Rakyat tidak pernah “tersalah pilih” semasa
mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Politikus
yang biasanya berubah dan menderhaka kepada pengundi.
Demikianlah pandangan dan pendirian saya
selaku seorang pengamal media dan pemerhati politik tanah air.
Ada politikus yang pandai berlakon di depan
kamera dan media. Rakyat harus beringat bahawa orang yang
diperlukan adalah “pekerja” bukan “pelakon”.
Ada calon pandai menangis semasa berucap
meraih undi. Biarkan mereka kalah dan terus menangis. Asalkan jangan sampai
Rakyat (huruf besar disengajakan) menangis selepas politikus menang menerusi
linangan air mata buaya.
Suka juga saya menasihatkan para pengundi
supaya tidak bergantung kepada Wikipedia
dan akaun Twitter/Facebook calon yang
bertanding dalam PRU-14. Ia sama seperti menonton berita RTM dan TV3 untuk
menilai kelayakan calon.
Usah menjadi penyokong fanatik mana-mana
parti atau politikus. Mereka yang sepatutnya menjadi penyokong anda (Rakyat).
Mereka memerlukan anda untuk hidup; bukan sebaliknya. Jangan biarkan “orang
gaji” lebih berkuasa daripada “majikan”.
Orang ramai tidak harus membiarkan sekampit
beras, sebungkus biskut, sekilogram gula dan sehelai kain pelikat “membeli”
undi, maruah dan masa depan.
Akan tetapi nampaknya taktik ini sentiasa
berjaya menjelang PRU dan PRK. Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata “Melayu mudah lupa” tetapi nampaknya kaum-kaum lain juga hampir sama.
Sebagai Bangsa Malaysia, kita perlu meraikan
kepelbagaian yang menjadi sebahagian daripada keunikan di negara bertuah ini. Kita
wajar meraikan semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum, etnik, agama dan kepercayaan.
Sebelum politikus kentut kekenyangan dan
keluar berkempen bagi “membasuh” otak anda menjelang PRU-14, sila kuatkan
semangat dan keimanan untuk menolak politik perkauman.
Kita
perlu mampu menolak calon rasis dari mana-mana parti politik.
Kita wajar menolak calon yang hanya mahu memperjuangkan nasib kaumnya. – Makalah ini ditulis pada 18 Jun 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Jun 2014
– BACA MAKALAH PENUH DI SINI – Baca juga:
Kempen Menuju PRU-14