Makalah ini ditulis sebelum tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan
disiarkan selepas itu. Keputusan pilihan raya sepatutnya sudah diketahui semasa
anda membaca makalah ini.
Sebenarnya, pada 30 April 2013, saya
nyatakan begini pada ruangan status di Facebook:
“Alahai, sedihnya saya! Dalam masa beberapa hari lagi, politikus tertentu yang
begitu rajin ‘turun padang’ bertemu Rakyat akan ghaib daripada pandangan –
sebelum muncul kembali sekitar empat setengah tahun kemudian secara penuh
mistik.”
Tidak mustahil bahawa calon-calon PRU-13
telah datang untuk bertemu, berbual-bual, bersalam-salaman dan bertanya khabar
para pengundi di pasar malam, pasar borong, tandas awam, tepi jalan, tanah
perkuburan, rumah atau di mana-mana tempat ada manusia. Tetapi semua itu hanyalah
sehingga sehari sebelum tarikh mengundi.
Realiti yang tidak dapat dinafikan di
negara bertuah ini adalah bahawa kebanyakan politikus akan ghaib entah ke mana
selepas pilihan raya tetapi tiba-tiba muncul sekitar dua minggu sebelum pilihan
raya seterusnya.
Maka, mulai hari ini (6 Mei 2013),
sama-sama kita lihat berapa ramai politikus yang masih akan terhegeh-hegeh
pergi ke pasar dan kawasan kampung untuk bersalam-salaman dengan Rakyat (huruf besar sentiasa
disengajakan).
Pada pendirian saya, pihak yang paling
berkuasa dalam sistem pilihan raya demokrasi adalah Rakyat. Saya menamakan
mereka “The Third Force”. Malangnya, ramai
Rakyat yang sekadar menjadi pengundi tetapi membiarkan sahaja diri mereka
diperlakukan sesuka hati oleh politikus – termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) dan Ahli Parlimen yang mereka sendiri undi dahulu.
Usah kita lupa akan 8 Mac 2008 – tarikh yang mengubah
sejarah dan masa depan negara tercinta, serta membuktikan bahawa kuasa sebenar
terletak pada tangan Rakyat. Kita perlu memastikan bahawa semangat itu terus
membara selepas PRU-13.
Sejak sebulan lalu, saya menggunakan
ruangan foto profil dan foto kulit pada Facebook
untuk “berkempen” agar Rakyat memiliki
kesedaran asas berkaitan proses pilihan raya serta hak yang mereka miliki
sebagai pengundi.
Misalnya, soalan pertama yang saya
kemukakan pada 4 April 2013: “Sudahkah calon pilihan anda menguasai Bahasa Malaysia?” Soalan ini mungkin
kedengaran lucu dan tidak penting. Walau bagaimanapun, apa gunanya seorang ADUN
atau Ahli Parlimen – tanpa mengira kaum dan latar pendidikan – yang belum mampu
menguasai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara?
Mampukah calon pilihan anda mewakili Bangsa Malaysia tanpa mengira etnik,
kaum dan agama? Pertanyaan ini juga mungkin kurang diberikan perhatian oleh
orang ramai. Tambahan pula, budaya yang sudah dibawakan oleh Barisan Nasional (BN) sejak lebih 55
tahun dahulu adalah keadaan di mana UMNO mewakili orang Melayu, MCA
mewakili kaum Cina, MIC mewakili orang India, dan
sebagainya.
“Badut Paul Lathic”
Pada pemerhatian saya, Rakyat pada masa
kini sudah menolak politik yang berasaskan kaum dan ini belum lagi mengambil
kira soal “politik perkauman” yang masih menjadi
budaya dalam kalangan politikus.
Dalam sistem demokrasi, Rakyat adalah
“majikan” dan politikus adalah “pekerja”. Jangan biarkan kedudukan itu
terbalik! Walaupun PRU-13 sudah selesai dan politikus akan mula “ghaib” tetapi
Rakyat sebagai “The Third Force” usah membiarkan mereka menghilangkan diri
begitu sahaja.
Walau apa pun keputusan PRU-13 (Ingat:
makalah ini ditulis pada 3 Mei 2013), saya sentiasa percaya bahawa Rakyat tidak
pernah “tersalah pilih” semasa mengundi. Politikus yang biasanya berubah dan
menderkaha kepada pengundi. Lihat sahaja apa yang berlaku di Perak selepas
PRU-12. Semoga insiden seperti itu tidak berlaku lagi.
Sepanjang kempen PRU-13, kita telah dapat perhatikan
sendiri bagaimana BN begitu bersemangat menggunakan Bahasa Tamil dan Mandarin dalam
berkempen. Bayangkan jika “tsunami politik” tidak berlaku pada 2007 (menerusi
gerakan Hindraf yang asal) dan 2008 (kebangkitan Pakatan Rakyat).
Namun begitu, apa yang amat mengecewakan
adalah bahawa aspek tulisan/ejaan Bahasa Tamil yang betul sering tidak
diberikan perhatian yang sewajarnya. Lebih malang apabila para pemimpin MIC
selaku “pejuang bahasa dan budaya Tamil” tidak pula berani menegur parti-parti
komponen BN dalam hal ini.
Sejak Parlimen dibubarkan (3 April 2013)
dan Human Rights Party (HRP) pimpinan P Uthayakumar mengumumkan akan bertanding
sebagai calon bebas menggunakan “aura” Hindraf, saya mula menulis beberapa
artikel mengkritik calon-calon HRP dan MIC.
Sesungguhnya undi adalah rahsia tetapi
tindakan mengkritik calon dan parti-parti politik secara terbuka adalah hak
kita sebagai Rakyat dan pengundi. Melalui kritikan – serta maklum balas yang
diterima – dapatlah kita menilai kualiti dan kelayakan mereka sebagai pemimpin.
Berkali-kali juga saya mengingatkan
rakan-rakan menerusi paparan pada Facebook
supaya jangan menjadi penyokong fanatik mana-mana parti politik atau mana-mana politikus.
Sebaliknya, mereka (politikus) yang sepatutnya menjadi penyokong kita (Rakyat).
Kalau mereka menyokong kita, barulah kita akan mengundi mereka!
Suatu lagi realiti dalam politik tanah air
adalah bahawa ada calon yang pandai berlakon di depan kamera dan media. Lakonan
mereka paling mudah disaksikan menerusi pelbagai media arus perdana. Namun,
usah kita lupa bahawa Rakyat memerlukan “pekerja” dan bukannya “pelakon”.
Memang ada calon yang pandai menangis
semasa berucap meraih undi. Hal ini mungkin telah anda saksikan sendiri sejak
beberapa minggu lalu. Pada pandangan saya, biarkan sahaja mereka (politikus) menangis.
Apa yang lebin penting adalah bahawa jangan sampai Rakyat terpaksa menangis
selepas politikus seperti itu menang dalam pilihan raya.
Saya sering menggunakan frasa “Badut Paul Lathic” bagi merujuk kepada
golongan politikus seperti itu; sempena sebuah cerpen saya yang berjudul “Drama Paul Lathic” (Mingguan Malaysia, 8 Oktober 1995). Saya
bukan ahli mana-mana parti politik dan saya tidak menyokong mana-mana parti
politik. Bagi saya, “Badut Paul Lathic” adalah sekadar sumber inspirasi bagi
penulisan cerpen.
Pada 10 April 2013, saya mengingatkan
rakan-rakan supaya berhati-hati dengan mana-mana “calon bebas”. Pada penelitian
saya sebagai pengamal media dan pemerhati politik, ada calon bebas tertentu
yang mungkin menanti dibeli “Parti X” atau sudah dibeli “Parti Y” dan/atau
sekadar bertanding untuk memecah undi.
Dalam isu wakil HRP bertanding sebagai
calon bebas selepas “tuntutan” mereka khabarnya ditolak PKR, ramai pihak
bimbang kerana tindakan itu akan memecah undi di kawasan kubu kuat PR; sekali
gus membuatkan BN menang mudah. Malah, Bendahari HRP, A. Sugumaran (Cikgu Suguz)
membuat pengakuan pada 10 April 2013: “We (HRP) should contest as independent
candidates & kacau daun!” (Kita patut bertanding sebagai calon bebas dan
kacau daun!)
Saya lebih suka jika kita meraikan kepelbagaian serta menolak politik perkauman. Dalam pada
itu, pengundi tidak wajar membiarkan sekampit beras dan sebuku roti “membeli” undi,
maruah dan masa depan diri dan generasi akan datang. Memang menyedihkan apabila
masih ada politikus yang “memancing” pengundi dengan makanan.
Sejak beberapa bulan lalu, memang ada pihak
yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa
orang Melayu-Islam dan Bumiputera akan kehilangan kedudukan istimewa yang
dinikmati sekiranya pucuk pimpinan (kerajaan) berubah.
Betapa tidak bermaruah dan betapa jahat
niat puak seperti itu! Mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa segala
kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera – serta hak kaum-kaum lain –
sebenarnya dilindungi sepenuhnya menerusi Wasiat Raja-raja Melayu yang
ditandatangani pada Ogos 1957. Perkara-perkara berkaitan hal-hal itu dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah/dipinda tanpa persetujuan Majlis
Raja-raja Melayu.
Seterusnya, kesabaran saya benar-benar
teruji pada 16 April 2013, sebaik sahaja Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Zulkifli Noordin sebagai “calon rakan
BN” untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam PRU-13. [SENARAI CALON DI SINI]
Kalau Najib berani meletakkan calon-calon
etnosentrik, rasis, fanatik dan ultra kiasu di Selangor, saya pula berani menyeru para pengundi Selangor menolak BN 100
peratus pada PRU-13. Semasa makalah ini ditulis pada 3
Mei 2013, saya masih berbisik dalam hati: “Tuhan, lindungi kami!”
Harapan saya adalah agar PRU-13 menyaksikan
Rakyat menolak sepenuhnya politik perkauman; calon rasis dari mana-mana parti;
calon yang hanya mahu memperjuangkan nasib kaumnya; serta calon yang menghina
mana-mana kaum dan agama.
Tahniah kepada kesemua calon yang menang
kerusi DUN dan Parlimen. Tahniah kepada pihak (BN/PR) yang berjaya mendapatkan
mandat Rakyat untuk membentuk Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.
Kepada orang ramai pula, jangan “biarkan”
politikus ghaib begitu sahaja! Rakyat adalah umpama majikan yang membayar gaji
kepada politikus untuk membuat kerja. Jangan biarkan “pekerja” kita mencuri
tulang atau menikmati gaji buta.
Sama-sama kita berpegang pada semangat “The
Third Force” dan kita buktikan bahawa sesungguhnya Rakyat yang paling berkuasa
dalam sistem pemerintahan demokrasi.
[Uthaya
Sankar SB adalah pengundi di DUN Sri Muda dan Parlimen Kota Raja. Makalah
ini ditulis pada 3 Mei 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]