11 Jul 2026

Cerpen yang Memaksa Pembaca Berfikir

Dalam kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji (2025), pengarang memanfaatkan teknik intertekstualiti secara sangat sedar dan strategik bagi membina fiksyen yang berlapis-lapis.

Cerpen “Radha Paati” dan “Kisah Caedmon” tidak sekadar berdiri sebagai fiksyen imaginatif, sebaliknya sebagai medan pertembungan antara mitos, sejarah, agama, psikologi, sains, dan politik kuasa.

Kedua-dua teks menuntut penglibatan pembaca yang bukan sekadar mahu dihiburkan tetapi bersedia untuk memasuki wacana ilmu yang kompleks. Pengarang sengaja membina cerpen yang mungkin terasa “berat” bagi pembaca biasa tetapi amat memuaskan bagi pembaca yang menghargai pemikiran kritikal dan sejarah intelektual.

Dalam “Radha Paati”, pengarang menggabungkan struktur cerita rakyat India dengan analisis moden mengenai psikologi kultus dan manipulasi agama. Cerita dibuka secara sederhana melalui suasana seorang nenek yang menyampaikan kisah kepada cucu-cucu.

Teknik ini mengingatkan pembaca kepada tradisi lisan dalam budaya India-Hindu, khususnya penyampaian purana, hikayat, dan epik secara turun-temurun. Namun, pengarang segera memecahkan sentimentaliti dan nostalgia tradisional itu melalui watak cucu-cucu yang berfikiran saintifik. Pertembungan generasi menjadi simbol kepada pertembungan antara kepercayaan tradisional dan rasionalisme moden.

Fakta sebenar yang digunakan dalam cerpen ini sangat jelas dan pelbagai. Pengarang menyelitkan konsep saintifik seperti ketiadaan oksigen di angkasa, hukum fizik berkaitan penerbangan manusia, serta keperluan bukti empirikal dalam memahami alam semesta.

Watak Rani (cucu) mewakili generasi yang dibentuk oleh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), pertandingan inovasi antarabangsa, dan budaya ilmu moden. Pada masa sama, pengarang tidak menjadikan watak warga emas (nenek) sebagai bodoh atau kolot. Sebaliknya, Radha Paati digambarkan sebagai mangsa tradisi dan manipulasi psikologi yang diwariskan sejak kecil.

Kritikan terhadap kultus dilakukan secara amat halus tetapi tajam. Pengarang sengaja mencipta watak Guruji yang memiliki ciri-ciri universal pemimpin kultus iaitu karisma tinggi, dakwaan mukjizat, pengaruh psikologi, serta tuntutan autoriti spiritual eksklusif.

Pelbagai “mukjizat” yang diceritakan—bercakap dengan haiwan, membelah matahari, menyembuhkan penyakit melalui sentuhan tubuh, dan terbang ke Indraloka—sengaja dibina menyerupai naratif mukjizat dalam pelbagai tradisi agama dunia. Teknik ini penting kerana pengarang tidak menyerang mana-mana agama secara langsung. Sebaliknya, mendedahkan bagaimana struktur pemikiran kultus sering berulang dalam pelbagai tamadun dan agama.

Kekuatan cerpen “Radha Paati” terletak pada penggunaan fakta psikologi moden untuk membedah fenomena kultus. Pengarang secara terang-terangan memasukkan istilah confirmatory bias tendency atau kecenderungan bias pengesahan. Ini bukan istilah sastera biasa, sebaliknya istilah psikologi kognitif yang merujuk kecenderungan manusia menerima hanya maklumat yang menyokong kepercayaan sedia ada. Penggunaan istilah akademik ini menjadikan cerpen tersebut hampir menyerupai esei psikologi sosial yang disamarkan sebagai fiksyen.

Pengarang turut merujuk kultus sebenar seperti NXIVM, Order of the Solar Temple, dan The Family International. Semua organisasi ini memang wujud dalam sejarah moden dan terkenal kerana eksploitasi seksual, manipulasi psikologi, serta kawalan mental terhadap pengikut.

Dengan memasukkan contoh-contoh sebenar ini, pengarang membina jambatan antara realiti sejarah dan dunia fiksyen. Pembaca mula menyedari bahawa Guruji bukan individu terpencil, sebaliknya manifestasi pola kuasa yang sama seperti pemimpin-pemimpin kultus global.

Namun, pengarang sangat berhati-hati. Tiada tuduhan langsung terhadap mana-mana tokoh sebenar di Malaysia. Sebaliknya, pengarang menggunakan simbolisme dan alegori. Teknik ini mengingatkan kepada tradisi satira politik klasik di mana kritikan dilakukan melalui watak rekaan supaya teks dapat bergerak bebas tanpa terikat kepada polemik semasa.

Dalam konteks ini, fiksyen “Radha Paati” sebenarnya menjadi kajian tentang bagaimana masyarakat minoriti yang tertekan secara sosial dan emosi boleh mencari perlindungan dalam kultus karismatik, lalu menjadi mangsa lingkaran syaitan.

Cerpen “Kisah Caedmon” pula bergerak pada lapisan intelektual yang lebih kompleks. Jika “Radha Paati” membedah psikologi kultus, “Kisah Caedmon” pula membedah asal-usul naratif wahyu dan pengalaman mistik dalam sejarah manusia. Pengarang memanfaatkan sumber sejarah, teologi, kesusasteraan Inggeris, tradisi Kristian, tradisi Tamil-Saiva, dan teks Islam secara serentak.

Tokoh Caedmon memang tokoh sejarah sebenar yang dicatat oleh Bede dalam Historia ecclesiastica gentis Anglorum. Pengarang menggunakan fakta sejarah ini dengan sangat teliti. Kisah Caedmon sebagai penggembala buta huruf yang mendapat ilham puisi melalui mimpi memang terkandung dalam teks Bede.

Cerpen ini kemudian menghubungkan kisah tersebut dengan tradisi mimpi dan wahyu dalam agama-agama lain. Di sinilah pengarang melakukan kritikan paling berani tetapi paling tersirat. Pengarang tidak menolak agama secara langsung. Sebaliknya, menunjukkan bahawa motif “manusia biasa menerima wahyu melalui mimpi atau suara ghaib” merupakan motif universal yang telah wujud dalam pelbagai tamadun jauh sebelum kemunculan agama-agama tertentu.

Pengarang menyebut The Shepherd, tokoh penyair Arab pra-Islam Abid ibn al-Abras, tradisi Tamil dalam Periya Puranam, dan dramatis Greek Aeschylus. Semua rujukan ini berfungsi menunjukkan bahawa pengalaman “dikunjungi entiti ghaib” bukan sesuatu yang unik kepada mana-mana agama.

Kritikan halus pengarang muncul melalui teknik paralelisme. Pembaca mula melihat persamaan struktur antara kisah Caedmon, kisah nabi-nabi, kisah penyair mistik, dan kisah individu yang mendakwa menerima wahyu. Persamaan itu tidak dijelaskan secara eksplisit, sebaliknya dibiarkan berkembang dalam minda pembaca. Teknik ini jauh lebih berkesan daripada kritikan terbuka kerana ia memaksa pembaca sendiri berfikir sebelum membuat kesimpulan.

Pengarang juga menggunakan fakta sejarah Islam secara berhati-hati tetapi signifikan. Penyebutan nama Muhammad ibn Ishaq, al-Tabari, dan karya Tarikh al-Tabari membuka ruang perbandingan antara pembentukan tradisi agama dan proses pembinaan naratif sejarah. Begitu juga penyebutan “Ayat-ayat Syaitan” (Satanic Verses) yang merujuk kontroversi sejarah dalam tradisi Islam awal.

Semua ini dilakukan tanpa serangan langsung, namun cukup untuk mengajak pembaca matang mempersoalkan bagaimana sejarah agama dibentuk, disebarkan, dan dimitoskan. Pengarang berhati-hati dan tidak melakukan kritikan langsung, mungkin susulan tindakan “meninggalkan islam” pada tahun 2022.

Apa yang lebih menarik, pengarang tidak sesekali mengambil posisi ateis yang simplistik. Sebaliknya, mengangkat rasionalisme, skeptisisme, dan tradisi ilmu sebagai alat menilai dakwaan spiritual. Watak isteri dalam “Kisah Caedmon” memainkan peranan penting sebagai suara intelektual yang tenang, berpengetahuan, dan sekular.

Dialog antara suami-isteri dalam cerpen itu menyerupai seminar kecil tentang sejarah agama dunia. Teknik ini menjadikan teks tersebut sangat pascamoden kerana sempadan antara fiksyen, esei akademik, dan wacana sejarah sengaja dikaburkan.

Rujukan kepada William Blake dan karya seperti Songs of Innocence serta Songs of Experience pula memperlihatkan bagaimana pengalaman mistik boleh diterjemahkan menjadi kesusasteraan simbolik; tidak semestinya kebenaran literal. Dalam konteks ini, pengarang seperti mengajak pembaca melihat teks agama dan pengalaman spiritual sebagai produk budaya dan imaginasi manusia yang sangat kaya, bukan sebagai fakta mutlak yang kebal daripada penelitian intelektual.

Secara keseluruhan, kedua-dua cerpen ini memperlihatkan keberanian intelektual yang jarang ditemukan dalam sastera Malaysia kontemporari. Pengarang menggunakan fakta sejarah, psikologi, teologi, dan kesusasteraan dunia bukan sekadar untuk menunjukkan keluasan ilmu, tetapi sebagai instrumen dekonstruksi terhadap budaya taklid dan pemujaan tokoh.

Apa yang menjadikan kritikan pengarang dalam kedua-dua karya ini lebih berkesan ialah pendekatan simbolik dan tidak konfrontasional yang digunakan. Pembaca tidak dipaksa menerima satu kesimpulan mutlak. Sebaliknya, dipelawa memasuki ruang renungan kritikal yang disajikan oleh pengarang.

Cerpen “Radha Paati” memperlihatkan bagaimana mitos boleh menjadi alat manipulasi sosial melalui kultus karismatik, manakala “Kisah Caedmon” menunjukkan bagaimana naratif wahyu dan pengalaman mistik sebenarnya merupakan motif budaya universal yang sentiasa diulang dalam sejarah manusia.

Kedua-dua fiksyen ini akhirnya menjadi teks yang bukan sahaja bersifat sastera tetapi juga bersifat epistemologi—mempersoalkan bagaimana manusia membina konsep “kebenaran”, “wahyu”, “mukjizat”, dan “autoriti”.

Dalam dunia moden yang masih sarat dengan penipuan spiritual, propaganda agama, dan manipulasi emosi, “Radha Paati” dan “Kisah Caedmon” muncul sebagai karya penting yang berupaya mengajak pembaca kembali kepada tradisi bertanya, menyelidik, dan berfikir.

Bacaan seterusnya: Tidak Sesuai Dibaca Dengan Lutut

10 Jul 2026

Yang Aneh-aneh: Lima Cerpen untuk Gen Z dan Gen Alpha



Judul: Yang Aneh-aneh

Penulis: Uthaya Sankar SB

Penerbit: Sasbadi Sdn Bhd

Tarikh terbit: Julai 2026

Tebal: 59 halaman

ISBN: 978-983-77-5016-6

Harga pasaran: RM9.90 [Book Capital]

Harga diskaun: RM8.00 [Buku Uthaya]


Kumpulan cerpen Yang Aneh-aneh karya Uthaya Sankar SB mula-mula diterbitkan pada tahun 1997 oleh Sasbadi dalam siri “Galeri Mini Cerpen Kontemporari”. Koleksi cerpen ini diterbitkan semula dalam edisi baharu pada tahun 2026 di bawah siri “Koleksi Cerpen Pilihan”.

Jarak hampir tiga dekad antara kedua-dua edisi itu membuka ruang yang menarik untuk menilai sama ada karya-karya tersebut masih mampu berkomunikasi dengan generasi pembaca masa kini.

Jawapannya ternyata positif. Kelima-lima cerpen dalam buku ini bukan sekadar bertahan kerana nilai sejarahnya tetapi juga kerana kekuatan estetik, keberanian intelektual, dan keupayaan pengarang membina pengalaman membaca yang melangkaui sempadan zaman.

Cerpen-cerpen ini mengangkat pelbagai persoalan kemanusiaan melalui teknik naratif yang matang, simbolisme yang halus, dialog yang hidup, serta pengamatan psikologi yang mendalam. Pendekatan sebegini pasti mengingatkan pembaca kepada pandangan John Gardner dalam The Art of Fiction: Notes on Craft for Young Writers (1983) iaitu karya yang baik bukan sekadar menceritakan sesuatu, malah membina suatu “mimpi hidup” (living dream) yang membolehkan pembaca mengalami dunia cerita secara langsung.

Keistimewaan cerpen “Aku dan Anak Itu” terletak pada keberanian pengarang memecahkan stereotaip tanpa menjadikannya suatu manifesto yang bersifat mengajar. Watak-watak dibina melalui tindakan, pertanyaan, dan interaksi yang kelihatan sederhana, namun mengandungi lapisan makna yang luas.

Dialog antara seorang kanak-kanak dengan seorang penulis dewasa menjadi ruang pertembungan antara kepintaran intelektual dan kejujuran moral. Pengarang memperlihatkan bahawa ilmu yang bersifat teknikal tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan rohani.

Teknik penulisan ini selari dengan gagasan Francine Prose dalam Reading Like a Writer: A Guide for People Who Love Books and for Those Who Want to Write Them (2006) iaitu dialog yang benar-benar berkesan bukan bertujuan menyampaikan maklumat, sebaliknya berperanan mendedahkan sifat watak secara perlahan-lahan.

Pengarang berjaya menggunakan pertanyaan-pertanyaan polos untuk menggerakkan konflik dalaman yang jauh lebih besar daripada konflik luaran. Pembaca Gen Z yang semakin menghargai keaslian dan kejujuran akan mendapati cerpen ini masih sangat segar kerana ia mengangkat persoalan identiti, empati, dan pencarian makna hidup tanpa bersifat dogmatik. Cerpen “Aku dan Anak Itu” tersiar di majalah Dakwah (Julai 1994) serta dimuatkan dalam buku Orang Dimensi (1994) dan Yang Aneh-aneh (1997).


[Beli guna Baucar Buku Madani]


Cerpen “Karma II” pula memperlihatkan keluasan pembacaan dan disiplin intelektual pengarang pada usia 20-an. Unsur psikologi klinikal, falsafah, agama, dan persoalan identiti bergabung secara organik dalam sebuah naratif yang menguji persepsi pembaca terhadap realiti.

Apa yang menarik bukanlah persoalan sama ada sesuatu peristiwa benar-benar berlaku, sebaliknya bagaimana manusia membina tafsiran terhadap pengalaman yang dialaminya. Robert McKee dalam Story: Substance, Structure, Style and the Principles of Screenwriting (1997) menegaskan bahawa konflik paling kuat lahir apabila nilai-nilai dalaman seseorang bertembung dengan realiti yang tidak dapat diterimanya.

Cerpen “Karma II” memanfaatkan prinsip tersebut dengan amat berkesan. Pengarang tidak memaksa pembaca menerima satu penjelasan mutlak, sebaliknya membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan. Pendekatan yang menghormati kecerdasan pembaca seperti inilah yang menjadikan cerpen ini terus relevan kepada generasi muda yang terbiasa menilai sesuatu isu dari pelbagai perspektif.

Cerpen ini merupakan lanjutan kepada cerpen “Karma” (Orang Dimensi, 1994) yang menampilkan watak Irwan dan Carlton. Cerpen “Karma II” tersiar di majalah Pelita Bahasa (Julai 1996) sebelum dimuatkan dalam buku Yang Aneh-aneh (1997).

Keunikan cerpen “Nayagi” pula terserlah melalui gabungan sejarah, budaya, gender, dan emosi yang dibangunkan secara seimbang. Pengarang tidak sekadar memperkenalkan adat masyarakat Malayali di Tanah Melayu, malah menjadikan elemen budaya sebagai suatu mekanisme yang membentuk pilihan, konflik, dan perjuangan watak.

Perincian pakaian, bahasa Malayalam, struktur kekeluargaan, makanan, kepercayaan, serta latar kampung bukan berfungsi sebagai hiasan eksotik, sebaliknya menjadi sebahagian daripada struktur naratif. Ursula K. Le Guin dalam Steering the Craft: A Twenty-First-Century Guide to Sailing the Sea of Story (1998) menekankan bahawa butiran yang tepat mampu membina dunia fiksyen yang meyakinkan tanpa perlu penerangan yang panjang. Prinsip itu jelas dimanfaatkan pengarang dalam cerpen ini.

Pada masa sama, persoalan kebebasan wanita, hak memilih pasangan hidup, dan hubungan antara kemerdekaan negara dengan kemerdekaan individu memberikan cerpen ini dimensi yang jauh mendahului zamannya. Isu-isu tersebut terus menjadi wacana penting dalam kalangan pembaca muda hari ini, sekali gus menjadikan cerpen “Nayagi” terasa kontemporari walaupun berlatar beberapa dekad lalu.

Cerpen “Nayagi” menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992) serta terbuat dalam buku Menara 5 (1993), Siru Kambam (1996), Yang Aneh-aneh (1997), Nayagi (2000), dan Kisah dari Siru Kambam (2013). Terjemahan bahasa Tamil disiarkan di majalah Shanti (4 & 11 September 1994), manakala terjemahan Inggeris termuat dalam buku Sea of Rainbows (2009), The Painted Cat (2023), dan Malaysian Mosaic (2025) apabila terpilih bagi subjek Literature in English peringkat STPM. (baca lagi)


[Lihat kandungan buku]


Dalam “Post-Mortem 2”, kekuatan utama pengarang terletak pada keberanian menggabungkan fakta sosial dengan teknik penyiasatan fiksyen. Struktur cerita dibina seperti proses mengumpulkan bukti, menilai kesaksian, dan membina hipotesis. Pembaca bukan sekadar mengikuti perkembangan naratif, malah turut diposisikan sebagai penyiasat yang perlu menilai kredibiliti setiap maklumat.

Teknik sebegini memperlihatkan kefahaman pengarang terhadap prinsip sebab-akibat yang kukuh dalam pembinaan cerita. James Wood dalam How Fiction Works (2008) menyatakan bahawa fiksyen yang baik sentiasa mengajak pembaca mentafsir; bukan sekadar menerima.

Cerpen ini memenuhi tuntutan tersebut melalui penggunaan perspektif yang terkawal, dialog yang ekonomikal, serta perkembangan konflik yang berlapis. Isu keadilan, prasangka sosial, dan pencarian kebenaran menjadi semakin berkesan kerana pengarang tidak menawarkan jawapan mudah.

Cerpen ini—judul asal ialah “(2) Post Mortem”—tersiar di majalah Dewan Sastera (Februari 1994) sebelum dimuatkan dalam buku Orang Dimensi (1994), Angin Pagi (1994), Yang Aneh-aneh (1997), Kisah dari Siru Kambam (2013), dan Cerpen (2024). (Kisah Balasundram)

Cerpen “Yang Aneh-aneh” melengkapkan keseluruhan antologi dengan memperlihatkan kecenderungan konsisten pengarang terhadap tema kemanusiaan yang kompleks. Sekali lagi, perhatian tidak diberikan kepada sensasi peristiwa, sebaliknya kepada tindak balas psikologi manusia terhadap peristiwa tersebut.

Pengarang menunjukkan kemahiran mengawal tempo naratif, memilih sudut pandangan yang sesuai, serta membina penutup yang terus bergema dalam fikiran pembaca. Inilah antara ciri yang disebut Milan Kundera dalam The Art of the Novel: Essays on the Philosophy, Evolution, and the Essence of Fiction (1986) sebagai kemampuan sesebuah karya membuka wilayah baharu untuk difikirkan; bukan sekadar menyelesaikan konflik.

Cerpen “Yang Aneh-aneh” yang menggunakan latar masa tahun 1996 disiarkan di majalah Dewan Sastera (Mei 1996) serta menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1996) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97). Cerpen ini termuat dalam buku Yang Aneh-aneh (1997), Mercu 5 (1998), Sasterawan Pulau Cinta (2001), Cinta Sekerdip Embun (2010), Kisah dari Siru Kambam (2013), Antologi Cerpen Malaysia-China (2019), dan Cerpen (2024). Terjemahan Inggeris termuat dalam buku In the Shadow of the Palm (2009) dan The Painted Cat (2023).



Secara keseluruhannya, kekuatan terbesar koleksi berjudul Yang Aneh-aneh ialah keseimbangan antara kreativiti dan intelektual. Cerpen-cerpen ini sarat dengan idea, namun begitu idea tersebut sentiasa lahir daripada pengalaman manusia yang konkrit. Pengarang tidak memperlihatkan atau menunjuk-nunjuk ilmunya melalui syarahan, sebaliknya membiarkan watak, dialog, dan tindakan (aksi) menjalankan fungsi tersebut.

Pada masa sama, penggunaan pancaindera juga cukup berkesan. Pembaca dapat merasakan suasana di surau, kesunyian ruang hospital, kehangatan di ladang tebu, bunyi tangisan kanak-kanak, serta ketegangan di bilik soal siasat melalui pemerhatian yang teliti. Semua unsur ini membentuk apa yang disebut John Gardner sebagai “vivid and continuous dream” iaitu ilusi kehidupan yang tidak terputus sepanjang proses pembacaan.

Satu lagi kekuatan penting ialah keberanian pengarang mengangkat masyarakat pelbagai kaum tanpa menjadikan kepelbagaian itu sekadar slogan. Watak Melayu, India, Cina, dan pelbagai latar agama muncul sebagai manusia yang memiliki kelebihan, kelemahan, konflik, dan impian masing-masing. Pendekatan berani ini menjadikan cerpen-cerpen dalam koleksi Yang Aneh-aneh tidak terperangkap dalam stereotaip atau romantisisme budaya. Sebaliknya, kepelbagaian menjadi sebahagian daripada realiti sosial yang organik.

Bagi pembaca Gen Z dan Gen Alpha, daya tarikan utama buku ini bukan terletak pada faktor nostalgia, sebaliknya pada keberanian pengarang mengemukakan persoalan yang masih relevan: Identiti, kesihatan mental, kebebasan individu, tanggungjawab moral, keadilan sosial, hubungan antara agama, dan kemanusiaan, serta keberanian menentang konvensi.

Dalam era media sosial yang sering menawarkan jawapan segera, cerpen-cerpen ini mengajak pembaca berhenti sejenak untuk berfikir, mentafsir, dan meragui andaian sendiri. Itulah sebabnya buku Yang Aneh-aneh terbitan Sasbadi bukan sekadar layak dibaca semula, malah wajar diperkenalkan kepada generasi baharu sebagai contoh bagaimana Sastera Kebangsaan mampu menjadi ruang dialog antara imaginasi, intelektual, dan kemanusiaan yang tidak lapuk ditelan zaman.

Harga pasaran buku Yang Aneh-aneh (2026) ialah RM9.90 sebuah. Boleh juga dibeli bersama-sama buku-buku lain oleh Uthaya [di sini].

Rumah yang Menyimpan Bayang – Bahagian Satu



Bahagian 1: Tiga Rumah, Satu Halaman

Pada petang itu, aku tiba ketika matahari mula terbenam di sebuah kolam hitam berlumpur. Cahaya terakhirnya jatuh di atas atap nipah yang sudah berusia, menjadikan tiga buah rumah kayu di hujung kampung kelihatan seperti tiga ekor kerbau tua yang sedang berehat selepas membajak sawah.

Mereka berdiri rapat di atas sebidang Tanah Rizab Melayu yang tidak terlalu luas tetapi cukup untuk memuatkan tiga keluarga, tujuh belas manusia, dua puluh satu pasang kasut di tangga, dan rahsia yang mungkin lebih banyak daripada daun kering di bawah pokok rambutan.

Untuk makluman anda, aku tidak pernah percaya pada papan tanda. Manusia suka menulis pada papan tanda, perkara yang mereka mahu orang lain percaya: Keluarga Bahagia. Rumah Contoh. Jiran Sepakat. Selamat Datang.

Tetapi aku sudah lama belajar bahawa sesuatu yang terlalu kuat melaung dan mempromosi kebaikan, biasanya sedang cuba menutup sesuatu yang berbau kurang menyenangkan.

Malah, bau rumah itu sampai dahulu ke hidung sebelum aku melihatnya. Bau nasi yang baru masak. Bau ikan masin yang sedang digoreng. Bau tanah yang basah selepas disiram. Bau kayu lama yang menyimpan cerita puluhan tahun.

Tetapi di celah semua bau yang menyenangkan itu, ada juga bau yang sukar aku jelaskan. Bau seperti kain yang dijemur tetapi masih menyimpan kesan air mani kering yang tidak hilang selepas dibasuh tangan-tangan kecil.

Aku berhenti di bawah pokok mangga berhampiran pagar dan memandang keliling. Rumah pertama menghadap jalan besar. Rumah kedua sedikit ke belakang, disambungkan oleh jambatan kayu kecil. Rumah ketiga paling hujung, hampir terlindung oleh pokok pisang dan pokok bunga kertas yang tumbuh liar.

Ketiga-tiga rumah itu dibina oleh seorang lelaki tua bernama Haji Salleh. Demikian kata orang kampung. Seorang yang dahulu bekerja kuat, membesarkan anak-anak, dan mahu semua keturunannya tinggal bersama sebagai keluarga besar.

"Itulah keluarga yang patut dicontohi."

Demikian aku terdengar seorang penduduk kampung memberitahu rakannya. Terus terang, aku tidak faham kenapa manusia selalu suka menjadikan sesuatu sebagai contoh. Mereka amat suka mengambil sebuah rumah, sebuah keluarga, seorang pemimpin, seorang guru, seorang tokoh, lalu meletakkannya di atas rak tinggi supaya semua orang boleh melihat.

Masalahnya, rak yang tinggi juga tempat paling mudah untuk jatuh. Macam kes tokoh sastera dan bekas pegawai tinggi institusi sastera yang diberi pelbagai anugerah dan diundang menjadi penceramah, akhirnya pecah rahsia dia melakukan gangguan seksual secara maya terhadap penulis wanita yang sepatutnya dia bimbing dalam bidang penulisan.

Aku perhatikan, halaman rumah sudah dipenuhi manusia. Ada Mak Timah, perempuan tua yang rambutnya putih seperti kapas tercabut dari bantal lama. Dia duduk di kerusi rotan sambil mengupas kacang tanah. Jari bergerak perlahan tetapi bibir bergerak lebih laju daripada paruh burung murai.

"Manusia tua bukan bermakna lambat," katanya kepada cucu.

Aku tidak tahu mengapa dia bercakap dengan cucunya yang sedang leka bermain telefon dan tidak mendengar apa-apa yang diceritakan.

Tetapi aku mendengar. Aku selalu mendengar.

Itulah kelebihan aku. Manusia bercakap apabila mereka fikir tiada siapa mendengar. Mereka lupa bahawa dinding mempunyai telinga, pokok mempunyai mata, dan makhluk kecil seperti aku mempunyai masa yang terlalu banyak.


[Sokong penulis swaterbit. Semak senarai buku saya]


Di halaman rumah juga ada Rahman, anak sulung keluarga tersebut. Lelaki berumur hampir lima puluh tahun yang selalu memakai baju Melayu walaupun pada hari biasa. Janggut sejemput sentiasa kemas. Rambut sentiasa disikat. Langkah sentiasa perlahan seperti seorang raja yang takut sepatu menjadi kotor.

Penduduk kampung ternyata suka kepadanya.

“Rahman tu orangnya berprinsip,” kata mereka.

Aku selalu hairan dengan perkataan itu. Manusia suka kepada orang yang mempunyai prinsip tetapi mereka jarang bertanya, prinsip itu digunakan untuk apa. Pisau juga ada prinsip. Ia tajam. Api juga ada prinsip. Ia membakar.

Rumah kedua dihuni oleh keluarga Salmah, adik Rahman. Dia seorang perempuan yang terkenal kerana suka membantu orang. Kalau ada kenduri, dia datang paling awal. Kalau ada kematian, dia membawa makanan. Kalau ada jiran sakit, dia menghantar bubur.

"Salmah ni hati emas," kata orang kampung.

Aku pernah melihat hati emas milik manusia. Biasanya ia berat untuk dibawa.

Salmah ada lima orang anak. Anak-anaknya membesar di rumah yang sentiasa bising. Ada bunyi televisyen. Ada bunyi pinggan. Ada bunyi pintu ditutup kuat. Ada bunyi orang ketawa. Ada juga bunyi orang menangis yang cepat-cepat dihentikan.

Tetapi manusia mempunyai satu kebolehan yang mengagumkan. Mereka boleh menghasilkan banyak bunyi tetapi tetap tidak mendengar apa-apa.

Rumah ketiga paling sunyi. Di situ tinggal Zulkifli, anak bongsu Haji Salleh. Dia jarang bercakap. Penduduk kampung mengatakan, dia seorang yang pendiam dan berfikiran jauh.

Aku tidak pasti. Kadang-kadang, orang diam kerana bijaksana. Kadang-kadang, orang diam kerana tidak mahu orang lain tahu apa yang ada dalam kepala.

Di belakang rumah Zulkifli ada sebuah stor kecil. Pintunya selalu berkunci. Aku pernah cuba menghidu dari celah bawah pintu, tetapi hanya mendapat bau kayu reput, minyak tanah, dan sesuatu yang mengingatkan aku kepada ketakutan.

Ya. Anda tidak tahu? Ketakutan juga ada bau. Manusia tidak tahu perkara itu kerana hidung mereka terlalu sibuk mencari bau makanan.

Menjelang waktu maghrib, seorang budak lelaki keluar membawa semangkuk nasi. Dia nampak aku duduk di bawah pokok.

“Mahu makan?”

Aku tidak menjawab. Bukan kerana aku sombong. Aku cuma sudah lama belajar bahawa manusia akan terkejut apabila haiwan bercakap. Mereka boleh menerima banyak perkara pelik dalam hidup tetapi apabila seekor binatang membuka mulut dan berkata sesuatu yang benar, mereka akan memanggilnya sebagai mustahil.

Budak itu tetap meletakkan mangkuk berhampiranku.

"Ibu pesan, jangan bagi banyak. Nanti awak datang lagi."

Aku memandangnya. Dia ketawa kecil.

"Macam awak faham pula."

Ya, aku faham. Aku faham lebih banyak daripada apa yang mereka sangka. Namun, aku tetap memilih untuk pura-pura tidak faham.

Aku makan perlahan-lahan. Nasi itu dicampur ikan goreng dan sedikit kuah kari. Rasanya sederhana sahaja tetapi ada sesuatu yang membuatkan aku teringat kepada tempat-tempat lama yang pernah aku tinggalkan.

Sambil makan, aku kembali melihat rumah-rumah yang dibina di atas tanah lot itu. Tiga rumah. Satu halaman. Banyak manusia. Terlalu banyak cerita. Aku belum tahu bahawa dalam masa beberapa jam lagi, rumah yang kelihatan paling kukuh itu akan mula menunjukkan retaknya.

Aku belum tahu bahawa manusia yang paling kuat menjerit tentang maruah keluarga kadangkala orang pertama yang menjatuhkannya. Aku belum tahu bahawa rahsia bukan seperti tikus yang boleh dibunuh dengan satu gigitan.

Sebaliknya, rahsia umpama lipas. Ia boleh bersembunyi bertahun-tahun dalam gelap, kemudian keluar apabila lampu dinyalakan.

Dan pada malam ini, seseorang akan menyalakan lampu. Bukan manusia. Bukan juga aku. Tetapi rumah itu sendiri. – Bersambung pada 17 Julai 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 9-10 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog.)

9 Jul 2026

Analisis: Menikmati Pau di Svarga

Cerpen “Menikmati Pau di Svarga” menampilkan suatu pembukaan yang sangat efektif dari sudut penggunaan narrative hook atau cangkuk naratif. Petikan awal cerpen ini tidak bergantung pada aksi dramatik semata-mata, sebaliknya menggunakan gabungan unsur misteri, simbolisme budaya, suasana surreal, dan dialog atau pemerhatian yang nampak biasa tetapi mengandungi lapisan makna yang lebih mendalam.

Teknik ini yang digunakan dengan bijak menyebabkan pembaca terdorong untuk terus membaca kerana wujud rasa ingin tahu yang beransur-ansur diperkukuh pada setiap perenggan awal.

Judul cerpen itu sendiri sudah berfungsi sebagai cangkuk awal. Frasa “Menikmati Pau” membawa konotasi domestik dan santai; sesuatu yang biasa serta dekat dengan kehidupan harian masyarakat. Akan tetapi, perkataan “Svarga” segera mengubah nada pembacaan.

Dalam tradisi Sanskrit-Hindu, “Svarga” merujuk kepada alam kayangan atau syurga. Pertembungan antara unsur harian (“pau”) dengan unsur metafizik (“Svarga”) menghasilkan kesan ganjil tetapi memikat.

Pembaca mula tertanya-tanya: Bagaimana makanan sederhana ini boleh dikaitkan dengan syurga? Adakah Svarga itu tempat sebenar, simbol kehidupan selepas mati, atau sekadar metafora psikologi? Pertanyaan-pertanyaan ini menjadi pemacu utama kepada minat pembaca.

Petikan awal cerpen ini juga dipercayai menggunakan strategi penangguhan maklumat atau teknik withholding information. Pengarang tidak terus menjelaskan latar sebenar atau keadaan watak secara terang-terangan.

Sebaliknya, maklumat diberikan sedikit demi sedikit melalui deskripsi dan dialog yang nampak santai dan bersahaja. Teknik ini sangat penting dalam pembinaan narrative hook kerana pembaca secara psikologi terdorong untuk “mengisi ruang kosong” dalam cerita. Mereka perlu memahami konteks sebenar sebelum dapat menafsir cerita secara menyeluruh.

Selain itu, unsur suasana memainkan peranan besar. Latar dibina secara separa realistik dan separa mistik. Pembaca seolah-olah berada dalam dunia yang dikenali tetapi pada masa sama terasa asing. Kesan ini menjadikan pembukaan cerpen lebih kuat kerana pembaca tidak dapat menjangka arah cerita dengan mudah.

Cerpen ini mungkin menggabungkan unsur budaya India, falsafah Hindu, dan pengalaman manusia biasa dalam satu ruang naratif yang kabur antara realiti dan spiritualiti. Keadaan ini berupaya mengingatkan pembaca kepada gaya realisme magis, di mana unsur luar biasa diterima secara tenang oleh watak-watak dalam cerita.

Cangkuk naratif dalam cerpen ini juga nampaknya terhasil melalui pembinaan watak utama, Guhan Sivalingam. Jika watak diperlihatkan sedang menikmati pau dalam suasana yang luar biasa tenang atau ganjil, pembaca akan cuba memahami identiti sebenar watak tersebut. Adakah dia manusia biasa? Roh? Pengembara antara dunia? Individu yang sedang berhalusinasi?

Pengarang menggunakan watak Guhan yang kelihatan biasa tetapi sebenarnya menyimpan dimensi falsafah atau simbolik. Oleh sebab itu, pembaca terdorong untuk meneruskan pembacaan demi membongkar lapisan identiti dan pengalaman watak.

Satu lagi kekuatan narrative hook cerpen ini ialah kemungkinan wujud unsur satira sosial yang tersembunyi. Pau ialah makanan rakyat biasa, murah dan sederhana. Apabila dikaitkan dengan “Svarga”, mungkin pengarang sedang menyindir konsep syurga menurut perspektif material atau budaya moden.

Barangkali watak-watak dalam cerita menemukan “syurga” bukan melalui kemewahan tetapi melalui kenikmatan kecil yang sederhana. Pembaca diharap akan terus membaca untuk melihat sama ada cerita berkembang menjadi renungan falsafah, kritikan sosial, atau pengalaman spiritual.

Terdapat beberapa kemungkinan menarik tentang perkembangan cerita seterusnya. Pertama, cerpen ini mungkin bergerak ke arah metafizik, iaitu watak utama sebenarnya sudah mati dan berada di Svarga tanpa menyedarinya. Pau yang dinikmati oleh Guhan mungkin menjadi simbol kenangan terakhir terhadap dunia manusia.

Kedua, cerita mungkin berkembang sebagai alegori sosial, di mana Svarga hanyalah nama sebuah kedai makan atau lokasi yang menjadi tempat pertemuan pelbagai manusia dengan kisah hidup yang aneh. Lebih kurang seperti Gerai Bunian.

Dalam kemungkinan ini, pau menjadi medium yang menghubungkan memori, trauma, dan harapan manusia. Ketiga, cerita mungkin berkembang ke arah psikologi eksistensial, iaitu watak utama sedang mencari makna hidup melalui pengalaman kecil yang nampak remeh.

Tidak dapat dinafikan, cangkuk naratif dalam petikan awal cerpen “Menikmati Pau di Svarga” sangat berkesan kerana berjaya menggabungkan unsur biasa dengan unsur mistik secara harmonis. Pembukaan cerpen menimbulkan rasa ingin tahu melalui judul yang paradoks, suasana yang samar, dan kemungkinan makna simbolik yang pelbagai.

Teknik penangguhan maklumat serta nuansa surreal menjadikan pembaca terdorong untuk terus membaca demi memahami hakikat sebenar cerita. Inilah kekuatan utama cerpen ini iaitu kemampuan menjadikan sesuatu yang kelihatan sederhana sebagai pintu masuk kepada renungan yang jauh lebih besar tentang psikologi manusia, aspek budaya, dan konsep kewujudan.

8 Jul 2026

Apa yang Telah Kau Lakukan, Karuppar?

Akhirnya, pada tahun 2032, Karuppar Appukutti berjaya menjadi Perdana Menteri Pulau Cinta. Walaupun berlaku peralihan kuasa secara mendadak, pulau itu masih kelihatan seperti syurga tropika. Dari satelit dan penerbangan di angkasa, ia nampak seperti zamrud yang terapung pada permukaan lautan biru.

Bandar raya Kota Cinta bersinar dengan menara kaca, rumah ibadat berkubah biru, dan lebuh raya melilit seperti naga keluli. Akan tetapi, seperti kebanyakan negara yang terlalu lama hidup dalam bayang sejarah, Pulau Cinta juga menyimpan luka lama dan rahsia yang lebih tua daripada usia republik ini sendiri.

Karuppar sudah berjaya menjadi Perdana Menteri. Bagi generasi muda, Karuppar adalah legenda hidup. Dia pernah dipenjarakan, pernah dikhianati, kemudian kembali daripada kehancuran politik seperti burung phoenix dalam mitologi Yunani yang bangkit selepas terbakar menjadi abu.

Rambut politikus itu kini beruban tetapi suara masih mempunyai getaran yang mampu memukau dewan parlimen dan ruang perhimpunan awam.

Bagi generasi lama, nama Karuppar sentiasa disertai bisikan kecil. Dan bagi seorang lelaki tua bernama Mahaveeran Pandian, Karuppar umpama nubuat yang menjadi kenyataan.

Mahaveeran kini tinggal di sebuah rumah agam lama di pinggir bandar. Rumah itu dipenuhi buku, keratan akhbar lama, dan manuskrip yang belum selesai. Usianya hampir satu abad tetapi fikiran masih tajam seperti pisau bedah.

Pada dinding bilik kerja tergantung peta lama Asia Tenggara—peta yang penuh dengan pin merah dan benang hitam.

Pada suatu malam hujan lebat, seorang wartawan muda datang menemuinya.

“Tuan,” kata wartawan itu sambil menekan butang pada perakam suara, “adakah benar Tuan pernah memberi amaran kepada penduduk Pulau Cinta bahawa Karuppar tidak layak menjadi Perdana Menteri?”

Mahaveeran tersenyum nipis.

“Hanya orang yang tidak membaca sejarah silam akan menyebutnya sebagai amaran,” katanya perlahan. “Orang lain akan memanggilnya sebagai ramalan.”

Di luar rumah, kilat memancar seperti kamera kosmik cuba merakam kisah politik terkini di Pulau Cinta.

Mahaveeran bangun perlahan-lahan, berjalan ke rak buku, lalu menarik keluar sebuah fail kuning yang sudah hampir reput. Di dalamnya terdapat keratan akhbar dari tahun 2012—tahun ketika republik itu hampir terbelah dua oleh demonstrasi, propaganda, dan perbicaraan mahkamah.

“Kamu tahu,” katanya, “kuasa tidak pernah datang tanpa harga tertentu.”

“Apakah harga Karuppar?” Wartawan itu menelan liur.

Mahaveeran tidak menjawab. Sebaliknya, dia menunjukkan satu keratan akhbar lama bahasa Malayalam. Tajuknya kabur dimakan masa tetapi masih dapat dibaca: Skandal Moral Goncang Politik Pulau Cinta.

“Rahsia,” kata Mahaveeran, “adalah mata wang paling mahal dalam geopolitik.”

Sementara itu, di Kota Cinta, Karuppar sedang duduk sendirian di pejabat ketua jemaah pemerintah. Di luar, tasik buatan memantulkan cahaya lampu bandar seperti ribuan lilin yang terapung di awang-awang.

Di atas meja terdapat dua dokumen. Dokumen pertama ialah perjanjian pertahanan bersama antara Pulau Cinta dan Amerika Syarikat. Dokumen kedua pula memorandum rahsia yang ditandatangani dengan sebuah negara kecil di Timur Tengah.

Karuppar memandang kedua-duanya; lama. Kemudian, telefon khas di meja berdering seperti sudah dirancang. Dia tahu siapa yang menelefon sebelum mengangkat gagang.

“Selamat malam, Mister Prime Minister,” kata suara di hujung talian dengan loghat Amerika yang licin seperti kaca.

Karuppar diam sambil membetulkan cermin mata.

“Kami hanya ingin memastikan pelan pelabuhan tentera di rantau sana berjalan lancar.”

Karuppar memandang keluar tingkap. Di ufuk jauh, lampu kapal perang berkelip seperti bintang tiruan.

“Pulau Cinta sebuah negara berdaulat,” katanya perlahan.

“Sudah tentu,” jawab suara itu. “Dan rakan yang baik kepada kami.”

Karuppar meletakkan gagang sebelum duduk termenung. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Puteri Manora di Bachok

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

6 Jul 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 4)



[Sambungan daripada Bahagian Tiga]

Pada tahun lalu, Majlis Gagak bersidang untuk pertama kali selepas tiga puluh tahun. Kami berkumpul di Kuil Sri Navaneetha Krishnar yang mula ditelan akar pohon beringin sejak tahun 2027.

Manusia menganggap kuil ini kosong. Mereka tidak tahu bahawa ruang yang ditinggalkan manusia sering menjadi tempat sejarah dan roh berkumpul.

Tiga puluh tujuh ekor gagak hadir. Setiap gagak ada tugas khusus. Arul, si gagak muda yang kehilangan separuh kaki kanan akibat perangkap manusia, dilantik menjadi pemerhati.

“Manusia tidak menunggu sebelum menembak kita,” kata Arul yang sedikit pemarah, sinis, dan sentiasa mahukan tindakan segera. “Kenapa kita harus menunggu sebelum menghukum mereka?”

Di sebelahnya berdiri Meenakshi, seekor gagak betina yang terkenal kerana kecerdasannya. Dia mampu membuka penutup bekas makanan yang gagal dibuka oleh beberapa gagak lain. Dia juga mempunyai kebiasaan pelik iaitu menyimpan objek-objek berkilat—duit syiling, cincin murah, butang baju—di dalam satu lubang kecil pada pokok ketapang.

“Kerana kita bukan manusia,” jawabnya.

“Bukankah itu alasan yang selalu manusia gunakan untuk mengatakan kononnya mereka lebih baik daripada kita?” Arul ketawa.

Aku tersenyum. Ya, kami kaum gagak juga mempunyai ironi.

Perbahasan berlangsung sehingga sang bulan berada tepat di atas kepala. Ada gagak yang mahu membalas dendam ke atas semua nama dalam senarai. Ada yang mahu menghapuskan hanya mereka yang tidak menunjukkan penyesalan. Ada pula yang mahu melupakan semuanya dan membina kehidupan baharu.

Aku selaku ketua Majlis Gagak tidak segera membuat keputusan. Seorang ketua yang terlalu cepat membuat keputusan sebenarnya hanya seorang diktator bersayap.

Sebaliknya, aku memilih untuk mendengar. Itulah tugas paling sukar: Mendengar kesakitan yang bercanggah.

“Rajendran Arunachalam.”

Semua gagak menjadi senyap apabila akhirnya aku menyebut nama itu. Nama yang ternyata mempunyai kuasa. Seperti mantera. Seperti sihir. Seperti kutukan dari langit.

“Dia tidak akan diapa-apakan,” aku mengumumkan.

“Adakah kita sudah menjadi pengecut?” Arul mengepakkan sayap dengan marah.

“Tidak.”

“Jadi, kenapa dia dikecualikan?”

“Kerana dendam yang tidak mempunyai sempadan akhirnya akan menjadi sama seperti kebencian yang melahirkan dendam itu sendiri.”


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Tiada siapa menjawab. Namun, dalam kegelapan, aku dapat merasakan sesuatu. Sesuatu yang tidak berpunca atau bersumber daripada mana-mana gagak yang berkumpul di sini.

Satu getaran halus dalam naluri kaka smriti. Seolah-olah ada satu lagi kesedaran yang menyentuh ingatan kami. Bukan suara. Bukan bunyi. Tetapi satu rasa atau emosi dalam jiwa. Seperti jari yang menyelak halaman sebuah kitab suci yang terkunci selama ribuan tahun.

Ibu pernah memberi amaran tentang perkara ini. Katanya, ada sesuatu yang hidup dalam ruang antara ingatan. Sesuatu yang usianya lebih tua berbanding usia kewujudan kaum gagak di negara ini. Sesuatu yang tidak mempunyai bulu, tidak mempunyai tulang, dan tidak mempunyai belas kasihan.

Tiga hari kemudian, Rajendran dilaporkan meninggal dunia. Jasadnya ditemui oleh ahli keluarga di halaman rumah ketika matahari baru terbit. Dia terduduk di kerusi yang sama seperti sewaktu dia memerhatikan cucunya, Meena, bermain pada setiap pagi.

Wajahnya tenang. Malah, terlalu tenang. Tiada kesan keracunan. Tiada luka. Tiada sebarang tanda serangan. Di atas meja kayu di halaman rumah, terdapat secawan teh yang masih hangat.

Dan di sebelah cawan itu, sebiji nellikai. Serta sesuatu yang membuatkan seluruh tubuhku menjadi sejuk. Sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh mana-mana gagak dalam Majlis Gagak.

Pada kulit buah nellikai terdapat satu ukiran kecil dalam aksara Prakrit (Sanskrit kuno) yang berbunyi Smruti Jagrutam; ingatan telah bangun.

Aku tidak dapat tidur pada malam itu. Bukan kerana takut kepada manusia. Bukan kerana pihak berkuasa mungkin memburu kami. Tetapi kerana buat pertama kali dalam hidup, aku takut kepada ingatan kami sendiri.

Aku bimbang memikirkan kemungkinan kaka smriti bukan warisan seperti dipercayai selama ini. Kemungkinan ia bukan anugerah istimewa daripada Dewa Sani seperti disangka selama ini.

Mungkinkah selama ratusan tahun, kami telah menjadi sarang kepada sesuatu yang sedang tidur dan menunggu masa untuk bangkit semula?

Dan pada Mei 2026—susulan 2,880 ekor gagak gugur dari langit Bandaraya Diraja Klang—sesuatu itu akhirnya terjaga.

(bersambung pada 13 Julai 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

5 Jul 2026

Apabila Mualaf Meninggal Dunia, Siapa Mewarisi Harta?

Ramai orang Bukan Islam yang mempertimbangkan untuk memeluk agama islam (“masuk islam”) menumpukan perhatian kepada soal akidah, ibadah, dan kehidupan baharu sebagai seorang muslim. Namun, ada satu perkara yang jarang dibincangkan secara terbuka iaitu persoalan pembahagian harta pusaka selepas kematian. Akibatnya, ramai mualaf hanya menyedari hakikat yang pahit apabila sudah terlambat.

Topik ini juga menjadi kandungan luahan perasaan beberapa individu yang menghubungi saya untuk berkongsi cerita. Mereka mengaku meninggalkan agama asal untuk masuk islam, dan kemudian terkejut apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai realiti yang tidak pernah mereka sangka dan jangka sebelum menjadi mualaf.

Situasi mereka amat berbeza dengan pengalaman saya secara peribadi yang sudah mengenali islam sepenuhnya—inside out—selama 50 tahun sebelum mengambil keputusan untuk “selamat tinggal”kan islam pada April 2022.

Sebuah tulisan bertajuk “Realiti mualaf, ibu bapa tak layak warisi harta?” (Sinar Harian, 2 Mac 2026) mengemukakan soalan yang amat penting. Saya berkongsi juga tulisan itu kepada individu mualaf yang masih jahil tentang isu berkaitan.

Dalam artikel itu, seorang mualaf yang masih menanggung ibu bapa yang Bukan Islam bertanya sama ada ibu bapanya boleh mewarisi hartanya jika dia meninggal dunia.

Jawapan yang diberikan Dr. Anne Ismail selaku pengasas dan pengarah urusan Pennawaris Sdn Bhd amat jelas: Menurut hukum faraid dan hadis sahih, orang Bukan Islam tidak boleh mewarisi harta orang islam, dan orang islam juga tidak boleh mewarisi harta orang Bukan Islam.

Hakikat ini bukan perkara baharu bagi saya yang pernah mengkaji islam secara mendalam. Hukum itu bersandarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Usamah bin Zaid yang bermaksud: “Orang islam tidak mewarisi harta orang kafir, dan orang kafir juga tidak mewarisi harta orang islam.” Prinsip ini turut disahkan dan dihuraikan dalam Sistem e-Faraid Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan menegaskan bahawa perbezaan agama merupakan salah satu halangan utama pewarisan.

Hukum faraid yang ditetapkan dalam quran, khususnya Surah An-Nisa, juga menekankan hal ini. Malangnya, ramai mualaf tidak menyedari implikasi besar hukum ini. Hakikat ini saya sedari hasil perbualan dengan sejumlah mualaf yang menghubungi saya.

Bayangkan seorang anak tunggal dalam keluarga kaum Cina atau India masuk islam. Dia terus menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua, membayar sewa rumah mereka, menanggung kos perubatan, malah membeli rumah untuk mereka menggunakan hasil titik peluh sendiri.

Namun, jika dia meninggal dunia tanpa perancangan harta yang betul, ibu bapanya yang Bukan Islam tidak berhak menerima walau satu sen daripada harta pusaka tersebut menurut hukum faraid. Malah, dalam keadaan tertentu, harta itu boleh diserahkan sepenuhnya kepada Baitulmal jika tiada waris islam yang layak.

Perkara ini bukan sekadar teori. Bukan juga fakta yang saya reka sendiri! Lembaga Zakat Selangor menerusi kertas kerja “Pewarisan Harta Bagi Saudara Baru” oleh Mohd. Farid Mohd. Zainal menghimpunkan beberapa kes sebenar yang pernah berlaku di Malaysia. Bahan ini boleh dirujuk di laman sesawang Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Dalam kes Emily binti Abdullah @ Yeo Leng Neo yang meninggal dunia pada tahun 1996, sebahagian harta pusakanya diterima oleh suami muslim manakala baki diserahkan kepada Baitulmal kerana tiada waris islam lain yang layak.

Dalam kes Ooi Po Tsuan @ Zarina binti Abdullah pula, harta pusaka dibahagikan kepada suami, anak perempuan dan Baitulmal. Sekali lagi, waris Bukan Islam tidak menerima bahagian pusaka tersebut.

Lebih menyedihkan ialah kes Ramoo a/l Kuppusamy @ Abd. Rahman bin Abdullah. Beliau seorang mualaf yang kemudian berkahwin dengan wanita Hindu dan mempunyai tujuh orang anak. Apabila beliau meninggal dunia, timbul pertikaian besar kerana isteri dan anak-anaknya Bukan Islam.

Menurut rekod yang dibentangkan oleh Lembaga Zakat Selangor, keseluruhan harta pusaka Ramoo a/l Kuppusamy berjumlah lebih RM45,000 diserahkan kepada Baitulmal, manakala kedudukan dan hak waris Bukan Islam menjadi isu yang rumit.

Kes-kes seperti di atas menunjukkan bahawa konflik bukan sahaja berlaku selepas kematian, malah boleh memecahkan hubungan kekeluargaan yang selama ini terjalin baik. Ahli keluarga Bukan Islam mungkin berasa dikhianati atau tertipu kerana tidak pernah dimaklumkan tentang implikasi undang-undang dan hukum syarak yang berkuat kuasa ke atas ahli keluarga yang masuk islam.

Menurut as-Salihin Trustee Berhad, sebuah syarikat amanah islam yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 dan antara institusi terawal yang memberi tumpuan kepada perancangan harta secara patuh syariah di Malaysia, masalah utama ialah ramai orang islam tidak melakukan perancangan harta sebelum meninggal dunia. Akibatnya, harta menjadi beku, proses pentadbiran menjadi panjang, dan waris terpaksa berdepan pelbagai konflik yang boleh dielakkan lebih awal.

Dalam konteks golongan mualaf, kerumitan menjadi lebih besar kerana mereka sering mempunyai ibu bapa, adik-beradik, pasangan, atau anak-anak yang masih kekal dalam agama asal (Bukan Islam). Sistem e-Faraid MAIS menjelaskan bahawa waris Bukan Islam bukan sahaja tidak boleh menerima pusaka, malah mereka juga tidak dianggap sebagai waris yang boleh menghalang waris islam lain daripada menerima harta pusaka tersebut.

Apabila fakta seperti ini saya kongsikan dengan individu mualaf yang menghubungi saya, mereka terkejut dan terkebil-kebil kerana tidak pernah diberitahu dan tidak pernah ambil tahu tentang semua ini selama ini.

Situasi di Pulau Pinang berkaitan isu pewarisan mualaf juga sama. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 18-19 Ogos 2020 memutuskan bahawa perbezaan agama menghalang pewarisan secara faraid.

Oleh sebab itu, jika seorang mualaf di Pulau Pinang meninggal dunia sedangkan semua ahli keluarganya Bukan Islam, mereka tidak boleh menerima pusaka melalui saluran faraid biasa. Dalam keadaan tertentu, harta pusaka boleh berakhir di Baitulmal selepas urusan pentadbiran selesai.

Namun begitu, masih ada beberapa “lubang” yang boleh digunakan oleh seorang mualaf semasa hidup untuk menjaga kebajikan ahli keluarga Bukan Islam. Saya terpaksa menegaskan kepada individu mualaf yang menghubungi saya bahawa “lubang” itu hanya boleh dimanfaatkan (dimanipulasi) semasa mereka masih hidup.

Salah satu “lubang” atau cara paling mudah ialah menerusi hibah iaitu pemberian harta yang dibuat ketika seseorang masih hidup. Jika dilaksanakan dengan sempurna mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, harta yang dihibahkan individu mualaf kepada ahli keluarga Bukan Islam tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka selepas kematiannya.

Oleh itu, seorang mualaf boleh menghibahkan rumah, wang simpanan, atau aset tertentu kepada ibu bapa, adik-beradik, atau anak-anak yang Bukan Islam ketika masih hidup. Ingat: Hibah hanya boleh dilakukan semasa masih hidup.

Perkara ini turut dihuraikan secara terperinci oleh Abu Nuwairah, graduan Syariah Islamiyyah dari Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh menerusi portal Solusi Pusaka.

Sebagaimana saya nyatakan, ramai mualaf tidak memahami risiko sebenar apabila gagal membuat perancangan harta. Mereka menyangka keluarga Bukan Islam yang selama ini menerima nafkah daripadanya akan secara automatik menerima harta selepas kematian si mualaf itu.

Hakikatnya tidak begitu. Jika tiada hibah, wasiat, atau perancangan yang sah, keluarga Bukan Islam kemungkinan besar kehilangan hak ke atas harta yang selama ini dianggap milik bersama.

Selain hibah, terdapat juga “lubang” lain iaitu wasiat. Sistem e-Faraid MAIS turut menjelaskan bahawa seorang muslim (termasuk mualaf) boleh membuat wasiat kepada orang Bukan Islam. Namun, jumlah yang diwasiatkan lazimnya tidak boleh melebihi satu per tiga (1/3) daripada keseluruhan harta; kecuali mendapat persetujuan daripada waris muslim yang berhak.

Lembaga Zakat Selangor turut mengakui, kesedaran mengenai instrumen—atau apa yang saya sebut sebagai “lubang”—seperti hibah, wasiat, dan wakaf masih berada pada tahap yang rendah dalam kalangan masyarakat. Saya pula memberitahu individu mualaf dan keluarganya yang Bukan Islam bahawa “lubang” inilah sahaja yang mampu membantu memelihara hak waris islam dan Bukan Islam secara lebih adil serta mengurangkan pertikaian selepas kematian si mualaf terbabit.

Maka, saya sentiasa menasihati sesiapa yang bercadang masuk islam supaya terlebih dahulu memahami hakikat bahawa perubahan agama bukan sekadar melibatkan aspek kepercayaan dan ibadah. Ia juga membawa implikasi besar terhadap perkahwinan, status keluarga, hak penjagaan anak, pengurusan jenazah, dan pembahagian harta pusaka.

Sebagai individu yang mendalami islam—inside out—selama lima puluh tahun, apa yang saya kongsi bukan bertujuan menakutkan sesiapa, sebaliknya saya mahu supaya keputusan yang dibuat untuk masuk islam dilakukan dengan ilmu, kefahaman, dan kesedaran penuh.

Dalam banyak keadaan, masalah bukan berpunca daripada hukum faraid itu sendiri, sebaliknya susulan orang Bukan Islam tidak diberi penerangan secukupnya sebelum masuk islam.

Atas sebab itulah, setiap individu wajar mendapatkan nasihat dan ilmu secara menyeluruh sebelum meninggalkan agama asal. Dalam soal harta dan wang, perancangan awal yang dilakukan ketika masih hidup mampu mengelakkan pertikaian, salah faham, dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga Bukan Islam apabila si mualaf mati.

Bacaan seterusnya: Dilema Orang Asli Diperdaya Masuk Islam

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]