7 Feb 2013

Thunder Demons

Saya sentiasa memilih untuk membaca karya – cerpen dan novel – serta menonton filem atau siri televisyen yang memanfaatkan narrative hook.
 
Aspek “pancing naratif” merujuk pada kemampuan penulis/pengarah menarik dan mencengkam minat pembaca/penonton menerusi bahagaian awal karya berkenaan.
 
Malah, pada setiap bengkel cerpen yang saya kendalikan sejak 1994 – dan bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 1999 – teknik menulis perenggan awal cerpen memang diberi penekanan.
 
Teknik “pancing naratif” yang digunakan oleh Dipika Mukherjee dalam novel sulungnya, Thunder Demons (2011) menjadikan karya berkenaan menarik minat saya sejak halaman pertama.
 
Selain daripada teknik “pancing naratif”, pensyarah linguistik di Universiti Pengajian Antarabangsa Shanghai, China ini turut memanfaatkan unsur-unsur intertekstual yang menjadikan novel setebal 272 halaman ini begitu menarik untuk dibaca.
 
Seperti kata Preeta Samarasan (pengarang Evening is the Whole Day), Dipika berjaya mengadunkan kisah keluarga, kesetiaan, kenangan silam, cinta dan kasih sayang, serta pengaruh politik dalam kehidupan manusia biasa. Novel Thunder Demons pasti membantu kita untuk membuka mata dan melihat “hantu-hantu petir” (syaitan yang dikenali?) yang menguasai masa depan rakyat dan negara.
 
Kali pertama saya bertemu wanita berkaliber ini adalah sewaktu kami sama-sama diundang menyertai Writers Unlimited Tour di Kuala Lumpur pada Jun 2011. Pada sesi membaca teks di Universiti Taylor’s, Subang Jaya dan The Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur, beliau membacakan dua petikan berbeza daripada novel berkenaan.
 
Dipika mengakui bahawa beliau terasa agak bimbang untuk membaca petikan Thunder Demons kerana kisah yang diangkat dalam novel berkenaan – malah, sejak halaman pertama – mungkin mencetuskan kontroversi di Malaysia.
 
Kontroversi yang dimaksudkan bukanlah kerana adanya unsur seks, ganas dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Sebaliknya kerana menyentuh mengenai politik dan politikus – BACA DI SINI.
 
Sewaktu kami bertemu pada Jun 2011, novel berkenaan yang memasuki senarai panjang Man Asian Literary Prize 2009 belum diterbitkan oleh Gyaana Books, Dehli, India untuk diedarkan di India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Maka, saya hanya sempat membelek-belek naskhah pengarang yang beliau bawa bersama.
 
Akhirnya, saya menerima senaskhah Thunder Demons apabila saya dan Izni Rahim bertemu Dipika di Taman Tun Dr Ismail pada 21 November 2012. Maka, dapatlah saya mendalami novel penuh kontroversi itu sepenuhnya.
 
Dipika yang membacakan petikan prolog novel itu kepada khalayak di Kuala Lumpur pada Jun 2011 turut mengakui bahawa beliau bimbang jika ada pihak yang cepat melatah selepas mendengar petikan karya fiksyen itu.
 
Kisah bermula dengan watak Kolonel S – saya andaikan namanya “Syed” – yang bersiap-sedia untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh ketuanya. Turut hadir adalah watak “seorang menteri kanan dalam kabinet” serta “isterinya yang berdarah diraja, bertubuh gempal dan berambut merah”.
 
Walaupun Dipika menegaskan bahawa Thunder Demons hanya sebuah karya fiksyen yang tiada kaitan dengan mana-mana watak sebenar, bagi menghasilkan novel ini, beliau melakukan kajian mendalam mengenai sejarah dan isu-isu semasa di Malaysia menerusi pembacaan dan perbincangan bersama rakan-rakan.
 
Babak dalam bahagian prolog menampilkan peristiwa seorang wanita yang muda dan cantik diseret keluar dari sebuah kereta. Wanita itu khabarnya seorang penterjemah dan pakar tujuh bahasa.
 
Wanita yang jelita itu diikat matanya dan dibawa ke kawasan padang terpencil di Shah Alam. Sedikit demi sedikit, pembaca dimaklumkan bahawa juru bahasa itu pernah bersama-sama sekumpulan kroni kerajaan apabila mereka menguruskan tender pembelian sebuah kapal selam di Paris dan Madrid.
 
Maka, saya tidak hairan apabila Dipika pada Jun 2011 melahirkan kebimbangan apabila diminta membaca prolog novel ini pada acara di The Annexe Gallery. Tidak mustahil bahawa pembaca tempatan akan segera mengaitkan fiksyen ini dengan apa-apa insiden sebenar yang dikatakan berlaku dalam negara.
 
Untuk berlaku adil, biar saya nyatakan secara jelas bahawa watak wanita jelita yang diseret keluar dari dalam kereta itu adalah warga Tibet. Bahan letupan C4 dililit pada leher dan tubuhnya oleh Kolonel S sambil diperhatikan dengan penuh minat oleh isteri kepada menteri kanan tersebut.
 
Bahagian prolog berakhir dengan peristiwa tragis yang sudah dapat kita bayangkan: Wanita jelita itu ditembak sebelum tubuhnya diletupkan sehingga mayatnya berkecai dan bertaburan.
 
Dalam bab pertama, kita diperkenalkan dengan watak bernama Agnibina yang bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) – Dipika melakukan kesilapan menulis “KL” sebagai “Kuala Lumpur” – kerana terdapat insiden seorang lelaki tua yang muncul tiga kali seminggu atas tujuan yang tidak diketahui.
 
Kisah pada bab kedua berlaku dua bulan selepas jelitawan Tibet dibunuh dan mayatnya diletupkan di Shah Alam. Diperincikan bagaimana kes itu ditutup hasil campur tangan politik. Turut disentuh tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan untuk “menutup mulut” sesiapa yang berani memperkatakan mengenai insiden itu.
 
Pembaca diberitahu mengenai hubungan antara Kolonel S dan Profesor Jay Ghosh. Jay yang berumur hampir 50 tahun dan tinggal di Boston akhirnya akur pada pujukan Kolonel S supaya pulang ke Malaysia.
 
Jay juga sebenarnya ada agenda peribadi untuk kembali ke tanah air. Dia teringat akan Shanti yang merupakan rakannya sejak zaman kanak-kanak. Sedikit demi sedikit – khususnya bermula halaman 28 – pembaca akan tahu apa yang dimaksudkan dengan “thunder demons” yang dijadikan judul novel ini.
 
Apakah kaitan dan hubungan antara Kolonel S, Jay, Shanti, Agnibina, Manjula Sharma dan Abhik dalam kisah kompleks ini? Malah, pasti sahaja pembaca akan terus “terpancing” untuk mengetahui kisah yang melibatkan seorang menteri kanan dan isterinya serta beberapa politikus yang bebas melakukan apa sahaja demi kepuasan diri.
 
Watak-watak pelbagai kaum dan agama ditampilkan secara adil menerusi novel ini yang ditulis dalam Bahasa Inggeris tetapi diselitkan pelbagai frasa Bahasa Malaysia.
 
Konsep “Bumiputera” dan “Bumiputeri” serta beberapa demonstrasi melibatkan laungan “Freedom Rakyat” dan “People Power” (Makkal Sakthi) juga digambarkan secara berjaya menerusi fiksyen ini yang boleh dibaca dan dikaji pada pelbagai lapis makna. Malah, boleh dijadikan teks kajian sosio-politik pada peringkat universiti.
 
Novel 44 bab ini dibahagikan kepada tujuh bahagian yang dilabel sebagai “Monday”, “Tuesday” dan seterusnya. Maka, bagi pembaca yang merungut tidak ada masa, bolehlah membaca satu bahagian sehari dan masih mampu menghabiskan pembacaan novel ini dalam masa seminggu.
 
Atau boleh juga dibaca dalam masa 45 hari (termasuk bahagian prolog). Bagaimanapun, Dipika menangani novel ini dengan “pancing naratif” yang sangat berjaya sehingga rata-rata pembaca tidak akan puas selagi belum menghabiskan keseluruhan novel.
 
Novel ini sudah dan sedang hangat diperkatakan di China, India, Thailand, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Dipika turut mengadakan sesi bersama pembaca di beberapa universiti tempatan sewaktu datang ke Malaysia pada November lalu.
 
Saya memilih untuk tidak mendedahkan terlalu banyak “rahsia” mengenai kisah-kisah dalam novel ini. Biarlah Dipika terus memancing perhatian anda menerusi naratifnya yang memukau.
 
[Novel ini boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman sesawang Amazon atau hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut. Makalah ini ditulis pada 5 Disember 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]