Saya pernah mengucapkan tahniah kepada penduduk Bukit Gantang dan Bukit Selambau di blog ini sebaik sahaja selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pilihan raya kecil akan diadakan di kedua-dua kawasan berkenaan.
.
Saya nyatakan demikian secara terbuka kerana suatu "rahsia" yang diketahui umum adalah bahawa penduduk @ pengundi di kawasan yang terlibat dengan pilihan raya kecil pasti menerima pelbagai habuan daripada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan parti-parti politik yang bertanding.
.
Kalau selama ini tiada jalan bertar, dalam masa 24 jam sahaja akan ada jalan bertar (soal jalan itu hanya tahan selama beberapa bulan adalah topik lain).
.
Kalau selama ini segala rungutan dan "suara" Rakyat tidak sampai ke telinga pemimpin, kini pemimpin sendiri turun padang, mengetuk pintu dan menghulur bantuan.
.
Kalau selama ini tidak ada "tokoh" politik yang menjenguk penduduk miskin, terbiar dan tertindas, maka menjelang pilihan raya kecil, akan berpusu-pusulah mereka "meluangkan masa" untuk membuktikan bahawa mereka sesungguhnya adalah "pemimpin berjiwa Rakyat".
.
Saya nyatakan demikian tanpa merujuk pada mana-mana individu atau mana-mana parti politik. Dan saya juga merujuk khusus pada pilihan raya kecil.
.
Peluang saya berada di Bukit Selambau selama beberapa hari menjelang Pilihn Raya Kecil Bukit Selambau turut memberikan saya peluang untuk mengesahkan kepada diri sendiri bahawa hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa nasib Rakyat tiba-tiba terbela menjelang pilihan raya kecil.
.
Cuma, kali ini, pihak "penabur janji" juga mula menjadi sebijak Rakyat.
.
Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 membuktikan bahawa Rakyat bijak membuat pilihan serta bijak "memakan umpan" iaitu menerima habuan yan diberikan oleh mana-mana parti politik tanpa perlu terikat untuk mengundi calon parti berkenaan pada tarikh mengundi.
Kini, "penabur janji" juga mula menjadi "sedikit bijak" dengan memberitahu Rakyat bahawa pelbagai "habuan" akan diberikan selepas 7 April 2009.
.
Secara tidak langsung, "mengugut" Rakyat atau memberi "rasuah" kepada Rakyat.
.
Bagaimanapun, parti politik dan kerajaan negeri/pusat tiba-tiba ada pelbagai peruntukan untuk membantu Rakyat. Maka, diberikanlah bantuan itu dan bantuan ini dalam usaha memancing undi.
.
Nasihat saya: jadilah pengundi yang bijak. Makanlah umpan dengan hati-hati. Selamat mengundi!