Dalam pada itu, hasil mesyuarat penyelarasan pada 9 Jun 2011, One Nusantara Sdn Bhd (selaku penaja) membenarkan saya menulis artikel bagi penerbitan lain; khususnya bagi portal berita dalam talian.
Maka, saya akan berusaha menghasilkan tulisan sekitar 800 patah perkataan berdasarkan pengalaman harian saya di Beijing. Tulisan itu akan disiarkan di portal berita yang berminat dan sudi memberikan saya ruang/peluang.
Atau akan disiarkan sahaja di blog saya untuk tatapan umum; dengan izin Tuhan.
Untuk makluman, saya belum pernah ke Beijing. Maka, pengalaman ini adalah sesuatu yang benar-benar baru bagi saya. Tentu banyak pengalaman yang mahu ditimba dalam masa sepuluh hari di sana.
Antara tempat yang dijangka akan dikunjungi termasuk Istana Musim Panas yang dibina Maharaja Qing Qianlong (1751), Zoo Panda, Masjid Nuijie, Dataran Tian An Men, Kota Larangan (Forbidden City), Masjid Madian, Wangfujing Donghuamen, Tembok Besar China, Stadium Olimpik Beijing dan Masjid Chaoyangmen.
Tentunya saya juga amat berminat – dan berharap dapat – bertemu rakyat tempatan (China) dan rakyat Malaysia yang berada di Beijing.