[Kawasan perumahan itu menjadi tumpuan warga asing dari sebelas
negara sehingga menyebabkan penduduk tempatan berasa kurang selesa.]
Taman Sri Muda (Seksyen 25), Shah Alam
memang dikenali sebagai kawasan panas dan sering berlaku pelbagai masalah
sosial. Saya tinggal di sini sejak tahun 2000 dan merasakan sendiri bahawa
kawasan sekitar taman perumahan ini memang agak bahaya.
Topik hangat ini sempat saya bualkan
bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei apabila kami bertemu di Kota Kemuning pada 15
Februari 2013. [Baca juga makalah bertajuk “Mengenai DUN dan ADUN Sri Muda” yang
ditulis berdasarkan pertemuan itu.]
Politikus berumur 45 tahun itu mengakui
bahawa terdapat tujuh kawasan di DUN Sri Muda yang dikesan mempunyai masalah
sosial yang ada kalanya di luar kawalan.
“Kawasan yang paling teruk adalah Taman Sri
Muda sendiri. Kalau kita lihat di sekitar Pasar Taman Sri Muda, kita akan kesan
ada sebelas golongan masyarakat dari
luar negara yang berpusat di sini,” beliau bercerita secara berterus-terang.
Politikus yang berasal dari Bagan Serai,
Perak itu menyenaraikan warga Indonesia, Myanmar, Nepal, India, China, Vietnam,
Afrika, Filipina, Thailand dan Bangladesh.
“Satu lagi kumpulan adalah pendatang dari
Aceh, Sumatera, Indonesia. Mereka ini agak unik kerana ada kad pengenalan.
Mereka datang atas kapasiti orang yang dilindungi sebagai pelarian politik,” beliau
menghuraikan.
Menurut Shuhaimi, dalam kalangan rakyat
Malaysia sendiri, ada tiga kumpulan yang dikenal pasti menyumbang kepada
masalah sosial; khususnya di Taman Sri Muda. Mereka adalah penduduk setempat,
orang dari Sabah dan orang dari Sarawak.
Maka, ada sekurang-kurangnya 14 budaya yang
berbeza di kawasan ini yang sering mencetuskan keadaan tegang. Kalau
diperhatikan, memang wujud restoran masakan Myanmar di tingkat atas rumah-rumah
kedai. Dalam tinjauan saya, keadaan ini sebenarnya tidak disenangi penduduk
sekitar Taman Sri Muda.
“Kadar masalah sosial di kawasan serupa itu
amat ketara. Masalah sosial juga sering dilaporkan di kawasan pangsapuri yang
majoriti penduduk bukan orang tempatan. Mereka menjadi antara penyumbang
terbesar masalah kesedaran sivik di sekitar Taman Sri Muda.
“Misalnya, masalah sampah tidak dibuang di
tempat yang sepatutnya sedangkan Taman Sri Muda diwartakan sebagai Zon Bersih.
Tinjauan saya sendiri mendapati bahawa memang ada warga Myanmar yang
mengendalikan restoran di tingkat atas tempat tinggal serta membina tempat
mandi tambahan di mana air dari kedua-dua tempat itu mengalir terus ke jalan di
bahagian belakang bangunan. Akibatnya jalan sentiasa becak serta dikotori
sampah-sarap,” ADUN yang selalu turun padang itu menceritakan.
Shuhaimi sudah mengarahkan Majlis Bandaraya
Shah Alam (MBSA) menyiasat bagaimana warga asing terbabit boleh berniaga
menggunakan premis rakyat tempatan. Siasatan mendapati memang wujud keadaan di
mana rakyat tempatan menyewakan premis milik mereka kepada warga asing bagi
mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Tambah pegawai polis di balai
Suatu hal yang nyata adalah bahawa segala
keselesaan dan kemudahan yang terdapat di sekitar Taman Sri Muda menyebabkan
lambakan pendatang asing hingga menimbulkan keadaan yang semakin menggerunkan
bagi penduduk tempatan.
Laporan yang dikemukakan oleh Shuhaimi
kepada Jabatan Imigresen memang diambil tindakan. Akan tetapi, tindakan itu
tidak membantu mengurangkan masalah kerana sikap segelintir masyarakat tempatan
yang mahu mendapatkan keuntungan secara mudah; iaitu dengan menyewakan premis
dan kedai kepada warga asing secara yang tidak sah.
Masalah seperti kes ragut, samun, rompakan,
pembunuhan, meminta wang perlindungan dan sebagainya dilaporkan sering berlaku.
Begitu juga dengan pelbagai jenayah kecil yang sepatutnya boleh ditangani
dengan mudah tetapi tidak dapat ditangani disebabkan oleh lampakan pendatang
yang perlu dipantau oleh pasukan keselamatn yang lebih besar.
Malah, pada pagi tarikh pertemuan saya dengan
Shuhaimi (15 Februari 2013), ada kes wanita Indonesia yang dilaporkan mati kena
tikam. Dia pekerja di sebuah restoran yang pernah saya kunjungi beberapa kali.
Kes-kes jenayah seperti ini bukan sesuatu yang baru di DUN Sri Muda sejak
dahulu.
Balai Polis Taman Sri Muda hanya ada lapan
anggota dan tentu sahaja tidak cukup untuk menangani masalah yang sering
timbul. Apabila perkara ini saya timbulkan, Shuhaimi menjelaskan bahawa beliau
pernah meminta kepada pihak berkenaan supaya bilangan polis ditambah sejak
2008.
“Mengikut jaminan yang diberikan, apabila
operasi dipindahkan ke balai polis baru yang serba lengkap, jumlah anggota
polis akan ditambah. Balai polis sudah dipindahkan tetapi kesilapan berlaku
kerana pihak berkenaan tidak memasukkan perjawatan dalam projek pembinaan balai
polis baru.
“Akibatnya, balai polis baru yang serba
lengkap sudah ada tetapi masih belum cukup anggota keselamatan. Ini juga satu
punca masalah sosial sukar untuk dipantau di sekitar Taman Sri Muda. Namun,
saya yakin bahawa kekurangan anggota polis akan dapat diatasi segera dengan
kerjasama pihak terbabit,” katanya dengan penuh optimis.
Selain daripada Taman Sri Muda, ada
beberapa lagi kawasan dalam DUN Sri Muda yang didiami ramai warga dari Aceh.
Ramai pula penduduk tempatan yang meluahkan rasa kurang senang kerana khabarnya
warga luar itu menyumbang kepada pelbagai masalah sosial. Shuhaimi mengakui
hakikat ini.
“Harus saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri
tidak ada sebarang kuasa dalam menangani atau mengatasi masalah pendatang dan
warga asing. Kami pada peringkat DUN dan negeri hanya boleh melaporkan kepada
Kerajaan Persekutuan, Jabatan Imigresen dan polis bagi memantau keadaan ini
serta mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Malang sekali, pihak keselamatan seperti
polis nampak seolah-olah lebih berminat untuk terlibat aktif dalam pemantauan
melibatkan parti-parti politik tertentu berbanding pemantauan isu-isu
masyarakat seperti yang dihuraikan,” katanya.
Umpama bertumbuk dengan sebelah tangan
Suatu perkara penting yang perlu disedari
adalah bahawa segala masalah sosial di Taman Sri Muda seperti disebutkan
sebenarnya bukan masalah baru. Sebaliknya masalah lama yang nampaknya sudah
dibiarkan berleluasa sebelum tahun 2008; iaitu sebelum Pakatan Rakyat (PR)
dipilih oleh rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk membentuk
Kerajaan Negeri Selangor.
Walau mengakui perkara itu, Shuhaimi tidak
pula mahu menuding jari dan menyalahkan kerajaan negeri terdahulu kerana pada
pandangan beliau, isu berkaitan pendatang asing adalah di bawah bidang kuasa dan
tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Maka, Kerajaan Pusat yang perlu lebih peka
dan mengambil tahu serta menangani
fenomena penghijrahan masuk warga asing.
“Masalah penghijrahan masuk yang membawa
bersama-samanya pelbagai masalah sosial dan sebagainya bukan hanya berlaku di
Taman Sri Muda atau di DUN Sri Muda atau di negeri Selangor. Sebaliknya berlaku
di seluruh tanah air.
“Dasar dan polisi berkaitan isu ini
terletak di tangan Kerajaan Persekutuan. Sepatutnya kerajaan pusat memandang
serius perkara ini kerana penghijrahan masuk pendatang dari sebelas negara yang
saya senaraikan tadi sudah terbukti mengancam penduduk tempatan. Ini realiti
yang sedang berlaku di depan mata,” katanya.
Timbul suatu pertanyaan: Apakah tempoh lima
tahun belum mencukupi untuk PR mengatasi masalah yang kononnya ditinggalkan
kerajaan terdahulu serta memulakan sesuatu yang baru tanpa sebarang masalah?
Juga melaksanakan pelbagai janji semasa kempen PRU-12.
Lima tahun disifatkan oleh Shuhaimi sebagai
suatu tempoh masa yang mencukupi untuk mana-mana kerajaan melakukan perubahan.
Tetapi perubahan yang hendak dilakukan itu tidak boleh dilakukan kerana
khabarnya disekat dengan pelbagai cara.
“Secara mudah, kami seperti diajak untuk
bertumbuk tetapi sebelah tangan kami diikat di belakang. Maka, kami hanya boleh
melawan dengan sebelah tangan. Memandangkan kami ada ilmu, kami masih boleh
berlawan dengan sebelah tangan. Itulah yang PR sedang lakukan kini.
“Akan tetapi, memanglah meletihkan apabila
terpaksa berlawan dengan sebelah tangan. Walaupun kami mampu menang, tetapi
sebenarnya sudah merugikan masa dan tenaga kami. Demikianlah perumpamaan bagi
menggambarkan keadaan yang wujud di Selangor,” kata ADUN berkenaan.
Walaupun demikian, Shuhaimi tetap
menegaskan bahawa tempoh lima tahun sebenarnya mencukupi untuk melakukan
perubahan seperti dijanjikan. Malah katanya, untuk melakukan perubahan, kita
hanya memerlukan tiga bulan untuk mengkaji situasi.
“Tiga bulan lagi untuk mula melaksanakan
perubahan yang mahu dilakukan. Enam bulan lagi boleh digunakan untuk melihat
kesan daripada pelaksanaan perubahan itu.
“Maka, selepas tempoh setahun sejak
mengambil alih kerajaan negeri, kami sudah boleh melakukan penilaian semula
terhadap keberkesanan apa-apa perkara yang dilaksanakan itu. Kami perlu
mengkaji kesesuaian dan melakukan apa-apa pembaikan yang diperlukan,” beliau
menghuraikan dengan spontan.
Selepas tempoh setahun lagi, iaitu selepas
dua tahun PR mengambil alih kerajaan negeri, orang ramai dikatakan sudah boleh
mula menikmati sepenuhnya pembaharuan dan perubahan yang dijanjikan.
Demikianlah pada teori.
Malangnya, dalam realiti di Selangor,
apabila Kerajaan Negeri cuba melakukan pembaharuan, banyak masalah tinggalan
kerajaan terdahulu yang terpaksa diselesaikan dahulu; dibersihkan dahulu.
“Ini ditambah pula dengan asakan demi
asakan daripada pihak lawan di mana kami terpaksa melakukan pembaharuan dengan
sebelah tangan sementara sebelah lagi tangan digunakan untuk menyelesaikan
masalah lama tinggalan kerajaan terdahulu,” katanya.
Walaupun Shuhaimi hanya berlawan dengan
sebelah tangan, tentulah penduduk dan pengundi di DUN Sri Muda telah mampu
melihat serta menilai prestasinya sejak PRU-12. Tangan para pengundi tidak
mampu diikat oleh sesiapa.
Jika benarlah Shuhaimi seorang Wakil Rakyat
yang mampu membawa serta melaksanakan perubahan yang diinginkan oleh penduduk,
maka mereka boleh memberikan mandat kepada beliau sekali lagi dalam PRU-13.
Kalau dirasakan sebaliknya, pilihan mutlak
dan kuasa penentu tetap di tangan pengundi tanpa perlu terpengaruh dengan
ratapan “Sayangi Selangor, Yakini BN” dan
seumpamanya.
[Uthaya
Sankar SB sering singgah makan-minum di beberapa restoran sekitar Taman Sri
Muda untuk mengetahui perkembangan semasa. Makalah ini ditulis pada 11 Mac 2013
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Nota:
Shuhaimi berjaya mengekalkan kerusi ADUN Sri Muda dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013.]