30 Sept 2010

Filem Lula Mahu Raih Oscar

Filem Lula, o Filho do Brasil (Lula, the Son of Brazil) yang mengisahkan zaman kanak-kanak dan remaja Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dihantar untuk dinilai bagi meraih anugerah Oscar di bawah kategori Anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik 2011. .

Filem yang mula ditayangkan pada 1 Januari 2010 perlu bersaing dengan 94 filem lain untuk merebut anugerah berkenaan pada majlis yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari 2011.

.

Senarai pendek filem-filem yang bakal dipertandingkan akan diketahui pada 25 Januari 2011.

.

Kementerian Kebudayaan Brazil memutuskan untuk menghantar pencalonan filem Lula, o Filho do Brasil pada 23 September 2010 kerana dianggap mampu mengangkat filem Brazil ke persada dunia.

.

“Pemilihan secara sebulat suara untuk mencalonkan filem ini tiada ada apa-apa kaitan politik kerana filem berkenaan mendapat sambutan hangat di dalam dan luar negara sejak mula ditayangkan,” kata Ketua Akademi Filem Brazil, Roberto Farias dalam kenyataan yang dikeluarkan di Sao Paulo pada 23 September 2010.

.

Filem Lula, o Filho do Brasil yang dianggap filem paling mahal di Brazil berkisar tentang zaman kanak-kanak dan remaja semasa Lula menjadi budak pengilat kasut dan pekerja kilang besi sebelum menjadi ketua kesatuan pekerja dan seterusnya menjadi Presiden Brazil pada 2003.

.

Skrip filem berkenaan ditulis berdasarkan novel dengan judul sama oleh Denise Paraná, seorang wartawan.

.

Filem Bahasa Portugis itu diarahkan oleh Fábio Barreto serta dibintangi oleh Felipe Falanga, Guilherme Tortólio dan Rui Ricardo Dias yang memegang watak Lula semasa kanak-kanak, remaja dan dewasa.

.

Fábio Barreto yang lahir di Rio de Janeiro pada 6 Jun 1957 memulakan karier perfileman pada usia 20 tahn dengan mengarah filem pendek berjudul A estória de José e Maria (1977). Beliau juga berlakon dalam filem Memórias do Cárcere (1984) dan For all - O Trampolim da Vitória (1997).

.

Rui Ricardo Dias yang lahir pada 9 Disember 1978 memegang watak Lula dari umur 18 hingga 35 tahun.

.

Kali pertama filem Lula, o Filho do Brasil ditayangkan adalah sempena Festival Filem Brazil Ke-42 pada 18 November 2009.

..

(Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman “Santai Global” akhbar Sinar Harian pada 25 September 2010.)

29 Sept 2010

Novel Nabi Muhammad saw

Pakar motivasi dan pengarang bertaraf antarabangsa, Deepak Chopra, menghasilkan novel terbaru mengenai Nabi Muhammad saw yang disampaikan dengan gaya penulisan kreatif.
.
Novel Muhammad: A Story of the Last Prophet (2010) lahir selepas novel Buddha: A Story of Enlightenment (2007) dan Jesus: A Story of Enlightenment (2008) yang mendapat sambutan masyarakat antarabangsa daripada pelbagai kaum dan agama berikutan kemampuan Chopra mengangkat kisah kehidupan, perjuangan, pengajaran dan nilai-nilai positif secara positif melalui gaya penulisan kreatif.
.
Sebagaimana buku mengenai Siddhartha Gautama dan Nabi Isa, Chopra menekankan bahawa buku mengenai Nabi Muhammad saw bukan sebuah biografi, sebaliknya sebuah karya fiksyen naratif berdasarkan fakta dan kajian.
.
Pengarang menggunakan sudut pencerita orang pertama yang berlainan bagi setiap bab; misalnya puteri-puteri baginda, seorang katib Yahudi yang bekerja dengan baginda di Madinah, seorang abdi warga Afrika bernama Barakah dan Abu Sufyan iaitu pemimpin Quraisy di Mekah yang pada awalnya menentang baginda.
.
Kisah dalam novel ini bukan sahaja membantu pembaca mengenali sifat-sifat mulia Nabi Muhammad saw, malah membantu memahami keadaan sosial, politik dan ekonomi pada zaman baginda.
.
Novel ini juga boleh didapati dalam versi cakera padat (CD) audio yang terdiri daripada tujuh CD dan dibacakan sendiri oleh pengarang.
.
Chopra yang lahir pada 22 Oktober 1946 mendapat pendidikan di Sekolah St Columbia, New Delhi sebelum melanjutkan pelajaran ke All India Institute of Medical Sciances (AIIMS), New Delhi. Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1968.
.
Beliau turut menghasilkan buku-buku seperti The Book of Secrets: Unlocking the Hidden Dimensions of Your Life (2004), Peace Is the Way: Bringing War and Violence to an End (2005), Power, Freedom and Grace: Living from the Source of Lasting Happiness (2006), Boundless Energy: The Complete Mind/Body Program for Overcoming Chronic Fatigue (2007), Why Is God Laughing? The Path to Joy and Spiritual Optimism (2008) dan The Ultimate Happiness Prescription: 7 Keys to Joy and Enlightenment (2009).
..
(Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman “Santai Global” akhbar Sinar Harian pada 25 September 2010.)

27 Sept 2010

Namanya Roslan Jomel

Kali terakhir saya bertemu Abang Roslan Jomel (Abang Lan) adalah semasa Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) pada 19 Disember 2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
.

Pada 19 Ogos 2010, saya berjaya mendapatkan kumpulan cerpen sulung beliau berjudul Namaku Epal Kuning (DBP, 2010) selepas berusaha hampir sebulan. Sila KLIK DI SINI untuk membaca kisah itu.

.

Saya juga sering menghubungi Abang Lan menerusi Facebook untuk bertanya bila kami boleh bertemu, khususnya kerana saya mahu mendapatkan tandatangan beliau pada buku berkenaan.

.

Akhirnya, pada pukul 2:39 petang, 23 September 2010, saya mendapat mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS): “Di CM petang ini?”

.

Maka, sekitar pukul 4:00 petang, kami bertemu di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Perkara pertama yang saya lakukan adalah memeluknya seperti biasa.

.

Perkara kedua, saya mendapatkan tandatangan pada naskhah Namaku Epal Kuning yang saya bawa bersama. Ketiga, saya memberikan naskhah Rudra Avatara dan Kathakali kepada Abang Lan. Menakjubkan juga apabila beliau boleh melihat senarai cerpen pada halaman kandungan buku Rudra Avatara dan menyatakan di akhbar/majalah mana cerpen-cerpen itu tersiar.

.

Seperti biasa, Abang Lan bersikap terlalu merendah diri apabila ditanya mengenai karya-karyanya dan sangat perahsia apabila ditanya mengenai perkembangan dirinya (kerjaya, tempat tinggal dan seumpamanya).

.

Malah, baru pada hari ini saya mendapat pengesahan bahawa Abang Lan memang sudah benar-benar berkahwin! Sebelum ini, apabila beliau beberapa menyebut mengenai “isteri”nya pada ruangan status di Facebook, nada dan konteks kelihatan seperti berjenaka.

.

Abang Lan bertanya pula kepada saya mengenai kisah saya melepaskan jawatan penyunting berita di RTM pada 8 April 2008 [BACA DI SINI] dan kisah saya meninggalkan RTM pada Januari 2010 [BACA DI SINI].

.

Selain bercakap mengenai perkembangan rakan-rakan penulis – khususnya mantan MPR 1991 – kami juga berbual mengenai Konvoi ke Rumah Ibadat, interaksi antara kaum/etnik, makna sapaan “Vanakam” (Tamil), “Salam” (Arab) dan “Salom” (Hebrew), perkembangan karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Allahyarham Dato’ Usman Awang, serta beberapa perkara lain secara terbuka sambil minum. Bersama Abang Lan, saya tidak perlu bimbang disalah tafsir.

.

Abang Lan bertanya mengapa saya sudah agak lama tidak mengirim karya ke Mingguan Malaysia serta majalah-majalah DBP. Lalu, saya menjelaskan bahawa saya akan kirim hanya jika ada cerpen yang sesuai. Hal ini tidak bermakna saya tidak menulis kerana ada beberapa cerpen dalam beberapa majalah terbitan Kumpulan Media Karangkraf dan cerpen yang disiarkan secara eksklusif di blog saya.

.

Pada akhir pertemuan sekitar pukul 6:30 petang, saya sekali lagi memeluk Abang Lan dan menyatakan harapan dapat bertemu lagi; selewat-lewatnya sebelum akhir tahun.

.

Dalam perjalanan pulang, Lebuh Raya Persekutuan sesak seperti lazim. Saya mendengar cakera padat (CD) audio novel The Hour I First Believed sambil memandu.

.

Saya juga singgah di BookXcess, AmCorp Mall, Petaling Jaya dan membeli CD audio Tollins (Conn Iggulden, Harper: 2009) yang terdiri daripada 2 CD dan masa rakaman hampir 3 jam; dan CD audio novel klasik Anne of Green Gables (L M Montgomery, BBC: 2000) versi dramatization yang terdiri daripada 2 CD dengan masa persembahan 2 jam 30 minit.

26 Sept 2010

Pertemuan Bekas Pelajar SMDR

“Sarapan di Taiping” khusus bagi bekas pelajar dan guru Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping akan diadakan pada November 2010; sebagai susulan kepada pertemuan pada 25 September 2010 di Kuala Lumpur.
.

Terus terang, kehadiran bagi pertemuan pada 25 September 2010 (Sabtu), 2:00 petang di Restoran Madam Kwan’s, MidValley memang amat mengecewakan.

.

Bekas pelajar SMDR yang hadir hanyalah saya, Ghanthimathi bersama seorang rakan yang bukan bekas pelajar SMDR, serta Surendran bersama isteri dan dua anaknya.

.

Tentu sahaja rakan-rakan yang tidak dapat hadir mempunyai alasan tersendiri. Maka, tidak perlu dipersoalkan dan tidak wajar diungkit. Malah, memang ramai yang sejak awal-awal lagi sudah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat hadir kerana pelbagai urusan dan kekangan. [Boleh dirujuk DI SINI.]

.

Dipendekkan cerita, kami yang hadir sempat makan dan minum sambil berbual-bual kisah silam dan perkembangan mutakhir. Saya mengenali Ghanthimathi (serta beberapa rakan karibnya) dan Surendran (serta beberapa rakan karibnya) sejak di SRK Convent Aulong.

.

Selepas tidak bertemu lebih 20 tahun, saya menemui semula Surendran pada 4 Disember 2010; manakala kini saya berpeluang bertemu semula dengan Ghanthimathi selepas hampir 20 tahun juga.

.

Malah, kebanyakan rakan-rakan lama ditemui semula selepas hampir 20 tahun menerusi Facebook! Terima kasih kepada Mark Zuckerberg, Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes yang melancarkan Facebook pada 4 Februari 2004. [BACA DI SINI]

.

Saya memang merancang untuk mengadakan satu lagi Pertemuan Bekas Pelajar SMDR di Taiping pada masa hadapan kerana ramai yang masih berada di Perak dan negeri-negeri sebelah utara.

.

(Cadangan dan rancangan untuk mengadakan pertemuan semula – reunion – memang sering saya dengar sejak 1994 tetapi belum menjadi kenyataan. Namun, saya percaya masih ada banyak pertemuan berskala kecil dalam kalangan rakan-rakan yang merupakan bekas pelajar SMDR. Misalnya, pertemuan di rumah Azura Kassim pada 4 September 2010 yang kisahnya boleh dibaca DI SINI.)

.

Ghanthimathi dan Surendran bersetuju dengan cadangan mengadakan pertemuan di Taiping. Saya mencadangkan bulan November 2010, iaitu selepas Deepavali atau semasa cuti sekolah. Sambutan – dan cuti umum – Deepavali adalah pada Jumaat, 5 November 2010.

.

Maka, kami bertiga sepakat untuk mengatur pertemuan itu pada Ahad, 7 November 2010 kerana tentu ramai yang berpeluang untuk berkumpul di Taiping pada tarikh itu pada sebelah pagi.

.

Rakan-rakan di Taiping – seperti Arokiasamy dan Azura Kassim – mungkin boleh membantu menguruskan tempat dan pengisian program pertemuan. Ghanthimathi dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras. Waktu pertemuan rasmi adalah 9:00 hingga 11:00 pagi tetapi tentu sahaja boleh dilanjutkan jika ada penyertaan yang lebih ramai (berbanding pada 25 September 2010).

.

Pertemuan itu nanti akan turut membabitkan penyertaan beberapa bekas guru SMDR yang pernah mendidik kami. Antara guru yang dikenal pasti ialah Encik K Balasubramaniam, Puan Hadebah Duseh dan Cik Pragasam. Saya percaya rakan-rakan bekas pelajar SMDR akan membantu menghubungi beberapa lagi guru bagi tujuan pertemuan ini.

.

Bagi memastikan komitmen lebih menyeluruh, bekas pelajar SMDR yang mahu turut serta dalam “Sarapan di Taiping” pada 7 November 2010 (Ahad), 9:00 – 11:00 pagi perlu (1) mengesahkan kehadiran, dan (2) dikenakan bayaran minimum bagi menampung kos tempahan tempat dan makan-minum.

.

Nama-nama pelajar dan guru yang ada akaun Facebook sudah di“tag” dan kerjasama diperlukan untuk melakukan perkara sama bagi individu lain dari SMDR (bekas pelajar dan bekas guru) supaya maklumat ini dapat disebarkan secara lebih meluas.

.

Maklumat lengkap dan terkini mengenai (1) tempat pertemuan, dan (2) bayaran minimum, akan menyusul hanya kepada individu yang mengesahkan kehadiran selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2010, iaitu genap seminggu sebelum tarikh pertemuan.

.

Tempat pertemuan adalah di Taiping, Perak dan saya percaya bayaran yang dikenakan tidak akan lebih daripada RM30.00 seorang kerana hanya melibatkan sarapan; dan mungkin kos tempahan tempat serta (cadangan) cenderamata untuk bekas guru yang hadir sama.

.

Seperti yang saya nyatakan kepada Surendran dan Ghanthimathi pada 25 September 2010, saya tidak mahu mengimpikan (baca: memimpikan) kehadiran puluhan bekas pelajar SMDR pada 7 November 2010. Sebaliknya, sekitar sepuluh bekas pelajar dan tiga guru sudah lebih daripada mencukupi untuk menjayakan “Sarapan di Taiping” seperti direncanakan. Tentu lebih meriah jika masing-masing hadir bersama keluarga!

.

Apa pun, kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa masing-masing ada kerjaya, keluarga dan komitmen yang perlu diutamakan. Tambahan pula, mungkin ramai yang masih dalam suasana dan kesibukan sambutan Deepavali.

.

Namun, jika lebih ramai bekas pelajar SMDR dapat mengesahkan kehadiran dan membuat bayaran selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2010 – serta hadir menepati masa pada 7 November 2010 – tentulah “Sarapan di Taiping” bakal lebih meriah dan penuh nostalgia.

.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat yang disiarkan di akhbar Sinar Harian (edisi Perak) pada Isnin, 27 September 2010, KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Selangor & Kuala Lumpur pada Selasa, 28 September 2010, KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Pulau Pinang, Kedah & Perlis pada Selasa, 28 September 2010, dan KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Johor pada Rabu, 29 September 2010. Sila KLIK DI SINI untuk membaca keratan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2010 dan KLIK DI SINI untuk membaca maklumat sekolah dan lirik lagu seperti disiarkan dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak pada 14 Oktober 2010.

.

Saya sudah menelefon Pengetua SMDR, Encik Rusli Mohd Zain pada jam 1:25 tengah hari, 28 September 2010 untuk menyatakan hasrat membawa rombongan bekas pelajar SMDR ke sekolah berkenaan pada 7 November 2010, seusai sarapan. Saya akan uruskan surat berhubung perkara itu.

.

Saya boleh dihubungi menerusi Facebook atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 016-3288142. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan ...

La Ragazza del Lago

Saya sempat menonton filem Itali “La Ragazza del Lago” (The Girl by the Lake, 2007) arahan Andrea Molajoli pada 21 September 2010.
.

Semasa menonton filem ini – sambil membaca sari kata Bahasa Inggeris – saya dapat membayangkan bahawa filem ini kemungkinan besar berdasarkan novel.

.

Hal ini kerana watak Commissario Sanzio (lakonan Toni Servillo) ternyata tidak berdiri sendiri; sebaliknya pasti ada kaitan ada kisah-kisah sebelum ini. Misalnya seperti watak Lincoln Rhyme yang diperkenalkan oleh Jeffery Deaver menerusi novel The Bone Collector (1997) yang dijadikan filem dengan judul sama pada 1999.

.

Saya memang suka menonton filem yang diadaptasi daripada novel [BACA DI SINI] walaupun saya faham mengenai kekangan yang wujud. Terbaru, selesai membaca novel The Ghost (2007) karya Robert Harris, saya mendapat tahu bahawa novel berkenaan dijadikan filem The Ghost Writer (2010). Sudah dapat mengagak bahawa sukar untuk mengangkat novel itu ke dalam bentuk filem.

.

Berbalik kepada filem “La Ragazza del Lago” yang menampilkan watak Sanzio. Ternyata watak itu berdasarkan watak Inspektor Konrad Sejer yang dicipta pengarang Norway, Karin Fossum, bermula dengan novel Evas øye (1995) yang anehnya belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

.

Bagaimanapun, novel-novel lain yang menampilkan watak Sejer sudah diterjemahkan ke lebih 16 bahasa: Se deg ikke tilbakel (1996) diterjemahkan kepada Don’t Look Back (2002); Den som frykter ulven (1997) sebagai He Who Fears the Wolf (2003); Djevelen holder lyset (1998) kepada When the Devil Holds the Candle (2004); Elskede Poona (2000) menjadi Calling Out for You (2005) dan The Indian Bride (2007); Svarte sekunder (2002) kepada Black Seconds (2007); dan Den onde viljen (2008) menjadi Bad Intentions (2010).

.

Drapet på Harriet Krohn (2004) yang membawa makna “The Murder of Harriet Krohn” dan Varsleren (2009) yang membawa makna “The Caller” belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

.

Perlu dinyatakan bahawa novel Den som elsker noe annet (2007) hanya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan judul The Water’s Edge pada 2009 manakala filem “La Ragazza del Lago” terbit pada 2007.

.

Judul asal novel berkenaan membawa makna “He Who Loves Something Else” tetapi dijadikan The Water’s Edge dalam versi Bahasa Inggeris.

.

Penonton “La Ragazza del Lago” akan melakukan pelbagai andaian sepanjang menonton filem berkaitan penyiasatan pembunuhan. Kesemua andaian itu adalah logik dan masuk akal. Akan tetapi, akan ada perubahan plot (twist) yang juga amat logik pada hampir setiap babak.

.

Kisah dalam filem ini juga bukan sekadar berkisar pada usaha mengesan pembunuh. Sebalik, juga berkaitan hubungan kekeluargaan (dalam pelbagai konteks), sikap masyarakat, perubatan dan bahaya yang berada di hadapan mata.

.

Tentu sahaja filem ini mengingatkan saya pada filem-filem bermutu (maaf, tidak sebuah pun dari Malaysia) yang penuh dengan unsur twist yang amat saya minati. Begitu juga dalam novel-novel dan cerpen yang dihasilkan Jeffery Deaver, Jeffrey Archer dan Ruth Rendell.

25 Sept 2010

Kronologi Flotila ke Gaza

22 Mei 2010 – Kapal Gazze milik Yayasan Hak Asasi Manusia dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) membawa 2,104 tan simen, 600 tan besi pembinaan, 50 tan jubin, 13 anak kapal dan lima aktivis kemanusiaan berlayar dari Antalya, Turki ke Gaza.
.

31 Mei 2010 – Kapal Mavi Marmara yang berlayar dari Antalya, Turki pada 22 Mei 2010 dengan membawa 10,000 tan makanan dan mengetuai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza diserang tentera Israel di perairan antarabangsa. Sembilan aktivis kemanusiaan dari Turki terbunuh manakala 50 lagi cedera. Tentera Zionis juga menahan 700 aktivis kemanusiaan dari 42 negara yang menyertai misi itu sebelum membebaskan mereka tanpa membenarkan mereka pergi ke Gaza.

.

5 Jun 2010 – Kapal Rachel Corrie ditahan di perairan antarabangsa dan dipaksa berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel.

.

14 Julai 2010 – Kapal Amalthea yang membawa 2,000 tan bantuan kemanusiaan dari Libya terpaksa berlabuh di Pelabuhan el-Arish, Mesir selepas diberi amaran oleh tentera Israel.

.

23 Julai 2010 – Rejim Zionis membuat keputusan membenarkan kapal Mavi Marmara, Gazze dan Defne-Y kembali ke Turki berikutan tekanan antarabangsa.

.

5 Ogos 2010 – Kapal Mavi Marmara terpaksa ditunda pulang dari Pelabuhan Haifa, Israel menuju ke Iskenderun, Turki kerana kesemua motor tidak berfungsi. Kapal itu telah dicat semula oleh pihak Israel untuk menyembunyikan kesan serangan, tembakan dan kerosakan lain.

.

6 Ogos 2010 – Kapal Defne-Y selamat berlabuh di Iskenderun, Turki.

.

7 Ogos 2010 – Kapal Gazze kembali ke Turki.

.

8 Ogos 2010 Kapal Mavi Marmara selamat berlabuh di Iskenderun, Turki.

.

22 Ogos 2010 – Misi kapal Mariam ke Gaza terpaksa ditunda kerana kerajaan Cyprus tidak membenarkan kapal itu menggunakan perairan negara berkenaan untuk berlayar ke Gaza.

.

18 September 2010 – Konvoi Viva Palestina bertolak dari London, Britain; Casablanca, Maghribi; dan Doha, Qatar. Ketiga-tiga kumpulan dijadual bertemu di Syria sebelum flotila terbesar itu berlayar ke Pelabuhan el-Arish, Mesir sebelum meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat untuk memasuki Gaza melalui Rafah.

..

Kronologi ini disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 20 September 2010. Sila KLIK DI SINI untuk melihat kronologi lebih lengkap berkaitan Gaza atau KLIK DI SINI untuk perkembangan Viva Palestina.

24 Sept 2010

Merindu Kesesakan Jalan Raya

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengadakan siri “baca cerpen” sejak 2003, antara lain untuk memasyarakatkan sastera, memupuk minat membaca karya sastera serta memberi peluang kepada khalayak mendengar teks cerpen dibacakan.
.

Malah, jauh sebelum acara Baca Cerpen Kavyan pada Ogos 2003, Kavyan menganjurkan aktiviti For Your Ears Only! di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur pada 2 & 23 November 1999; khusus bagi khalayak cacat penglihatan. [RUJUK DI SINI]

.

Saya memang minat membaca buku dan menonton filem; seperti yang saya ceritakan DI SINI. Saya juga suka mendengar drama dan cerpen di radio, khususnya di MinnalFM.

.

Pada 17 Julai 2010, saya membeli cakera padat (CD) audio bagi novel To Kill A Mockingbird (1960) karya Harper Lee dan kisahnya boleh dibaca DI SINI dan DI SINI.

.

Novel versi audio itu terbitan Caedmon, panjangnya 12 jam dan termuat dalam 11 CD. Pembacaan dalam versi asal (unabridged) dilakukan oleh Sissy Spacek.

.

Pada 9 Ogos 2010, saya membeli CD audio bagi novel Escape (2008) karya Robert K Tanenbaum dan pengalaman saya mendengarnya boleh dibaca DI SINI.

.

Novel versi audio itu terbitan BBC Audio, panjangnya 22 jam 30 minit dan termuat dalam 18 CD. Pembacaan dalam versi asal dilakukan oleh Charles Leggette.

.

Pada 19 September 2010, saya membeli CD audio bagi novel The Hour I First Believed (2008) karya Wally Lamb di mana saya menyukai novel terdahulunya, I Know This Much Is True (1998).

.

Novel versi audio itu terbitan Harper Audio, panjangnya 25 jam 30 minit dan termuat dalam 20 CD. Pembacaan dalam versi asal dilakukan oleh George Guidall dan saya mula mendengarnya pada 19 September 2010.

.

Dahulu, semasa bekerja di Kuala Lumpur – di RTM dan juga di beberapa kolej – saya sering merungut kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Misalnya, baca cacatan DI SINI.

.

Kini, dengan adanya novel-novel dalam bentuk audio (CD) yang boleh didengar semasa memandu, saya tidak lagi perlu risau jika jalan raya sesak atau lampu isyarat mengambil masa setengah jam untuk bertukar hijau.

.

Terasa rindu pula untuk terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur!

23 Sept 2010

The Special Day

Pada pagi 20 September 2010, saya dan Devishi Prabha Sankari memandu ke Bandar Menjalara, Kepong untuk bertemu Mahani Zubedy (Kak Ani) yang baru sahaja menerbitkan buku The Special Day (2010) khusus sempena Hari Malaysia.
.

Saya mula mengenali Kak Ani apabila beliau menghubungi saya melalui telefon pada awal Ogos 2010 selepas “menemui” nombor telefon dan alamat e-mel saya di ruang siber. Saya memang kagum dengan iklan Zubedy yang sering disiarkan di akhbar-akhbar utama dan teruja untuk menghulurkan bantuan setakat termampu kepada Kak Ani.

.

Pada 2 Ogos 2010, beliau mengirimkan kepada saya satu halaman buku The Special Day iaitu lukisan oleh Shia Yi Yiing, pemegang ijazah sarjana Seni Kontemporari dari Universiti Sydney Barat.

.

Dengan senang hati, saya memberikan sedikit maklumat serta pandangan mengenai lukisan yang memaparkan seekor kucing betina berpakaian sari dan dikelilingi corak-corak yang menggambarkan pelbagai aspek budaya kaum India.

.

Kami berdua hanya berhubung melalui e-mel dan apabila Kak Ani menyatakan bahawa buku itu sudah siap dicetak, saya memutuskan untuk memperuntukkan masa untuk bertemu dengan beliau.

.

Kami bertiga bertemu di Kanna Curry House di hadapan Tesco Kepong; dan terus mesra bagaikan sudah lama saling mengenali! Hal ini mungkin kerana kami sama-sama memiliki semangat Bangsa Malaysia serta mengimpikan keamanan, persefahaman, perpaduan, saling memahami dan menghormati dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang.

.

Saya memberikan buku Kathakali dan Rudra Avatara kepada Kak Ani sementara beliau memberikan saya buku The Special Day. Sementara Devishi khusyuk membaca buku bergambar itu, saya dan Kak Ani berbual mengenai pelbagai hal positif.

.

Kak Ani yang tinggal di Austin, Texas dan Kuala Lumpur adalah graduan Institut Sastera Kanak-kanak, Redding Ridge, Connecticut, Amerika Syarikat. Beliau menulis cerita kanak-kanak, makalah, skrip drama dan fiksyen serta kini menjadi fasilitator di Zubedy Sdn Bhd.

.

Buku The Special Day (2010) boleh dibeli di kedai-kedai buku MPH pada harga RM20.00 atau sila KLIK DI SINI untuk alamat e-mel dan nombor telefon Kak Ani.

22 Sept 2010

Mendengar Novel “Escape”

Saya selesai mendengar versi audio novel Escape (2008) pada jam 12:25 tengah hari, 18 September 2010 dan semakin membenci mana-mana pihak yang melakukan sebarang bentuk keganasan dengan alasan mereka menerima “arahan” daripada Tuhan.
.

Saya mula mendengar cakera padat (CD) audio yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan intonasi oleh Charles Leggett pada jam 6:00 pagi, 4 September 2010 sewaktu memandu ke Taiping, Perak. Kisah di Taiping boleh dibaca DI SINI dan DI SINI.

.

Rakaman audio pada setiap CD panjangnya sekitar 75 minit. Maka, saya mendengar 2 CD dalam perjalanan ke Taiping pada pagi 4 September 2010 dan 2 CD dalam perjalanan dari Taiping pada petang 5 September 2010.

.

Charles Leggett turut menjadi pembaca bagi versi audio untuk novel-novel seperti Capture (Robert K Tanenbaum), City at the End of Time (Greg Bear), Diamondhead (Patrick Robinson), Heyday (Kurt Anderson) dan Too Many Murders (Colleen McCullough).

.

CD audio novel Escape karya Robert K Tanenbaum telah saya beli pada 9 Ogos 2010 di BookXcess, AmCorp Mall, Petaling Jaya; selepas memiliki CD audio novel To Kill A Mockingbird pada 17 Julai 2010. Kisah itu boleh dibaca DI SINI. Pada 19 September 2010, saya membeli CD audio novel The Hour I First Believed (Wally Lamb, 2008).

.

Edisi lengkap novel Escape dalam versi audio terdiri daripada 18 CD dan jumlah masa pendengaran selama 22 jam 30 minit. Selain mendengarnya dalam perjalanan pergi-balik Taiping, saya juga mendengarnya di dalam kereta dalam perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

.

Kesesakan jalan raya memberi ruang dan peluang saya mendengar kisah yang penuh mendebarkan ini. Terima kasih, Malaysia!

.

Perjalanan sekitar 10 minit pergi-balik kerja (akhbar Sinar Harian) juga saya manfaatkan untuk mendengar CD audio ini dengan penuh minat. Begitu juga pada setiap kali saya memandu.

.

Sewaktu mendengar CD ke-17 pada pagi 18 September 2010, saya mula berasa sedikit sedih kerana kisah yang penuh mendebarkan itu akan berakhir dalam masa sekitar dua setengah jam!

.

Ada beberapa perkara menarik dalam novel ini yang pernah juga saya catatkan pada ruangan status di Facebook.

.

Pertama, paparan pada 13 September 2010: Ada watak “Azahari Mujahideen” dalam novel Escape (2008) dan digambarkan sebagai pengganas warga Filipina daripada “etnik Malaysia”. Satu: Mungkinkah watak ini ada kaitan dengan Azahari Husin (Pengeboman Bali, 2002)? Dua: Pengarang luar melihat kita sebagai satu etnik/bangsa tetapi kita masih mengamalkan konsep Melayu + Cina + India + Lain-lain.

.

Farah Harith memberi reaksi, “Maybe it’s the foreign authors who are ignorant for dumping us all into one ethnicity/background? When in truth, we come from various ethnicity? And isn’t it our duty to uphold our own identity instead of being referred to as Malaysians for both race and nationality? However, when I say ‘uphold’, I do not mean exercising superiority. Just my two cents worth on the blurry line between ‘ethnicity’ and ‘nationality’.”

.

Ghanthi Mathi turut memberi reaksi, “It’s very irony, because in some developed country with mixed ethnics, they only refer themselves by their nationality and stand firm with it. We are rushing to become a developed country, however fail to pursue it. How ironic.”

.

Sehari selepas membuat catatan itu pada ruangan status Facebook, saya menambah komen berdasarkan maklumat terkini dalam CD ke-13 novel Escape, iaitu kehadiran satu lagi watak “etnik Melayu yang bercakap bahasa Melayu”!

.

Sekadar makluman, pada awal pagi 19 September 2010, polis dan tentera Filipina berjaya menembak mati anggota militan Abu Sayyaf, Abdukarim Sali di Lantawan, Pulau Basilan. Pengganas itu terlibat dalam penculikan dan pembunuhan sekumpulan pelancong di pusat peranginan Dos Palmas, wilayah Palawan pada Mei 2001.

.

Kedua, paparan pada 14 September 2010 berdasarkan dialog dalam CD ke-13: “God made you as you are. Which means you are made perfect.”

.

Paparan kedua itu mendapat reaksi positif daripada Zahr Ilyani, Ghanthi Mathi, Nadia Ali, Suthina T Palan, Magaenthiran Periaswamy, Vijayaletchumy Vellasamy dan Hajijah Jais.

.

Untuk makluman, dialog di atas diucapkan seorang lelaki Yahudi (yang terselamat daripada dibunuh tentera Nazi pada tahun 1940-an) kepada seorang lelaki Afrika beragama Kristian yang kemudian memeluk agama Islam.

.

Sesungguhnya, saya tidak pernah mendengar nama Robert K Tanenbaum. Selepas memiliki CD audio Escape, saya membuat sedikit rujukan dan mendapat tahu bahawa beliau memang mempunyai pengalaman luas sebagai peguam selain terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan berhubung pembunuhan Presiden J K Kennedy dan Dr Marthin Luther King. Jadi, Tanenbaum bukan calang-calang penulis.

.

Trivia menarik mengenai penulisan Tanenbaum adalah bahawa 15 novel awal beliau – yang terbit antara 1987 dan 2003 – khabarnya ditulis oleh sepupunya, Michael Gruber. Tujuh novel terkemudian yang dipercayai ditulis sendiri oleh Tanenbaum adalah Hoax (2004), Fury (2005), Counterplay (2006), Malice (2007), Escape (2008), Capture (2009) dan Betrayed (2010).

.

Kisah dalam Escape memang ada kesinambungan dengan 19 novel terdahulu. Pendakwa raya Butch Karp sedang mengendalikan kes pendakwaan terhadap seorang pensyarah sains politik di Universiti New York, Jessica Campbell, yang membunuh tiga anaknya dengan alasan “menerima arahan daripada Tuhan”.

.

Pada masa yang sama, isteri Karp, Marlene Ciampi dan anak mereka, Lucy (yang “lahir” dalam novel Material Witness, 1993), terlibat sama dalam usaha menghalang sekumpulan pengganas dan pengebom berani mati yang mahu memusnahkan Amerika Syarikat dengan alasan telah “menerima arahan daripada Tuhan” (atau dalam konteks ini, Allah).

.

Saya berpeluang mendapat banyak ilmu bantu mengenai pelbagai perkara melalui novel Escape yang memang padat dengan maklumat dan fakta yang disajikan dalam bentuk fiksyen.

.

Antaranya, mengenai cara mencari bukti kes dan membuktikan kes, cara licik yang digunakan pengganas dan pengebom berani mati, pembunuhan Yahudi oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua (sebagaimana digambarkan juga dalam filem Schindler’s List, 1993), teknik menghasilkan sebuah karya thriller yang berjaya, serta cara menyampaikan (membaca) sebuah karya dengan penuh gaya, penghayatan, intonasi dan suara.

.

Sambil mendengar novel ini, saya juga tertanya-tanya, mungkinkah seorang pengetua, Hajah Siti Inshah, yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap pelajar di sekolahnya di Kulaijaya baru-baru ini – BACA DI SINI – juga “menerima arahan” daripada mana-mana?

.

Saya tidak akan berasa hairan jika novel Escape sudah pun berada dalam senarai buku-buku yang diharamkan di Malaysia; mungkin atas alasan memuatkan maklumat-maklumat yang mengundang simpati terhadap orang Yahudi dan/atau memasukkan unsur-unsur yang mengundang rasa benci terhadap penganut agama tertentu yang menggunakan nama Tuhan untuk melakukan keganasan.

.

Cara Tanenbaum menyusun plot memang menarik kerana beberapa kisah (sub-plot) yang pada mulanya kelihatan seperti tidak ada apa-apa kaitan, sedikit demi sedikit mula bertemu dan (pada saya) membawa kepada persoalan besar:

.

Bolehkah kita membenarkan sesiapa melakukan keganasan dengan alasan mereka telah menerima “arahan” daripada Tuhan?

.

“Kita” yang dimaksudkan dalam konteks novel Escape adalah rakyat Amerika Syarikat tetapi soalan sama amat wajar diajukan sambil memandang anak mata individu yang berdiri di hadapan kita semasa kita menghadap cermin.

21 Sept 2010

Hari Keamanan Sedunia

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyeru generasi muda seluruh dunia membuat ketetapan dan pendirian tegas menyokong keamanan sejagat. .
..

Sambutan pada tahun ini secara kebetulan adalah semasa Persidangan Sasaran Pembangunan Alaf Baru berlangsung di pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 20-22 September.

.

Perhimpunan Agung PBB juga mengisytiharkan tahun 2010 sebagai Tahun Pemuda/Pemudi Antarabangsa dengan tema “Dialog dan Saling Memahami”.

.

Pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan di seluruh dunia sempena Hari Keamanan Sedunia dengan penglibatan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas.

.

PBB turut menganjurkan pertandingan menulis esei berpandukan slogan “Keamanan = Masa Depan” (Peace = Future).

.

Perhimpunan Agung PBB pada 1981 membuat resolusi untuk mengisytiharkan Hari Keamanan Sedunia pada hari Selasa ketiga bulan September mulai 1982.

.

Pada 2001, tarikh sambutan ditetapkan pada 21 September dan Hari Keamanan Sedunia disambut oleh semua negara anggota PBB.

..

(Skrip khas ini disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 21 September 2010 sempena Hari Keamanan Sedunia.)

20 Sept 2010

Cereka UPSR - Buktikan Kreativiti

Bagi adik-adik yang mengikuti ruangan khas “Cereka UPSR” dalam majalah e-baca sejak Mei 2010, tentu sudah menimba banyak ilmu serta panduan menulis karangan cereka yang memenuhi ciri-ciri sebuah karya kreatif.
.

Terima kasih kepada adik-adik yang mengirimkan karangan melalui e-mel seperti diminta dalam keluaran lalu. Kesemuanya akan dibaca dan beberapa karangan terpilih akan dipaparkan dalam ruangan ini pada masa hadapan.

.

Bulan September amat penting bagi adik-adik yang berada di Tahun Enam kerana menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Semoga pelbagai panduan yang dipaparkan dalam ruangan “Cereka UPSR” memberi nilai tambah kepada kemampuan adik-adik menghasilkan karangan yang benar-benar bermutu.

.

Seperti mana yang dinyatakan sejak keluaran Mei 2010, tujuan utama siri bimbingan ini diadakan bukan semata-mata untuk membantu adik-adik mendapatkan markah tinggi dalam Bahagian B, Kertas 2 (Penulisan) subjek Bahasa Malaysia UPSR.

.

Sebaliknya, adik-adik diharap akan meneruskan minat, bakat dan ilmu yang ditimba untuk menghasilkan karangan berbentuk cerita rekaan (cereka) atau cerita pendek (cerpen).

.

Adik-adik bolehlah mengirim manuskrip cereka yang ditulis kepada Abang Uthaya melalui e-mel. Sekiranya sesuai, tentulah boleh disiarkan dalam ruangan ini untuk tatapan umum.

.

Sementara itu, memandangkan adik-adik akan menduduki UPSR atau Peperiksaan Akhir Tahun tidak lama lagi, mari kita sama-sama meneliti beberapa panduan penting sebagai persiapan akhir sebelum adik-adik menulis karangan tidak berformat.

.

Sebaik-baiknya, masukkan unsur suspens pada karangan supaya sedap dan seronok dibaca. Unsur klimaks atau kemuncak dalam cerita akan membuatkan pembaca (guru atau pemeriksa) berminat untuk membaca karangan yang adik-adik tulis.

.

Perbendaharaan kata amat penting kerana satu-satunya wahana (medium) yang adik-adik gunakan untuk menyampaikan keseluruhan cerita adalah bahasa. Maka, pastikan adik-adik sentiasa berusaha memperkaya perbendaharaan kata melalui pembacaan. Aspek bahasa seperti struktur ayat, kosa kata, imbuhan, tanda baca dan ejaan perlu diberi perhatian.

.

Jadikan kamus sebagai sahabat karib kerana selain daripada menyemak makna perkataan-perkataan baru, adik-adik juga boleh menggunakannya untuk mempelajari perkataan-perkataan baru.

.

Semasa menulis karangan, selang-seli antara ayat majmuk dan ayat mudah. Sekiranya hanya ayat mudah digunakan, karangan menjadi terlalu mendatar dan tidak seronok dibaca.

.

Dari segi watak yang digunakan pula, pastikan watak dan perwatakan benar-benar hidup dan meyakinkan pembaca. Adik-adik boleh menjadikan kawan-kawan sebagai model untuk menghasilkan watak dalam karangan.

.

Penggunaan dialog akan menjadikan karangan lebih menarik untuk dibaca. Dalam kehidupan seharian, kita sering berbual dan bercakap. Maka, tentulah sesuai jika watak-watak dalam cereka yang adik-adik tulis juga boleh berbual dan bercakap.

.

Adik-adik perlulah banyak membaca cerpen bermutu supaya adik-adik boleh belajar cara yang betul untuk menulis dialog dalam karangan.

.

Selain membaca cerpen/novel, adik-adik juga perlulah rajin membaca akhbar atau menonton televisyen untuk mengetahui perkembangan semasa. Fakta dan ilmu bantu yang diperoleh bolehlah digunakan untuk memantapkan karangan yang ditulis.

.

Adik-adik juga boleh memanfaatkan pengalaman sendiri untuk menjadikan karangan lebih menarik. Selain daripada pengalaman sendiri, adik-adik juga menggunakan pengalaman kawan-kawan, adik-beradik dan saudara-mara.

.

Tulisan perlulah kemas dan mudah dibaca. Sekiranya tulisan adik-adik seperti cakar ayam dan sukar dibaca, tentulah pembaca (guru atau pemeriksa) menghadapi masalah untuk memahami apa yang ditulis. Akibatnya, pembaca hilang minta terhadap cereka yang adik-adik hasilkan.

.

Apabila adik-adik menulis karangan tidak berformat seperti autobiografi, biografi, menyambung cerita dan cereka, pastikan gaya penulisan karangan itu memenuhi ciri-ciri cereka. Tonjolkan kreativiti adik-adik dalam menggambarkan watak, suasana, dialog, latar tempat dan suspens dalam karangan berkenaan.

.

Adik-adik perlu rajin membaca buku cerita (cerpen dan novel) kerana amalan itu akan memberi pelbagai idea dan bahan untuk adik-adik menulis karangan yang menarik dan bermutu.

.

Sebagai ulang kaji, adik-adik bolehlah membaca semula panduan yang diberikan dalam ruangan “Cereka UPSR” bermula keluaran Mei 2010.

.

Segala panduan yang diberikan bukan hanya membantu adik-adik dalam UPSR. Sebaliknya, boleh dimanfaatkan apabila adik-adik melangkah ke sekolah menengah.

.

Berikut tajuk karangan untuk adik-adik tulis dan kirim secara lampiran (attachment) ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my dan karangan terpilih akan diberi hadiah buku cerita sumbangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

.

Tulis sebuah cereka yang berakhir dengan ayat berikut: Sejak kejadian itu, dia berjanji tidak akan memandang rendah keupayaan orang lain.

.

(Panduan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan Bengkel Cereka UPSR anjuran Kavyan dan disiarkan dalam majalah e-baca, September 2010. Ikuti Bahagian Enam pada 5 Januari 2011 - DI SINI. Sila KLIK DI SINI untuk panduan mengirim manuskrip cereka bagi tujuan penerbitan di majalah dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.)