30 Apr 2009

Kugan

Entah mengapa, pagi ini saya tiba-tiba teringat akan A. Kugan, pemuda berusia 22 tahun yang ditahan pada 15 Januari 2009 di Balai Polis Taipan, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang dan kemudian mati semasa dalam tahanan pada 20 Januari 2009.

Pada 6 April 2009, 10 panel jawatankuasa bebas siasatan kes kematian itu mengesahkan punca kematian Kugan adalah disebabkan paru-paru berair akibat radang jantung dan keadaannya diburukkan lagi oleh kecederaan berganda setelah mangsa dipukul dengan objek tumpul.

Bagaimanapun, khabarnya, tiada bukti menunjukkan berlakunya kecederaan dalaman dan keretakan tulang rangka.

29 Apr 2009

Malaysian Gods

Sewaktu bertemu Amir Muhammad pada [11 April 2009], saya sempat bertanya kepada beliau mengenai filem “Lelaki Komunis Terakhir” arahan beliau yang tidak ditayangkan di Malaysia.

Amir memaklumkan bahawa “Malaysian Gods” akan ditayangkan pada Mei 2009 dan filem dokumentari berkenaan membawa penonton ke lokasi-lokasi dan pengalaman era Reformasi (1998/99).

Terbaru, saya mendapat maklumat di Facebook bahawa “Malaysian Gods” akan ditayangkan secara PERCUMA di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada 7 Mei 2009 (Khamis), 8:15 malam.

Selepas tayangan filem dokumentari dalam Bahasa Tamil selama 70 minit, akan berlangsung diskusi yang khabarnya akan disertai Elizabeth Wong (PKR), Arul (PSM) dan (mungkin) seorang wakil Pemuda UMNO.

Saya berharap akan dapat menghadiri tayangan “Malaysian Gods”. Kita berjumpa di sana!

Tahniah, Datuk Johan Jaffar!

Secara kebetulan saya sedang menonton Buletin Utama (TV3) pada malam 28 April 2009 dan berpeluang mendapat maklumat bahawa Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Johan Jaffar dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif baru Kumpulan Media Prima di mana pelantikan itu berkuatkuasa 30 April 2009.

Tahniah, Datuk!

Untuk makluman, Media Prima memiliki NSTP yang menerbitkan akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro; selain memiliki empat stesen televisyen swasta iaitu TV3, 8TV, TV9 dan NTV7 serta dua stesen radio iaitu Hot FM dan Fly FM.

28 Apr 2009

Yaavarum Nalam

Selain filem “Alai Payuthey” (2000) dan “Kannathi Muttamital” (2002), saya hanya menghormati dan menghargai lakonan Madhavan dalam filem “Anbe Sivam” (2003) dan “Evano Oruvan” (2007).

Filem terbaru yang menarik perhatian saya dan memenuhi tuntutan intelektual adalah “13B” @ “Yaavarum Nalam” (2009).

Memanglah filem seram ini ada sedikit persamaan dengan “The Ring” tetapi ternyata berjaya membawa pembaharuan dalam industri filem Tamil; serta membuktikan bahawa Madhavan sebenarnya seorang pelakon berbakat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Madhavan, sila KE SINI.
.

27 Apr 2009

Penantian Rakyat di Penanti

Berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Pulau Pinang meletak jawatan pada 16 April 2009, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada 27 April 2009 bahawa penamaan calon akan diadakan pada 23 Mei 2009 dan pilihan raya kecil pula pada 31 Mei 2009.

Biro Politik UMNO yang akan bersidang “dalam masa terdekat” pula dijadual membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil berkenaan.

Saya berharap, sekiranya UMNO tidak mahu meletakkan calon, serahkan peluang itu kepada MIC – khusus untuk Datuk Seri S. Samy Vellu bertanding bagi “membuktikan” kemampuan dan ketokohan beliau di mata Rakyat.

Biarlah ada pertandingan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat supaya Rakyat mendapat “habuan”; seperti yang berlaku di Bukit Selambau – BACA DI SINI.

Kathakali: ISBN

International Standard Book Number (ISBN) bagi buku Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia diperoleh hari ini.

Sewaktu saya ke Pusat Kebangsaan ISBN, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), urusan saya dipermudahkan oleh Encik Ishak Awang.

ISBN bagi Kathakali adalah 978-983-40562-5-4 dan maklumat buku ini boleh dibaca DI SINI.

26 Apr 2009

Menara KL

Sempat membawa anak-anak ke Menara Kuala Lumpur.

Sepatutnya pergi minggu lalu tetapi terpaksa dibatalkan kerana bertungkus-lumus menyiapkan bahan siaran Bencana@1.

Foto-foto yang dirakam semasa lawatan ke Menara Kuala Lumpur boleh dilihat di Facebook.
..

Aktiviti Hari Buku

Aktiviti Kelab Membaca Sinar Pintar diadakan pada 23 April 2009 di SK Taman Sri Muda (2), Shah Alam Alam. Maklumat boleh dibaca DI SINI.

Aktiviti ini anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) sempena Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa (2 April) dan Hari Buku Sedunia (23 April).

Foto-foto yang dirakam semasa aktiviti berkenaan boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

Mana-mana pihak yang berminat menganjurkan taklimat dan aktiviti Kelab Membaca Sinar Pintar bolehlah menghubungi pihak Kavyan.

25 Apr 2009

Pengantar Kathakali

Saya sedang dalam proses menerbitkan kumpulan cerpen persendirian saya yang seterusnya; dan dijangka terbit pada Julai 2009.

Pada “Pengantar” kumpulan cerpen ini, saya mahu memuatkan pandangan ikhlas beberapa individu yang pernah membaca karya-karya saya.

Pandangan yang dikemukakan adalah bebas. Komen membina dan kritikan membina juga dialu-alukan.

Panjang pandangan yang diberi adalah sekitar 50-60 patah perkataan sahaja. Jika terlalu panjang, maka akan dipendekkan atau ditolak terus.

Pandangan mesti menggunakan Bahasa Malaysia.

Jika berminat, sila dapatkan MAKLUMAT LANJUT DI SINI.
...

Bengkel Pendidikan Moral SPM

Bengkel Pendidikan Moral SPM anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 12 April 2009.

Foto-foto yang dirakam semasa aktiviti berkenaan boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai ”rakan” boleh mengakses ke ”album foto” yang disediakan.

Maklumat dan syarat mengenai bengkel berkenaan boleh dibaca di Blog Kavyan dan jika berminat menyertai bengkel-bengkel pada masa hadapan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my maklumat lanjut.
...

23 Apr 2009

Episod Terakhir

Selepas menangani Bencana@1 sebanyak dua episod, pada 23 April 2009, saya memutuskan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai penerbit rancangan berkenaan yang disiarkan dalam slot Galeri Perdana@1 pada Isnin, 10:30 malam.

Sebenarnya, seronok menerbitkan Bencana@1; khususnya apabila saya berpeluang bekerja bersama-sama sekumpulan anak muda yang mempunyai semangat dan aspirasi yang tinggi.

Malangnya, selalu sangat individu-individu yang tidak pernah terlibat langsung dalam penerbitan Bencana@1 sejak hari pertama, tiba-tiba boleh menjadi pakar yang hanya bijak mencari kelemahan.

Apa yang pelik, golongan inilah juga yang tidak pernah menghadiri mesyuarat penerbitan dan tidak pernah menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan.

Sebaliknya, boleh pula masuk campur pada saat-saat akhir untuk merosakkan segala perancangan yang dibuat selama seminggu.

Sekumpulan anak muda yang terlibat secara langsung dalam penerbitan Bencana@1 juga sudah hilang semangat apabila kumpulan manusia yang tidak pernah membantu, tiba-tiba tahu pula mencari kelemahan pada saat-saat akhir.

Kalau benar-benar mahu dan tahu membantu, kenapa tidak muncul sebelum ini?

Saya sudah memaklumkan kepada Ketua Unit bahawa saya tidak lagi meneruskan kerja sebagai penerbit Bencana@1.

Maka, saksikanlah episod kedua dan terakhir Bencana@1 yang saya terbitkan pada Isnin, 27 April 2009, 10:30 malam di TV1.

Itu pun jika bahan yang disediakan tidak dimusnahkan oleh golongan tertentu!
.

22 Apr 2009

SK Taman Sri Muda 2

Sempena Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa (2 April) dan Hari Buku Sedunia (23 April), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan aktiviti Kelab Membaca Sinar Pintar di SK Taman Sri Muda 2, Shah Alam.

Maklumat seperti berikut:

Tarikh: 23 April 2009 (Khamis)

Masa: 8:00 pagi – 10:00 pagi dan 1:30 tengah hari – 3:00 petang

Tempat: SK Taman Sri Muda 2, Jalan Cermat 25/36, Taman Sri Muda, Seksyen 25, 40400 Shah Alam

Penceramah: Uthaya Sankar SB

Aktiviti: Kempen galakan membaca, bercerita, berpantun, menjawab soalan kuiz, kempen ahli Kelab Membaca Sinar Pintar dan penghayatan sastera kanak-kanak

Penyelaras: Cikgu Hamsiah Juki (014-8330007)

Krew Berita TV RTM dijadual hadir membuat liputan untuk disiarkan dalam segmen “Peristiwa” yang diterbitkan oleh Uthaya Sankar SB.

Ibu bapa, guru, wakil perpustakaan dan orang ramai dijemput hadir untuk memberi sokongan terhadap usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Wakil media diundang hadir membuat liputan; sekali gus memberi sokongan moral dan semangat kepada generasi muda yang mengambil bahagian.

Maklumat mengenai Kelab Membaca Sinar Pintar boleh dirujuk DI SINI.

21 Apr 2009

Sedar Tak Sedar

Sedar tak sedar, sudah hampir enam bulan saya menjadi Penerbit Rancangan B41 (Kontrak JPA) di Jabatan Penyiaran Malaysia.

Tentulah tempoh enam bulan yang saya nyatakan ini tidak termasuk tempoh kerja sebagai pegawai sambilan sejak 2 Julai 1996.

Sedar tak sedar, saya sekarang bekerja 16/7 – bekerja hampir 16 jam sehari; selama 7 hari seminggu!

Tidak perlulah merujuk pada jadual – ia hanya hiasan dinding.

Sedar tak sedar, gaji saya adalah pada tahap 8/5 – dikira bekerja 8 jam sehari; selama 5 hari seminggu.

Kalaulah saya boleh membuat tuntutan kerja lebih masa, tentu saya kaya-raya! Malangnya gaji B41 statik; berbanding B27 yang boleh membuat tuntutan kerja lebih masa.

Menyesal belajar tinggi-tinggi!
..

20 Apr 2009

Mohon Restu Orang Ramai

Rancangan “Galeri Perdana @ 1” setiap Isnin, pukul 10:30 malam, di TV1, mulai 20 April 2009 mengkhusus pada operasi liputan Unit Bencana RTM.

Rancangan selama 30 minit ini pada dasarnya memuatkan liputan berita berkaitan bencana alam di dalam dan luar negara. Baca sedikit makluman paling awal DI SINI.

Segala komen mengenai siaran Bencana@1 boleh dikemukakan di blog Unit Bencana RTM dan komen terpilih akan disiarkan pada episod akan datang.

Penerbitan Bencana@1 ditangani sepenuhnya oleh sekumpulan anak muda yang bersemangat tinggi. Baca sedikit catatan mengenai mereka DI SINI dan DI SINI.

Senarai lengkap tenaga penerbitan Bencana@1 akan dimuatkan di blog Unit Bencana RTM dalam masa terdekat.

Sila ambil perhatian bahawa maklum balas, komen, sokongan serta cadangan yang dikemukakan oleh para penonton di blog Unit Bencana RTM mampu menentukan hayat Bencana@1.

Hal ini demikian kerana Bencana@1 pada dasarnya hanya dirancang untuk disiarkan sehingga pertengahan Jun 2009.

Sokongan padu orang ramai sebagai Rakyat yang prihatin pasti boleh membantu memanjangkan hayat rancangan Bencana@1.

Jadi, komen dan sokongan yang diberikan oleh penonton amat bermakna. Malah, komen terpilih akan disiarkan dalam Bencana@1 pada 27 April 2009.

Sementara itu, Bencana@1 pada 20 April 2009 (Isnin), 10:30 malam di TV1 menampilkan Uthaya Sankar SB sebagai penerbit dan pengacara.

Kandungan siaran Episod 1 tertumpu pada rangkuman bencana alam Januari-Mac 2009; serta liputan banjir di Melaka dan Banting, Selangor baru-baru ini.

Jangan terlepas peluang menyaksikan klip khas di hujung siaran!

Orang ramai boleh menyampaikan berita dan maklumat mengenai kejadian bencana alam (seperti banjir, tanah runtuh dan ribut) di tempat masing-masing dengan menghubungi Unit Bencana RTM di talian 03-2282 7448.

Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Rumah Eksekutif, Angkasapuri, Kuala Lumpur beroperasi 24 jam sehari.

Unit Bencana RTM juga beroperasi di RTM setiap negeri. Maklumat mengenainya akan dikemas kini di blog Unit Bencana RTM dari semasa ke semasa.

19 Apr 2009

Alahai! His Story

Saya baru sahaja berkunjung ke laman 1Malaysia yang kononnya @ khabarnya diselenggarakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tahniah!

Kalau selama ini YAB terkebelakang 24 jam berbanding Rakyat, kini masa di laman berkenaan telah diubah; saya percaya, bukan oleh YAB sendiri tetapi oleh think tank beliau yang ternyata amat lambat menyedari kesilapan – walaupun selepas saya menghantar mesej untuk memaklumkan kesilapan itu. [BACA DI SINI]

Tahniah!

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini terkedepan 6 minit berbanding Rakyat.

Wahai Rakyat Jelata! Sila betulkan masa anda.
.

18 Apr 2009

Bencana@1

Pada waktu saya membuat catatan ini, penolong penerbit saya sedang sibuk dan tekun membuat suntingan terakhir bagi program “Bencana@1” yang dijadual akan disiarkan di TV1 pada Isnin, 20 April 2009, pukul 10:30 malam.

Bagi saudara yang menontonnya nanti, jangan terkejut apabila melihat montaj “Galeri Perdana@1” digunakan bagi siaran bahan-bahan Unit Bencana RTM itu nanti.

Semua itu keputusan pihak atasan dan saya hanya mengikut arahan.

Selepas menonton siaran sulung pada 20 April 2009, harap sudi mengemukakan komen, cadangan dan pandangan membina menggunakan aplikasi “komen” (comment) di hujung catatan ini.

Sekurang-kurangnya komen itu boleh menjadi rujukan dan panduan. Atau boleh dijadikan bukti bahawa ada orang menonton rancangan khas berkaitan Unit Bencana RTM.
.
Untuk makluman, saya bertindak sebagai penerbit dan pengacara.

Rancangan ini hanya dijadualkan “hayat” sehingga Jun 2009. Mungkin sokongan penonton – melalui komen di blog ini – boleh membantu mengubah nasib dan takdir.

Selaku penerbit “Bencana@1”, saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada sekumpulan staf baru di Unit Bencana RTM: Mohammad Noor Mat Aroff (Penolong Penerbit), Lim Fheng Fheng (Penolong Penerbit), Mohd Suhaimie Md Jaman (Pembantu Penerbit), Nurul Norashikin Abu Sha’ari (Pembantu Penerbit), Noor Akmar Aziz (wartawan), Mohd Shamsul Ishak (wartawan), Nawwar Raidah Aris (wartawan), Darshini Sanmugam (wartawan).

Sekiranya berlaku bencana alam di tempat saudara, hubungi segera Bilik Operasi Unit Bencana RTM di 03-22827448 atau 012-3368142. Dan sila bersedia memberikan maklumat asas yang diperlukan untuk membolehkan Unit Bencana RTM membuat liputan.
...

Tahniah & Takziah!

Tahniah kepada para penduduk dan pengundi berdaftar di Penanti, Pulau Pinang kerana berpeluang mendapat habuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri jika pilihan raya kecil diadakan di sana berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.

Sebelum ini, saya pernah mengucapkan tahniah kepada penduduk di Bukit Selambau dan Bukit Gantang [BACA DI SINI] dan mereka ternyata mendapat pelbagai habuan hebat daripada Kerajaan Persekutuan; khususnya di Bukit Selambau di mana saya sendiri berpeluang membuat tinjauan dari dekat.

Apapun, penduduk Penanti perlu juga bersedia dengan kemungkinan mereka hanya terpaksa “menanti” kerana Kerajaan Persekutuan pada kali ini – dengan andaian pilihan raya kecil tetap diadakan – tidak pula mengeluarkan perbelanjaan besar untuk “memancing undi” Rakyat.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilaporkan berkata bahawa Rakyat pada umumnya tidak suka jika pilihan raya kecil diadakan. (Bacalah di akhbar-akhbar hari ini.)

Sebagai seorang Rakyat biasa, ingin saya nyatakan bahawa kami sebagai Rakyat ada kalanya terpaksa menanti dan bergantung pada pilihan raya kecil untuk melihat pembangunan sebenar dilaksanakan (oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berwajib) di tempat kami.

Kalau YAB Perdana Menteri tidak percaya, lakukanlah lawatan ke beberapa tempat di mana pilihan raya kecil pernah diadakan.

Saya masih ingat, di Bukit Selambau, ada penduduk yang memberitahu saya bahawa mereka amat berterima kasih kepada V. Arumugam kerana melepaskan jawatan ADUN – kerana pilihan raya kecil dapat diadakan dan Rakyat di Bukit Selambau boleh “merasa” sedikit habuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pagi tadi, saya sedang berbual-bual dengan Hemantha Kumar mengenai perkembangan di Penanti.

Pandangan yang dikemukakan oleh Kumar amat logik: kalau benar bahawa pilihan raya kecil hanya membazir wang, tunggu sahaja sehingga tarikh penamaan calon. Kalau Pakatan Rakyat sudah mengemukakan borang pencalonan, Barisan Nasional tidak perlu menghantar borang penamaan calon.

Maka, tidak timbul soal pembaziran wang. ADUN Penanti memberi pelbagai alasan mengapa dia melepaskan jawatan. Ternyata dia tidak layak menjadi ADUN. Maka, biarlah ada orang lain yang memikul tanggungjawab berkhidmat kepada Rakyat.
.
Untuk mengelakkan pembaziran wang, Barisan Nasional tidak perlu bertanding. Calon bebas juga tidak perlu bertanding.

17 Apr 2009

Satu Malaysia

Saya selalu menulis mengenai konsep “Bangsa Malaysia” kerana konsep itu memang menjadi pegangan dan impian saya.

Pandangan saya yang dilahirkan dalam pelbagai makalah dan kertas kerja boleh juga dibaca di ruang siber.

Malah Kavyan mengangkat serta memartabatkan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” sejak ditubuhkan pada Ogos 1999.

Sekitar pukul 8:10 malam, 16 April 2009, saya dihubungi oleh sdr Noor Azam Shairi yang mengundang saya menjadi salah seorang panel untuk membincangkan topik “Satu Malaysia: Pandangan Anak-anak Muda Malaysia”.

Khabarnya, perbincangan itu akan disiarkan secara langsung pada 8:00 malam, 17 April 2009 (Jumaat) menerusi Astro Awani (Saluran 501).

Saya perlu bercukur sebelum pergi!

16 Apr 2009

Tahniah!





Hujan adalah rahmat. Nampaknya banjir juga membawa rahmat!

Beberapa kawasan di Melaka serta beberapa kawasan di Banting, Selangor mengalami banjir semalam (15 April 2009).

Idzham Adi Sidik yang kebetulan berada di Melaka telah menunjukkan sikap proaktif dengan menghubungi RTM Melaka serta membuat liputan banjir secara berterusan untuk siaran TV1 dan radio sejak tengah hari hingga malam.

Bagi banjir di Bukit Changgang, Banting pula, Lim Fheng Fheng dan Nurul Norashikin Abu Sha’ari menawarkan diri untuk pergi membuat liputan. Sementara Lim menguruskan laporan berita untuk siaran radio sehingga tengah malam, Shikin pula membuat liputan untuk berita televisyen.

Pada waktu yang sama, Noor Akmar Aziz dan Mohd Shamsul Ishak menguruskan bahan-bahan untuk siaran Bencana@1 (Galeri Perdana@1) pada Isnin, 20 April 2009, 10:30 malam. [BACA DI SINI]

Darshini Sanmugam dan Nurul Akmar Annual membantu menguruskan bahan-bahan visual, grafik dan voicecast daripada wartawan lokasi.

Mohammad Noor Mat Aroff dan Mohd Suhaimie Md Jaman pula membuat perancangan bagi rakaman compere yang akan dibuat esok; serta memikirkan soal-soal kreativiti bagi menjayakan Bencana@1.

Semua ini mereka lakukan sebagai tambahan kepada tugas-tugas hakiki yang sedia ada!

Mereka juga sudah sedia menunjukkan komitmen dan minat untuk terlibat dalam penerbitan (pra dan pasca) Bencana@1 (Galeri Perdana@1).

Ringkasnya, saya amat berbangga dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh staf baru Unit Khas dan Unit Bencana RTM yang menyertai kami pada 2 Mac 2009.

Tahniah dan terima kasih, ikhlas daripada Pak Cik Uthaya Sankar SB.
..

15 Apr 2009

Tiket Percuma Iruvar II

Pusat Komuniti ERA yang beribu pejabat di Petaling Jaya menawarkan tiket percuma untuk menonton drama pentas Bahasa Tamil bertajuk “Iruvar II” pada 16 April 2009 (Khamis), 8:15 malam di Auditorium Taman Budaya, Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur.

Untuk mendapatkan tiket percuma ini, sila hubungi segera talian 03-78747680 (Cik Vaani).

Drama pentas “Iruvar II” karya dan arahan S. T. Bala telah dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada awal Mac 2009 dan mengangkat tema kesan penceraian terhadap anak-anak.

Antara pelakon yang menjayakan drama pentas ini ialah Gunaseelan Ramalingam, Sauriyammal Rayappan, Kisukumar Armum, Rajmagan U Aye Maung, Saravanes Gunasekaran dan Juliana Jescintha Malar.

Maklumat lanjut mengenai “Iruvar II” boleh DIBACA DI SINI.
...

Satu Malaysia vs Satu Kaum

Dua perkara yang menarik perhatian menghiasi dada kebanyakan akhbar hari ini. Kedua-duanya amat kontras.
.
Pertama, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan betapa beliau adalah Perdana Menteri bagi semua komuniti/kaum; serta beliau terus berusaha membina "Satu Malaysia".
.
Pada masa yang sama, seorang ahli politik menyifatkan "kaum Bukan Melayu" sebagai melakukan tuntutan yang keterlaluan serta menjejaskan kekuatan politik kaum Melayu.
.
Ada beberapa perkara yang menghairankan saya.
.
Pertama, ada akhbar yang lebih mengutamakan berita "Satu Kaum" dan menyiarkannya sebagai berita paling utama di muka depan berbanding berita mengenai "Satu Malaysia" (Bangsa Malaysia).
.
Kedua, kalau kita memang sudah sedia "kuat", mengapa kita perlu takut pada orang yang kita sendiri ikut sedap mulut labelkan sebagai "pendatang" dan "lemah"?
.
Teringat saya akan peribahasa dalam kalangan kaum India yang membawa maksud, "orang yang penakut akan mengatakan ada hantu di setiap ruang gelap".
.
Tepuk dada, tanya selera. Siapa termakan cili, dia terasa pedasnya.
.

14 Apr 2009

Selamat Tahun Baru!

Selamat Tahun Baru Chitirai (Tamil), Vishu (Malayali) & Vaisakhi (Punjabi).

Raikanlah dengan semangat Bangsa Malaysia sambil mengekalkan jati diri.

Saya berharap, para "Pemimpin Satu Malaysia" & "Media Satu Malaysia" tidak mengabaikan tradisi golongan minoriti.

Dan bercakap mengenai hal seperti itu, mengingatkan saya pada pengalaman hitam pada masa lalu berkaitan Tahun Baru Ugadi (Telegu).

Untuk membaca mengenai insiden yang berlaku pada 7 April 2008, SILA KLIK DI SINI. Untuk maklumat mengenai Onam yang diraikan masyarakat Malayali, sila KLIK DI SINI.
...

13 Apr 2009

Bencana@1

Program “Bencana@1” akan disiarkan di TV1, 10:30 malam, mulai 20 April 2009 (Isnin).

Program 30 minit ini bakal memuatkan pelbagai segmen khusus mengenai bencana alam serta penglibatan Unit Bencana RTM dalam membuat laporan dari lokasi.

Turut dimuatkan, imbasan mengenai beberapa bencana yang berlaku pada masa lalu; misalnya tsunami (2006), Highland Towers (1993) dan Bukit Antarabangsa (2008).

Program “Bencana@1” diterbitkan oleh Uthaya Sankar SB dan tidak menampilkan pengacara seperti yang lazim dilakukan. Sebaliknya, wartawan setiap segmen/laporan akan membuat “stand-upper” bagi segmen masing-masing dalam program rakaman ini.

Untuk makluman, Unit Bencana RTM ditubuhkan pada 6 November 2008 dan dirasmikan pada 30 Disember 2008.

Orang ramai di seluruh negara boleh menghubungi Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur melalui talian 03-22827448 untuk menyampaikan maklumat mengenai sebarang bencana alam bagi tujuan liputan berita dan program “Bencana@1”.
..

Pendidikan Moral SPM

Bengkel Pendidikan Moral SPM yang dianjurkan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 12 April 2009 (Ahad) mendapat sambutan yang menggalakkan.

Jumlah peserta memang telah dihadkan dalam kumpulan yang kecil kerana pembimbing mahu memberi tumpuan penuh kepada semua peserta.

Antara lain, peserta diberi tunjuk ajar mengenai cara-cara mengingat kesemua nilai yang perlu diketahui untuk menjawab soalan peperiksaan.

Peserta turut didedahkan dengan format peperiksaan terkini serta cara menjawab soalan dengan betul.

Bengkel Pendidikan Moral SPM ini akan diadakan lagi pada masa akan datang dalam usaha membantu pelajar yang mahu cemerlang dalam mata pelajaran berkenaan.

Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa di Laman Aktiviti Kavyan.
..

12 Apr 2009

Easter

Kepada rakan-rakan beragama Kristian, Selamat Menyambut Hari Easter dengan semangat Bangsa Malaysia.
.
Kekalkan jati diri dan hargailah kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

Seminar Kampung-kampungan

Pernahkah anda menghadiri sebarang seminar peringkat kebangsaan dan kemudian amat kecewa kerana seminar itu sebenarnya hanya bertaraf kampung-kampungan?

Saya mengalami perasaan itu sewaktu menghadiri Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja bertema “Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja Penyumbang Kesusasteraan Melayu” anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 April 2009 (Khamis).

Seminar berkenaan – bagi saya – hanya gah pada nama. Kandungan kertas-kertas kerja amat mengecewakan.

Kebanyakan pembentang adalah pelajar Sarjana di UPM. Ada juga mahasiswa (Sarjana Muda) dan pelajar Ijazah Kedoktoran. Bagaimanapun, daripada kandungan kertas kerja dan cara penyampaian, tahap kesemuanya sama sahaja – hampir menyamai pelajar kolej swasta berumur 18 tahun yang pernah saya ajar semasa menjadi pensyarah.

Apa pun, buku program (atur cara) yang diberikan amat cantik!

Alahai!

Sebentar tadi, saya ke laman 1Malaysia yang digembar-gemburkan sebagai laman yang dikendalikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya pernah mengirim komen dan meminta kesilapan tarikh dibetulkan - BACA DI SINI. Namun, sehingga kini, beliau dan think tank beliau masih ketinggalan 24 jam. Alahai!

Sayang!

Pernahkah anda menghadiri sebarang acara kecil-kecilan dan merasakan betapa acara berkenaan sebenarnya layak diadakan secara besar-besaran dan mendapat sokongan pihak berwajib?

Saya mengalami perasaan itu apabila menghadiri tayangan lima filem pendek arahan lima pengarah filem generasi muda pada 11 April 2009 (Sabtu) di Jalan Khalsa off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

[Rujuk judul filem pendek berkenaan di sini]

Tayangan diadakan di sebuah khemah biasa yang dipasang di luar rumah salah seorang pengarah filem terbabit.

Khabarnya tayangan seperti ini diadakan setiap tahun sejak empat tahun lalu.

Betapa ruginya sesiapa yang tidak berpeluang menonton kelima-lima filem pendek yang ditayangkan!

Betapa sayang, filem-filem pendek yang amat bermutu ini hanya ditayangkan di dalam khemah di luar rumah!

Mungkin mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengangkat filem-filem dan karya seni bermutu yang dihasilkan oleh Bangsa Malaysia akan memberi perhatian.

Apa pun, saya akui bahawa hanya jauhari yang mengenal manikam.

Oh, ya! Selamat bertugas, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

11 Apr 2009

Tokoh Muda Politik Kaum India

Pada pukul 7:50 malam, 10 April 2009, saya menerima SMS ringkas bertulis “TQ Sir” daripada Senator T. Murugiah.

Pada petang 9 April 2009, saya telah mengirim SMS serba ringkas bertulis “Tahniah!” kepada beliau berikutan pelantikan semula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah “Kabinet Satu Malaysia” yang diterajui YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya turut mengirim SMS yang sama kepada Senator A. Kohilan Pillay yang dilantik Timbalan Menteri di Kementerian Luar.

Terus-terang, saya tidak mengenali Senator T. Murugiah secara peribadi; sebagaimana Senator A. Kohilan Pillay yang pernah saya temubual melalui telefon bagi program khas Deepavali di Bernama Radio24 pada Oktober 2008.

Saya juga sentiasa bersikap apolitikal kerana tidak mahu terikat dengan ideologi mana-mana parti politik.

Bagaimanapun, Senator T. Murugiah dan Senator A. Kohilan Pillay merupakan antara ahli politik muda kaum India yang saya berusaha untuk ikuti perkembangan mereka.

Ahli politik muda dari MIC yang menarik perhatian saya pada masa kini ialah T. Mohan, Ketua Pemuda Kebangsaan.

Saya menghormati mereka bertiga bukan berdasarkan parti politik yang mereka wakili tetapi atas semangat, citra dan aspirasi generasi muda Bangsa Malaysia yang dapat saya kesan pada penampilan diri dan pemikiran mereka.

Saya telah meminta bantuan Hemantha Kumar dan Gopal Singam untuk mengatur pertemuan dengan ketiga-tiga tokoh berkenaan dalam masa terdekat.

Sebarang hasil pertemuan akan saya laporkan di blog ini dari semasa ke semasa.

* Apakah kekaguman dan harapan itu kekal lama? ... MUNGKIN ADA JAWAPAN DI SINI

10 Apr 2009

Kathakali: Pengenalan

Kathakali memuatkan 16 cerpen Bahasa Malaysia yang ditulis khusus bagi khalayak berusia 15-21 tahun.

Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini menampilkan teknik, gaya dan persoalan yang mencabar minda serta memaksa pembaca berfikir secara kritis dan di luar corak pemikiran konvensional.

Uthaya Sankar SB meneruskan tradisi menghasilkan karya bermutu sebagai santapan minda bagi khalayak yang dahaga akan ilmu dan bahan bacaan yang memberi kepuasan mental dan intelektual.

Kathakali menampilkan citra dan aspirasi generasi muda Bangsa Malaysia dari kaca mata salah seorang sasterawan terpenting di Malaysia.

Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia: Kathakali dijadual terbit pada Julai 2009.

9 Apr 2009

Kabinet Satu Malaysia

Barisan “Kabinet Satu Malaysia” yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang 9 April 2009 (tarikh di alam nyata; bukan di alam 1Malaysia):

PERDANA MENTERI: Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin
. .

Tiket Percuma ke Menara KL!

Ingin meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan di Menara KL pada hujung minggu?

RTM menawarkan tiket percuma (bernilai RM38.80) kepada orang ramai untuk menonton rancangan “Santai di Menara Kuala Lumpur bersama Hezry” pada Sabtu, 11:00 malam.

Bagaimanapun, tiket berkenaan boleh digunakan sejak pagi hari berkenaan dan pemilik tiket boleh menikmati lawatan percuma ke pelantar pemandangan menara berkenaan.

Berminat? Hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my. Setiap e-mel yang diterima akan dijawab. Jika tidak dijawab, maknanya e-mel yang dikirim tidak sampai ke inbox saya.

Atau hubungi saya melalui talian 012-3368142. SMS tidak dibalas. Jika saya tidak menjawab panggilan, maknanya saya sedang sibuk dengan kerja.

PM Terkebelakang 24 Jam!

Ramai Rakyat Malaysia yang kecewa apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengumumkan “Kabinet Satu Malaysia” pada Rabu, 8 April 2009 seperti yang telah diharapkan.

Saya juga pada mulanya berperasaan demikian; khususnya apabila mendengar di Bernama Radio24 (93.9 FM) bahawa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengumumkan “Kabinet Satu Malaysia” pada petang Khamis, 9 April 2009.

Bagaimanapun, saya segera teringat apa yang ada saya lihat sendiri di laman www.1Malaysia.com.my dan boleh dianggap sebagai “lidah rasmi” YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ruang maya.

Pada pagi semalam (8 April 2009), sementara menunggu pengumuman “Kabinet Satu Malaysia” oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya sempat melayari http://www.1malaysia.com.my/ dan mendapati bahawa tarikh yang tertera adalah Selasa, 7 April 2009 – tepat 24 jam lewat daripada masa sebenar di alam nyata!

Sebagai seorang Rakyat yang prihatin dan amat sinis/kritikal, saya segera menghantar mesej menggunakan kemudahan “Hubungi Kami” yang memaparkan kata-kata “Kami value your feedback. Terima kasih for the interest in 1Malaysia. Sila sertakan your comments and suggestions, please fill in the form below” dan bertanya “Adakah Perdana Menteri terkebelakang 24 jam berbanding Rakyat?”

Sebagai Rakyat yang prihatin juga, saya menyemak semula http://www.1malaysia.com.my/ pada pagi Khamis, 9 April 2009 (tarikh di alam nyata, bukan di alam maya Perdana Menteri Malaysia) dan mendapati bahawa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih terkebelakang 24 jam!

Maka, saya membuat keputusan bahawa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak “lewat” dalam mengumumkan “Kabinet Satu Malaysia” kerana bagi beliau (atau sekurang-kurangnya di alam maya beliau di http://www.1malaysia.com.my/) tarikh “Kabinet Satu Malaysia” diumumkan adalah pada 8 April 2009, seperti yang telah dikatakan sebelum ini.

Wahai Rakyat Jelata! Sila betulkan tarikh anda!

8 Apr 2009

Filem Pendek Generasi Baru Kaum India

Saya berpeluang menonton filem pendek “Machai” sewaktu bertemu Shanjhey Kumar Perumal di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 20 Mac 2009 [BACA DI SINI] serta berpeluang menonton episod sulung “Tuppariyum Puli” arahan beliau di TV2 pada 6 April 2009 [BACA DI SINI].

Saya mendapat maklumat mengenai “4th Short Film Party” pada 8 April 2009; sewaktu sedang menunggu pengumuman senarai “Kabinet Satu Malaysia” oleh Perdana Menteri.

4th Short Film Party” akan berlangsung pada 11 April 2009 (Sabtu), pukul 7:30 malam di Lot 521, Jalan Khalsa, off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selain daripada filem komedi “Machai” (Shanjhey Kumar Perumal), turut dijadualkan untuk tayangan adalah “Obstacles” (Sathiya Varman; komedi), “Chellam” (Denes Kumar; drama), “13:17” (Sasitharan Rajoo, thriller) dan “War of Roses” (M.S. Prem Nath; drama).

Saya berharap akan dapat hadir sama – bukan sahaja untuk menonton filem-filem berkenaan – tetapi juga untuk bertemu rakan-rakan Shanjhey yang tentu sahaja “sekepala” dengannya.

Saya juga berharap – jika masa mengizinkan – Shanjhey akan menayangkan filem pendek “Thaipoosam” yang berbicara sepenuhnya melalui visual.

Maklumat lanjut mengenai “4th Short Film Party” boleh diperoleh dengan menghubungi talian 012-6088743 atau 012-2345183.

Kabinet "Satu Malaysia"

Kabinet baru akan diumumkan hari ini (8 April 2009) dan saya ingin melihat wajah “Satu Malaysia” pada Jemaah Menteri pilihan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Biarlah terbukti bahawa konsep dan semangat sebenar “Satu Malaysia” (Bangsa Malaysia) bukan hanya perlu diamalkan oleh Rakyat tetapi juga oleh pemimpin tertinggi negara.

Tidak mustahil, keputusan pilihan Rakyat pada pilihan raya kecil yang berlangsung semalam (7 April 2009) turut memberi mesej tertentu kepada Perdana Menteri pada saat-saat akhir beliau memuktamadkan senarai Menteri Kabinet.

7 Apr 2009

Kathakali

Jualan dan pengedaran Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia: Rudra Avatara amat memberangsangkan.

Daripada 3,000 naskhah kulit lembut (paperback) yang dicetak pada Julai 2008, kini tinggal sekitar 500 naskhah sahaja dalam simpanan saya.

(Edisi kulit keras sebanyak 500 naskhah pula lebih banyak digunakan sebagai cenderamata dan hadiah.)

Walau bagaimanapun, tidak pula bermakna bahawa saya sudah menjadi kaya dengan menerima bayaran bagi jualan sekitar 2,500 naskhah Rudra Avatara.

Sebenarnya, wang yang sudah diterima melalui jualan buku semasa majlis pelancaran digunakan untuk menampung kos aktiviti Kavyan serta pelbagai kos lain.

(Foto-foto yang dirakam semasa majlis pelancaran boleh dilihat di Facebook.)

Bagi buku-buku yang diedarkan menerusi pengedar, bayaran hanya akan diterima selepas beberapa bulan.

Pada masa yang sama, saya masih berhutang kepada pencetak.

Saya merancang untuk membereskan sepenuhnya bayaran kepada pencetak selewat-lewatnya pada akhir Mei 2009; walaupun saya diberi masa sehingga akhir Jun 2009 untuk berbuat demikian.

(Pencetak yang menguruskan Rudra Avatara memang amat profesional dan efesien. Amat saya sarankan kepada sesiapa yang memerlukan khidmat pencetak profesional dengan harga yang amat berpatutan.)

Seterusnya, apabila bayaran bagi kos mencetak Rudra Avatara sudah dibereskan, saya akan menerbitkan Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia: Kathakali yang memuatkan cerpen-cerpen yang sesuai bagi bacaan umum; khususnya remaja akhir (17-19 tahun).

Jadi, selepas membaca Rudra Avatara, nantikan kemunculan Kathakali menjelang Julai 2009!

5 Apr 2009

Durian Runtuh vs Penabur Janji

Saya pernah mengucapkan tahniah kepada penduduk Bukit Gantang dan Bukit Selambau di blog ini sebaik sahaja selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pilihan raya kecil akan diadakan di kedua-dua kawasan berkenaan.
.
Saya nyatakan demikian secara terbuka kerana suatu "rahsia" yang diketahui umum adalah bahawa penduduk @ pengundi di kawasan yang terlibat dengan pilihan raya kecil pasti menerima pelbagai habuan daripada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan parti-parti politik yang bertanding.
.
Kalau selama ini tiada jalan bertar, dalam masa 24 jam sahaja akan ada jalan bertar (soal jalan itu hanya tahan selama beberapa bulan adalah topik lain).
.
Kalau selama ini segala rungutan dan "suara" Rakyat tidak sampai ke telinga pemimpin, kini pemimpin sendiri turun padang, mengetuk pintu dan menghulur bantuan.
.
Kalau selama ini tidak ada "tokoh" politik yang menjenguk penduduk miskin, terbiar dan tertindas, maka menjelang pilihan raya kecil, akan berpusu-pusulah mereka "meluangkan masa" untuk membuktikan bahawa mereka sesungguhnya adalah "pemimpin berjiwa Rakyat".
.
Saya nyatakan demikian tanpa merujuk pada mana-mana individu atau mana-mana parti politik. Dan saya juga merujuk khusus pada pilihan raya kecil.
.
Peluang saya berada di Bukit Selambau selama beberapa hari menjelang Pilihn Raya Kecil Bukit Selambau turut memberikan saya peluang untuk mengesahkan kepada diri sendiri bahawa hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa nasib Rakyat tiba-tiba terbela menjelang pilihan raya kecil.
.
Cuma, kali ini, pihak "penabur janji" juga mula menjadi sebijak Rakyat.
.
Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 membuktikan bahawa Rakyat bijak membuat pilihan serta bijak "memakan umpan" iaitu menerima habuan yan diberikan oleh mana-mana parti politik tanpa perlu terikat untuk mengundi calon parti berkenaan pada tarikh mengundi.

Kini, "penabur janji" juga mula menjadi "sedikit bijak" dengan memberitahu Rakyat bahawa pelbagai "habuan" akan diberikan selepas 7 April 2009.
.
Secara tidak langsung, "mengugut" Rakyat atau memberi "rasuah" kepada Rakyat.
.
Bagaimanapun, parti politik dan kerajaan negeri/pusat tiba-tiba ada pelbagai peruntukan untuk membantu Rakyat. Maka, diberikanlah bantuan itu dan bantuan ini dalam usaha memancing undi.
.
Nasihat saya: jadilah pengundi yang bijak. Makanlah umpan dengan hati-hati. Selamat mengundi!

4 Apr 2009

Foto Seribu Kata

Di sebalik kesibukan 15 calon serta para "penyokong" mereka berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau pada 7 April 2009, ada pelbagai kisah pinggiran yang wajar turut diberi perhatian.

Kata orang, sekeping gambar/foto mampu menceritakan apa yang boleh dikisahkan melalui seribu kata.

Maka, pada 4 April 2009, saya sempat merakamkan 60 foto khusus untuk dimuatkan di Facebook. Tentu sahaja foto-foto ini tidak sama dengan apa yang mungkin dirakam oleh jurufoto profesional, tetapi sekurang-kurangnya menceritakan apa yang sempat saya lihat di kawasan berkenaan.

Foto-foto berkenaan boleh dilihat di Facebook pada album bertajuk "Kewartawanan Foto". Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

Harap sudi mencadangkan tajuk yang sesuai bagi foto-foto yang meninggalkan kesan pada jiwa anda.

2 Apr 2009

DUN Bukit Selambau

2 April 2009, Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa. Saya berada di Sungai Petani, Kedah untuk aktiviti bahasa dan sastera.

Bagaimanapun, alang-alang berada di Sungai Petani, saya tidak mahu melepaskan peluang turut merasai suasana kempen Pilihan Raya Kecil N025 DUN Bukit Selambau yang menyaksikan 15 calon bertanding.

Agak menarik juga kerana saya tinggal di Hotel Swiss yang turut menempatkan wartawan dan krew media dari RTM. Maka, dapatlah saya “tumpang sekaki” untuk menyaksikan sendiri susana di sekitar Sungai Petani dan Bukit Selambau secara apolitikal.
Saya cuba melihat suasana “perang poster” dari sudut mata saya sendiri tanpa mewakili mana-mana organisasi.

Foto-foto yang dirakam berkaitan kempen pilihan raya kecil boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

1 Apr 2009

Bengkel Moral SPM

Pelajar Tingkatan 4 dan 5 dipelawa menyertai Bengkel Pendidikan Moral SPM pada 12 April 2009 (Ahad), 9:30 pagi – 2:00 petang di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan ini menampilkan guru berpengalaman yang akan memberikan panduan kepada peserta mengenai teknik memahami subjek Pendidikan Moral peringkat SPM.

Maklumat lanjut: SILA KLIK DI SINI