11 May 2009

Satu Malaysia: Rakyat Ajar Pemimpin?

Selepas saya membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009 di Kelana Resort, Seremban, tidak kurang yang menyatakan bahawa mereka masih tidak faham dengan konsep “Satu Malaysia”.

Secara mudah, saya memberitahu salah seorang peserta bahawa jika beliau “tidak faham”, maka itu tanda positif – kerana beliau telah mendengar pembentangan saya dan juga berfikir tentang konsep Satu Malaysia.

Ada juga peserta yang bertanya – secara amat logik – apa gunanya diadakan sebuah konvensyen jika belum ada sesiapa yang benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”.

Apatah lagi apabila para pemimpin sendiri perlu diberikan “panduan” oleh Jakim sebelum boleh bercakap mengenainya.

Dikemukakan juga cadangan: mengapa tidak kita semua sebagai Rakyat yang sebenarnya sudah sedia mengamalkan semangat “Satu Malaysia” tampil “mengajar” para pemimpin mengenai konsep sebenar Satu Malaysia.

Lalu saya simpulkan, itulah tujuan sebuah konvensyen: ada pembentangan kertas kerja, ada pandangan peserta dan akhirnya akan ada resolusi yang akan dicapai.

Resolusi itu nanti akan disampaikan kepada pihak berkenaan. Dan saya percaya perkara itu akan dilakukan pada atau sebelum sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei 2009.
.
Saya perlu bertanya kepada salah seorang Pegawai Belia dan Sukan Seremban apabila bertemu pada 26 Mei 2009 di Persidangan Khas Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban.