16 Jun 2014

Apabila Keturunan Boleh Diubah

Baru-baru ini, suatu majlis perkahwinan agama Hindu di Selangor diserbu pegawai jabatan agama Islam kerana khabarnya pengantin wanita beragama Islam.
 
Kes selesai secara “baik” dan wanita itu sendiri menafikan istilah “serbuan” yang digunakan pelbagai media.
 
Baru-baru ini juga muncul kes pegawai jabatan agama Islam “merampas” jenazah seorang wanita Cina di Pulau Pinang kerana khabarnya arwah beragama Islam.
 
Kes selesai secara “baik” selepas mahkamah Syariah memutuskan mendiang tidak beragama Islam.
 
Kes-kes “terpencil” seperti ini mungkin sahaja menimbulkan kebimbangan, kerisauan dan rasa was-was masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam terhadap status agama masing-masing.
 
Dalam kes pengantin wanita yang dikatakan “masih Islam”, timbul pelbagai pendedahan menerusi media alternatif yang berwibawa bahawa dia khabarnya hanya Islam pada nama.
 
Seorang suri rumah, Amreet Kaur dari Johor berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook kepada saya. Dia hairan kerana pengantin wanita itu ternyata hanya Islam pada nama tetapi mengamalkan cara hidup Hindu.
 
Masyarakat umum tentu juga masih ingat akan kes seorang pendaki Gunung Everest yang hanya diketahui sudah masuk Islam selepas beliau meninggal dunia. Si isteri tampil mengesahkan bahawa suaminya tidak pernah “hidup” sebagai orang Islam.
 
Dalam isu seperti ini, saya teringat akan tulisan Mohd Salleh Abas dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006) yang mungkin boleh dijadikan panduan.
 
Katanya, “untuk menjadi seorang Melayu, seorang itu mestilah beragama Islam, walaupun dia mungkin tidak mengamalkan Islam sepenuhnya atau menjadi penganut Islam yang taat.”
 
Apa-apa pun, kes-kes berkaitan status agama yang khabarnya ketara berlaku sejak Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri (1982) membuatkan saya secara peribadi mahu memastikan keluarga saya tidak terlibat dalam masalah apabila saya meninggal dunia.
 
Saya turut mengingatkan serta menasihatkan menerusi paparan status Facebook supaya orang Bukan Melayu dan Bukan Islam, khususnya, menyemak status agama dalam dokumen rasmi sebelum terlewat.
 
Pada 13 Jun 2014, saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Selangor di Shah Alam untuk menyemak status agama saya dalam sistem komputer. – Makalah ini ditulis pada 15 Jun 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Jun 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI]