16 Jun 2014

Kisah Kek dan Hak Melayu


Ayuh kita bayangkan bahawa terdapat sejumlah 50 orang Melayu dan 50 kek untuk mereka. Pada masa sama, terdapat 30 orang Cina dan 20 orang India serta 30 kek untuk mereka.

Bagi tujuan perbincangan mudah ini, kita membayangkan kewujudan tiga kaum itu sahaja. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta Wasiat Raja-raja Melayu 1957 memperuntukkan perkara berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu.

Tentu sahaja untuk menjadi orang Melayu, seperti kata Mohd Salleh Abas dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006), “seorang itu mestilah beragama Islam, walaupun dia mungkin tidak mengamalkan Islam sepenuhnya atau menjadi penganut Islam yang taat.”

Sejumlah 30 orang Cina dan 20 orang Cina pula golongan Tidak Islam atau Bukan Islam. Untuk berlaku adil – mengikut peruntukan perlembagaan – 50 kek dalam contoh ini dinikmati secara saksama oleh kesemua 50 orang Melayu. Masing-masing mendapat satu kek.


Manakala sejumlah 30 kek yang berbaki pula direbut oleh 50 orang Bukan Melayu. Kalau 30 orang mendapat satu kek (penuh), maka baki 20 orang tidak mendapat apa-apa.

Atau mungkin juga 25 kek dibahagi dua dan masing-masing mendapat separuh kek. Baki 5 kek dipotong lagi sama rata. Namun, tidak seorang pun daripada 50 orang Bukan Melayu itu menerima satu kek penuh.

Sebelum sesiapa yang membaca makalah ini sekerat jalan mula bising-bising, biar saya tekankan bahawa contoh di atas tidak sesekali bertujuan mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu; sekali gus menghumban diri saya dalam kancah Akta Hasutan 1948.

Dalam contoh di atas, bayangkan bahawa 10 orang Cina dan 10 orang India memeluk agama Islam. Secara peribadi, saya mengalu-alukan sesiapa yang mendapat hidayah dan memeluk Islam; asalkan bukan semata-mata untuk “menikmati” pelbagai hak yang diperuntukkan perlembagaan.


Apabila saya menyebut bahawa 10 orang Cina dan 10 orang India memeluk Islam dalam contoh di atas, tentulah saya bermaksud mereka menjadi ahli Sunnah wal-Jamaah yang “hanya mengiktiraf ajaran empat mazhab yang khusus dan menganggap mazhab lain bertentangan dengan agama Islam yang sebenarnya” seperti kata Mohd Salleh Abas. ...

Makalah ini ditulis pada 14 Jun 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 16 Jun 2014. Baca makalah penuh dalam buku Malaiur Manikam. Baca juga -- Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu. Baca juga - Najib Serah Kek Kepada Bukan Melayu?