15 Sept 2010

Roti Canai Bersama Pak Samad

Pada pagi 12 September 2010, saya ke Bangsar untuk bertemu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dan menyampaikan sedikit cenderamata yang dititipkan pihak Popular Holdings Limited sempena Pak Samad melancarkan BookFest@Malaysia pada 6 September 2010.
.

Kami berdua minum teh tarik dan makan roti canai di restoran sambil membualkan pelbagai perkara besar dan kecil, penting dan santai, serius dan jenaka, serta umum dan khusus.

.

Berikut catatan mengenai antara perkara yang kami bualkan. Harus dinyatakan bahawa catatan ini berdasarkan pemahaman saya terhadap perbualan kami dan tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya makna sebenar kata-kata Pak Samad.

.

Beliau menceritakan mengenai Upaya Rindu Ibu (URI) di Bukit Belacan; iaitu rumah beliau boleh digunakan golongan seniman dari dalam dan luar negara untuk mengadakan pertemuan dan aktiviti sihat. Pak Samad tidak membuat publisiti mengenai URI kerana rumah itu tidak mampu menampung jumlah musafir yang ramai.

.

Pak Samad turut menceritakan mengenai salah satu novel yang sedang beliau tekuni. Novel Freedom (Ogos 2010) karya Jonathan Franzen dilihat sebagai suatu fenomena dalam kalangan peminat buku di Barat. Beliau menyarankan saya menekuni novel itu.

.

Selanjutnya, Pak Samad menyentuh mengenai novel Panchayat (2002) yang beliau sifatkan sebagai novel yang “sangat bermakna” dalam sastera kebangsaan. Beliau menyarankan saya menulis sebuah lagi novel yang secara telus, ikhlas, langsung dan tanpa berselindung menceritakan realiti kaum India di Malaysia.

.

Pak Samad juga bertanya sama ada karya-karya saya sudah mula diterjemahkan ke Bahasa Inggeris supaya boleh dibaca masyarakat dunia. Saya nyatakan mengenai cerpen “Nayagi”, “Yang Aneh-aneh” dan “Cat” yang sudah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

.

“Saya lebih suka menterjemahkan sendiri cerpen-cerpen saya ke Bahasa Inggeris,” kata saya.

.

Pak Samad menyokong pendirian itu dan berkata, dalam masa sekitar lima tahun, amat wajar karya-karya saya sampai kepada khalayak luar.

.

Perbualan kami juga berkisar mengenai kisah lalu, perkembangan semasa dan perancangan masa hadapan Helmy Samad dan Az Samad.

.

Beliau turut meluahkan impian supaya ada pihak tertentu – kerajaan negeri, misalnya – yang tampil menyediakan rumah khas untuk mengarkibkan khazanah milik beliau.

.

“Terbaik adalah di Kuala Lumpur atau Selangor kerana di sinilah pusat aktiviti seni negara,” kata beliau.

.

Perbualan kami turut berkisar tentang Prof Madya Dr Lim Swee Tin yang sudah saya calonkan untuk dinilai bagi Anugerah Sastera Negara. Pada pandangan Pak Samad, elok juga jika Dr Lim menghasilkan sebuah kumpulan cerpen yang boleh sedikit menggegarkan serta menaikkan kedudukan beliau dalam sastera kebangsaan.

.

Sambil mengambil saya dan Dr Lim sendiri sebagai contoh terdekat, Pak Samad mengakui – melalui penelitian beliau – bahawa masih wujud prejudis apabila kelompok “Bukan Melayu” menguasai “Bahasa Melayu” dan mampu mengangkat isu-isu berkaitan kelompok “Bukan Melayu” dalam bahasa itu.

.

Isu-isu perkauman – termasuk yang dijadikan modal politik – turut kami bincangkan dalam pertemuan dari 8:30 pagi hingga 10:00 pagi itu.

.

Malah, suatu hakikat yang memang saya sudah sedia maklum – dan tidak ambil kisah! – adalah bahawa beberapa pihak masih teruja untuk mempersoalkan kesanggupan Pak Samad dilantik menjadi Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak 2003.

.

Pak Samad memaklumkan juga bahawa pada petang 12 September 2010, beliau dan Datin Rashidah bercadang ke pawagam untuk menonton dua filem Melayu yang diarah tokoh berwibawa.

.

“Saya mahu lihat bagaimana Razak Mohaideen dan Hatta Azad Khan menangani filem komedi,” kata beliau.

.

Untuk makluman, Pak Samad dan Datin Rashidah memang gemar menonton filem Tamil dan Hindi. Pada 6 September 2010, semasa dalam perjalanan ke BookFest@Malaysia, kami bertiga antara lain berbual mengenai filem 3 Idiots dan Raavanan.

.

Saya telah memberitahu Pak Samad pada 23 Ogos 2010 mengenai sajak “Dead Crow” karya beliau (terjemahan daripada “Gagak Parit”) yang diciplak bulat-bulat oleh seorang kanak-kanak dan tersiar dalam sebuah majalah keluaran September 2010.

.

“Dari satu segi, dia telah membaca dan teruja membaca puisi bapak. Bapak faham dan tidak marah. Cuma, editor yang nampaknya kurang teliti,” beliau mengulas.

.

Bercakap mengenai kanak-kanak, Pak Samad menceritakan rancangan untuk membawa buku Rindu Ibu kepada murid-murid seluruh negara, selain terlibat secara langsung dalam acara baca puisi-puisi dalam buku itu bersama-sama kanak-kanak terbabit.

.

Demikian antara “canai” daripada topik-topik yang saya dan Pak Samad bualkan secara santai. Mungkin ada perkara yang saya terlupa kerana tidak membuat nota ringkas. Atas alasan itulah juga saya catatkan di sini; sebagai rujukan masa hadapan. Namun, tentulah ada beberapa topik perbincangan yang sengaja tidak saya dokumentasikan di sini kerana mungkin menyentuh sensitiviti pihak tertentu.