20 Sept 2010

Cereka UPSR - Buktikan Kreativiti

Bagi adik-adik yang mengikuti ruangan khas “Cereka UPSR” dalam majalah e-baca sejak Mei 2010, tentu sudah menimba banyak ilmu serta panduan menulis karangan cereka yang memenuhi ciri-ciri sebuah karya kreatif.
.

Terima kasih kepada adik-adik yang mengirimkan karangan melalui e-mel seperti diminta dalam keluaran lalu. Kesemuanya akan dibaca dan beberapa karangan terpilih akan dipaparkan dalam ruangan ini pada masa hadapan.

.

Bulan September amat penting bagi adik-adik yang berada di Tahun Enam kerana menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Semoga pelbagai panduan yang dipaparkan dalam ruangan “Cereka UPSR” memberi nilai tambah kepada kemampuan adik-adik menghasilkan karangan yang benar-benar bermutu.

.

Seperti mana yang dinyatakan sejak keluaran Mei 2010, tujuan utama siri bimbingan ini diadakan bukan semata-mata untuk membantu adik-adik mendapatkan markah tinggi dalam Bahagian B, Kertas 2 (Penulisan) subjek Bahasa Malaysia UPSR.

.

Sebaliknya, adik-adik diharap akan meneruskan minat, bakat dan ilmu yang ditimba untuk menghasilkan karangan berbentuk cerita rekaan (cereka) atau cerita pendek (cerpen).

.

Adik-adik bolehlah mengirim manuskrip cereka yang ditulis kepada Abang Uthaya melalui e-mel. Sekiranya sesuai, tentulah boleh disiarkan dalam ruangan ini untuk tatapan umum.

.

Sementara itu, memandangkan adik-adik akan menduduki UPSR atau Peperiksaan Akhir Tahun tidak lama lagi, mari kita sama-sama meneliti beberapa panduan penting sebagai persiapan akhir sebelum adik-adik menulis karangan tidak berformat.

.

Sebaik-baiknya, masukkan unsur suspens pada karangan supaya sedap dan seronok dibaca. Unsur klimaks atau kemuncak dalam cerita akan membuatkan pembaca (guru atau pemeriksa) berminat untuk membaca karangan yang adik-adik tulis.

.

Perbendaharaan kata amat penting kerana satu-satunya wahana (medium) yang adik-adik gunakan untuk menyampaikan keseluruhan cerita adalah bahasa. Maka, pastikan adik-adik sentiasa berusaha memperkaya perbendaharaan kata melalui pembacaan. Aspek bahasa seperti struktur ayat, kosa kata, imbuhan, tanda baca dan ejaan perlu diberi perhatian.

.

Jadikan kamus sebagai sahabat karib kerana selain daripada menyemak makna perkataan-perkataan baru, adik-adik juga boleh menggunakannya untuk mempelajari perkataan-perkataan baru.

.

Semasa menulis karangan, selang-seli antara ayat majmuk dan ayat mudah. Sekiranya hanya ayat mudah digunakan, karangan menjadi terlalu mendatar dan tidak seronok dibaca.

.

Dari segi watak yang digunakan pula, pastikan watak dan perwatakan benar-benar hidup dan meyakinkan pembaca. Adik-adik boleh menjadikan kawan-kawan sebagai model untuk menghasilkan watak dalam karangan.

.

Penggunaan dialog akan menjadikan karangan lebih menarik untuk dibaca. Dalam kehidupan seharian, kita sering berbual dan bercakap. Maka, tentulah sesuai jika watak-watak dalam cereka yang adik-adik tulis juga boleh berbual dan bercakap.

.

Adik-adik perlulah banyak membaca cerpen bermutu supaya adik-adik boleh belajar cara yang betul untuk menulis dialog dalam karangan.

.

Selain membaca cerpen/novel, adik-adik juga perlulah rajin membaca akhbar atau menonton televisyen untuk mengetahui perkembangan semasa. Fakta dan ilmu bantu yang diperoleh bolehlah digunakan untuk memantapkan karangan yang ditulis.

.

Adik-adik juga boleh memanfaatkan pengalaman sendiri untuk menjadikan karangan lebih menarik. Selain daripada pengalaman sendiri, adik-adik juga menggunakan pengalaman kawan-kawan, adik-beradik dan saudara-mara.

.

Tulisan perlulah kemas dan mudah dibaca. Sekiranya tulisan adik-adik seperti cakar ayam dan sukar dibaca, tentulah pembaca (guru atau pemeriksa) menghadapi masalah untuk memahami apa yang ditulis. Akibatnya, pembaca hilang minta terhadap cereka yang adik-adik hasilkan.

.

Apabila adik-adik menulis karangan tidak berformat seperti autobiografi, biografi, menyambung cerita dan cereka, pastikan gaya penulisan karangan itu memenuhi ciri-ciri cereka. Tonjolkan kreativiti adik-adik dalam menggambarkan watak, suasana, dialog, latar tempat dan suspens dalam karangan berkenaan.

.

Adik-adik perlu rajin membaca buku cerita (cerpen dan novel) kerana amalan itu akan memberi pelbagai idea dan bahan untuk adik-adik menulis karangan yang menarik dan bermutu.

.

Sebagai ulang kaji, adik-adik bolehlah membaca semula panduan yang diberikan dalam ruangan “Cereka UPSR” bermula keluaran Mei 2010.

.

Segala panduan yang diberikan bukan hanya membantu adik-adik dalam UPSR. Sebaliknya, boleh dimanfaatkan apabila adik-adik melangkah ke sekolah menengah.

.

Berikut tajuk karangan untuk adik-adik tulis dan kirim secara lampiran (attachment) ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my dan karangan terpilih akan diberi hadiah buku cerita sumbangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

.

Tulis sebuah cereka yang berakhir dengan ayat berikut: Sejak kejadian itu, dia berjanji tidak akan memandang rendah keupayaan orang lain.

.

(Panduan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan Bengkel Cereka UPSR anjuran Kavyan dan disiarkan dalam majalah e-baca, September 2010. Ikuti Bahagian Enam pada 5 Januari 2011 - DI SINI. Sila KLIK DI SINI untuk panduan mengirim manuskrip cereka bagi tujuan penerbitan di majalah dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.)