23 Jun 2014

Kempen Menuju PRU-14


Impian saya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei 2013 adalah supaya parti-parti politik berasaskan kaum akan terhapus sepenuhnya di negara bertuah ini.

Atas sebab itulah juga saya berkempen secara rancak mulai Januari 2013 menerusi Facebook, blog dan makalah untuk menolak politikus yang rasis, korup dan gagal berkhidmat kepada Rakyat (huruf besar disengajakan) – BACA DI SINI.

Pada penelitian saya, kalaulah politikus tidak masuk campur, Rakyat tidak akan menghadapi sebarang masalah perkauman dan pergeseran agama.

Akan tetapi, apakan daya kerana itulah sahaja cara golongan politikus dan tukang angkut tahi mereka tahu cari makan. Mereka akan mati kebuluran jika tiada masalah perkauman untuk dipolitikkan.

Sebagai seorang penulis sepenuh masa dan memerhati sosio-politik, saya bersikap apolitikal serta tidak menyokong mana-mana parti politik.

Saya menolak parti-parti politik berasaskan kaum yang semakin ketara mengamalkan politik perkauman dan sedang terus berusaha menghancurkan perpaduan Bangsa Malaysia.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, kita boleh merujuk secara khusus kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan apa yang benar-benar berlaku sebelum, semasa dan sejurus selepas PRU-13.

Menjelang tahun baru 2013, saya antara pengundi di Selangor yang cukup “bertuah” menerima surat permohonan maaf daripada Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN Selangor merangkap presiden Umno.

“Kami sedar, terdapat kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran BN yang lalu. Atas kesedaran ini, kami berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

“Janji kami adalah Janji Ditepati. Yakinlah dan berilah peluang kepada kami untuk membawa perkidmatan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Selangor,” rayunya dalam surat itu [Makalah berkaitan].

Namun begitu, sebaik sahaja Najib mengumumkan pemilihan Zulkifli Noordin sebagai calon “rakan BN” untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Shah Alam, saya sudah tahu BN sudah menggali kubur sendiri. – Makalah ini ditulis pada 18 Jun 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 23 Jun 2014 BACA MAKALAH PENUH DI SINI – Baca juga: Impian Menjelang PRU-14