11 Sept 2010

Ke Mana Saya?

Pada 4 September 2010 (Sabtu), saya memandu dari Shah Alam, Selangor pada pukul 6:00 pagi dan sampai di Kamunting, Perak pada pukul 9:00 pagi.
.

Sepanjang perjalanan, saya mendengar cakera padat (CD) audio novel Escape (Robert K Tanenbaum, 2008). Setiap CD tempohnya sekitar 75 minit dan ada 18 CD kesemuanya.

.

Semasa saya sampai di rumah mentua, Devishi Prabha Sankari sedang seronok berbasikal bersama sepupunya, Ashwini.

.

Selepas bersarapan, saya dan Devishi memandu ke bandar Taiping menggunakan Jalan Klian Pau kerana kini ada terlalu banyak lampu isyarat sepanjang Jalan Kamunting.

.

Kami singgah di Taman Tasik Taiping, taman tasik pertama di Malaysia – ada hampir 40 perkara pertama di Malaysia yang berada di Taiping. Sementara Devishi bermain buaian, saya merakamkan beberapa foto menggunakan telefon bimbit. Foto-foto berkenaan boleh dilihat di Facebook dalam album berlabel “Taiping, 4 September 2010”.

.

Barulah saya tahu bahawa taman permainan kanak-kanak itu diasaskan pada 1961 dan dihadiahkan Batalion Kedua Regimen Tentera New Zealand.

.

Saya dan Devishi mengelilingi bandar Taiping sambil merakamkan sedikit foto. Malangnya, kami tidak berpeluang meletakkan kereta di mana-mana kerana bandar Taiping dipenuhi kenderaan. Mungkin kerana cuti sekolah dan Aidilfitri. Maka, kami pulang ke Kamunting.

.

Sekitar 2:00 petang, saya pergi bertemu Teoh Zhi Guan (Zhi), bekas pelajar saya di Kolej SEGi Subang Jaya sekitar empat tahun lalu. Dia belajar di luar negara dan pulang bercuti. Saya “menemui”nya semula menerusi Facebook beberapa minggu lalu.

.

Kami berdua ke gerai ais kacang di bandar Taiping. Mujurlah kami ini ada satu ruang kosong untuk saya meletakkan kereta. Zhi bertugas sebagai pengawal peribadi saya; dan saya membulinya sesuka hati. Memang menyeronokkan!

.

Saya membawanya ke Aulong Lama melalui Jalan Kampung Boyan. Kemudian kami “menjejak” Cik Pragasam di Aulong, berpandukan jalan yang ditunjukkan oleh Ghanthi Mathi menerusi Facebook beberapa hari lalu. Seronoknya dapat bertemu bekas guru selepas 20 tahun! Namun, pada kali ini, saya tidak sempat mengunjugi Puan Hadebah Duseh. (Saya menemui beliau pada Disember 2009 dan beliau juga ada akaun Facebook.)

.

Zhi membawa saya ke sekitar Tekah. Aulong Lama yang dahulu bekas lombong kini sudah berubah. Perubahan yang amat ketara juga berlaku di Tekah; berbanding kali terakhir saya ke sana sepuluh tahun lalu. Sudah maju; sukar untuk dipercayai kawasan ini dahulu lombong bijih timah dan dipenuhi bukit pasir!

.

Zhi dan saya kemudian bertemu Shamsul Azahar (Shamshell Aha di Facebook) yang tidak saya temui hampir 20 tahun. Kemudian bertemu Zul Fikar Ali yang saya temui pada Mei 2009 semasa pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Kedah.

.

Kami berempat memandu ke rumah Azura Kassim (Zura Kassim di Facebook) di Taman Berkat, Simpang. Selepas berbual-bual dengan Azura dan suaminya – anak-anak pula mungkin malu melihat kami berempat! – kami berbuka puasa bersama-sama. Memang seronok! Dan tentulah berkongsi kisah lama.

.

Demikianlah catatan pengalaman saya pada 4 September 2010. Saya catatkan di sini sebagai rujukan hari tua. Foto-foto pula saya simpan di Facebook; juga untuk rujukan hari tua.