Nampaknya kini [April 2015] ada terlalu ramai calon yang mahu diangkat menjadi Perdana Menteri (PM). Hal ini nyata jika kita rajin meneliti laporan di media arus perdana dan media alternatif sejak seminggu lalu.
Mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah beberapa kali
mengulangi pendiriannya bahawa Datuk Seri Najib Razak patut melepaskan jawatan
PM. Sekali gus, jawatan presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN).
Apa penyokong tegar Mahathir yang
mencadangkan supaya negarawan berdarah Malayali itu kembali “memerintah”
Malaysia. Seruan ini berikutan rekod hebat Mahathir sebagai PM paling lama di
Malaysia.
Tentu juga sebagai menghargai dan mengenang
segala sumbangan Mahathir yang berjaya mengangkat Malaysia ke persada dunia.
Kalau tidak kerana Mahathir, dunia mungkin masih menganggap orang Melayu tinggal di atas pokok.
Maka, menjelang tahun 2020, mengapa tidak
pengasas Wawasan 2020 itu sendiri menerajui negara, walaupun wawasan itu belum
tercapai sepenuhnya. Demikian pandangan sesetengah pihak.
Secara relatif, era pemerintahan Mahathir
memang terkawal dan aman berbanding zaman pemerintahan Najib.
Akan tetapi, “terkawal” dan “aman” itu
mungkin bukan kerana kehebatan Mahathir sebagai seorang pemimpin ulung, tetapi
berikutan pemerintahan kuku besi yang diamalkan secara terang-terangan.
Malah, Mahathir berjaya “menundukkan” Raja-raja Melayu dengan melakukan
rombakan dan pindaan pada Perlembagaan. Mungkin anak-anak muda yang lahir
selepas tahun 1980 kurang mengetahui kisah ini.
Pada masa kini, sokongan Rakyat (huruf besar disengajakan)
terhadap Raja-raja Melayu semakin meningkat berbanding era pemerintahan
Mahathir.
Maka, pada kali ini, jika Mahathir kembali
menjadi PM ke-7, kemungkinan besar Rakyat akan bersama-sama sultan dan raja
kalau terdapat usaha untuk terus mengurangkan kuasa dan kedudukan Raja-raja
Melayu.
Siapa Calon PR Selain Anwar?
Era Internet juga pasti menjadi cabaran
paling besar kepada Mahathir untuk “mengawal” Rakyat seperti yang pernah
dilakukannya sebelum ini. Sedangkan Ketua Polis Negara sendiri memanfaatkan Twitter untuk kerja-kerja hakiki,
masakan Rakyat yang berilmu dan berpengetahuan lebih tinggi tidak akan
memanfaatkan laman rangkaian sosial dan Internet.
Di pihak Pakatan Rakyat (PR) pula, satu-satunya
tokoh yang disebut-sebut dan diangkat-angkat untuk menjadi PM ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pastilah ramai (termasuk
Anwar sendiri) mahu merealisasikan impian yang hampir-hampir menjadi kenyataan
pada tahun 1998.
Akan tetapi, buat masa ini, memandangkan
Anwar berada dalam penjara dan Agong tidak memberikan pengampunan, sukar untuk
pemimpin itu menjadi PM dalam masa terdekat.
Kalaulah Allah merestui PR menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), siapa
yang akan menjadi PM?
Mungkin juga “budaya” Parti Keadilan Rakyat
(PKR) akan diteruskan. Maknanya, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi PM sementara. Sebaik suaminya keluar
dari penjara, jawatan PM akan diserahkan kepada Anwar.
Atau mungkinkah Nurul Izzah akan menjadi
PM? Kalau benar, saya memang sokong. Akan tetapi, risau pula memikirkan
kemungkinan jawatan akan diberikan kepada ayahnya sebaik Anwar keluar penjara.
Tambahan pula, mungkin Izzah belum cukup
matang dari segi politik untuk menjadi PM dalam masa terdekat. Maklumlah, UMNO
dan BN akan menjadi pembangkang, serta mungkin melakukan serangan peribadi yang
tidak beretika.
Memandangkan segala kuasa dan jawatan
penting dalam PR seolah-olah menjadi harta milik keluarga Anwar, siapa lagi yang
berhak menjadi PM jika PR menang dalam PRU-14?
Muhyiddin Pasti Dapat Sokongan
Di pihak BN dan UMNO pula, sekiranya Najib
tunduk kepada tekanan lalu menyerahkan jawatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka harapan BN untuk
menang dalam PRU-14 – by hook or by crook
– amat besar.
Dahulu, selepas Mahathir melepaskan jawatan
dengan linangan air mata, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mendapat sokongan
Rakyat kerana (antara lain) mahu memberikan beliau peluang untuk membuktikan
kehebatan memimpin negara.
Hal yang hampir sama berlaku selepas
Mahathir berjaya memaksa Pak Lah melepaskan jawatan dan “menghilangkan diri”.
Rakyat yang memang berbudi, sopan dan simpatik telah cuba memberikan peluang
kepada Najib untuk membuktikan kebolehannya menerajui negara.
Natijahnya memang amat memeritkan dan tidak
perlulah disenaraikan di sini. Tidak eloklah membuatkan luka lama di hati
Rakyat berdarah kembali.
Kini, ramai yang terus mendesak Najib
melepaskan jawatan PM. Maknanya, beliau perlu sekali gus melepaskan jawatan
pengerusi BN dan presiden UMNO.
Bayangkan Muhyiddin mengambil alih jawatan
PM. Beliau yang terkenal dengan pendirian “Malay First” pasti akan mendapat
undi simpati daripada Rakyat yang sopan dan simpatik.
Tambahan pula, berbanding Najib yang agak
plural dan moderat dengan gagasan 1Malaysia – memberi sedikit peluang
tambahan kepada penduduk Bukan Melayu – Muhyiddin pasti boleh menggunakan tiket
etnosentrik, Ketuanan Melayu dan “Malay First” untuk
memastikan BN/UMNO menang majoriti dalam PRU-14.
Bagaimana dengan undi kaum India dan Cina,
serta penduduk Sabah dan Sarawak? Tidak perlu diambil kira kerana kuasa
majoriti ada di tangan penduduk majoriti. Demikian pandangan golongan pengampu
dan ultra kiasu.
Tambahan pula, jangan lupa bahawa ISMA, Perkasa dan pelbagai pertubuhan etnosentrik, fanatik, rasis dan pelampau
pasti akan berkempen habis-habisan untuk memastikan tokoh “Malay First” menang
besar. Seruan “Pendatang balik China/India!” mungkin akan lebih lantang. [Nota: Muhyiddin
digugurkan daripada semua jawatan dalam Kabinet pada 28 Julai 2015.]
Wanita Farsa, Wanita Pertama dan PM Wanita
Jangan pula kita lupa akan ketokohan Ridhuan Tee Abdullah yang pasti boleh
membawa masuk lebih banyak undi untuk UMNO menerusi artikel perkauman.
Sementara itu, MIC, MCA dan sekutu dalam BN pasti akan
hanya mengangguk dan bersetuju dengan segala keputusan presiden UMNO.
Akan tetapi, usah kita lupa akan “bencana”
yang menanti jika Najib melepaskan jawatan PM atas desakan Mahathir dan Rakyat.
Apa akan berlaku kepada Datin Rosmah Mansor? Beliau pasti akan
menderita kerana segala usahanya untuk berkhidmat penuh jujur kepada masyarakat
mengalami masalah dan sekatan.
Maklumlah, sebaik sahaja Najib tidak lagi
menerajui negara, pasti isterinya juga sudah tidak dipandang oleh kuasawan
dalam BN. Maka, tentulah sukar bagi Rosmah mendapatkan bantuan dan peruntukan
khas bagi melaksanakan pelbagai khidmat masyarakat seperti yang dilakukan
dengan jayanya selama ini.
Realiti di Malaysia adalah begitu. Apabila
seseorang – atau suaminya – tidak lagi memegang jawatan tertinggi, maka sukar
untuknya melakukan khidmat masyarakat seperti diimpikan. Masakan pula Rosmah
perlu mengorek duit dari tabung!
Konflik seperti ini juga dapat diperhatikan
dalam kehidupan watak bernama Wanita Farsa dalam beberapa cerpen yang
terkandung dalam buku terbaru saya, Pulau Pendatang. Kumpulan cerpen
ini bakal terbit pada Mei 2015.
Dalam bahagian hujung musim ketiga drama
bersiri House of Cards, Presiden
Frank Underwood berdepan kemungkinan kalah dalam pemilihan 2016. Wanita
Pertama, Claire agak kecewa kerana tidak akan mampu melakukan apa-apa yang
diimpikannya.
Frank pula dalam keadaan marah mengingatkan
Claire bahawa hanya ada satu kerusi pemimpin (presiden). Saya tidak menolak
kemungkinan, dalam musim keempat [2016], Claire akan bertanding bagi jawatan
Presiden Amerika Syarikat.
Claire pasti sedar bahawa dia tidak boleh
selama-lamanya menanti kelulusan daripada Frank untuk melakukan kebajikan
kepada masyarakat. Claire sudah sedar bahawa dia tidak boleh sekadar menjadi
bayang-bayang kepada Frank.
Dialah yang menggunakan manipulasi politik
untuk mengangkat Frank sehingga suaminya itu menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Kini, berikutan kelemahan Frank, ada kemungkinan Claire akan turut menerima
kesan buruk.
Suka saya menyarankan agar Rosmah yang saya
gelarkan sebagai “Wanita Anggun” memikirkan hal ini dengan teliti sebelum
Mahathir, UMNO, BN dan Rakyat “menjatuhkan” Najib.
Bila lagi kita mahu melihat seorang wanita
menjadi PM Malaysia?
[Makalah ini ditulis pada 8 April 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 9 April 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]