.
Sila klik DI SINI untuk membaca blog rasmi Jeffrey Archer.