28 Jun 2011

Teruskan Perjuanganmu, Pak Samad!

28 Jun 2011 - Saya dan Kavyan menyokong perjuangan berani dan tegas Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Beliau tidak tunduk pada sesiapa. Beliau tidak membenarkan diri, minda dan suaranya diperkotak-katikkan, dimanipulasi dan diperkosa sesiapa.

Hal ini juga jelas sewaktu saya berbual bersama beliau yang merupakan Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) semasa Konvensyen Penulis di Shah Alam pada 26 Jun 2011.


Umum mengetahui bahawa Pak Samad disoal polis berhubung sebuah sajak yang dideklamasikannya baru-baru ini di sebuah acara. [BACA DI SINI]


Saya yakin dan percaya bahawa Gapena, Pena, Kalam, Kemudi dan kesemua persatuan penulis di Malaysia, serta kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang pernah menyertai perhimpunan di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 atas nama mempertahankan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain [BACA DI SINI] akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai menyokong Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Rakyat dan Negarawan Unggul berjiwa (dan berjanggut!) putih dan bersih.


Saya juga yakin dan percaya bahawa empat Sasterawan Negara (atau kini mungkin lima dengan adanya SN ke-11) yang pernah mengeluarkan kenyataan bersama pada 8 Mac 2011 akan mengeluarkan kenyataan serupa.


“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” [TEKS LENGKAP]


Namun, saya percaya bahawa tanpa sokongan daripada mana-mana pihak sekali pun, Pak Samad akan meneruskan perjuangannya; sebagaimana beberapa perjuangan berani beliau sebelum ini. Ingat lagi Mogok Seni dan Mogok Sastera?



Selamat berjuang, Pak Samad! Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperjuangkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.

27 Jun 2011

Interlok di Tamil Nesan


Kontroversi Novel Interlok: Siapa yang Meminda Apa yang Sudah Kami Pinda? – Tajuk berita utama di muka depan akhbar Tamil Nesan, 25 Jun 2011. Maklumat lanjut mengenai isi-isi yang disiarkan dalam berita yang ditulis oleh R. Raja boleh dirujuk DI SINI.

26 Jun 2011

Kerajaan Jangan Pinggir Penulis

SHAH ALAM, 26 Jun – Persatuan Paksi Rakyat (Paksi) memuji langkah tepat dan bijak yang diambil Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan serta Kerajaan Negeri Selangor mengadakan dan membuat sambutan Hari Ilmu pada setiap tahun.

Bagaimanapun, pertubuhan itu tetap menyelar sikap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang meminggirkan sumbangan dan peranan golongan penulis.


Presidennya, Che Shamsudin Othman (Dinsman) berkata, Hari Ilmu seharusnya mengingatkan orang ramai kepada ilmu itu sendiri iaitu bagaimana ilmu terjadi, berkembang, sampai kepada manusia dan bagaimana setiap insan boleh menjadi orang berilmu.


“Soalan-soalan ini tentunya membawa kita berfikir mengenai penulis, kerana penulislah yang bertanggungjawab dan berjasa merakam-kan ilmu, memeliharanya dan menyebarkannya,” katanya semasa menyampaikan Ucap Utama pada Konvensyen Penulis sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.


Ucap Utama bertajuk “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan” itu disampaikan pada konvensyen yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.


Che Shamsudin berkata, tanpa penulis, ilmu tidak akan berkembang, tidak mampu tersebar dan tidak juga dapat diwarisi zaman-berzaman.


“Tanpa penulis juga ilmu takkan dapat dimajukan dan dimanfaatkan oleh manusia, dan tanpa penulis juga dunia dan tamadun manusia takkan terjadi atau mencapai ke tahap seperti keadaannya hari ini.


“Golongan penulis, termasuklah juga para seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual, sudah lama dipinggirkan dan sudah lama terpinggir,” katanya.


Mengulas lanjut, Presiden Paksi berkata, orang ramai dan kerajaan persekutuan dan negeri lama lupa kepada jasa dan peranan penting golongan penulis serta meminggirkan golongan penulis, seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual.


“Maka, biarlah kesempatan Konvensyen Penulis ini digunakan untuk berdialog secara terus terang dengan Menteri Besar Selangor kerana hanya beliau yang boleh menyampaikan hasrat dan hajat penulis untuk mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya yang bernilai tinggi, bernilai ilmu, di negeri Selangor yang makmur ini.


“Semoga selepas ini, kalau Menteri Besar bersetuju agar seni-budaya dimajukan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk rakyat, seniman dan budayawan sudah ada dan bersedia untuk melaksanakan dan menjayakannya,” katanya sebagai meluahkan pandangan mewakili para penulis.



(Free Malaysia Today, 26 Jun 2011)

23 Jun 2011

Interlok: Bila mesyuarat ‘rahsia’ pinda pindaan?

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2011 — Wakil panel khas kaum India yang terlibat dalam urusan kajian pindaan ke atas novel Interlok kontroversial terkejut seolah-olah telah diadakan satu mesyuarat ‘rahsia’ bagi meminda perkara-perkara yang telah diputuskan tiga bulan lalu.

Laporan media hari ini memetik Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan untuk meminda hanya sesetengah bahagian telah dibuat pada satu mesyuarat jawatankuasa dan Kementerian Pelajaran mengikut apa yang telah diputuskan.


“Ia bukan satu isu. Mereka (MIC) dialu-alukan untuk berhubung dengan pejabat ketua pengarah (pelajaran). Salinan pindaan boleh diperoleh. Jika mereka mahu, mereka boleh dapatkan daripada kami,” kata Wee.


Sehubungan itu wakil panel khas berkenaan, Uthaya Sankar SB berkata, beliau terkejut dengan komen timbalan menteri tersebut seolah-olah telah diadakan satu pertemuan selepas mesyuarat terakhir dengan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir Mac lalu.


“Saya tertanya-tanya mesyuarat panel rahsia bawah tanah yang mana beliau (Wee) merujuk,” kata Uthaya Sankar dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. [BACA DI SINI]


Keputusan akhir telah diputuskan ketika pertemuan dengan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri pada 23 Mac, katanya.


Malah beliau juga berkata, Wee tidak terlibat dalam pertemuan tersebut sama ada ketika mesyuarat-mesyuarat panel bebas ataupun ketika mesyuarat akhir dengan Menteri Pelajaran pada 23 Mac.


“Tidak perlu disebut mesyuarat kontroversial dan bersifat manipulasi pada 16 Mac 2011,” katanya.


Tambah beliau, mana-mana mesyuarat yang diadakan selepas pengumuman oleh Muhyiddin mengenai novel Interlok Edisi Murid di Parlimen pada 24 Mac lalu diadakan untuk memastikan pindaan 106 perkara dilakukan sebagaimana telah dijanjikan.


“Oleh itu, saya tertanya-tanya dari mana Dr Wee mendapat maklumat tidak tepat sedemikian, yang disampaikan kepada media,” katanya lagi.


Uthaya Sankar juga berkata, walaupun Kementerian Pelajaran memutuskan bahawa akan mencetak semula novel berkenaan tetapi beliau tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “lakonan” mana-mana pihak.


“Kebimbangan dan wasangka rakyat adalah berasas kerana bermula 16 Mac 2011, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu untuk menipu dan memutar belit fakta berhubung senarai pindaan yang diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011.


“Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka) yang saya tunjukkan terhadap janji Kementerian Pelajaran untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid adalah amat berasas,” kata beliau. [BACA LEBIH LANJUT]


Katanya, pihaknya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan yang dikemukakan tiga wakil kaum India pada 28 Februari lalu dan diperakukan oleh panel bebas 4 Mac serta diterima oleh Menteri Pelajaran pada 23 Mac dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.


Kata Uthaya Sankar, perkara pertama yang mahu dilihat adalah bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dicetak pada kulit hadapan novel.


“Perkara lain berkaitan hak pengarang yang mahu saya pastikan adalah bahawa terdapat ‘© Abdullah Hussain 1971’ dan kenyataan ‘novel Interlok Edisi Murid adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005)’ serta ‘novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka’ pada Halaman Hak Cipta.


“Pada keseluruhannya, terdapat 106 pindaan yang perlu dilakukan seperti dipersetujui dan dijanjikan Kementerian Pelajaran,” kata beliau lagi.


Katanya, kesemua pindaan yang diperakukan itu harus dilakukan mengikut cara dan bentuk yang sudah dibincang dan dipersetujui semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac lalu.


(Manimaran, The Malaysian Insider, 23 Jun 2011)

Which Secret Panel Meeting?

“The decision (to amend only certain content [of Interlok Edisi Murid]) was made during the committee (panel) meeting so we only will follow that decision,” Datuk Dr Wee Ka Siong was reported saying in theSun, 23 June 2011.

I wonder which “underground secret panel meeting” he’s referring to!


The final decision was made during the meeting with the Education Minister on 23 March 2011. Dr Wee was not involved at all in any of the meetings: neither the Independent Panel meetings nor the final meeting with the Education Minister on 23 March 2011. Not to mention the controversial and manipulative meeting on 16 March 2011!


Any meeting by any quarter held after the Education Minister announced the decision regarding Interlok Edisi Murid at the Parliament on 24 March 2011 was – and must have been – solely to make sure all the 106 amendments were done accordingly as promised.


Therefore, I wonder where Dr Wee obtained such false information which he conveniently conveyed to the press. Please CLICK HERE to get your facts right, my dear friends.

22 Jun 2011

Interlok: Saya Tetap Wasangka

Akhbar The Star dan New Straits Times pada 22 Jun 2011 melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid yang dijadikan teks Komsas.

Keputusan itu tentunya selepas cadangan menggunakan “pelekat ajaib” seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011 mendapat bantahan Rakyat.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca kenyataan saya bertarikh 21 Jun 2011 berhubung perkara ini. Terdapat juga pautan ke laman maklumat tambahan berhubung kontroversi ini.

Kini, walaupun Kementerian Pelajaran khabarnya akan mencetak semula novel berkenaan, saya tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “lakonan” mana-mana pihak.

Kebimbangan dan wasangka Rakyat adalah berasas kerana bermula 16 Mac 2011, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu untuk menipu dan memutar-belit fakta berhubung senarai pindaan yang diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011.

Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka!) yang saya tunjukkan terhadap janji Kementerian Pelajaran untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid adalah amat berasas.

Pasti sahaja saya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India pada 28 Februari 2011 dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta diterima oleh Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Perkara pertama yang saya mahu lihat adalah bahawa “Sasterawan Negara Abdullah Hussain” dicetak pada kulit hadapan novel. (Novel berkenaan akan dicetak semula dengan kos RM5 senaskhah, seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 22 Jun 2011.)

Perkara lain berkaitan hak pengarang yang mahu saya pastikan adalah bahawa terdapat “© Abdullah Hussain 1971” dan kenyataan “novel Interlok Edisi Murid adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005)” serta “novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka” pada Halaman Hak Cipta.

Pada keseluruhannya, terdapat 106 pindaan yang perlu dilakukan seperti dipersetujui dan dijanjikan Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 106 pindaan yang diperakukan itu harus dilakukan mengikut cara dan bentuk yang sudah dibincang dan dipersetujui semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.

Pada lewat malam 21 Mac 2011, seorang wartawan akhbar Siasah menelefon saya dan mengatakan bahawa dia telah menghubungi seorang ahli Panel Bebas dan individu itu khabarnya memberitahu wartawan terbabit bahawa pindaan hanya melibatkan 19 perkara di 9 halaman novel Interlok Edisi Murid.

Saya tidak mahu membazir masa dan tenaga membantah atau membetulkan kenyataan orang lain. Sebaliknya, saya berpegang teguh pada keputusan rasmi dan janji Menteri Pelajaran. Kesemua 106 pindaan perlu dilaksanakan mengikut cara dan bentuk sebagaimana dipersetujui, serta buku dicetak semula sebelum digunakan sebagai teks Komsas.

Orang ramai juga boleh turut serta dalam proses memastikan kesemua 106 pindaan itu dilakukan sepenuhnya seperti dijanjikan. Sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas pada 28 Februari 2011.

Kemudian, orang ramai boleh melakukan semakan bagi memastikan bahawa kerja-kerja pemurnian sudah dilaksanakan sepenuhnya apabila buku dicetak. Jika masih ada unsur “lakonan” dan “penipuan”, maka Rakyat sendiri boleh menjadi Hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Kementerian Pelajaran (Kerajaan).

Sila maklum bahawa sejumlah 106 pindaan yang dinyatakan itu tidak semestinya melibatkan 106 halaman. Malah, tidak semestinya melibatkan pembetulan di 106 tempat sahaja.

Misalnya, penggunaan frasa “orang berkulit hitam” di halaman 251 minta ditukar kerana “menyentuh sensitiviti dan mengundang prejudis atau diskriminasi warna kulit” serta “tidak patuh pada syarat pemilihan buku teks seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran”.

Perkara itu sudah diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 dan dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.

Maka, setiap kali frasa “orang berkulit hitam” muncul secara yang tidak wajar untuk menggambarkan watak kaum India, perlulah secara automatik dimurnikan dalam novel Interlok Edisi Murid mengikut cara-cara yang sudah dibincang dan diputuskan dalam perbincangan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.

Untuk makluman, saya hanya boleh memperjuangkan 106 pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas. Saya tidak boleh berbuat apa-apa berhubung senarai saranan pindaan yang dikemukakan pihak lain dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 tetapi “ditarik balik” oleh orang sama semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 16 Mac 2011.

Dalam hal ini, mujurlah perkara-perkara berkaitan hak pengarang (nama pada kulit novel, hak cipta karya dan sebagainya) dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India. Maka, dapat terus diperjuangkan dan dipastikan akan dilaksanakan seperti dijanjikan.

Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperjuangkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.

Interlok: MIC kecewa pelekat ajaib diguna tutup perkataan sensitif

KUALA LUMPUR, 21 Jun – MIC kecewa dengan tindakan menggunakan pelekat - yang wakil panel khas kaum India menyifatkannya sebagai “pelekat ajaib” - bagi menutup perkataan-perkataan sensitif dalam buku teks sastera Interlok.

“Apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang mengecewakan,” kata Presiden MIC Datuk G Palanivel dalam satu kenyataan malam ini.


Kata Palanivel, jika tiada jaminan bahawa buku teks itu akan diedit dan dicetak semula, MIC akan membuat satu pendirian tegas termasuk meminta agar ia ditarik balik daripada digunakan di sekolah.


Kementerian Pelajaran telah menyerahkan tanggungjawab menyunting dan mencetak semula kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seterusnya dibekalkan untuk kegunaan pelajar tingkatan lima di zon dua.


Isu kontroversi Interlok yang dilihat sudah reda dengan keputusan tiga bulan lalu muncul semula dengan laporan media hari ini bahawa pendekatan pelekat khas akan digunakan untuk menyelesaikan sama sekali perkara tersebut.


Palanivel berkata sememangnya sudah ada persetujuan bahawa novel Interlok akan diedit secara total dan dicetak semula ekoran keputusan yang dicapai berkaitan pindaan tiga bulan lalu.


“Kami juga diberitahu bahawa MIC dan anggota panel kaum India akan diberikan versi yang sudah diedit terlebih dahulu (untuk diteliti sebelum dicetak),” kata Palanivel.


Bagaimanapun tambah beliau, apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang mengecewakan.


“MIC, anggota panel kaum India dan masyarakat India rasa malu dengan apa yang berlaku,” kata Palanivel lagi.


Difahamkan Palanivel juga telah berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu ini hari ini dan diberi jaminan bahawa buku teks kontroversial itu akan dicetak semula.


Dalam reaksi awal hari ini, salah seorang wakil panel khas kaum India dalam isu Interlok menegaskan pindaan menggunakan “pelekat ajaib” pada novel kontroversial itu bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan106 pindaan sebelum ini.


Uthaya Sankar SB berkata beliau ada mendengar khabar mengenai langkah menggunakan pelekat khas – “pelekat ajaib” kerana kedengaran lebih menarik – bagi memurnikan novel Interlok Edisi Murid.


Katanya, beliau tidak setuju bahawa pindaan menggunakan “pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan.


“Senarai pindaan yang dikemukakan oleh tiga wakil kaum India dalam panel bebas mengkaji pindaan novel Interlok pada 28 Februari lalu melibatkan pindaan bagi 106 perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum,” katanya.


Kata beliau, senarai 106 pindaan yang dikemukakan oleh tiga wakil kaum India diperakukan oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 4 Mac lalu.


“Bagi saya, keputusan menggunakan ‘pelekat ajaib’ bagi melakukan pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan kontroversi ini secara baik,” kata beliau. – Baca lagi DI SINI


(G Manimaran, The Malaysian Insider, 21 Jun 2011)

Interlok: Pelekat ditarik balik, Putrajaya janji cetak semula

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima, bagi meminda beberapa perkataan dalam novel itu.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik Bernama Online berkata, keputusan itu ekoran aduan daripada guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan tersebut dengan membuat tampalan pada perkataan-perkataan dalam novel berkenaan.


“Sebelum ini kita gunakan kaedah tampal perkataan-perkataan tersebut kerana kos dan perubahan tidak banyak sebab hanya sembilan muka surat sahaja yang terlibat,” kata beliau.


“Tapi oleh kerana sudah jadi isu, kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula.


“Jadi buku itu akan gugurkan terus perkataan paria, tiada tampal-tampal,” katanya.


Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang menyatakan tentang rungutan guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan perkataan dalam novel tersebut dengan menampal perkataan “paria” dengan perkataan lain yang sama maksud.


Menurut laporan itu, Puad berkata, penarikan dan pencetakan semula novel itu melibatkan 390,000 buah yang telah diedarkan di sekolah-sekolah menengah di zon tengah iaitu, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dan membabitkan kos kira-kira RM1 juta termasuk kos penghantaran.


“Kita tidak mahu membebankan guru-guru dengan kerja menampal ini dan kita juga mahu buku itu nanti datang dalam keadaan bersih, tidak ada kesan tampal-tampal,” katanya.


Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangi masyarakat India.


Kerajaan kemudian bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu. – “Saya Tetap Wasangka” … BACA DI SINI


(The Malaysian Insider, 22 Jun 2011)

“Pelekat ajaib” masih tak murnikan Interlok

Pindaan 9 halaman menggunakan “pelekat ajaib” dalam novel Interlok bertentangan dengan janji Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, dakwa panel pindaan novel itu Uthaya Sankar SB.

Sasterawan itu berkata, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran pada 23 Mac lalu bersetuju menerima kesemua 106 pindaan yang meliputi lebih 40 halaman dalam novel itu.

Justeru, Uthaya menyifatkan tindakan kementerian itu “boleh ditafsirkan sebagai ‘lakonan’ dan sekadar bertujuan mengabui mata rakyat”.


“Bagi saya, tindakan menggunakan ‘pelekat ajaib’ juga tidak membantu mengangkat maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong pada 1996,” katanya.

New Straits Times hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dalam pindaan terbaru, pihaknya akan menggunakan pelekat di 9 halaman yang berkenaan.

Menulis di blognya hari ini, Uthaya berkata, selagi kesemua pindaan yang diperakukan tidak dilaksanakan seperti dijanjikan, selagi itulah Interlok belum “dimurnikan”.

“Saya sedia menerima undangan untuk tampil memberi penerangan lanjut berhubung perkara ini kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang berminat mendapatkan penjelasan lebih mendalam berserta bukti berhubung kontroversi ini,” katanya. – Baca lagi DI SINI

(Norsyafinas Ahmad Sukri, Malaysiakini, 21 Jun 2011)

21 Jun 2011

"Pelekat Ajaib" Bukan Penyelesaian

Berikut kenyataan rasmi Uthaya Sankar SB pada 21 Jun 2011, jam 3:00 petang berikutan perkembangan terbaru dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid.

1. Pindaan menggunakan “pelekat ajaib” pada Interlok Edisi Murid (2010) adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan Menteri Pelajaran bagi 106 pindaan yang dikemukakan Wakil Kaum India.


2. Sebelum ini, saya mendengar khabar mengenai langkah menggunakan pelekat khas (saya namakan “pelekat ajaib” kerana kedengaran lebih menarik) bagi memurnikan novel Interlok Edisi Murid dan sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan itu.


3. Pada 21 Jun 2011, akhbar New Straits Times menyiarkan berita yang mengesahkan bahawa “pelekat ajaib” digunakan untuk melakukan pindaan pada sembilan halaman sahaja dan langkah mengerah tenaga guru-guru untuk melakukan kerja itu dikatakan lebih mudah (murah?) dan dikatakan sesungguhnya itu adalah kerja guru.


4. Saya tidak setuju bahawa pindaan menggunakan “pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan.


5. Senarai pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 28 Februari 2011 melibatkan pindaan (penyuntingan, pengguguran, penambahan, pembetulan) bagi 106 perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum.


6. Senarai 106 pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India (Profesor Dr NS Rajendran, G Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB) diperakukan oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 4 Mac 2011.


7. Orang ramai boleh menghubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan itu sebagai rujukan.


8. Pada 16 Mac 2011, jam 2:00 petang, Tiga Wakil Kaum India turut menghadiri “Perjumpaan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Karya SN Datuk Abdullah Hussain Bersama YAB Menteri Pelajaran” (tajuk surat bertarikh 15 Mac 2011) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Aras 3, Menara Parlimen. Pada mesyuarat itu, berlaku insiden tertentu yang akhirnya memaksa Tiga Wakil Kaum India berundur daripada Panel Bebas dan sila KLIK DI SINI untuk membacanya.


9. Pada jam 12:00 tengah hari, 23 Mac 2011, Tiga Wakil Kaum India memenuhi undangan ke perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Menteri Pelajaran) di Aras 3, Menara Parlimen. Sila KLIK DI SINI untuk membaca kenyataan berkaitan.


10. Pada perjumpaan 23 Mac 2011, Menteri Pelajaran bersetuju bahawa 87 daripada 106 saranan pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India diterima tanpa perlu dibahaskan dan kerja-kerja pindaan akan dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


11. Pada perjumpaan 23 Mac 2011, sejumlah 19 daripada baki saranan pindaan itu (106 – 87 = 19) dibincang dan dibahaskan. Akhirnya, kesemua 19 perkara itu yang menyentuh sensitiviti kaum dan melibatkan kesalahan fakta diterima untuk pindaan berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India.


12. Hal ini bermakna, jumlah pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta juga dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 adalah 106 perkara.


13. Hal berkaitan pindaan ini dibentangkan oleh Menteri Pelajaran di Parlimen pada 24 Mac 2011 dan sila KLIK DI SINI untuk membaca teks penuh untuk pemahaman secara mendalam agar tidak timbul kekeliruan.


14. Pada 25 Mac 2011, G Krishnabahawan dan saya mengadakan sidang media untuk menerangkan serta menjelaskan kepada wakil media, orang ramai, wakil parti politik dan wakil NGO mengenai 106 pindaan yang sudah dipersetujui Menteri Pelajaran dan bakal dilakukan. Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya.


15. Pada pagi 25 Mac 2011, sebelum sidang media bermula, kami berdua juga menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi Murid akan dicetak semula sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai teks Komsas. G Krishnabahawan turut mengumumkan perkara ini pada akhir sidang media dan kenyataan itu mendapat sambutan positif daripada hadirin.


16. Maka, kenyataan mewakili Kementerian Pelajaran sebagaimana disiarkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011 adalah bertentangan dengan apa yang dipersetujui dan dijanjikan Kerajaan kepada Rakyat.


17. Bagi saya, keputusan menggunakan “pelekat ajaib” bagi melakukan pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan kontroversi ini secara baik.

18. Saya menerima pertanyaan daripada sekian ramai anggota masyarakat India yang tertanya-tanya mengapa kenyataan yang saya kemukakan semasa sidang media pada 25 Mac 2011 sangat berbeza dengan realiti seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011.


19. Sekali gus, mereka mempersoalkan kredibiliti dan integriti saya sebagai individu yang pernah dilantik menganggotai Panel Bebas yang bersidang mulai 16 Februari 2011. [BACA DI SINI]


20. Bagi saya, tindakan menggunakan “pelekat ajaib” juga tidak membantu mengangkat maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong pada 1996.


21. Antara saranan pindaan yang dikemukakan dan diperjuangkan Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas adalah supaya nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dinyatakan pada kulit depan novel Interlok Edisi Murid; dan hak cipta karya perlu diberi atas nama pengarang di Halaman Hak Cipta.


22. Kami minta supaya perlu juga dinyatakan bahawa novel Interlok Edisi Murid (2010) adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005) dan bahawa novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka.


23. Bagi saya, sekiranya “pelekat ajaib” digunakan hanya untuk melakukan pindaan pada sembilan muka surat novel Interlok Edisi Murid seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011, maka segala apa yang dijanjikan dan dilakukan Kementerian Pelajaran sejak 27 Januari 2011 [BACA DI SINI] hanyalah apa yang boleh ditafsirkan sebagai “lakonan” dan sekadar bertujuan mengabui mata Rakyat.


24. Selagi kesemua 106 pindaan pada novel Interlok Edisi Murid yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 tidak dilaksanakan, selagi itulah novel itu belum “dimurnikan” seperti dijanjikan.



25. Saya sedia menerima undangan untuk tampil memberi penerangan lanjut berhubung perkara ini kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat mendapatkan penjelasan lebih mendalam berserta bukti berhubung kontroversi ini.

17 Jun 2011

Pelekat Interlok & Pilihan Raya

Terima kasih kepada ibu bapa dan orang awam yang menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian berhubung perkembangan berkaitan novel Interlok Edisi Murid.

Menteri Pelajaran sudah mengumumkan keputusan di Parlimen pada 24 Mac 2011 [BACA DI SINI] dan tugas seterusnya adalah tanggungjawab Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Panel Bebas Mengkaji Pindaan sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan [BACA DI SINI] dan apa-apa yang berlaku selepas tugas kami selesai adalah di luar batas dan bidang kuasa kami.

Pada 25 Mac 2011, sejurus sebelum Encik G Krishnabahawan dan saya mengadakan taklimat media di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, Encik Krishnabahawan menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri untuk memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi Murid akan dicetak semula dan diedarkan kepada pelajar. [BACA DI SINI]

Bagaimanapun, maklumat yang disampaikan kepada saya oleh ibu bapa dan masyarakat awam sejak beberapa hari lalu adalah bahawa Kementerian Pelajaran menyediakan pelekat yang akan digunakan untuk menampal bahagian-bahagian yang memerlukan “pindaan” pada novel edisi murid itu.

Untuk makluman bersama, terdapat 106 pindaan yang sudah diperakukan dan wajib dilaksanakan. Senarai 106 pindaan itu dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India iaitu Dr N. S. Rajendran, Encik G Krishnabahawan dan saya sendiri berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai sejak kami dilantik menyertai Panel Bebas pada Februari 2011.

(Manakala senarai pindaan yang dikemukakan oleh individu lain dalam Panel Bebas juga telah diperakukan tetapi mereka kemudian “menarik balik” senarai itu atas alasan yang tidak diketahui.)

Orang ramai yang berminat mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan yang diperakukan dan wajib dilaksanakan itu boleh menghubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan salinannya.

Maka, jika benar pelekat khas digunakan untuk “memurnikan” novel Interlok Edisi Murid, bolehlah orang ramai melakukan semakan bagi memastikan kesemua 106 pindaan sudah dilakukan.

Saya juga tidak tau bagaimana “operasi pelekat” akan dilaksanakan. Mungkinkah kerja-kerja melekat dilakukan kakitangan DBP? Atau diserahkan kepada guru-guru kerana mereka adalah “kakitangan awam” yang perlu “menurut perintah”? Atau diserahkan kepada pelajar sendiri untuk melakukannya? Saya tidak tahu.

Sila ambil perhatian bahawa Panel Bebas tidak ada sebarang kuasa dan tanggungjawab dalam proses pelaksanaan “pindaan” ini. Segala pertanyaan wajar diajukan kepada Menteri Pelajaran.

Bagaimanapun, selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy), saya sedia memberikan khidmat rundingan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.

Kepada mana-mana pihak yang khabarnya mahu mengambil tindakan “berpuasa hingga mati” dan sebagainya sebagai usaha “menentang” penggunaan novel Interlok Edisi Murid, jangan lupa implikasi undang-undang.

Kepada mana-mana pihak yang mengatakan bahawa mereka akan “mengundi demi perubahan” pada Pilihan Raya Umum Ke-13 semata-mata berikutan kontroversi Interlok Edisi Murid, sesiapa pun tidak boleh menghalang niat mereka kerana mengundi adalah hak dan terpulang pada kebijaksanaan sendiri dalam memilih calon/parti yang paling layak memerintah dan menentukan hala tuju negara.

Apa yang penting, jangan biarkan emosi mengatasi kewarasan.

14 Jun 2011

Tarikan ‘Kasino’ Saifullizan Tahir

Setelah novel sulungnya dilancarkan, Saifullizan Tahir “rasa macam bertelanjang 24 jam”. Demikian dicatatkannya pada ruangan status Facebook pada tengah hari 12 Jun 2011, sehari selepas Kasino (Fixi, 2011) dilancarkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.


Saya ada bertanya soalan sama kepadanya apabila kami bertemu untuk makan tengah hari di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 9 Jun, bertemu pada jamuan makan malam di rumah Duta Belanda pada 10 Jun serta sejurus sebelum dan selepas bukunya dilancarkan pada 11 Jun. [Sedikit catatan awal sebelum pelancaran novel DI SINI.]


Saya lakukan demikian bukan semata-mata kerana mahu melihat reaksi seorang penulis (published writer) tetapi lebih kepada reaksi yang telah beliau terima daripada rakan-rakan, keluarga dan pembaca berikutan penghasilan novel berkenaan yang bukan sebuah “novel arus perdana”.


Namun, nampaknya, sehingga petang 11 Jun 2011, belum ada reaksi “negatif” diterima kerana (mungkin) kelompok “Saya Benci Fixi” selaku “peminat nombor satu Buku Fixi” belum membaca novel berkenaan dan kumpulan “Saya Suka Kasino Tapi Benci Novel Kasino” belum memulakan operasi di Facebook.


Apa pun, saya perlu akui bahawa apa yang terkandung dalam Kasino mungkin membuatkan ramai orang dan banyak pihak mengurut dada dan mengeluh panjang. Saya juga amat memahami jika ada pihak yang memutuskan untuk tidak akan membaca novel Kasino sepanjang hayat.


Punca sebenar adalah kerana Kasino umpama sebuah cermin yang memantulkan citra si pembaca. Maka, siapa termakan cili, dialah yang bakal terasa pedasnya.


Sejak awal – semasa Kasino masih dalam bentuk manuskrip dan saya “mengerjakannya” atas nama “perunding” – saya memang sudah boleh membayangkan bahawa novel Kasino pasti berhadapan tentangan hebat dari pelbagai penjuru sebaik diterbitkan.


Namun, saya ada memberitahu Amir Muhammad selaku penerbit dan Saifullizan Tahir selaku penulis bahawa “tentangan” serta “reaksi negatif” yang (bakal) diterima terhadap Kasino adalah sesuatu yang wajar dan perlu dialu-alukan dengan tangan terbuka.


Bagi saya, sekurang-kurangnya novel Kasino membuka ruang untuk pembaca dan pihak tertentu mencermin diri, selain mula berdialog.


Benar, ada beberapa adegan dalam novel ini yang (mungkin) dianggap keterlaluan jika dilihat menggunakan teropong konvensional dalam dunia/industri penerbitan novel di Malaysia.


Namun, jangan kita lupa bahawa Buku Fixi menerbitkan pulp fiction dan bukannya buku Komsas bertemakan “1Malaysia”. Novel-novel terbitan Buku Fixi bukan teks wajib di sekolah atau universiti; sebaliknya boleh dibeli/dipinjam/dicuri dan dibaca atas kemahuan sendiri.


Pada masa sama, memanglah akan ada kelompok yang tetap mahu mencari kelemahan (baca: kelainan) dalam novel ini berbanding novel-novel yang mereka minati (baca: mampu miliki).


Bagi kelompok terdesak seperti itu, dapatkan sahaja senaskhah novel Kasino dan terus buka halaman 205 untuk melihat apa yang dicari.


Manakala “keluarga dekat-jauh, kawan rapat-renggang ... dan semua pembaca gila” boleh membaca Kasino bermula halaman pertama untuk mendapatkan suatu pengalaman pembacaan yang lain daripada yang lain.


Saya tidak mahu membandingkan Kasino dengan empat novel yang diterbitkan Buku Fixi sebelum ini. Tindakan membuat perbandingan seperti itu tidak wajar – dan tidak adil – kerana masing-masing ada keistimewaan tersendiri sebagai sebuah karya pulp fiction.


Untuk berlaku adil, pembaca tegar novel-novel Melayu perlu ingat bahawa Saifullizan Tahir bukan penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Sebaliknya, ini novel sulung yang dihasilkan oleh arkitek landskap bertauliah ini yang turut mengendalikan perniagaan pengurusan acara dan latihan di Damansara.


“Ini novel tunggal saya,” katanya apabila saya cuba merisik tentang rancangan menghasilkan novel kedua dan seterusnya.


Bagaimanapun, saya percaya bahawa pengarang berbakat ini yang menyambut hari jadi ke-40 pada hari ini (14 Jun 2011) tidak akan “puas” selepas merasai nikmat kali pertama.


Tambahan pula, Saifullizan pernah menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim, serta cerpen, sajak dan eseinya pernah disiarkan di Dewan Budaya, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.


Novel Kasino masih mempunyai banyak ruang yang memungkinkan kisah yang dipaparkan dalam novel setebal 280 halaman ini disambung. Akan tetapi, sebelum mengharapkan kelahiran Kasino II atau Catur atau apa sahaja judul yang sesuai, orang ramai perlu terlebih dahulu menikmati Kasino – tanpa perlu mengetahui dan/atau mengunjungi kasino.


Ahli politik dan badut politik tentu tertarik membaca novel ini kerana kisah yang dipaparkan adalah mengenai mereka. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pasti tertarik kerana kisah yang didedahkan adalah mengenai mereka.


Golongan artis, personaliti televisyen dan seumpamanya yang menganggap diri mereka glamour juga boleh cuba “mencari” watak-watak yang mewakili mereka dalam novel ini yang tidak cuba “menyembunyikan” realiti hidup manusia.


Individu Melayu-Islam wajar memberi perhatian terhadap novel ini kerana kisahnya adalah mengenai sekumpulan individu yang mungkin mewakili kelompok yang rapat dengan anda.


Wartawan Free Malaysia Today, Pragalath Kumar, mengulas novel Kasino [BACA DI SINI] dan sengaja melakukan provokasi berhubung pelbagai aspek berkaitan gambaran watak utama dalam novel itu sebagai individu yang mengamalkan cara hidup bertentangan ajaran Melayu-Islam, tetapi tetap berpegang pada ritual keagamaan.


Misalnya, sewaktu menginap di Hotel Crown Casino, Melbourne, Mohd Narcissus Yussof menggunakan minibar di dalam biliknya sebagai “panduan” untuk menentukan arah kiblat.


Nampaknya, tidak ada apa-apa atau sesiapa yang “terlepas” daripada diheret masuk ke dalam Kasino. Anwar Ibrahim, Rosmah Mansur, Mahathir ... PAS, UMNO, Pakatan Rakyat ... serta beberapa watak yang namanya ditukar tetapi pasti tidak sukar dicam oleh pembaca.


Tidak lupa juga kehadiran Dina Zaman, pengarang buku I Am Muslim (2007) sebagai watak sampingan (cameo) dalam novel ini. Manakala watak sampingan bernama Uthaya dalam novel ini adalah seorang pengurup wang berlesen, vegetarian dan gemuk; sekali gus tiada kaitan dengan diri saya.


Bercakap mengenai plot, kisahnya disusun mengikut urutan kronologi tarikh (15-28 September 2010). Teknik imbas kembali digunakan untuk menceritakan kisah lalu yang perlu diketahui oleh pembaca untuk memahami apa yang telah/sedang/akan berlaku.


Memandangkan catatan ini sudah melebihi 888 patah perkataan, elok saya tamatkan di sini. Saya faham bahawa anda juga mahu mula “mencari” gambaran watak anda dalam novel Kasino.

13 Jun 2011

Maaza & Abeer

Novelis kelahiran Ethiopia, Maaza Mengiste mengakui bahawa memang khalayak dan penerbit mengharapkan beliau menghasilkan karya berkaitan dan berlatarkan negara asalnya itu.

“Apabila melihat nama saya sebagai seorang pengarang yang berasal dari Ethiopia, orang ramai, khususnya di Amerika Syarikat, menganggap serta mengharapkan saya menulis kisah-kisah yang ada kaitan rapat dengan tanah kelahiran saya serta pergolakan yang berlaku di sana,” katanya semasa kami berbual sambil menikmati teh tarik di sebuah restoran berdekatan Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada petang 11 Jun 2011.


Pengarang novel Beneath the Lion’s Gaze (2010) itu mengakui bahawa novel sulung berkenaan memenuhi kriteria berkenaan iaitu berkisar revolusi dan pergolakan di Ethiopia pada awal 1970-an.


“Saya menulis Beneath the Lion’s Gaze bukan atas desakan, permintaan atau cadangan penerbit. Sebaliknya demi kepuasan diri serta keinginan merakamkan kisah yang berlaku di tanah kelahiran saya pada masa lalu.


“Saya mengutip pengalaman semasa kanak-kanak serta menambah dengan kisah yang saya dengar daripada ibu saya dan melakukan kajian mendalam bagi menghasilkan karya fiksyen ini yang banyak mengangkat fakta dan kejadian sebenar,” katanya yang turut terlibat dalam sesi diskusi sempena Writers Unlimited Tour di The Annexe Gallery, Pasar Seni pada sebelah pagi.


Pengarang wanita berumur 40 tahun ini pernah tinggal di Nigeria dan Kenya sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat. Beliau mengikuti pengajian penulisan kreatif di Universiti New York dan kini menjadi pensyarah di sana.


“Bagi saya, tidak adil untuk mengharapkan seorang penulis kreatif menghasilkan karya yang hanya berkaitan negara asal serta etniknya sendiri. Bagi seorang pengarang, tiada sebarang sempadan bagi daya kreativiti dan capaian bidang penulisannya,” kata Maaza yang datang ke Kuala Lumpur buat pertama kali bersama-sama Abeer Soliman (Mesir), Rodaan Al Galidi (Iraq/Belanda) dan Gunduz Vassaf (Turki).


Menceritakan mengenai sambutan terhadap novel Beneath the Lion’s Gaze, Maaza berkata, penduduk Ethiopia turut gembira dengan kelahiran sebuah karya yang merakamkan kisah yang berlaku di negara mereka.


“Saya sering diundang membaca petikan novel ini di negara asal saya dan saya berpeluang mendengar pelbagai pengalaman yang diceritakan pula oleh mereka. Maka, novel ini membuka ruang untuk mengenang sejarah penting bagi negara Ethiopia.


“Malah, saya juga menerima e-mel daripada remaja perempuan dari Ethiopia yang meluahkan rasa gembira dan bangga melihat kejayaan saya dalam kerjaya dan bidang penulisan. Saya bersyukur kerana mampu menjadi contoh kepada mereka,” katanya yang berkarya menggunakan Bahasa Inggeris.


Sementara itu, pengarang dari Mesir, Abeer Soliman menceritakan kecintaannya terhadap Bahasa Arab yang membantunya meluahkan emosi dan pandangan secara indah dan berkesan.


“Saya lahir, membesar dan belajar di pedalaman serta kurang terdedah pada Bahasa Inggeris. Hanya kemudian saya mempelajari bahasa itu dan kini amat gemar membaca karya-karya Bahasa Inggeris,” katanya yang turut sama minum teh tarik bersama-sama saya, Maaza dan wartawan portal berita dalam talian Free Malaysia Today, Pragalath Kumar.


Mengenai penulisannya pula, penulis Diary of an Old Spinster (2010) mengaku bahawa beliau menulis demi kepuasan diri kerana hanya selepas memuaskan tuntutan santapan minda sendiri maka seseorang boleh memikirkan untuk menyajikannya kepada khalayak.


Abeer berhasrat membuka mata dan minda orang ramai, khususnya golongan lelaki di Mesir, yang sering memandang rendah terhadap kedudukan dan kemampuan golongan wanita.


“Mengikut perangkaan rasmi, pada tahun 2009, sekitar 2,700 wanita Mesir membunuh diri kerana tidak mampu berdepan dengan pelbagai masalah dan cemuhan semata-mata kerana mereka lahir sebagai wanita,” kata wanita berumur 34 tahun ini yang juga kolumnis di akhbar Baladna dan agen sastera bagi Noon Organisation.


Menurut Abeer, 54 peratus penduduk Mesir berada di bawah paras kemiskinan tegar dan beliau cuba membantu mereka menerusi penglibatannya dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


“Antara program yang kami atur adalah berkaitan memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai hak mereka, isu berkaitan penderaan seksual dan keganasan rumah tangga, serta mengajar seni kraf kepada golongan wanita untuk membina keyakinan dan kemampuan berdikari,” katanya.


Abeer turut menulis lakon layar dan terlibat dalam dunia kewartawanan. Selain itu, beliau kini sedang melakukan kajian dan kerja-kerja mengumpul maklumat bagi novel yang sedang diusahakannya.


“Menulis memberi saya peluang untuk memotivasi diri serta memotivasi orang lain, khususnya golongan wanita di Mesir. Sejak perubahan dalam politik dan kepimpinan negara baru-baru ini, golongan wanita – khususnya generasi muda – turut menyedari tanggungjawab dan peranan mereka dalam sama-sama menyumbang ke arah pembinaan negara yang diimpikan,” katanya.


Foto: Abeer, Maaza, Rodaan dan Gunduz di Taylor’s University pada 10 Jun 2011.

12 Jun 2011

Thunder Demons

Dipika Mukherjee is confident that everything is going to be fine and she would not be detained under ISA and her novel Thunder Demons would not be banned in Malaysia.

She commented after reading the prologue of the novel during panel session as part of the Writers Unlimited Tour at The Annexe Gallery, Central Market, Kuala Lumpur on 11 June 2011.

“However, I am still looking for a Southeast Asian Publisher so that this book does not need to be smuggled into Malaysia,” she wrote on Facebook.

The Professor of Linguistics at Shanghai International Studies University, China was initially concerned that certain parts of the novel would make readers associate the events with certain insidents in Malaysia.

Thunder Demons is to be published by Gyaana Books in July 2011 and is expected to be on sale in India, Pakistan, Bangladesh and Sri Lanka.

Lawatan ke Beijing

Saya dijadual akan berada di Beijing, China pada 12-21 Julai 2011 atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd untuk mengutip pengalaman di sana bagi menghasilkan karya.

Dalam pada itu, hasil mesyuarat penyelarasan pada 9 Jun 2011, One Nusantara Sdn Bhd (selaku penaja) membenarkan saya menulis artikel bagi penerbitan lain; khususnya bagi portal berita dalam talian.


Maka, saya akan berusaha menghasilkan tulisan sekitar 800 patah perkataan berdasarkan pengalaman harian saya di Beijing. Tulisan itu akan disiarkan di portal berita yang berminat dan sudi memberikan saya ruang/peluang.


Atau akan disiarkan sahaja di blog saya untuk tatapan umum; dengan izin Tuhan.


Untuk makluman, saya belum pernah ke Beijing. Maka, pengalaman ini adalah sesuatu yang benar-benar baru bagi saya. Tentu banyak pengalaman yang mahu ditimba dalam masa sepuluh hari di sana.


Antara tempat yang dijangka akan dikunjungi termasuk Istana Musim Panas yang dibina Maharaja Qing Qianlong (1751), Zoo Panda, Masjid Nuijie, Dataran Tian An Men, Kota Larangan (Forbidden City), Masjid Madian, Wangfujing Donghuamen, Tembok Besar China, Stadium Olimpik Beijing dan Masjid Chaoyangmen.


Tentunya saya juga amat berminat – dan berharap dapat – bertemu rakyat tempatan (China) dan rakyat Malaysia yang berada di Beijing.


Saya tidak mahu pergi sebagai “pelancong” dan melihat tempat-tempat tarikan pelancong semata-mata. Sebaliknya, saya mahu bertemu penduduk di sana dan mendengar cerita mereka.