31 May 2009

Minit Mesyuarat AJK Kavyan



Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan diadakan pada 31 Mei 2009 (Ahad), 10:00 pagi di Taman Sri Muda, Shah Alam. Minit mesyuarat boleh [DIBACA DI SINI].

30 May 2009

Kaapiyam: Karya Agung Tamil

Memandangkan sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada seorang rakan yang membuat hipotesis “Uthaya Sankar SB meniru Karya Agung Tamil” [BACA DI SINI], maka biar saya sendiri kongsikan sedikit maklumat mengenai apa yang dimaksudkan dengan “Karya Agung Tamil”.

Lima “Karya Agung Tamil” (“kaapiyam”) adalah Silappatikaram oleh Ilango Adigal (abad ke-6), Manimegalai oleh Seeththalai Sathanar (tahun 550-650), Civaka Cintamani oleh Thiruththakka Thevar (abad ke-9), Valayaapathi (abad ke-9) dan Kundalakesi (abad ke-10).

Kesemuanya karya asli dalam Bahasa Tamil, iaitu bahasa utama di Tamil Nadu, India. Baca juga: Lima Epik Agung Tamil.

Ada juga pengkaji sastera Tamil (di Tamil Nadu) yang memasukkan lima lagi karya dalam senarai itu: Choolamani oleh Thola Mozhithevar (abad ke-10), Neelakesi (abad ke-10), Yesodhara Kaviyam, Udayana Kumara Kaviyam dan Nagakumara Kaviyam.

Bagaimanapun, berbeza dengan pandangan sekumpulan pembaca, Ramayanam versi Bahasa Tamil yang ditulis oleh Kamban berdasarkan epik Ramayana versi asal Bahasa Sanskrit oleh Valmiki tidak termasuk dalam senarai karya asli Bahasa Tamil – apatah lagi dianggap sebagai salah satu daripada “Karya Agung Tamil”.

Kita berbalik pada hipotesis “Uthaya Sankar SB meniru Karya Agung Tamil” … Apa pandangan saudara?
Harap sudi kemukakan hujah saudara secara ikhlas di bawah ini (“comments”) untuk tujuan rekod dan demi manfaat bersama. Baca juga: Lima Epik Agung Tamil.

28 May 2009

Bangunan Runtuh

Walaupun secara teknikal saya bercuti hari ini, saya terpaksa bergegas ke Bilik Operasi Unit Bencana RTM apabila mendapat berita mengenai kejadian bangunan runtuh di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Baca catatan terperinci serta laporan mutakhir di [Blog Unit Bencana RTM].

27 May 2009

Dari "Satu Malaysia" ke "Bangsa Malaysia"

Saya kini yakin bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia” sebenarnya adalah proses awal ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” yang sudah menjadi pegangan dan amalan Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak dahulu.

Demikian juga saya nyatakan semasa Persidangan Khas Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban pada 26 Mei 2009.

Keadaan “yakin” ini sedikit berbeza berbanding semasa saya membentangkan kertas kerja berkaitan “Satu Malaysia” pada Konvensyen Belia Negara, Peringkat Negeri Sembilan di Seremban pada 9 Mei 2009.

Apa tidaknya. Sehingga 9 Mei 2009, ada beberapa pihak yang bertegas mengatakan bahawa “Satu Malaysia” bukan “Bangsa Malaysia” dan bukan juga “Malaysian Malaysia”. Kononnya, sesuatu yang segar-baru-asli.

Makna sebenar dan arah tuju sebenar “Satu Malaysia” juga amat samar dan bercelaru. Masing-masing melakukan serkap jarang, hujahan retorik dan cuba mengambil peluang.

Malah, selalu saya nyatakan bahawa sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab dan tugas Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung ciri-ciri dan kriteria “Satu Malaysia”.

Kalau tidak, masing-masing akan membuat interpretasi sendiri – umpama cerita sekumpulan orang buta yang bertemu seekor gajah.

Bagaimanapun, sejak belakangan ini, sudah amat jelas bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “Satu Malaysia” adalah proses awal ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” dengan mengambil kira aspek perpaduan kaum, agama, etnik dan budaya.

Saya nyatakan “proses awal” kerana “perpaduan” (unity) yang diutamakan dalam “Satu Malaysia” (malah sejak lebih 50 tahun lalu) belum mencapai tahap “integrasi” (integration) yang diimpikan melalui “Bangsa Malaysia”.

Maknanya, Kavyan masih selangkah di hadapan …

NOTA: Sila KLIK DI SINI untuk kertas kerja yang disiarkan di The Malaysian Insider.

Etika Mesyuarat

Selalu juga saya diundang menghadiri mesyuarat; malangnya kebanyakan “mesyuarat” yang diadakan tidak layak dipanggil “mesyuarat”!

Bayangkan: dihubungi melalui telefon pada pukul 8:45 pagi dan diminta menghadiri mesyuarat pukul 9:00 pagi – pada hari kita ada program lain yang sudah ditetapkan jauh lebih awal.

“Mesyuarat” yang kononnya pada pukul 9:00 pagi hanya bermula selepas pukul 10:30 pagi – dengan alasan “tak cukup orang”.

“Mesyuarat” yang tiada agenda – lalu si “pengerusi” yang memanggil mesyuarat boleh merapu apa sahaja.

“Mesyuarat” yang tiada catatan kedatangan, tida catatan minit dan tiada hala tuju.

“Mesyuarat” yang tidak berakhir kerana sesiapa sahaja boleh keluar-masuk sesuka hati, boleh berbual sesama sendiri sesuka hati, boleh membuat dan menerima panggilan telefon sesuka hati, dan entah apa-apa lagi.
.
“Mesyuarat” yang tidak layak dipanggil “mesyuarat”.
.
Mungkin “pengerusi mesyuarat” seperti ini wajar menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan sebagai pemerhati untuk memahami Etika Mesyuarat – tapi perlulah hadir tepat pada masa!

25 May 2009

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati

Bahagian Teori dan Kritikan, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati pada 9 & 10 Jun 2009 di Dewan Seminar, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Saya percaya – dan berharap! – seminar ini tidak seburuk sebuah Seminar Kampung-kampungan anjuran DBP pada April 2009.

Apatah lagi apabila Pegawai Perancang Bahasa DBP, Hajijah Jais dalam surat bertarikh 13 Mei 2009 yang diterima pada 22 Mei 2009 menulis, “Kehadiran tuan amat dihargai dan kami akhiri dengan ucapan ribuan terima kasih”!

Dapatkan maklumat lanjut [DI SINI].

24 May 2009

Meniru Karya Agung Tamil?

Pada tengah hari 23 Mei 2009, salah seorang rakan saya di Facebook, sdr Kalithasan Muniandy mengemukakan suatu pertanyaan yang amat menarik perhatian saya.

“kepada saudara uthaya... mengapa segala karya anda semacam meniru karya-karya agung berbahasa tamil?? adakah ia untuk membawa cerita-cerita agung tamil untuk dihayati khalayak yang berbeza bangsa dan bahasa atau memang berkeinginan untuk meniru? saya belum pernah membaca karya saudara yang membawa latar budaya melayu. harapkan jawapan yang tidak mengikut emosi.”
Saya sebenarnya amat tertarik dengan pandangan yang dikemukakan itu. Sebagai seorang penulis karya faksyen (fiksyen dan fakta), saya teruja dengan hipotesis yang dikemukakan itu dan saya sudah boleh membayangkan sdr Kalithasan menghasilkan sebuah kertas kerja bertajuk "Uthaya Sankar SB Meniru Karya-karya Agung Tamil Dalam Penulisan" bagi menyokong hujah beliau. Tentu amat menarik.

Apapun, berikut balasan saya – juga di Facebook:

“Sdr Kalithasan, suatu topik perbincangan – atau hipotesis – yang menarik perhatian saya. Amat wajar dibincangkan secara terbuka tetapi penuh akademik. Kita mulakan dengan senarai karya agung Tamil yang "ditiru" ke dalam karya-karya saya. Saudaralah yang harus kemukakan senarai itu. Dan jangan campur adukkan "karya agung Tamil" dengan mana-mana karya yang bukan "karya agung Tamil". Kita mulakan dari sana untuk membuktikan setakat mana karya-karya saya "meniru" karya-karya agung Tamil.”
Saya sengaja tidak menyenaraikan “karya agung Tamil” kerana mahu sdr Kalithasan sendiri mengemukakannya. Saya juga sempat menambah:

“Nota: Mengenai karya saya yang berlatarkan budaya Melayu ... memang betul dan amat tepat apa yang saudara katakan: saudara BELUM PERNAH membaca karya saya yang membawa latar budaya Melayu. ... BELUM PERNAH tidak bermakna TIDAK ADA. Maka, saya mengalu-alukan saudara membaca karya-karya saya secara menyeluruh.”

Apa pandangan saudara berhubung “hipotesis” ini? [BACA SAMBUNGAN DI SINI]

Tarikh-tarikh Gaji Kakitangan Awam

Kakitangan awam akan mendapat gaji pada Isnin, 25 Mei 2009. Semoga bijak berbelanja mengikut belanjawan yang disusun.

Dalam pada itu, apa kata saudara memasukkan juga dalam belanjawan itu, sedikit wang untuk membeli senaskhah Rudra Avatara DAN senaskhah Kathakali dengan harga RM20 sahaja.

Harga pasaran setiap buku cerpen berkenaan adalah RM20; tetapi bagi pembelian/tempahan sebelum 31 Mei 2009, saudara diberi diskaun 50 peratus.

Sementara itu, berikut tarikh-tarikh penerimaan gaji kakitangan awam; untuk manfaat anggota polis trafik, JPJ dan sekutu:

25 Mei 2009 – 25 Jun 2009 – 23 Julai 2009 – 25 Ogos 2009 – 10 September 2009 – 8 Oktober 2009 – 25 November 2009 – 17 Disember 2009.

23 May 2009

Blog Perpustakaan Desa

Saya sempat ke blog Perpustakaan Desa PNM, Kampung Tengah Layang-layang, Kluang pada 23 Mei 2009 dan kagum dengan kandungan dan reka letak yang dilakukan oleh Pembantu Perpustakaan, Nurradiah Salim (Diya).

Terima kasih kepada Diya yang memberikan saya pautan ke blog berkenaan semasa kami berbual seketika melalui YM.

Pada pandangan peribadi saya, blog berkenaan amat wajar dijadikan contoh dan panduan bagi pustakawan dan Perpustakaan Desa lain di seluruh negara.

Trivia Kathakali: Makna

Entah mengapa “Kathakali” menimbulkan minat dan juga kekeliruan dalam kalangan rakan-rakan. Ada yang tidak sabar-sabar menantikan kelahiran Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia dan ada pula yang melahirkan rasa “tidak faham” dan “pening” kerana tidak tahu “apa bendanya” kathakali!

Pada waktu yang sama, seorang wartawan sebuah akhbar menghubungi saya untuk melakukan sedikit wawancara bagi artikel mengenai kathakali.

Sebenarnya, saya mula mengenali dan meminati dramatari kathakali pada tahun 1993 serta pernah menulis makalah dan cerpen mengenai kathakali.

Untuk makluman, “katha” bermakna “cerita” manakala “kali” bermakna “permainan”.

Malam Gema Puisi JPA

MALAM GEMA PUISI bertema “Meniti Sejarah Merintis Kejayaan” sempena Sambutan Jubli Intan (75 tahun) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berlangsung di Kompleks C, Putrajaya pada sebelah malam 22 Mei 2009.

Acara ini dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai gred 41 JPA dan dimulakan dengan persembahan tarian oleh Kelab Kebudayaan JPA.

Turut mempamerkan bakat dan minat membaca sajak ialah Tan Sri Ismail Adam (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), Datuk Ab Khalil Ab Hamid (Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam - Pembangunan), Dato’ Dr Ismail Alias (Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam - Operasi), Dato’ Ahmad bin Said serta warga JPA.

Penyair undangan ialah Prof Madya Dr Lim Swee Tin (UPM), Uthaya Sankar SB (Kavyan) serta Sani, Usop dan Siso (Kopratasa).

Sedikit catatan peribadi serta teks lengkap sajak “Usah Gentar Tinggal Di Pondok Sendiri” boleh dibaca [DI SINI].

22 May 2009

Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri

Demikian judul sajak yang [akan] saya sampaikan pada “Malam Gema Puisi JPA 2009” pada 22 Mei 2009 sempena Sambutan Jubli Intan (75 tahun) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Majlis yang bertemakan ‘Meniti Sejarah Merintis Kejayaan’ [dijadual] berlangsung di Putrajaya.

Untuk makluman, sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” bukan sajak yang baru dihasilkan dan bukan juga kali pertama disampaikan. Sedikit googling akan membuktikan hakikat ini.

Namun, saya percaya, tema dan persoalan yang dibawakan secara tersurat dan tersirat adalah amat sesuai dan bertepatan dengan suasana “kesibukan” semua pihak memperkatakan mengenai konsep/gagasan “Satu Malaysia”.

Mahu membaca teks sajak berkenaan? [SILA KLIK DI SINI]

Aadum Koothu

“Annei annei aadum kootei
Naade seitai ennai”


Bertolak daripada rangkap sajak Subramaniam Barathi, filem “Aadum Koothu” (skrip dan arahan T.V. Chandran) menjanjikan pengalaman yang benar-benar berbeza sejak babak pertama; apatah lagi apabila membabitkan pelakon Cheran yang sedia dikenal sebagai artis yang memilih tema yang lain aripada yang lain.

Saya berpeluang menonton filem Tamil ini pada 21 Mei 2009.

[KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA ULASAN SAYA]

21 May 2009

Melayu+India+Cina=1Malaysia?

Peraduan Foto Satu Malaysia bertema “Perpaduan Melalui Kepelbagaian” menyaksikan pemenang bertemu Perdana Menteri di pejabat beliau di Putrajaya pada 20 Mei 2009 untuk menerima hadiah. Laporannya boleh dibaca di blog 1Malaysia.

Foto oleh Henry Liew menampilkan beberapa kanak-kanak riang memegang Jalur Gemilang mini. Azrul merakamkan beberapa kanak-kanak riang makan di kantin sekolah. Foto oleh Diyana menampilkan tiga remaja – tentu sahaja seorang Melayu, seorang India dan seorang Cina! – memegang Jalur Gemilang.

Maka, itukah yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”? Hal ini memandangkan Perdana Menteri sendiri di blog 1Malaysia menyatakan, “tiga penyertaan teratas yang memenangi peraduan ini, pada hemat saya, paling menyerlah dalam menjelaskan semangat 1Malaysia.”

Maknanya, Satu Malaysia melihat pada kepelbagaian kaum, perpaduan dan kesetiaan pada negara.

Lalu, apa bezanya dengan Bangsa Malaysia?

Dalam pada itu, nilai kelapan dalam Satu Malaysia “didedahkan” kepada umum melalui blog 1Malaysia pada 6 Mei 2009. Seperti yang telah saya nyatakan semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009, kesemua nilai yang dikemukakan itu bukan sesuatu yang baru; sebaliknya sudah menjadi amalan sejak dahulu.

Ternyata, konsep Satu Malaysia bukan sesuatu yang baru – walau apapun cuba dikatakan oleh para pemimpin. (Dan jangan lupa bahawa para pemimpin sendiri masih menunggu draf teks/panduan daripada Jakim!)
Berbanggalah kerana kita semua memang sudah sedia mengamalkan konsep "Satu Malaysia" sebelum Perdana Menteri memulakan blog 1Malaysia. [Sila KLIK DI SINI untuk huraian lanjut berkaitan topik ini.]

Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban

Persidangan Khas Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban akan berlangsung pada 26 Mei 2009 (Selasa), 9:00 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Kompleks Pentadbiran Daerah, Seremban 2.

Urus Setia Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban – melalui surat bertarikh 21 Mei 2009 daripada Pegawai Belia dan Sukan Daerah Seremban, Encik Abdul Latif Abd Aziz – mengundang Uthaya Sankar SB mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan untuk membentangkan kertas kerja berkonsepkan “Satu Malaysia” pada persidangan tersebut.

Peserta persidangan terdiri daripada 60 Ahli Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban yang bersidang untuk membincangkan konsep “Satu Belia”.

Uthaya Sankar SB pernah membentangkan kertas berja berkaitan “Satu Malaysia” sempena Konvensyen Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009.
.
Nota: Logo diambil dari blog funzool

Menderma Kathakali

Sudikah Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari menyumbangkan RM50 bagi memungkinkan perpustakaan sebuah sekolah memiliki 2 naskhah Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia dan 3 naskhah Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia?

2. Saya tahu bahawa memang ada ramai dermawan; khususnya yang menyokong usaha melahirkan “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”.

3. Ada beberapa sekolah yang sudah dikenal pasti memerlukan bantuan buku dan mereka berminat mendapatkan beberapa naskhah – atau sekurang-kurangnya satu naskhah – buku Rudra Avatara dan Kathakali untuk bacaan guru-guru dan pelajar/murid di perpustakaan sekolah.

4. Atau Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari boleh memilih sendiri sekolah yang akan menerima sumbangan buku-buku berkenaan.

5. Mungkin bekas sekolah yang sering muncul dalam mimpi dan kenangan bawah sedar …?

6. Tentu sahaja resit rasmi akan diberikan kepada Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari atas pembelian buku-buku yang didermakan itu, berdasarkan harga pasaran buku.

7. Untuk makluman, harga pasaran buku-buku berkenaan adalah RM20.00 senaskhah tetapi Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari hanya perlu membayar separuh daripada harga pasaran kerana baki 50% ditanggung oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan.

8. Jika Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari berminat, sudilah menghubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 012-3368142.

9. Nama saya Uthaya Sankar SB.

20 May 2009

Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd

Saya turut serta bersama-sama empat pegawai dari Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengadakan lawatan ke Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) pada pagi 20 Mei 2009 sebagai salah satu usaha mengeratkan silatulrahim dan mengeratkan kerjasama ke arah melahirkan “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”.

Rombongan kecil yang diketuai oleh Timbalan Pengarah, Encik Abdul Majid Hamid disambut oleh Pengurus Korporat KKSB, Encik Hashim Anang dan editor majalah e@siswa, Encik Saharom Abd Aziz.

Selepas perbincangan, kami dibawa melawat ke bahagian editorial, grafik dan percetakan; serta diberikan penerangan terperinci oleh pegawai di bahagian-bahagian berkenaan.

Semasa makan tengah hari, kami disertai oleh Pengarah Urusan dan pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Dato’ Hussamuddin Yaacub yang mengalu-alukan kerjasama antara PNM dan KKSB.

Dato’ Hussamuddin juga menyatakan bahawa sejak membuka akaun Facebook beberapa minggu lalu, beliau turut mengikuti perkembangan saya di ruang siber setiap hari.
.
Oh, ya! Beberapa foto yang sempat dirakam semasa lawatan ini ada dimuatkan di Facebook.

Sajak-sajak SN Dato’ Usman Awang

Sebelum bermulanya acara di Hotel Shangri-La, Putrajaya pada 19 Mei 2009, saya diperkenalkan oleh Sdr Helmy Samad kepada dua pegawai dari UA Enterprises Sdn Bhd: Puan Haslina Dato’ Usman (Pengarah Eksekutif) dan suami beliau, Encik Abdul Rahim Affandi (Ketua Operasi).

Saya terasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan anak kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang.

Terus sahaja saya nyatakan bahawa Kavyan sebenarnya berminat mengadakan acara Baca Puisi dan Baca Cerpen Usman Awang – mengikut konsep yang digunakan bagi karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said – sebagai usaha Kavyan memberi penghormatan terhadap Sasterawan Negara.

Puan Haslina mengakui betapa ramai – terutama generasi muda – yang tidak mengenali diri dan karya Allahyarham. Beliau juga berminat dan sedang mencari orang untuk menterjemah puisi-puisi Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil; lalu bertanya sama ada saya boleh membantu.

Terus sahaja saya bersetuju menjadi penyelaras dan membantu mencarikan sekumpulan penterjemah yang boleh melakukan kerja-kerja tersebut.

Perkara ini tidak mustahil kerana saya pernah menerima “tugasan” menjayakan penerbitan Seruling di Persimpangan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka lebih sepuluh tahun lalu.

Jika ada yang berminat, segeralah hubungi saya supaya kerja-kerja menterjemah sajak-sajak Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil boleh dimulakan segera.

Khabarnya, ada acara baca puisi pada 12 Julai 2009, sempena memperingati tarikh kelahiran Allahyarham.

19 May 2009

Nayagi, Mistress of Destiny

Sewaktu menghadiri Majlis Pertemuan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) Dengan Sasterawan Malaysia & Pelancaran Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia di Hotel Shangri-La, Putrajaya pada petang 19 Mei 2009, saya tidak pula menduga bahawa salah sebuah cerpen saya turut diterjemah dan dimuatkan dalam satu daripada 28 buku yang dilancarkan.

Cerpen “Nayagi” yang pernah menang Hadiah Pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP pada tahun 1992 serta termuat dalam Siru Kambam dan Nayagi – serta pernah diterjemah ke Bahasa Tamil dan juga dijadikan skrip drama radio dalam Bahasa Tamil untuk siaran RTM – rupa-rupanya telah diterjemah ke Bahasa Inggeris dengan judul “Nayagi, Mistress of Destiny” dan dimuatkan dalam Sea of Rainbows: An Anthology of Multi-Cultural Short Stories from Malaysia (ITNM, 2009).

Sekaligus, penerbitan cerpen “Nayagi, Mistress of Destiny” mendahului penerbitan cerpen “Yang Aneh-aneh” (Yang Aneh-aneh dan Sasterawan Pulau Cinta) yang sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan judul “Strange Things” untuk dimuatkan dalam buku berjudul An Anthology of Malaysian Short Stories.

Prof. Dr Muhammad Haji Salleh selaku penyunting dan penyelenggara Sea of Rainbows sempat membisikkan kepada saya bahawa saya perlu terus menulis kerana “karya-karya anda amat diperlukan dan anda pengarang yang sangat penting” dalam peta Sastera Malaysia.

Beberapa foto yang sempat dirakam pada majlis berkenaan dimuatkan di Facebook.

Apa Khabar, Ali?

Akhirnya, pada 13 Mei 2009, Ali mendapat tahu identiti diri saya; selepas menonton rancangan Malaysia Hari Ini, TV3, di mana saya diundang memperkatakan Rudra Avatara dan Kathakali.

Dia terus menghantar mesej kepada saya melalui sebuah rangkaian sosial; di mana kami berkenalan dahulu.

Saya pula membaca mesej berkenaan pada pagi 19 Mei 2009, lalu menghantar mesej ringkas kepada Ali: “Chak!”

Harapan saya, semoga Ali akan terus sudi berkawan dengan saya; seperti sebelum dia tahu siapa saya!

BACA MENGENAI ALI DI SINI – dan baca juga “komen” di bawah catatan berkenaan.

18 May 2009

Trivia Kathakali: Nama Watak

Saya kini masih dalam proses membaca pruf Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia. Walaupun saya sendiri yang menaip dan melakukan reka letak, proses bacaan pruf masih suatu proses yang penting – dan menarik!

Sebagai pembaca pruf, saya meneliti setiap ejaan, perkataan, huruf dan tanda baca.

Proses yang sudah dilalui sebelum ini adalah: pengarang, penilai, penyunting, pengkritik, pembaca dan penerbit.

Suatu perkara menarik yang saya perhatikan semasa membaca pruf cerpen-cerpen yang terkandung dalam Kathakali adalah bahawa kebanyakan nama yang diberi pada watak (watak utama dan watak sampingan) adalah nama bekas pelajar-pelajar saya di beberapa kolej swasta.

Jadi, bagi saudara yang pernah mengenali saya sebagai “Sir” di IPTS, cuba cari kalau-kalau nama saudara ada dalam buku Kathakali apabila terbit nanti!

17 May 2009

Undangan Terbuka Kepada PM

Belakangan ini, saya selalu membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri bahawa YAB Perdana Menteri sesungguhnya mahu menjadi Perdana Menteri kepada semua – tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Ada dilaporkan di pelbagai media tempatan bahawa YAB Perdana Menteri bersedia untuk mengesampingkan protokol dan formaliti; asalkan dapat bertemu dan meluangkan masa bersama-sama Rakyat.

Malah, YAB Perdana Menteri juga menyertai sambutan Vaisakhi pada April 2009 dan Wesak pada Mei 2009.

Sebagai seorang individu yang sentiasa berfikiran kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik, teringin juga saya untuk merasai sendiri kebenaran dan keikhlasan pada segala kenyataan yang dikeluarkan dan disiarkan di media tempatan.

Apa kata saya mengundang YAB Perdana Menteri ke majlis pelancaran Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia pada Jun atau Julai 2009?

Saya percaya, sebagai seorang Rakyat, saya berhak mengundang seorang pemimpin yang berjiwa Rakyat bagi membuktikan kenyataan itu.

Kebetulan, saya memang masih dalam proses mencari seorang tokoh berjiwa “Bangsa Malaysia” (Satu Malaysia?) untuk menyempurnakan majlis pelancaran kumpulan cerpen saya.

Kalau YAB Perdana Menteri terlalu sibuk dengan pelbagai urusan lain bertemu Rakyat, TPM pun jadilah.

Atau seorang Uthaya Sankar SB tidak termasuk dalam senarai prioriti YAB Perdana Menteri dan TPM?

16 May 2009

Satu ****

Konsep “Satu Belia” diperkenalkan secara rasmi pada 15 Mei 2009 sempena sambutan Hari Belia.

Konsep dan pendekatan “Satu Belia” dipercayai akan menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi.

Pada 9 Mei 2009, saya ada menyebut juga tentang “Satu Belia” pada Konvensyen Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan.

Antara lain, saya berkata, mungkin selepas “Satu Belia”, akan ada pula “Satu Wanita”, “Satu Pemuda”, “Satu Putera”, “Satu Kampung”, “Satu Kedai”, “Satu Kereta”, “Satu Sekolah” dan entah apa lagi sebagai sokongan padu terhadap “Satu Malaysia” – walaupun kita sebenarnya masih tidak tahu dan tidak diberitahu apa sebenarnya “Satu Malaysia”.

Semasa konvensyen itu, sempat juga seseorang mencelah dan menambah, “Empat Isteri”!

Pasti banyak lagi “Satu” yang boleh dikemukakan – berserta alasan dan rasional serta sumbangannya dalam menjayakan “Satu Malaysia”.

Misalnya: “Satu Belia” mampu menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi.

Mari kita berkongsi pandangan dan cadangan kreatif berteraskan “Satu”.

Dulu Sensitif, Sekarang Dicari-cari!

Membaca laporan di akhbar-akhbar pelbagai bahasa pada 15 Mei 2009 membuatkan saya tersenyum sendiri.

Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dilaporkan berkata, pemilik stesen televisyen dan radio perlu memberi ruang yang adil kepada semua komuniti di negara ini melalui rancangan mereka.

Pemaparan budaya pelbagai kaum dan etnik dilihat sebagai “perlu” dan “adil” sekarang.
.
Maka, terkinja-kinjalah pengamal media mencari bahan berita berkaitan kumpulan etnik minoriti untuk siaran.

Sebaliknya, pada 7 April 2008, saya pernah dilabel sebagai “ada agenda Keling” dan cuba memasukkan bahan “sensitif” mengenai “golongan minoriti” dalam siaran berita!
.
Mari bersama-sama saya mengimbau kenangan silam [DI SINI] untuk renungan bersama.

15 May 2009

Bengkel Baca Cerpen Kanak-kanak

Saya amat kasihan pada kanak-kanak (murid-murid) yang dipaksa supaya belajar dan membaca semata-mata – dan hanya semata-mata – untuk lulus peperiksaan.

Betapa sayang apabila kanak-kanak ini dinafikan peluang dan hak menikmati pembacaan buku cerita tanpa perlu terikat pada tuntutan markah dan peperiksaan.

Membaca adalah suatu seni yang boleh, perlu dan wajar dipelajari.

Kepada ibu bapa dan para guru, saya merayu supaya tidak menafikan hak dan keinginan kanak-kanak untuk membaca buku cerita semata-mata kerana mahu membaca buku cerita.

Kavyan dengan kerjasama beberapa pihak merancang “Bengkel Baca Cerpen Kanak-kanak” pada 5 Julai 2009. Cubalah menghantar anak-anak dan murid-murid ke sana – lihat sendiri kegembiraan pada wajah mereka apabila berpeluang membaca buku cerita!

Dapatkan maklumat lanjut DI SINI dan tolong sebarkan kepada ibu bapa dan guru-guru yang dikenali.

Terima kasih secara peribadi daripada saya, Uthaya Sankar SB.

14 May 2009

Bukit Gasing

Uthaya Sankar SB (penerbit), Mohd Fadzly Fuad (wartawan) dan Thirusambandam Ramasamy (jurukamera) dari Unit Bencana RTM membuat liputan eksklusif di hutan simpan Bukit Gasing, Petaling Jaya pada pagi Khamis, 14 Mei 2009 berikutan kejadian kebakaran melibatkan 2.02 hektar kawasan hutan pada Sabtu, 9 Mei 2009.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Tuan Azmi Che Mat, PBKII Ahmad Yusliza Yunus dan M. Kalaiyarasan.

Liputan ini dijadual untuk siaran Galeri Perdana pada Isnin, 18 Mei 2009, 10:30 malam di TV1.

50 foto terpilih yang dirakam semasa liputan ini boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai ”rakan” boleh mengakses ke ”album foto” yang disediakan.

13 May 2009

Kathakali di TV3

Dalam suasana mengenang “ulang tahun” ke-40 Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969; serta dalam pada seluruh Bangsa Malaysia masih tercari-cari makna sebenar konsep Satu Malaysia, saya pula berada di Studio B, TV3 pada pagi 13 Mei 2009 dalam rancangan “Malaysia Hari Ini”.

Walaupun banyak yang mahu saya perkatakan, kekangan masa menyebabkan hanya beberapa perkara sempat dibicarakan dan dikongsikan bersama-sama pengacara dan penonton.

[BACA MENGENAINYA DI SINI]

12 May 2009

Wira Bukit Sdn Bhd

Sudahkah saudara berkunjung ke pejabat Wira Bukit Sdn Bhd yang menerbitkan karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said?

Saya berpeluang ke sana pada 11 Mei 2009 – kebetulan tarikh sambutan ulang tahun “penubuhan” UMNO – khusus untuk membeli 2 naskhah buku terbaru Pak Samad, Bisik Warna – Whispers of Colour.

Sebuah pejabat dengan susunan dan rekaan bertaraf “glokal” yang membuatkan saya berkata “Wow” dalam hati.

Saya juga sempat berbual-bual secara terbuka bersama Sdr Helmy Samad mengenai pelbagai perkara: isu bahasa, isu perjuangan bahasa, kepimpinan negara, pemimpin negara, penerbit, penerbitan, sastera, sasterawan, perniagaan, tanggungjawab sosial, aktiviti sastera, hak cipta karya, pusaka, warisan dan entah apa-apa lagi.

Beberapa foto yang sempat dirakam, dimuatkan di Facebook.

Oh, ya! Jika saudara ke pejabat Wira Bukit Sdn Bhd di PJU5, Kota Damansara, jangan lupa melihat akuarium yang menempatkan udang-udang peliharaan Sdr Helmy Samad.

Juga, jangan lupa membawa wang tunai untuk membeli buku-buku Pak Samad dengan diskaun sehingga 50 peratus!

11 May 2009

Baca Cerpen Rudra Avatara (II)

Acara “Baca Cerpen Rudra Avatara (II)” akan dianjurkan sempena Pesta Buku Negeri Selangor 2009 bagi memasyarakatkan sastera, mendaulatkan Bahasa Malaysia dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Dapatkan maklumat lengkap [DI SINI].

Satu Malaysia: Rakyat Ajar Pemimpin?

Selepas saya membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009 di Kelana Resort, Seremban, tidak kurang yang menyatakan bahawa mereka masih tidak faham dengan konsep “Satu Malaysia”.

Secara mudah, saya memberitahu salah seorang peserta bahawa jika beliau “tidak faham”, maka itu tanda positif – kerana beliau telah mendengar pembentangan saya dan juga berfikir tentang konsep Satu Malaysia.

Ada juga peserta yang bertanya – secara amat logik – apa gunanya diadakan sebuah konvensyen jika belum ada sesiapa yang benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”.

Apatah lagi apabila para pemimpin sendiri perlu diberikan “panduan” oleh Jakim sebelum boleh bercakap mengenainya.

Dikemukakan juga cadangan: mengapa tidak kita semua sebagai Rakyat yang sebenarnya sudah sedia mengamalkan semangat “Satu Malaysia” tampil “mengajar” para pemimpin mengenai konsep sebenar Satu Malaysia.

Lalu saya simpulkan, itulah tujuan sebuah konvensyen: ada pembentangan kertas kerja, ada pandangan peserta dan akhirnya akan ada resolusi yang akan dicapai.

Resolusi itu nanti akan disampaikan kepada pihak berkenaan. Dan saya percaya perkara itu akan dilakukan pada atau sebelum sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei 2009.
.
Saya perlu bertanya kepada salah seorang Pegawai Belia dan Sukan Seremban apabila bertemu pada 26 Mei 2009 di Persidangan Khas Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban.

10 May 2009

Pertandingan Bercerita Bahasa Malaysia

Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan Pertandingan Bercerita Bahasa Malaysia dalam dua kategori: kanak-kanak dan remaja.

Aktiviti sempena Pesta Buku Negeri Selangor ini akan dijayakan dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja (MBBY), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kelab Membaca Sinar Pintar, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Dapatkan maklumat lanjut [DI SINI].

Selamat Hari Ibu



Dalam budaya India, khabarnya, Tuhan mencipta golongan wanita kerana Dia tidak dapat sentiasa berada di sisi manusia secara fizikal.

Selamat Hari Ibu!

9 May 2009

Fenomena Seni Pentas

Pada petang 9 Mei 2009, saya memenuhi undangan S.T. Bala untuk menjadi pengacara majlis pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2009.

Majlis anjuran bersama Fenomena Seni Pentas dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia berlangsung di Hotel Ancasa Kuala Lumpur.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Dato’Norliza Rofli yang turut menyampaikan berita gembira bahawa pihaknya akan terus menyokong penganjuran pertandingan ini.

Johan Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2009 adalah SJK (T) Simpang Lima, Klang dengan teater bertajuk “Daulat Tuanku”.

Fenomena Seni Pentas merancang menganjurkan Bengkel Pengenalan Teater Untuk Guru-guru Sekolah Tamil pada Disember 2009.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Fenomena Seni Pentas atau hubungi talian 016-9163144 atau 019-6496962.

Satu Malaysia, Satu Belia

Saya menyampaikan kertas kerja bertajuk “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan – Suatu Perspektif Ikhlas dan Analisis Kritis dari Kacamata Saya” pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009 (Sabtu) di Seremban.

Kandungan kertas kerja berkenaan boleh dibaca [DI SINI].

Harap sudi mengemukakan komen, pandangan, pemahaman, persoalan, cadangan dan kritikan berhubung konsep Satu Malaysia pada ruangan “comment” di bawah ini untuk tujuan rekod dan panduan bersama.

Segala “comment” yang kurang sopan dan/atau keluar topik dan/atau tidak disertakan identiti diri tidak akan disiarkan.

Sama-samalah kita menjadi Bangsa Malaysia yang bertamadun.

8 May 2009

Selamat!

Khabarnya individu yang disyaki ketua pengganas kumpulan Jemaah Islamiah – Mas Selamat Kastari – sudah selamat ditangkap di Malaysia.

Khabarnya, lelaki berusia 48 tahun itu diberkas di kawasan pinggir bandar Johor Baharu dan sedang ditahan oleh pihak bekuasa Malaysia untuk disoal siasat.

Berita berkenaan yang saya baca di Bernama tidak memeranjatkan dan menghairankan saya.

Apa yang menghairankan dan membuatkan saya tersenyum sendiri adalah laporan bahawa “Mas Selamat berada di Johor pada setiap masa dan dia tidak pernah keluar ke utara”.

Filem Tamil Malaysia

Dulu, dulu-dulu, saya pernah dikejutkan dengan berita bahawa sebuah filem arahan rakan saya diharamkan selepas pada mulanya diluluskan untuk tayangan di pawagam.

Dulu-dulu yang saya maksudkan bukannya lama sangat; 5 Mei 2006.

Dan semasa menonton “Malaysian Gods” arahan Amir Muhammad di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela pada 7 Mei 2009, saya berpeluang mengimbau kembali mengenai peristiwa 18 Ahli Parlimen yang memenuhi undangan menonton filem “Lelaki Komunis Terakhir” di Finas pada 21 Mei 2006. [LAGI]

Barulah saya tahu bahawa filem “Bukit Kepong” arahan Tan Sri Jins Shamsuddin juga pernah diharamkan; dan kemudian dibenarkan ditayangkan dengan syarat tayangan tidak dibuat menjelang pilihan raya umum.

Apapun, perkara yang paling mencuit hati saya adalah apabila mendapat tahu fakta bahawa salah seorang Ahli Parlimen yang berpeluang menonton “Lelaki Komunis Terakhir” pada 21 Mei 2006 telah memberitahu wakil media bahawa filem berkenaan lemah dari segi sinematografi.

Dan komen itu dinyatakan sekurang-kurangnya lima kali.

Mujurlah saya tidak mengharapkan nilai “sinematografi” apabila pergi menonton “Malaysian Gods” pada 7 Mei 2009.

Saya pergi semata-mata untuk menonton sebuah “Filem Tamil Malaysia” tanpa lagu, tarian, glamour dan Rajnikanth.

Selesai sesi tayangan, saya tidak berlengah membeli DVD “Malaysian Gods” (RM20.00) yang turut dijual di sana – sebelum filem dokumentari ini (mungkin) turut diharamkan kerana aspek “sinematografi” yang lemah atau kerana tidak memuatkan visual “Reformasi” (1998-99) atau kerana tidak cukup “ganas” atau kerana memuji “Tuhan-Tuhan” (Gods) atau kerana tidak bercerita tentang “Tuhan-Tuhan” (Gods) atau kerana judul filem memberi “gambaran tidak benar” mengenai kandungan filem.

Ah! Tontonlah sendiri filem ini yang dikatakan filem terakhir Amir Muhammad (buat seketika).

7 May 2009

Bisik Warna - Datuk A. Samad Said


Sdr Helmy Samad menghubungi saya melalui Facebook pada tengah hari 7 Mei 2009 untuk bertanya bila saya akan berkunjung ke pejabat Wira Bukit Sdn Bhd. Langsung saya teringat akan “hutang lama” yang belum tertunai; untuk berkunjung ke sana.

Beliau juga memaklumkan mengenai buku terbaru terbitan Wira Bukit Sdn Bhd (dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia) iaitu buku dwibahasa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said berjudul “Bisik Warna – Whispers of Colour” (2009).

Buku berkenaan selesai dicetak pada 23 April 2009 dan dilancarkan pada 26 April 2009 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buku kulit keras, berjaket dan setebal 108 halaman ini dijual pada harga RM40.00 dan boleh diperoleh dengan menghubungi sdr Helmy Samad di talian 012-3651377 atau layari blog Luluhkan Hatiku.

Saya bercadang berkunjung ke pejabat Wira Bukit Sdn Bhd pada Rabu, 13 Mei 2009 untuk mendapatkan “Bisik Warna – Whispers of Colour” serta berbual dengan sdr Helmy Samad berhubung isu-isu semasa.

Pesta Buku Negeri Selangor 2009

Pesta Buku Negeri Selangor 2009 akan berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam dari 24 Julai hingga 3 Ogos 2009 dengan jumlah sasaran pengunjung seramai 280,000 orang.

Pesta Buku Negeri Selangor merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dilantik sebagai Urus Setia Tetap Pelaksana Pesta Buku Negeri Selangor dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media, penerbit dan persatuan penulis.

[BACA MAKLUMAT SEPENUHNYA DI SINI]

6 May 2009

Diskaun 50%

Manuskrip Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia sudah diserah kepada pencetak pada 5 Mei 2009.

Saya akan membaca pruf berulang kali bagi memastikan kesilapan dan kecuaian berada pada tahap paling minimum.

Kathakali dijangka berada dalam pasaran menjelang akhir Mei 2009; hampir dua bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan awal!

Saya berterima kasih kepada semua pihak dan setiap individu yang membantu merealisasikan penerbitan buku ini.

Diskaun 50% ditawarkan kepada sesiapa yang membuat tempahan awal buku Kathakali sebelum 31 Mei 2009. [MAKLUMAT LANJUT DI SINI]

Diskaun 50% juga ditawarkan bagi buku Rudra Avatara (2008) sehingga tarikh yang sama. [MAKLUMAT LANJUT DI SINI]

Wartawan dan penulis yang mahu membuat ulasan/kritikan Kathakali di media cetak (akhbar dan majalah) atau media elektronik (radio dan televisyen) sudilah menghubungi saya untuk mendapatkan naskhah percuma.

Semua tawaran istimewa ini hanya sah sehingga 31 Mei 2009; dan buku Kathakali dijangka mula diedarkan (paling lewat) pada awal Jun 2009.

5 May 2009

Pencetak Kathakali

Saya menghantar manuskrip Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia kepada pencetak pada hari ini, 5 Mei 2009.

Saya yakin bahawa Dato' Thomas Iruthayam dari Percetakan Jaya (M) Sdn Bhd akan melakukan yang terbaik dalam menjayakan penerbitan buku ini.

Tahun lalu (2008), saya mengenali beliau melalui Datuk N. Marimuthu (Presiden FOMCA) yang tampil membantu menjayakan dan memungkinkan penerbitan Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia.

[BACA MENGENAINYA DI SINI]

Dato' Thomas memang bersikap profesional – berbeza dengan tanggapan dan sikap lazim sebahagian pemilik percetakan kaum India. Beliau juga ternyata tidak sekadar mementingkan keuntungan.

Semasa saya ke pejabat beliau pada Jun 2008, saya nampak cetakan komputer petikan dari laman web www.thesecret.tv yang berbunyi “Your wish is my command”.

Hari ini, saya masih sempat melihat bahan yang sama di atas meja beliau.

Sekiranya ada sesiapa yang mencari syarikat percetakan profesional, saya amat menyarankan mereka menghubungi Dato' Thomas. Nyatakan sahaja bahawa Uthaya Sankar SB menyarankan syarikat beliau.

Berikut maklumat perhubungan:

Dato' Thomas Iruthayam PPT, PJK
Percetakan Asas Jaya (M) Sdn Bhd
5 & 5B Tingkat 2, Jalan Pipit 2
47100 Bandar Puchong Jaya
Tel: 012 – 208 5522

4 May 2009

10 Minit Bersama KP PNM

Sempat berbual sekitar 10 minit bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Encik Raslin bin Abu Bakar hari ini.

Antara lain, saya memaklumkan mengenai Kathakali yang sedang dalam proses penerbitan.

Kami juga berbincang mengenai usaha-usaha memupuk minat membaca dalam kalangan Bangsa Malaysia. Kami sepakat bahawa minat membaca sebenarnya semakin meningkat.

Mengenai Kelab Membaca Sinar Pintar pula, usaha-usaha perlu diambil untuk menjadikannya lebih berjaya. Enci Raslin juga sedia maklum bahawa Kavyan sentiasa membantu mempromosi kelab berkenaan.

3 May 2009

Retorik Satu Malaysia

Membaca akhbar-akhbar harian secara dalam talian, saya mendapat gambaran jelas bahawa konsep “Satu Malaysia” (atau saya menggelarnya “Bangsa Malaysia”) masih kurang jelas dalam kalangan Rakyat dan pemimpin (wakil kerajaan).

Masing-masing melakukan serkap jarang dan percakapan retorik.

Semua pihak digesa memberi sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan konsep Satu Malaysia kerana konsep itu dikatakan menuntut kerjasama dan penglibatan seluruh rakyat Malaysia.

Ada pula pertubuhan tertentu yang mahu menemui Perdana Menteri berhubung isu Satu Malaysia kerana bagi mereka, isu-isu berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak harus dipertikaikan.

Di sisi yang lain, tidak lama lagi akan diperkenalkan konsep “Satu Belia” bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan gagasan Satu Malaysia!

Rasional yang diberikan adalah bahawa konsep Satu Malaysia tidak akan dapat dibina dalam tempoh yang singkat sekiranya golongan belia di negara ini yang berjumlah kira-kira 12 juta daripada 27 juta penduduk negara tidak disatukan.

Pada waktu yang sama, semua stesen televisyen di Malaysia digesa menerbitkan lebih banyak drama dan program yang berwajahkan Satu Malaysia; di mana stesen televisyen dikatakan perlu memastikan masyarakat sentiasa merasakan mereka juga sebahagian daripada program yang ditayangkan.

Kerajaan – atau wakil kerajaan – juga ketara tampil mengingatkan Rakyat supaya tidak terpengaruh dengan usaha beberapa pihak yang khabarnya cuba mengelirukan dan memutarbelitkan konsep Satu Malaysia.

Malah, khabarnya, ramai penulis blog mengemukakan pelbagai pandangan yang kadangkala berunsur negatif serta mampu menggugat kefahaman Rakyat terhadap konsep Satu Malaysia.

Wakil kerajaan jugalah yang melaung-laungkan bahawa konsep Satu Malaysia diperkenalkan kepada Rakyat sebagai satu strategi baru kerajaan untuk mengeratkan hubungan kaum bagi jangka masa panjang.

Konsep Satu Malaysia dilihat sebagai langkah yang terbaik dan paling relevan bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Perdana Menteri juga banyak kali menegaskan, gagasan Satu Malaysia adalah konsep yang mempunyai pengisian jitu dan bukannya kenyataan retorik politik semata-mata.

Beliau juga berjanji, konsep berkenaan akan diterjemahkan secara evolusi melalui proses tertentu dan tidak berlaku dalam satu malam sahaja.

Paling penting, semua pihak menerima idea Satu Bangsa (Satu Malaysia; Bangsa Malaysia) yang merupakan intipati konsep berkenaan tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Bagi meningkatkan kefahaman terhadap istilah Satu Bangsa (Satu Malaysia; Bangsa Malaysia), maka Rakyat perlu mempunyai keyakinan terhadap sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, dicadangkan pula supaya semacam “bank idea rakyat” diperkenalkan bagi mengumpulkan cadangan dan pandangan Rakyat dalam memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi cita rasa akar umbi.

Cadangan itu dilihat sebagai sejajar dengan gagasan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang sedang giat diterapkan di seluruh negara.

Membaca segala laporan media berhubung tindakan dan kata-kata (gesaan, saranan, cadangan) wakil Kerajaan, ternyata konsep serkap jarang dan retorik berbahasa masih menjadi amalan.

Siapa yang boleh membantu saya menjelaskan secara tuntas mengenai Satu Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri?
.

2 May 2009

Nothing But The Truth

Saya tidak tahu siapa Kate Beckinsale, Matt Dillon, Angela Bassett dan Alan Alda. Namun begitu, judul “Nothing But The Truth” menarik minat dan intelektualiti saya untuk menonton filem berkenaan pada 1 Mei 2009.

Walaupun berdasarkan kejadian sebenar, filem arahan Rod Lurie ini diolah secara bebas untuk memberikan kesan yang amat hebat dalam jiwa penonton yang mengharapkan karya bermutu dan mencabar minda.

Mana-mana individu yang terlibat dalam dunia kewartawanan (media cetak mahupun elektronik) wajar menonton filem ini, serta menilai diri sendiri.

Bagaimanapun, mereka yang hanya menjadi Pak Turut dan “agen kerajaan” tidak perlu membazir masa menonton filem ini. Suatu dialog penuh sindiran juga diselitkan dalam filem ini khusus bagi golongan seperti itu!

Dan bercakap mengenai kerajaan, sambil menonton filem “Nothing But The Truth,” saya sempat mencatatkan petikan dialog berikut yang diucapkan di mahkamah oleh watak Alen Brunside (Alan Alda); kemudian saya melakukan carian di internet untuk dialog lengkap:

“In 1972 in Branzburg v. Hayes this Court ruled against the right of reporters to withhold the names of their sources before a grand jury, and it gave the power to the Government to imprison those reporters who did. It was a 5-4 decision, close. In his descent in Branzburg, Justice Stewart said, 'As the years pass, power of Government becomes more and more pervasive. Those in power,' he said, 'whatever their politics, want only to perpetuate it, and the people are the victims.' Well, the years have passed, and that power is pervasive. Mrs. Armstrong could have buckled to the demands of the Government; she could've abandoned her promise of confidentiality. She could've simply gone home to her family. But to do so, would mean that no source would ever speak to her again, and no source would ever speak to her newspaper again. And then tomorrow when we lock up journalists from other newspapers we'll make those publications irrelevant as well, and thus we'll make the First Amendment irrelevant. And then how will we know if a President has covered up crimes or if an army officer has condoned torture? We as a nation will no longer be able to hold those in power accountable to those whom they have power over; and what then is the nature of Government when it has no fear of accountability? We should shutter at the thought. Imprisoning journalists; that's for other countries, that's for countries who fear their citizens, not countries that cherish and protect them. Some time ago, I began to feel the personal, human pressure on Rachel Armstrong and I told her that I was there to represent her and not her principle. And it was not until I met her that I realized that with great people there's no difference between principle and the person.”

Maklumat lanjut filem ini boleh dibaca DI SINI.

1 May 2009

Konvensyen Belia

Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Sembilan akan menganjurkan KONVENSYEN BELIA NEGARA 2009 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN pada 9 Mei 2009 (Sabtu) bertempat di Klana Resorts, Seremban.

Pegawai Pembangunan Sosial, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Hasnan bin Hashim dalam e-melnya kepada pihak Kavyan berkata, konvensyen tersebut akan dihadiri oleh 100 peserta yang terdiri daripada wakil badan gabungan Majlis Belia Negeri, Institutusi Pengajian Tinggi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Penyelaras Belia Dewan Undangan Negeri (DUN), NGO serta pertubuhan belia dan orang perseorangan.

Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB diundang membentangkan kertas kerja bertajuk “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan – Suatu Perspektif dan Analisis Kritis dari Kacamata Belia”

UNtuk maklumat lanjut mengenai KONVENSYEN BELIA NEGARA 2009 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN, sila hubungi Hasnan bin Hashim, Pegawai Pembangunan Sosial, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan melalui e-mel nan_pbsd@yahoo.com atau telefon bimbit 019-6225544.
.
Nota: Logo diambil dari Black Dragon Studio.