20 Apr 2009

Mohon Restu Orang Ramai

Rancangan “Galeri Perdana @ 1” setiap Isnin, pukul 10:30 malam, di TV1, mulai 20 April 2009 mengkhusus pada operasi liputan Unit Bencana RTM.

Rancangan selama 30 minit ini pada dasarnya memuatkan liputan berita berkaitan bencana alam di dalam dan luar negara. Baca sedikit makluman paling awal DI SINI.

Segala komen mengenai siaran Bencana@1 boleh dikemukakan di blog Unit Bencana RTM dan komen terpilih akan disiarkan pada episod akan datang.

Penerbitan Bencana@1 ditangani sepenuhnya oleh sekumpulan anak muda yang bersemangat tinggi. Baca sedikit catatan mengenai mereka DI SINI dan DI SINI.

Senarai lengkap tenaga penerbitan Bencana@1 akan dimuatkan di blog Unit Bencana RTM dalam masa terdekat.

Sila ambil perhatian bahawa maklum balas, komen, sokongan serta cadangan yang dikemukakan oleh para penonton di blog Unit Bencana RTM mampu menentukan hayat Bencana@1.

Hal ini demikian kerana Bencana@1 pada dasarnya hanya dirancang untuk disiarkan sehingga pertengahan Jun 2009.

Sokongan padu orang ramai sebagai Rakyat yang prihatin pasti boleh membantu memanjangkan hayat rancangan Bencana@1.

Jadi, komen dan sokongan yang diberikan oleh penonton amat bermakna. Malah, komen terpilih akan disiarkan dalam Bencana@1 pada 27 April 2009.

Sementara itu, Bencana@1 pada 20 April 2009 (Isnin), 10:30 malam di TV1 menampilkan Uthaya Sankar SB sebagai penerbit dan pengacara.

Kandungan siaran Episod 1 tertumpu pada rangkuman bencana alam Januari-Mac 2009; serta liputan banjir di Melaka dan Banting, Selangor baru-baru ini.

Jangan terlepas peluang menyaksikan klip khas di hujung siaran!

Orang ramai boleh menyampaikan berita dan maklumat mengenai kejadian bencana alam (seperti banjir, tanah runtuh dan ribut) di tempat masing-masing dengan menghubungi Unit Bencana RTM di talian 03-2282 7448.

Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Rumah Eksekutif, Angkasapuri, Kuala Lumpur beroperasi 24 jam sehari.

Unit Bencana RTM juga beroperasi di RTM setiap negeri. Maklumat mengenainya akan dikemas kini di blog Unit Bencana RTM dari semasa ke semasa.