18 Apr 2009

Tahniah & Takziah!

Tahniah kepada para penduduk dan pengundi berdaftar di Penanti, Pulau Pinang kerana berpeluang mendapat habuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri jika pilihan raya kecil diadakan di sana berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.

Sebelum ini, saya pernah mengucapkan tahniah kepada penduduk di Bukit Selambau dan Bukit Gantang [BACA DI SINI] dan mereka ternyata mendapat pelbagai habuan hebat daripada Kerajaan Persekutuan; khususnya di Bukit Selambau di mana saya sendiri berpeluang membuat tinjauan dari dekat.

Apapun, penduduk Penanti perlu juga bersedia dengan kemungkinan mereka hanya terpaksa “menanti” kerana Kerajaan Persekutuan pada kali ini – dengan andaian pilihan raya kecil tetap diadakan – tidak pula mengeluarkan perbelanjaan besar untuk “memancing undi” Rakyat.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilaporkan berkata bahawa Rakyat pada umumnya tidak suka jika pilihan raya kecil diadakan. (Bacalah di akhbar-akhbar hari ini.)

Sebagai seorang Rakyat biasa, ingin saya nyatakan bahawa kami sebagai Rakyat ada kalanya terpaksa menanti dan bergantung pada pilihan raya kecil untuk melihat pembangunan sebenar dilaksanakan (oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berwajib) di tempat kami.

Kalau YAB Perdana Menteri tidak percaya, lakukanlah lawatan ke beberapa tempat di mana pilihan raya kecil pernah diadakan.

Saya masih ingat, di Bukit Selambau, ada penduduk yang memberitahu saya bahawa mereka amat berterima kasih kepada V. Arumugam kerana melepaskan jawatan ADUN – kerana pilihan raya kecil dapat diadakan dan Rakyat di Bukit Selambau boleh “merasa” sedikit habuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pagi tadi, saya sedang berbual-bual dengan Hemantha Kumar mengenai perkembangan di Penanti.

Pandangan yang dikemukakan oleh Kumar amat logik: kalau benar bahawa pilihan raya kecil hanya membazir wang, tunggu sahaja sehingga tarikh penamaan calon. Kalau Pakatan Rakyat sudah mengemukakan borang pencalonan, Barisan Nasional tidak perlu menghantar borang penamaan calon.

Maka, tidak timbul soal pembaziran wang. ADUN Penanti memberi pelbagai alasan mengapa dia melepaskan jawatan. Ternyata dia tidak layak menjadi ADUN. Maka, biarlah ada orang lain yang memikul tanggungjawab berkhidmat kepada Rakyat.
.
Untuk mengelakkan pembaziran wang, Barisan Nasional tidak perlu bertanding. Calon bebas juga tidak perlu bertanding.