26 Jul 2026

Revathi Masoosai: Gagal Pertahankan Identiti Diri

Nama yang tertera pada kad pengenalan seseorang mungkin kelihatan seperti sekadar catatan rasmi. Namun, bagi Revathi Masoosai, nama pada sekeping kad pengenalan menjadi punca kepada sebuah tragedi peribadi yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Kisahnya bukan sekadar kisah seorang wanita kaum India yang mahu diiktiraf sebagai penganut Hindu. Kisah ini adalah cerminan realiti yang jarang dibincangkan secara terbuka dalam kalangan masyarakat India di Malaysia, khususnya berkaitan implikasi undang-undang dan sosial apabila seseorang dikategorikan sebagai “muslim” atau “islam”.

Catatan ini adalah berdasarkan kisah yang sering saya kongsi dengan individu Bukan Islam dan mualaf (masuk islam) yang menghubungi saya untuk berbual tentang pengalaman dan masalah sebenar dihadapi golongan mualaf dan individu yang mahu murtad (keluar islam).

Revathi dilahirkan dengan nama Siti Fatimah Abdul Karim. Ibu bapanya merupakan individu yang memeluk islam. Namun, sejak kecil, beliau dibesarkan oleh neneknya sebagai seorang Hindu. Neneknya memberikan nama Revathi Masoosai dan membesarkannya mengikut amalan serta budaya Hindu.

Menurut pengakuannya sendiri, beliau tidak pernah mengamalkan islam dalam kehidupan harian. Identitinya, cara hidupnya, kepercayaannya, malah lingkungan sosialnya adalah Hindu. Beliau membesar sebagai Revathi, bukannya Siti Fatimah.

Masalah besar muncul apabila beliau dewasa. Pada tahun 2004, Revathi berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Suresh Veerapan mengikut adat Hindu. Mereka kemudian memperoleh seorang anak perempuan. Pada ketika itu, Revathi percaya bahawa kehidupannya adalah seperti mana-mana keluarga India lain di Malaysia.

Namun, dari sudut undang-undang, negara masih menganggap beliau seorang muslim kerana status itu tercatat pada dokumen rasmi sejak lahir. Perkahwinannya tidak diiktiraf kerana undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan antara seorang muslim dan Bukan Muslim tanpa penukaran agama kepada islam.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi titik hitam dalam hidupnya. Apabila Revathi berusaha mendapatkan pengiktirafan rasmi bahawa beliau seorang Hindu dan memohon supaya status islam dibuang daripada rekodnya, beliau diarahkan membawa perkara itu ke Mahkamah Syariah Melaka. Tentulah Revathi terlalu naif sehingga tidak menyedari bahawa ada ribuan jalan “masuk” tetapi hampir tidak ada jalan “keluar” dalam soal islam di Malaysia.

Pada 8 Januari 2007, Revathi hadir ke mahkamah dengan harapan untuk menjelaskan kedudukannya. Sebaliknya, beliau ditahan. Dari sudut pandangan Revathi, beliau datang untuk mendapatkan pengesahan identiti dirinya. Namun, pihak berkuasa agama islam melihat tindakannya sebagai usaha meninggalkan islam.

Revathi kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam di Selangor. Tempoh asal tahanan ialah 100 hari, tetapi kemudian dilanjutkan sehingga kira-kira enam bulan. Beliau berada di pusat itu dari Januari hingga Julai 2007.

Sepanjang tempoh tersebut, suami dan keluarganya berusaha mendapatkan pembebasannya melalui pelbagai saluran undang-undang. Kes itu mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa kerana melibatkan persoalan kebebasan beragama, hak keluarga, dan bidang kuasa mahkamah.

Saya berkongsi kisah ini supaya umat Bukan Islam mengetahui dan menyedari realiti yang tentu sahaja tidak akan diceritakan oleh pihak yang berusaha memujuk umat Bukan Islam meninggalkan agama asal. Kisah Revathi perlu diketahui dan menjadi tular sebagai loceng amaran dan peringatan kepada umat Bukan Islam.

Penderitaan Revathi tidak terhenti setakat kehilangan kebebasan diri. Anak perempuannya yang masih kecil diambil daripada suaminya dan diserahkan kepada ibu Revathi yang beragama islam. Perpisahan antara ibu, bapa, dan anak menjadi antara aspek paling menyedihkan dalam keseluruhan kes ini.

Suresh terpaksa melihat isterinya ditahan dan anak mereka dipisahkan daripada keluarga yang membesarkannya. Revathi pula bukan sahaja kehilangan kebebasan bergerak, malah kehilangan peluang membesarkan anak sendiri sepanjang tempoh tahanan.

Lebih menyedihkan, beberapa laporan menyebut bahawa Revathi mendakwa beliau dipaksa menjalani proses pemulihan agama yang bercanggah dengan identiti yang diyakininya sejak kecil. Beliau mendakwa dipaksa mengikuti amalan keagamaan islam dan dilayan sebagai seorang muslim walaupun beliau berulang kali menegaskan bahawa dirinya seorang Hindu. Misalnya, cuba dipaksa makan daging lembu (“tried to force her to eat beef”).

Dakwaan ini tentulah dinafikan atau dipertikaikan oleh pihak berkuasa agama islam. Kita sedikit pun tidak hairan. Namun, hakikat bahawa dakwaan sedemikian timbul menunjukkan betapa mendalamnya tekanan psikologi yang dialami oleh Revathi ketika dijadikan tahanan di pusat pemulihan akidah.


[Miliki buku-buku Uthaya. Senarai di sini.]


Apabila tempoh tahanan tamat pada Julai 2007, ramai menyangka masalah Revathi sudah selesai. Hakikatnya tidak. Walaupun beliau dibebaskan, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa permohonan habeas corpus yang difailkan oleh suaminya tidak lagi relevan kerana beliau sudah dibebaskan.

Pada masa sama, usaha Revathi untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dirinya bukan orang muslim juga tidak berjaya. Malah, laporan mahkamah menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama islam terus berharap beliau akan “kembali” kepada islam melalui sesi kaunseling dan pemantauan berterusan.

Bagi Revathi pula, segala usaha “pemulihan” itu membuatkanya mengalami islamotrauma. Malah, membuatkannya membenci agama islam (“loathe islam even more”).

Di sinilah terletaknya pengajaran paling besar kepada masyarakat India-Hindu khasnya dan umat Bukan Islam umumnya. Ramai orang Bukan Islam melihat isu penukaran agama hanya dari sudut spiritual atau percintaan. Seseorang mungkin jatuh cinta lalu memeluk agama islam untuk berkahwin. Seseorang mungkin masuk islam kerana pengaruh keluarga, pekerjaan, atau keadaan tertentu.

Namun, ramai tidak memahami bahawa implikasi undang-undang boleh berlanjutan sepanjang hayat. Dalam konteks Malaysia, proses masuk islam lazimnya mudah dan jelas. Sebaliknya, proses keluar islam boleh menjadi sangat rumit, bergantung kepada undang-undang negeri, bidang kuasa mahkamah dan tafsiran pihak berkuasa agama.

Bacalah juga catatan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” serta “Proses Keluar Islam di Malaysia”.

Kes Revathi menunjukkan bahawa persoalan identiti agama bukan sekadar soal kepercayaan peribadi, tetapi turut melibatkan perkahwinan, hak penjagaan anak, pengebumian, pewarisan harta, dan pelbagai aspek kehidupan lain.

Masyarakat India-Hindu juga perlu memahami realiti bahawa kes seperti Revathi bukan sekadar isu teori. Ia melibatkan manusia sebenar yang mengalami kesedihan sebenar. Dan penderitaan itu mampu berlanjutan hingga individu terbabit meninggal dunia—malah selepas meninggal dunia kerana jenazah pun mungkin menjadi rebutan!

Revathi bukan tokoh politik. Beliau bukan aktivis yang mencari publisiti. Beliau hanyalah seorang wanita yang mahu hidup mengikut identiti yang dipercayainya sejak kecil. Namun, usahanya membawa kepada perpisahan keluarga, pertikaian mahkamah, tahanan di pusat pemulihan akidah, perhatian media antarabangsa, serta tekanan emosi yang sukar dibayangkan oleh kebanyakan orang.

Hampir dua dekad sudah berlalu sejak kes Revathi menjadi tajuk utama akhbar. Namun, nilai pengajarannya masih relevan dan sangat perlu dikongsi dan disebarkan kepada umat Bukan Islam supaya kita tidak pernah lupa nasib malang yang menimpa Revathi.

Saya sentiasa tegaskan, sebelum seseorang membuat keputusan untuk memeluk islam, keputusan itu perlu dibuat dengan pengetahuan yang lengkap dan kesedaran yang mendalam tentang implikasi undang-undang. Ahli keluarga juga perlu memahami kesan jangka panjang yang mungkin timbul.

Kisah Revathi Masoosai mengingatkan kita bahawa soal agama bukan hanya berkaitan kepercayaan hati tetapi juga berkaitan identiti, hak asasi, keluarga, dan masa depan seseorang. Dalam hal ini, pengetahuan bukan sekadar penting; pengetahuan boleh menentukan nasib seluruh kehidupan.

Bacaan seterusnya: Panduan Permohonan Pengisytiharan Keluar Islam

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]