Friday, 31 July 2009

Belajar Bukan Hafaz

Setiap kali saya berpeluang mengambil anak saya pulang selepas sekolah, saya akan bertanya kepadanya, apa perkara baru yang dipelajarinya di kelas pada hari berkenaan.

Bagi saya, apa yang penting adalah ilmu yang ditimba di sekolah secara yang menyeronokkan; bukan pengetahuan yang disuap dan disogokkan oleh guru kepada murid.

Mujurlah anak saya, Devishi Prabha Sankari turut memahami kepentingan ilmu yang dipelajari sambil berseronok. Berkat bimbingan ibunya juga, Devishi tetap mendapat markah yang amat membanggakan dalam peperiksaan penggal Tahun Satu.

Proses menimba ilmu perlulah menyeronokkan. Bagi saya sendiri, saya masih ingat begitu banyak perkara yang dipelajari sejak sekolah rendah kerana segalanya didedahkan kepada kami (murid-murid) secara yang menarik dan bukan semata-mata berorientasikan peperiksaan.

Sila KLIK DI SINI untuk teks penuh.

Thursday, 30 July 2009

Kathakali Sarat Nilai Kemanusiaan

Kathakali merupakan himpunan karya Uthaya Sankar SB yang terbaru, selepas belasan buku karyanya sebelum ini. Memuatkan 16 buah cerpen, tampaknya dituju kepada golongan remaja. Namun, ia harus juga dihayati mereka yang sudah pun menjangkau usia itu. Mengisikan pelbagai tema, akan tetapi terasakan sekali pengarang begitu tekun mengangkat permasalahan semasa yang cukup penting dewasa ini, seumpama perihal keterhakisan unsur budaya dalam masyarakat, upaya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik; hal-hal yang kelihatannya tersisih daripada perhatian umum, menjadikan Uthaya pengarang yang cukup sensitif atau peka akan pelbagai degup dan getar yang berlaku di sekelilingnya.

Kita tentunya terlepas memperhati banyak perkara, akan tetapi tidak pengarang. Sensitiviti, persepsi dan kreativiti pengarang sebetulnya menjalar dan merayap jauh di hujung-hujung benua sukma manusia untuk menemukan makna dan erti. Perihal patriotisme yang barangkali dilihat begitu menipis sekarang, Uthaya mengemukakan melalui beberapa karyanya. Antara lain, “Catatan Sipahi Muda” yang mengangkat pembunuhan JWW Birch. Sebagai pengarang, Uthaya tentulah tidak mengulangi apa yang telah dicatat dalam sejarah. Pengarang “membaca” sesuatu yang tidak pernah terbacakan kita, misalnya bahawa mereka yang melindungi Birch bukanlah atas dasar keyakinan “mempertahankan kebenaran”, sebaliknya atas dasar “mengenang budi”. Tafsiran yang dibuat pengarang cantik di sini. Dan, kita pun masuk ke dalam peristiwa.

Perihal masyarakat yang selalu disifatkan “manusia kecil” kerana kurang upaya, Uthaya memberi mereka keyakinan yang besar; yang luar biasa. Dalam beberapa karya, pengarang meletakkan tinggi kasihnya kepada mereka. Unsur perpaduan juga disinggung. Akan tetapi, sudah tentulah dari perspekstif yang baharu. Pengarang tampaknya tidak menyukai redundansi dalam berkarya. Kerana itu, hujahnya tentang perpaduan kelihatan lain atau berbeza. Ia relevan untuk pembaca masa kini yang lebih analitikal dan mahukan sesuatu yang bernafas baru. “Kathakali” yang diangkat menjadi judul kumpulan cerpen ini pun merupakan sebuah karya yang hebat. Dramatari kathakali bukan sekadar warisan; ia pencetus rasa persefahaman, kecintaan, jati diri dan keperibadian utuh dan teguh.

Elemen lain dalam karya-karya yang terhimpun dalam kumpulan Kathakali yang wajar disentuh ialah aspek ilmunya. Menjadi semacam kecenderungan pengarang tidak hanya mempersembahkan cerita kepada pembaca, melainkan meletakkan di sana sini ilmu dan maklumat. Namun, ilmu dan maklumat bukan pula sesuatu yang mudah diterima pembaca, apatah dalam genre kreatif. Di sini, Uthaya memperlihatkan kecekapan kreatifnya menyisipkan hal-hal yang bersifat keilmuan dan maklumat, sehingga tidak terasakan ia sedang melakukannya. Pembaca dalam kalangan remaja khususnya tidak akan terasa mereka sedang disogokkan sesuatu yang realitinya perlu mereka ketahui.

Pengarang juga bijak mengeksploit setiap ruang emosi pembaca. Uthaya melalui “Bapa Krismas” (dan banyak lagi) mengambil jurus-jurus yang “hilang” daripada perhatian dan ingatan kita. Tidak keterlaluan, ada pembaca akan menitiskan air mata.

Membaca karya sastera adalah upaya mendekati pemikiran pengarangnya dengan penuh mesra dan intim. Di sisi Kathakali kita menemukan pelbagai lapis dimensi pemikiran Uthaya Sankar SB. Karya sastera juga menjadi cerminan diri. Pengarang menyediakan cerminan itu. Kita menilik. Kita kemudian menemui wajah-wajah kita yang dalam kesibukan dan kekangan-kekangan tertentu, ia selama ini terselindung! … Selamat membaca.

(Teks ucapan Prof Madya Dr Lim Swee Tin sewaktu membicarakan Kathakali pada 12 Julai 2009 di Perpustakaan Negara Malaysia. Sila KLIK D SINI untuk pelbagai maklumat lanjut mengenai buku ini.)

Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan

22 Ogos 1999. Suatu tarikh yang penting bagi masyarakat India di Malaysia. Pada hari tersebut, sekumpulan kecil penulis kaum India dan peminat sastera Bahasa Malaysia telah mengadakan suatu perjumpaan tidak rasmi di ibu negara. [BACA LAGI]

Perjumpaan itu amat bermakna kerana telah menyatukan minda-minda yang inginkan pembaharuan dalam bidang penulisan dan kemajuan masyarakat India di Malaysia.

Dalam tempoh sepuluh tahun sejak diasaskan, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berjaya membuktikan semangat “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi asas bagi segala aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya yang dianjurkannya di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sempena sedekad penubuhan Kavyan, beberapa aktiviti dirancang. Pasti sahaja aktiviti-aktiviti ini terbuka kepada peserta pelbagai kaum – suatu aspek yang menjadi pegangan Kavyan sejak mula-mula diasaskan sepuluh tahun lalu.

Antara aktiviti yang dirancang adalah seperti berikut – tertakluk pindaan dan bergantung pada sumbangan bagi menampung kos.


22 Ogos 2009 (Sabtu)
Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan
Pertemuan Santai Ahli & Sukarelawan Kavyan
Pencapaian Kavyan: Sedekad Lalu, Sedekad Akan Datang
Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya
[Penaja dicari untuk menampung kos makan-minum]

23-28 Ogos 2009 (Ahad-Jumaat)
Kembara Perpaduan Kavyan di Kedah, Perak & Selangor
Sesi Bertemu Sasterawan Kavyan
Jom Bergaya dengan Buku
Kavyan Berbuka Puasa di Kampung
Perancangan aktiviti secara terperinci belum dilakukan. Dijangkakan berada di Perak pada 23 & 24 Ogos, Kedah pada 25 & 26 Ogos dan Selangor pada 27 & 28 Ogos. Mana-mana pihak yang sudi menerima kunjungan perpaduan pihak Kavyan, amat dialu-alukan. Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya juga boleh diadakan mengikut kesesuaian.
[Penaja dicari untuk menampung kos petrol, tol dan penginapan]

30 Ogos 2009 (Ahad)
Penghayatan Sastera Kanak-kanak di Banting, Selangor
Kempen Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar
[Penaja dicari untuk menampung kos petrol, tol dan penginapan]


Perancangan aktiviti sempena Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan hanyalah pada skala kecil. Apa yang penting adalah pengisian dan bukannya sambutan besar-besaran yang hanya membazir wang – apatah lagi apabila mengharapkan “sumbangan” daripada golongan berhati mulia untuk menampung kos yang ditanggung.

Jika ada pihak yang mahu “mengundang” Kavyan untuk mengendalikan atau terlibat sama dalam aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya pada 23-28 Ogos 2009, amatlah dialu-alukan; sekiranya sesuai dan kena pada tempatnya.

Promosi dan jualan Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia juga akan dilakukan semasa aktiviti-aktiviti ini.

Aktiviti-aktiviti ini juga dijangka melibatkan kerjasama Kumpulan One Nusantara, Ridz Marketing, Citra Kurnia Enterprise dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Semuanya demi memasyarakatkan sastera dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Wednesday, 29 July 2009

Jom Bergaya dengan Buku!

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya,
Bangsa Membaca, Bangsa Bergaya!


Saya mendapat idea di atas berdasarkan komen Rozlan Mohamed Noor di Facebook pada 29 Julai 2009 terhadap tagline Kempen Membaca yang saya nyatakan pada promosi aktiviti Kavyan.

Secara kebetulan, Encik Koh Yok Hwa dari Kumpulan One Nusantara ada mengirim SMS kepada saya pada pagi 29 Julai 2009 untuk mencadangkan semacam “kempen” menggalakkan orang ramai memilih bahan bacaan (buku) sebagai hadiah.

Pada masa yang sama, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga sedang merangka “Kembara Sasterawan Kavyan” yang bertujuan – antara lain – untuk menggalakkan tabiat membaca dan mempromosi buku Kathakali sebagai “hadiah untuk insan tersayang”.

Jom Bergaya dengan Buku!

Golongan remaja khususnya sentiasa mahu tampil bergaya. Pakaian, aksesori, gaya rambut, telefon bimbit (dan sebagainya) menjadi tumpuan dalam melengkapkan penampilan bergaya.

Sedar atau tidak, bahan bacaan berupa buku yang berkualiti juga mampu menyerlah gaya dan penampilan seseorang individu.

Kalau anda merasakan tabit membaca buku di tempat awam belum menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, mengapa anda perlu menjadi “pengikut”?

Jadilah trend-setter! Biarlah anda tampil bergaya membaca bahan bacaan bermutu di tempat awam: stesen bas, gerai mamak, di dalam Komuter dan di mana-mana tempat awam.

Jadilah golongan muda yang berani menyerlahkan gaya dan identiti intelektual secara terbuka di tempat awam dengan menjadikan buku teman setia.

Bagi saudara yang berazam “memulakan” budaya membaca secara serius, anda juga boleh menyertai pelbagai aktiviti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Soalnya: beranikah anda tampil bergaya di tempat awam dengan buku di tangan?

Tuesday, 28 July 2009

Mulakan Ogos 2009 dengan Aktiviti Membaca

Dahulu, bulan Julai sering dikaitkan dengan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan membaca.

Bagaimanapun, sepatutnya – dan seharusnya – aktiviti membaca menjadi budaya harian; bukan bermusim.

Bagi saudara yang berazam “memulakan” budaya membaca secara serius, apa kata saudara menyertai aktiviti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan pada 1 & 2 Ogos 2009?

Acara “Baca Cerpen Rudra Avatara (II)” akan berlangsung pada 1 Ogos 2009 manakala “Dialog Sasterawan Negara: Datuk A. Samad Said” dijadualkan pada 2 Ogos 2009.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat “Baca Cerpen Rudra Avatara (II)”.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat “Dialog Sasterawan Negara”.

Sila KLIK DI SINI untuk senarai aktiviti Ogos 2009 anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Monday, 27 July 2009

Uji Bakat Pengacara RTM

Ujibakat pengacara/wartawan bagi program di RTM pada 3 Ogos 2009 (Isnin), 9:00 pagi. Khusus bagi pemuda-pemudi Bukan Melayu di sekitar Lembah Klang. Perlu membawa resume, salinan sijil, salinan KP dan foto terkini. Perlu mampu membuat pengacaraan dalam Bahasa Malaysia secara mantap. WAJIB mendaftar nama selewat-lewatnya 31 Julai 2009 untuk layak hadir ujibakat. Sila klik “comments” di bawah untuk mendaftar nama.

Friday, 24 July 2009

Pesta Buku Negeri Selangor

Kumpulan Sasterawan Kavyan akan terlibat dalam menganjurkan beberapa aktiviti sempena Pesta Buku Negeri Selangor (24 Julai – 3 Ogos 2009).

Pasti sahaja aktiviti-aktiviti ini akan dijalankan dengan kerjasama dan sokongan padu pelbagai pihak.

Saya juga amat yakin pada kemampuan para Pegawai Kavyan dan Sukarelawan Kavyan dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti sempena Pesta Buku Negeri Selangor.

Penyertaan bagi kesemua aktiviti berkenaan masih dibuka kepada umum. Bolehlah menghubungi saya dengan kadar segera melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau SMS lengkap ke 012-3368142 (SMS tidak akan dibalas).

Thursday, 23 July 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia

“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya [Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong].

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan. Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung.
.
Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama.
.
“Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan.”

Berita Harian, 23 Julai 2009

Tuesday, 21 July 2009

Program Jualan Buku Bersama Penulis

Kalau di negara luar, golongan penulis sering mengadakan sesi bertemu peminat dan menandatangani buku yang dihasilkan.

Kini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuka peluang untuk peminat sastera tempatan menemui pengarang dan penulis terkenal Malaysia dalam “Program Jualan Buku Bersama Penulis” di PNM, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Acara ini akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai 2009 (Sabtu dan Ahad), dari pukul 10:00 pagi hingga 5:00 petang di Ruang Pameran, Aras Satu, PNM.

Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Bibliografi Negara, Maizan Ismail berkata, “Program Jualan Buku Bersama Penulis” diadakan buat julung kali sebagai susulan daripada “Sesi Dialog Ketua Pengarah PNM Bersama Penulis” pada 12 Mac lalu.

Program ini juga dilihat sebagai peluang untuk peminat membeli buku daripada para penulis sendiri dan seterusnya mendapatkan tandatangan mereka.

Antara penulis yang dijadual mengambil bahagian ialah Abu Hassan Morad, Aminah Mokhtar, Dr Lim Swee Tin, Uthaya Sankar SB, Lim Teck Guan dan Shamsudin Abd Kadir.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Norhidayah Haron melalui talian 019-3778719 atau 03-26874292.

theSun

Wawancara eksklusif yang disiarkan di akhbar theSun pada 16 Julai 2009 ternyata mendapat maklumbalas yang baik daripada pelbagai pihak.

Pasti sahaja saya tidak mengharapkan semua pihak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan secara terbuka semasa diwawancara oleh Bissme pada 22 Jun 2009.

Terima kasih kepada setiap individu yang menghubungi saya melalui e-mel, SMS, Facebook atau secara bersemuka untuk menyatakan pandangan berhubung pelbagai isu yang diperkatakan dalam wawancara berkenaan.

Ada juga yang meminta maklumat lanjut berhubung beberapa isu yang dianggap sensitif dan “panas”.

Maka, saya memuatkan wawancara berkenaan di laman sesawang saya – berserta pautan ke laman maklumat tambahan.

Bacalah DI SINI dan sudilah terus berkongsi pandangan secara terbuka dan intelektual demi kebaikan bersama.

Saturday, 18 July 2009

Puisi Berilustrasi

Peluang untuk mempelbagaikan cara menghayati karya sastera, khususnya sajak.

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) akan mengadakan Pameran Puisi Berilustrasi di Galeri Perpustakaan Kuala Lumpur (bersebelahan Dataran Merdeka) dari 15 Ogos hingga 15 September 2009.

Para pengarang puisi dan sajak diundang mengirim puisi dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris kepada penganjur secara lampiran (attachment) melalui e-mel sebelum 31 Julai 2009.

Puisi dan sajak yang terpilih akan dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi oleh ahli MBBY yang merupakan artis dan pelukis berpengalaman, sebelum dipamerkan kepada umum.

Untuk tujuan itu, individu yang berminat dan berbakat dalam membuat ilustrasi (lukisan, kaligrafi, catan dan pelbagai seni lukis kumpulan etnik) turut dipelawa menawarkan diri sebagai ilustrator dalam projek ini.

Hak cipta puisi dan sajak dipegang oleh pengarang asal.

Tema sajak yang dikirim adalah berkaitan “Satu Malaysia”, semangat kemerdekaan, patriotik, sejarah, nasihat kepada generasi muda, pendapat atau luahan perasaan.

Sajak dan puisi asli yang dikirim mestilah sesuai dengan kelompok remaja serta tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Karya perlu dikirim ke alamat e-mel zamri_mbby@yahoo.com, databasebbt@gmail.com atau hasbima@gmail.com.

Hubungi talian 016-2558582 (Zamri) untuk maklumat lanjut.
.
Foto sekadar hiasan.

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) akan membangunkan “pangkalan data” atau “database” mengenai penggiat dalam industri buku; khususnya penulis, ilustrator dan penerbit.

Presiden MBBY, Datin Paduka Hajah Shahaneem Hanoum berkata, “pangkalan data” itu nanti akan membantu merancakkan industri buku kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-5 MBBY di Perpustakaan Kuala Lumpur pada pagi 18 Julai 2009.

Pangkalan data itu nanti akan membantu mengumpulkan para “pakar bidang” di bawah suatu bumbung supaya boleh saling bekerjasama; selain memudahkan pihak lain menghubungi mereka.

MBBY juga aktif mempromosi sambutan “Hari Buku Kanak-kanak Sedunia” yang diraikan pada peringkat antarabangsa pada tarikh 2 April. Kempen berterusan yang dilakukan ternyata membuahkan hasil kerana kini lebih ramai penduduk Malaysia menyedari tentang tarikh sambutan itu.

Sementara itu, Naib Presiden MBBY, Ahmad Redza Ahmad Khairuddin menegaskan bahawa buku-buku yang dihasilkan oleh pengarang Malaysia dalam Bahasa Malaysia tidak semestinya diterjemah ke Bahasa Inggeris untuk membolehkannya diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Susah ada terlalu banyak bahan bacaan kanak-kanak dan remaja dalam Bahasa Inggeris. Apa yang dicari oleh peminat dan penggiat buku luar negara adalah buku dalam Bahasa Malaysia yang menceritakan keunikan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara kita,” katanya.

Dalam Pemilihan Jawatankuasa Induk MBBY 2009-2011, Datin Paduka Hajah Shahaneem Hanoum dan Ahmad Redza Ahmad Khairuddin mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai MBBY.

5W1H

Baru-baru ini, seorang wartawan muda lulusan universiti dari sebuah stesen televisyen meminta saya membimbingnya dalam menulis skrip berita.

Sambil membimbing, saya sempat mengingatkannya tentang konsep “5W1H” dan “piramid terbalik” yang menjadi asas penulisan berita.

“Itu bukan untuk tulis berita surat khabar?” Tanyanya.

Friday, 17 July 2009

Fail Merah

Saya sempat membaca akhbar theSun versi dalam talian pada awal pagi 16 Julai 2009 untuk mengetahui apa yang disiarkan – dan apa yang ditinggalkan – daripada wawancara yang dilakukan oleh Bissme pada 22 Jun 2009 [BACA DI SINI] bagi ruangan “Conversations” akhbar berkenaan.

Ramai juga kenalan (termasuk bekas pelajar yang kini rakan saya) telah membaca dan mengirim SMS, e-mel dan catatan di Facebook berhubung wawancara itu.

Saya percaya, Bissme turut menerima pesanan daripada rakan-rakannya berikutan keberaniannya menulis suatu wawancara yang agak terbuka dan berani.

Kebanyakan komen yang saya terima bersifat positif dan memberi sokongan moral. Masing-masing memuji keberanian saya berterus-terang dalam memperkatakan perkara-perkara yang dianggap “sensitif” dan “berbahaya”. [Baca wawancara berkenaan DI SINI.]

Bagaimanapun, belum ada sebarang komen negatif yang saya terima sehingga pagi 17 Julai 2009. (Umpamanya, belum ada ugutan bunuh.)

Hal ini tidaklah menghairankan kerana sistem penyampaian maklumat dalam kalangan golongan tertentu adalah amat lemah. Mungkin hanya dua hari lagi, barulah maklumat mengenai wawancara dalam akhbar theSun akan sampai kepada mereka.

Kemudian mereka perlu pula menilai dan mengumpul fakta berhubung perkara-perkara yang saya nyatakan dan dedahkan dalam wawancara itu.

Kemudian, perlu pula mereka menekuni cerpen Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta untuk mendapatkan panduan mengenai apa yang perlu dan wajar dilakukan.

Sama-sama kita nantikan.

Thursday, 16 July 2009

Pelancaran 10 Buku Penerbit Universiti Malaya

Golongan pensyarah dan tenaga pengajar berpengalaman di Institusi Pengajian Tinggi diseru supaya bersikap proaktif dan membukukan hasil kajian ilmiah yang dilakukan.

Tesis dan kajian ilmiah seperti itu perlu disebarkan kepada umum untuk menambah bahan bacaan akademik.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin berkata, para ilmuan tempatan perlu berani menonjolkan diri dan kepakaran yang dimiliki berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan “Pelancaran 10 Buku Penerbit Universiti Malaya” di Kuala Lumpur pada 16 Julai 2009.

Kesemua buku berkenaan dihasilkan oleh tenaga pengajar universiti tersebut dan diterbitkan oleh Penerbit UM.

Antara buku yang dilancarkan ialah The Alliance: Road to Independence, Sejarah China Moden, Semiotik Persembahan Wacana, Hikayat Sarawak dan Perlindungan Kanak-kanak Berisiko.

Diskusi buku The Alliance: Road to Independence pula dilakukan oleh Prof. Dato’ Abu Bakar dan Sayed Munawar Sayed Mustar.
.
Maklumat lanjut: KLIK DI SINI

Tuesday, 14 July 2009

Mak Cik dan Bahasa Malaysia

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada awal pagi 14 Julai 2009, saya terdengar seorang wanita berceloteh di radio tentang penguasaan bahasa-bahasa asing.

Saya secara spontan merakamkan “imej minda” penutur berkenaan sebagai seorang “mak cik kampung” (tanpa mengira kaum!) yang tidak mempunyai latar belakang komunikasi secara profesional.

Saya nyatakan demikian kerana mak cik itu bercakap agak lama menggunakan Bahasa Malaysia yang secara amat jelas membuktikan tahap penguasaan bahasa yang amat mendukacitakan; malah memalukan.

Saya juga tertanya-tanya mengapa stesen radio terbabit menyiarkan rakaman “celoteh” mak cik kampung itu.

Mustahil tidak ada “wanita kampung” lain yang boleh bercakap Bahasa Malaysia sebagaimana bahasa kebangsaan itu sepatutnya dipertuturkan oleh seorang rakyat Malaysia.

Secara ironi, mak cik berkenaan sedang bercakap mengenai penting dan perlunya kelompok tertentu dalam kalangan rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa asing (termasuk “Bahasa English”!) supaya boleh berkomunikasi dengan warga asing; khususnya pelancong.

Tidakkah mak cik berkenaan – atau sesiapa sahaja – sedar bahawa adalah lebih baik jika tumpuan (dan wang) diberikan terhadap usaha mak cik itu – atau sesiapa sahaja – menguasai Bahasa Malaysia sebelum mahu “berceloteh” mengenai usaha menguasai bahasa-bahasa asing?

Sambil memandu pada awal pagi selepas menutup radio (sementara mak cik itu terus membebel), saya teringat bahawa SM Zakir ada menulis di blog beliau pada 9 Julai 2009 bahawa Gapena bakal mengendalikan kelas Bahasa Inggeris bagi membantu masyarakat kampung menguasai Bahasa Inggeris.

Mungkin saya boleh mengusulkan kepada Kavyan supaya diadakan kelas bimbingan Bahasa Malaysia, khusus untuk membantu masyarakat seperti “mak cik kampung” itu menguasai Bahasa Malaysia sebelum beliau tampil sekali lagi berceloteh di radio mengenai pentingnya menguasai bahasa-bahasa asing (termasuk “Bahasa English”).

Monday, 13 July 2009

Yahoo! Malaysia Mail

Mulai bulan Ogos, Yahoo! Malaysia Mail akan disediakan dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Malaysia. Anda masih dapat mengekalkan alamat e-mel, pesanan e-mel dan maklumat hubungan yang sama.

Demikian mesej yang terpapar sewaktu saya membuka e-mel pada pagi 13 Julai 2009.

Saya tidak mahu emosional dalam perkara ini; sebaliknya melihat sisi-sisi yang positif.

Misalnya, rakyat Malaysia – khususnya pencinta Bahasa Malaysia – tetap boleh mengirim e-mel menggunakan Bahasa Malaysia.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga perlu tahu Bahasa Inggeris untuk menggunakan Yahoo! Malaysia Mail.

Ingat: Dalam pada memperjuangkan Bahasa Malaysia, jangan pula kita menolak bahasa-bahasa lain; sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Kalau susah sangat, sertai Kelas Bahasa Inggeris yang khabarnya akan dikendalikan oleh Gapena.

Sunday, 12 July 2009

Jutaan Terima Kasih!

Jutaan terima kasih kepada setiap individu yang membantu (secara langsung atau tidak langsung) dalam menjayakan Majlis Pelancaran Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia pada 12 Julai 2009 di Perpustakaan Negara Malaysia.

Kejayaan majlis berkenaan adalah berikutan kerjasama daripada pelbagai pihak; individu mahupun organisasi.

Kalau saya cuba menyenaraikan nama setiap individu terbabit, saya berhadapan dengan dua risiko: mungkin ada nama yang tercicir; atau senarai akan menjadi terlalu panjang – kerana kejayaan majlis berkenaan melibatkan begitu ramai individu dan organisasi.

Maka, secara mudah, saya mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada setiap individu dan organisasi yang tampil membantu dan memberi sokongan moral.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Saturday, 11 July 2009

Kathakali di Makkal Osai & MinnalFM

Menjelang Majlis Pelancaran Kathakali di Perpustakaan Negara Malaysia, akhbar Makkal Osai pada 11 Julai 2009 menyiarkan suatu berita mengenai kumpulan cerpen berkenaan.

Apa yang menarik, bahan berita berkenaan diolah supaya sesuai dengan khalayak pembaca; yang kebanyakannya adalah pembaca kaum India yang menguasai Bahasa Tamil.

Turut menarik perhatian kerana akhbar Makkal Osai tampil membuktikan semangat “Satu Malaysia” dengan memberi tumpuan terhadap buku ini; walaupun cerpen-cerpen yang terkandung di dalamnya bukan dalam Bahasa Tamil.

Untuk makluman, MinnalFM (Radio Bahasa Tamil milik RTM) turut menyiarkan maklumat pada 10 Julai 2009 mengenai Majlis Pelancaran Kathakali.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca versi terjemahan (ala kadar) berita yang disiarkan di Makkal Osai.

Jangan Lupakan Bahasa Kita, Bahasa Malaysia

Sejak Datuk Seri memegang jawatan Perdana Menteri pada April lalu, saya mengikuti perkembangan Datuk Seri melalui media elektronik, media cetak dan laman sesawang www.1malaysia.com.my.

Hasil daripada pemerhatian saya, ada sesuatu yang hilang, tertinggal atau terlupa diberi perhatian oleh Datuk Seri sejak bergelar Perdana Menteri.


… Demikian bahagian awal “surat” saya kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan di The Malaysian Insider pada awal pagi 11 Julai 2009 sempena “100 Hari PM”.
.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca surat berkenaan sepenuhnya.

Friday, 10 July 2009

Bahasa

Saya memutuskan untuk membimbing (“mengajar”?) pengguna dan pengamal bahasa rojak, bahasa SMS dan perkara seumpamanya yang mencemarkan kemurnian Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris pada laman Facebook milik saya.

Mulai 10 Julai 2009, mana-mana catatan orang “rakan-rakan” di laman saya yang menampilkan kesalahan bahasa akan dibetulkan untuk tatapan dan panduan umum.

Manakala, segala catatan yang terbukti sengaja mencemarkan bahasa (Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris) akan dibuang.

Tindakan tegas ini mungkin sahaja dilihat, dilabel dan dituduh sebagai “melampau”.

Sebenarnya, ini hanyalah suatu usaha kecil ke arah mendaulatkan dan memartabatkan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Seperti pesan Mahatma Gandhi: Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.

Thursday, 9 July 2009

Kad Nama Indah

“Kempen” saya untuk mencalonkan Prof Madya Dr Lim Swee bagi Anugerah Sastera Negara (yang membawa gelaran “Sasterawan Negara”) tetap diteruskan dalam kesibukan menguruskan pelbagai aktiviti Kavyan sepanjang Julai dan Ogos 2009. Usaha saya juga ternyata mendapat sokongan pelbagai pihak melalui pelbagai cara. Ramai yang memberi komen di blog saya serta di Facebook. Salah seorang rakan di Facebook, Donmny Don, turut menyatakan sokongan pada status Facebook beliau pada 8 Julai 2009; lalu mendapat sokongan sekumpulan rakan beliau. Saya ada meletakkan poster amat kecil pada blog saya yang secara terang-terangan menjelaskan “kempen” saya mencalonkan Dr Lim sebagai Sasterawan Negara. Pada 9 Julai 2009, saya mendapat sokongan daripada seorang penerbit dalam bentuk yang cukup “indah”. Saya dibekalkan dengan kad nama khas di mana bahagian belakang kad nama ini memaparkan poster kecil Kempen Pencalonan Dr Lim Swee Tin Bagi Anugerah Sastera Negara. Jumlah kad nama yang disumbangkan secara percuma kepada saya adalah sebanyak seribu (1,000) kad! Bolehlah saya edarkan secara rasmi pada 12 Julai 2009.

Wednesday, 8 July 2009

Dirgahayu Bahasaku!

Keputusan muktamad berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bakal diumumkan pada hari ini, 8 Julai 2009.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dijangka mengumumkan keputusan itu selepas membentangkan laporan hasil kajian PPSMI dalam mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Saya terkenang akan saat dan suasana sewaktu PPSMI diumumkan secara mengejut pada Mei 2002, serta sewaktu dipersetujui Kabinet pada Julai 2002.

Juga, tentunya reaksi “terkedepan” saya melalui sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” pada Disember 2002. Saya membacanya semula DI SINI pada awal pagi.

Tuesday, 7 July 2009

Setegasnya!

Ada masanya kita berusaha untuk membantu. Seikhlasnya. Akan tetapi, akhirnya kita sendiri yang menjadi mangsa. Seperitnya.

Ada masanya kita tampil menunjukkan jalan dan lorong yang perlu dilalui untuk mencapai apa yang diingini oleh pihak yang mengharapkan bantuan. Akan tetapi, akhirnya kita sendiri yang menanggung malu apabila pihak yang kita tunjukkan jalan itu mengotorinya atau membakarnya. Kita sendiri sudah tidak dapat menggunakan jalan dan lorong itu lagi.

Ada waktunya kita memperuntukkan masa untuk membantu. Seikhlasnya. Akan tetapi, akhirnya kita sendiri dijadikan semacam kuli. Kita pula yang perlu menerima arahan dan suruhan. Melaksanakan arahan menurut masa yang diarahkan. Mereka mengisytiharkan diri mereka “tuan” yang berkuasa. Sesedapnya!

Pada waktu-waktu begini, saya mempersetankan semuanya!

Sesenyapnya. Selembutnya. Setegasnya.

Monday, 6 July 2009

Kathakali di Silverfish Books

Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009) kini boleh juga dibeli di Kedai Buku Silverfish, 58-1 Jalan Telawi, 59100 Bangsar Baru.

Sebanyak 23 naskhah diserahkan ke kedai buku ini pada 6 Julai 2009, 7:30 malam bagi memenuhi permintaan golongan peminat buku bermutu yang sering berkunjung ke kedai buku berkenaan.

Silverfish Books yang dimiliki oleh Encik Raman Krishnan baru sahaja meraikan ulang tahun ke-10 pada minggu lalu.
.
Saya mungkin menyertai Silverfish Books’ Writers’ Forum pada 1 Ogos 2009 (Sabtu), 2:30 petang untuk membicarakan Kathakali.

Kumaran Memperkatakan Kathakali

Wartawan Bernama TV, Kumaran Rajamoney merupakan individu yang paling awal membuat tempahan berbayar bagi Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia. Perkara ini ada dinyatakan di halaman Trivia Kathakali.

Pada pagi 6 Julai 2009, sewaktu melakukan “kunjungan hormat” ke blog beliau – New World – saya tetap sedikit terkejut melihat kulit buku Kathakali terpapar di sana.

Semoga dengan aura dan pengaruh “New World” Kumaran akan membantu menambah pembaca Kathakali.

Ulasan ikhlas Kumaran berkaitan Kathakali boleh dibaca DI SINI.

The Alliance: Road to Independence

Saudara Devaraj P. Thangaraju pernah memberitahu saya mengenai buku “The Alliance: Road to Independence” (2009) karya Profesor Madya Joseph M. Fernando yang beliau edit untuk diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Malaya.

Dalam e-mel yang diterima pada pagi 6 Julai 2009, Devaraj memaklumkan bahawa Naib Canselor UM akan melancarkan 10 buku terbitan Penerbitan UM pada 16 Julai 2009 (Khamis), 9:30 pagi di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya; diikuti sesi diskusi buku “The Alliance: Road to Independence”.

Devaraj turut menulis beberapa perkara yang menarik dalam e-mel beliau. Misalnya:

“Tahukah saudara bahawa pihak British pada asalnya berkira-kira hendak memberikan kemerdekaan pada tahun 1975! Itu pun bukan kemerdekaan mutlak. Masyarakat Malaya mempunyai kesedaran politik yang rendah ketika itu. Namun, segala-galanya mula berubah sejak 1952 dan berlanjutan hingga 1955. Pihak British tidak menjangkakan tsunami politik ini dan akhirnya terpaksa akur. Lalu kita memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957.”

Devaraj bercerita lanjut:

“Apabila menyunting buku ini dan mengikuti arus politik negara kini, tidak dapat tidak, saya merasakan semangat 1Malaysia telah ada sejak 1950-an lagi. Semangat 1Malaysia inilah rahsia sebenar kita dalam mendapat kemerdekaan!”

Bagi mana-mana wakil media, berikut pesanan Devaraj:

“Jika saudara mahu mewawancara pengarang, terutama ketika sambutan Hari Kebangsaan, saya boleh tolong sampaikan hasrat kepada pengarang. Saya fikir, wawancara itu pasti menarik kerana pengarang telah melakukan kajian mendalam dengan merujuk sumber primer di mana sesetengahnya telah berada dalam klasifikasi Rahsia dan baru sahaja dinyah rahsia.”

Bagi sesiapa yang berminat menghadiri majlis pada 16 Julai 2009, sudilah menghubungi Saudara Devaraj P. Thangaraju melalui talian 03-7967 5809, e-mel devarajt@um.edu.my atau t_devaraj@yahoo.com sebelum 13 Julai 2009.

Sunday, 5 July 2009

Legasi Usman Awang

Anak sulung kepada Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang bertekad meneruskan legasi arwah bapanya dengan menerbitkan semula karya-karya sasterawan itu melalui UA Enterprises Sdn Bhd yang merupakan pemegang amanah dan hak cipta karya-karya Usman Awang.

“Sajak-sajak arwah ayah memiliki mesej yang amat sesuai dengan konsep Satu Malaysia yang sedang hangat diperkatakan sekarang,” kata Haslina Usman yang kini sedang mengusahakan penerbitan 50 buah sajak Usman Awang dengan judul Kekasih.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca artikel yang disiarkan di akhbar Sinar Harian (edisi Selangor & KL) pada 29 Jun 2009.

Saturday, 4 July 2009

Sahabatku: Puisi-puisi 4 Bahasa

Bukannya mudah menterjemah sajak-sajak Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil bagi buku khas berjudul “Sahabatku” yang bakal diterbitkan oleh UA Enterprises Sdn Bhd sempena ulang tahun ke-80 tarikh kelahiran beliau.

Bahagian yang saya katakan sukar bukannya kerja-kerja menterjemah dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil. Sebaliknya, masalah timbul apabila para penterjemah mahu mengirim versi Bahasa Tamil kepada Hemantha Kumar Nagappan (editor Bahasa Tamil) untuk diperkemaskan.

Khabarnya, ada fail yang tidak dapat dibuka kerana format yang berbeza.

Akhirnya, kebanyakan karya diserah dalam bentuk tulisan tangan atau versi bercetak (kiriman melalui faks). Lalu, Kumar menaipnya semula.

Masalah yang timbul terpaksa ditangani dengan bantuan beberapa rakannya yang memiliki kemudahan dan perisian tulisan Tamil supaya boleh dikirim kepada pihak penerbit melalui e-mel.

Terima kasih kepada Hemantha Kumar Nagappan yang tekun berusaha. Terima kasih juga kepada Retna Devi Balan, Prakash Suriyamurthy, Sarasvathi Suhasini dan Pon Kogilam yang melakukan terjemahan.

Kumar menterjemah empat sajak manakala saya sempat menterjemah dua buah.

Kita nantikan kelahiran “Sahabatku” dalam masa terdekat. Buku berkenaan memuatkan 12 sajak terpilih Dato’ Usman Awang dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin.

Sajak-sajak berkenaan akan dibacakan pada majlis “Baca Puisi Sasterawan Negara: A. Samad Said & Usman Awang” pada 19 Julai 2009 di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut DI SINI.

Thursday, 2 July 2009

Dr Lim Swee Tin

Pada Khamis, 2 Julai 2009, saya ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Di sana, saya disertai Lee Yoke Chan, Izan, Faun Kum Yin, Tan Giek Lian dan Teo Bee Ling dari Gemilang Publishing Sdn Bhd.

Kami mengunjungi Prof Madya Dr Lim Swee Tin di pejabat beliau di Sanggar Bahasa. Tidak lama kemudian, kami disertai Puan Haslina dan Encik Rahim dari UA Enterprises Sdn Bhd.

Banyak perkara yang kami bualkan dan bincangkan secara santai dan serius. Apa yang menarik, perbualan kami menggunakan Bahasa Malaysia.

Antara topik yang sempat dibicarakan adalah berkaitan Bahasa Malaysia, kemerdekaan, semangat patriotik, ilmu, sekolah, sastera, perpaduan dan Satu Malaysia.

Tentu sahaja pertemuan dan perbincangan tidak rasmi seperti ini wajar diteruskan.

ITNM

Pada 29 Jun 2009, saya menerima naskhah buku Sea of Rainbows daripada pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Pada awal pagi 30 Jun 2009, saya mengirim e-mel untuk menyatakan bahawa ITNM sepatutnya memaklumkan kepada penulis terbabit sebelum karya diterjemah dan diterbitkan.

Pada pagi 1 Julai 2009, saya memasukkan kandungan e-mel berkenaan di blog saya serta dipautkan di Facebook. [SINI]

Reaksi yang diterima amat menggalakkan; ada beberapa individu mengemukakan pandangan dan saranan berhubung soal hak cipta dan perjanjian penerbitan.

Apatah lagi, apa yang saya timbulkan bukan isu peribadi tetapi soal hak cipta, hak moral dan hak golongan penulis.

Tidak kurang juga individu yang segera melakukan “tanggungjawab sosial” dengan segera menghantar SMS/e-mel kepada pihak ITNM mengenai apa yang saya tulis di blog.

(Terima kasih kepada individu terbabit kerana membantu menyampaikan mesej saya kepada pihak berkenaan! Memang itulah yang saya harapkan.)

Saya sebenarnya gembira apabila tidak sampai sejam selepas saya menulis di blog, saya dihubungi Eksekutif Kanan, Unit Komunikasi Korporat ITNM, Sdr Mohd Khairulanuar Manshor yang memaklumkan bahawa beliau telah menerima e-mel saya pada 30 Jun 2009 serta telah membaca tulisan di blog saya pada 1 Julai 2009.

Saya pada waktu itu menghadiri mesyuarat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan tidak dapat berbual panjang.

Dipendekkan cerita, Sdr Khairul kemudian menghantar SMS dan menyatakan bahawa Pengarah Urusan ITNM, Sdr Mohd Khair Ngadiron “bercadang dapat mengadakan pertemuan dengan tuan pada hari esok petang/malam.”

Selepas mesyuarat di PNM, saya menghubungi Sdr Anuar dan mencadangkan pertemuan pada hari ini; kerana kebetulan saya sudah berada di PNM.

Dipendekkan cerita sekali lagi, saya bertemu Sdr Khair dan Sdr Zinitulniza Abdul Kadir, Ketua Unit Komunikasi Korporat ITNM di KLCC.

Tindakan segera dan profesional pihak ITNM dalam hal ini memang wajar dipuji. Ternyata mereka tahu bahawa “isu” yang timbul perlu diselesaikan dan ditangani segera kerana melibatkan soal hak cipta dan golongan sasterawan yang “memang sensitif” - seperti kata Sdr Khair.

Maka, dalam pertemuan yang berlangsung dalam keadaan penuh mesra itu, Sdr Khair dan Sdr Zinitulniza menerangkan apa yang sebenarnya berlaku: soal pegawai tertentu yang bercuti pada 30 Jun 2009 dan tidak dapat membalas segera terhadap e-mel saya; dan soal fail khusus melibatkan Sea of Rainbows yang “tercicir” daripada pandangan kerana pertukaran/penyerahan tugas dalaman.

Mereka juga tidak menafikan kesilapan serta bersedia menerima teguran membina. Seperti kata Sdr Zinitulniza, “kami akan lebih alert terhadap soal hak cipta supaya kejadian seperti ini tidak berulang.”

Saya percaya, melakukan kesilapan (yang tidak disengajakan) adalah lumrah. Apa yang menarik perhatian saya adalah sikap profesional dan bertanggungjawab ITNM dalam mengakui kesilapan itu serta bersedia untuk menerima teguran secara positif demi membaiki kelemahan/ kekurangan.

Wednesday, 1 July 2009

Soal Hak Cipta Diambil Mudah?

Terima kasih kepada pihak ITNM yang menerbitkan versi Bahasa Inggeris cerpen "Nayagi" dalam antologi Sea of Rainbows. Lapan naskhah sebagai ganti royalti selamat diterima pada 29 Jun 2009.

BAGAIMANAPUN, sila ambil perhatian bahawa terjemahan dan penerbitan cerpen berkenaan sebenarnya dilakukan tanpa pengetahuan dan izin. Saya hanya mendapat tahu mengenainya pada tarikh pelancaran buku berkenaan di Putrajaya!

Dengan itu, pada masa hadapan, sebagai sebuah badan profesional, sekiranya ITNM mahu menterjemah dan menerbitkan karya, sila dapatkan izin atau sekurang-kurangnya maklumkan kepada penulis terbabit.

(Bukan hanya saya tetapi mana-mana pengarang yang berhak ke atas karyanya.)

Apapath lagi, saya kini sedang mengusahakan terjemahan cerpen saya ke bahasa-bahasa lain. Mujurlah "Nayagi" belum saya serahkan kepada sesiapa untuk diterjemahkan!

Harap dapat membawa perkara ini kepada perhatian pihak atasan/pengurusan di ITNM demi menjaga integriti dan nama baik ITNM sendiri sebagai “Pilihan Anda Untuk Terjemahan Berkualiti”.

(E-mel ini dikirim kepada pihak ITNM pada pagi 30 Jun 2009. Baca lagi DI SINI.)