Pada pagi 5 September 2010, saya bersama-sama Devishi Prabha Sankari dan Ashwini memandu ke bandar Taiping. Kali ini, kami mendapat tempat untuk meletakkan kereta. Lalu, kami bertiga berjalan-jalan sekitar bandar Taiping sambil merakamkan sejumlah foto sebagai kenangan.
Ternyata, dalam keterpaksaan menerima arus pemodenan, Taiping masih mampu mengekalkan unsur-unsur tradisi. Papan-papan tanda di sini – khususnya di kawasan perniagaan – menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil. Ternyata, isu bahasa tidak dijadikan isu di sini.
Rata-rata penduduk pelbagai kaum di Taiping juga tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Malah, konsep sebenar Bangsa Malaysia – atau apa yang kini cuba dijenamakan sebagai 1Malaysia – sebenarnya sudah sedia wujud dan diamalkan sejak turun-temurun di Taiping tanpa perlu ada sebarang campur tangan politik.
Saya, Devishi dan Aswini juga minum ais kacang di gerai ikonik yang menjadi pilihan ramai; termasuk anak-anak Taiping yang kini merantau ke tempat-tempat lain.
Selepas minum ais kacang, kami meneruskan perjalanan sambil berbual-bual dan merakamkan lebih banyak foto kenangan menggunakan telefon bimbit.
Dalam perjalanan pulang dari bandar Taiping, kami singgah di Sekolah Menengah King Edward VII, tempat saya belajar Tingkatan Enam dahulu. Atas saranan Devishi dan Ashwini, saya bertanya kepada pengawal bertugas dan beliau dengan gembira membenarkan kami masuk untuk mengambil foto!
Kesemua foto-foto berkenaan saya muatkan dalam album berlabel “Taiping, 5 September 2010” di Facebook.
Sewaktu lalu di hadapan Asrama SMKEVII, saya terkenang akan Mohammad Amin yang sudah hampir 18 tahun tidak saya temui. Selepas foto asrama itu saya paparkan di Facebook, Izham Rusyadi membantu saya mendapatkan nombor telefon bimbit Amin. Malangnya, sehingga hari ini, telefon berdering tetapi tidak dijawab. Mungkinkah terlalu sibuk melayan tetamu sempena Aidilfitri?
Saya, Devishi dan Ashwini juga singgah di rumah Ambigah dan Dhanesh untuk berbual-bual sebentar sebelum pulang ke rumah nenek Devishi dan Ashwini. Oh, ya! Pada 4 September 2010, saya mengambil foto di Taman Tasik Taiping. Mungkin pada masa akan datang, saya akan mengambil foto Taman Tasik Kamunting yang sedang dalam proses pembinaan di hadapan rumah Devishi dan Ashwini di Batu 4, Kamunting.