29 Jul 2009

Jom Bergaya dengan Buku!

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya,
Bangsa Membaca, Bangsa Bergaya!


Saya mendapat idea di atas berdasarkan komen Rozlan Mohamed Noor di Facebook pada 29 Julai 2009 terhadap tagline Kempen Membaca yang saya nyatakan pada promosi aktiviti Kavyan.

Secara kebetulan, Encik Koh Yok Hwa dari Kumpulan One Nusantara ada mengirim SMS kepada saya pada pagi 29 Julai 2009 untuk mencadangkan semacam “kempen” menggalakkan orang ramai memilih bahan bacaan (buku) sebagai hadiah.

Pada masa yang sama, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga sedang merangka “Kembara Sasterawan Kavyan” yang bertujuan – antara lain – untuk menggalakkan tabiat membaca dan mempromosi buku Kathakali sebagai “hadiah untuk insan tersayang”.

Jom Bergaya dengan Buku!

Golongan remaja khususnya sentiasa mahu tampil bergaya. Pakaian, aksesori, gaya rambut, telefon bimbit (dan sebagainya) menjadi tumpuan dalam melengkapkan penampilan bergaya.

Sedar atau tidak, bahan bacaan berupa buku yang berkualiti juga mampu menyerlah gaya dan penampilan seseorang individu.

Kalau anda merasakan tabit membaca buku di tempat awam belum menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, mengapa anda perlu menjadi “pengikut”?

Jadilah trend-setter! Biarlah anda tampil bergaya membaca bahan bacaan bermutu di tempat awam: stesen bas, gerai mamak, di dalam Komuter dan di mana-mana tempat awam.

Jadilah golongan muda yang berani menyerlahkan gaya dan identiti intelektual secara terbuka di tempat awam dengan menjadikan buku teman setia.

Bagi saudara yang berazam “memulakan” budaya membaca secara serius, anda juga boleh menyertai pelbagai aktiviti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Soalnya: beranikah anda tampil bergaya di tempat awam dengan buku di tangan?