23 Apr 2009

Episod Terakhir

Selepas menangani Bencana@1 sebanyak dua episod, pada 23 April 2009, saya memutuskan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai penerbit rancangan berkenaan yang disiarkan dalam slot Galeri Perdana@1 pada Isnin, 10:30 malam.

Sebenarnya, seronok menerbitkan Bencana@1; khususnya apabila saya berpeluang bekerja bersama-sama sekumpulan anak muda yang mempunyai semangat dan aspirasi yang tinggi.

Malangnya, selalu sangat individu-individu yang tidak pernah terlibat langsung dalam penerbitan Bencana@1 sejak hari pertama, tiba-tiba boleh menjadi pakar yang hanya bijak mencari kelemahan.

Apa yang pelik, golongan inilah juga yang tidak pernah menghadiri mesyuarat penerbitan dan tidak pernah menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan.

Sebaliknya, boleh pula masuk campur pada saat-saat akhir untuk merosakkan segala perancangan yang dibuat selama seminggu.

Sekumpulan anak muda yang terlibat secara langsung dalam penerbitan Bencana@1 juga sudah hilang semangat apabila kumpulan manusia yang tidak pernah membantu, tiba-tiba tahu pula mencari kelemahan pada saat-saat akhir.

Kalau benar-benar mahu dan tahu membantu, kenapa tidak muncul sebelum ini?

Saya sudah memaklumkan kepada Ketua Unit bahawa saya tidak lagi meneruskan kerja sebagai penerbit Bencana@1.

Maka, saksikanlah episod kedua dan terakhir Bencana@1 yang saya terbitkan pada Isnin, 27 April 2009, 10:30 malam di TV1.

Itu pun jika bahan yang disediakan tidak dimusnahkan oleh golongan tertentu!
.