22 Aug 2013

PRU-13: Ini Kalilah!

[Suara sebenar masyarakat yang menolak politik perkauman lantang di media siber. Penulis sepenuh masa ini turut berkongsi pandangan beliau dalam hal ini.]
 
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berikut penelitian mudah terhadap “perang poster” yang saya perhatikan di sekitar kawasan perumahan saya di Taman Sri Muda, Shah Alam.
 
Pertama, terdapat poster “Undilah Perdana Menteri” sedangkan tidak ada calon bernama “Perdana Menteri” yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Raja dan/atau DUN Sri Muda.
 
Kedua, terdapat poster bagi “Calon Bebas Dato Saro” sedangkan mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak ada calon dengan nama itu bagi kedua-dua kerusi di kawasan saya.
 
Dalam pada itu, menjelang PRU-13, seperti yang memang sudah dapat dijangkakan, ada pihak tidak bermaruah yang menjadikan Hukum Hudud sebagai alat untuk berkempen menghalang orang ramai mengundi calon/parti yang diingini.
 
Apabila saya ke Kota Bharu, Kelantan pada Mac 2012, saya sempat mendapatkan pelbagai maklumat yang tepat, jelas dan benar mengenai Hukum Hudud. Sayangnya, tidak ramai politikus dalam Barisan Nasional (BN) yang bertuah seperti saya. Maka, mereka membuktikan kejahilan dengan cuba menjadikan Hukum Hudud sebagai alat politik.
 
Pandangan saya dalam hal ini amat mudah: Pasti sahaja mana-mana golongan tidak bermaruah yang memanipulasi isu Hukum Hudud itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa. Secara logik, hanya orang yang bersalah dan melakukan dosa perlu takut pada Hukum Hudud atau mana-mana hukuman.
 
Hasil penelitian saya terhadap perkongsian maklumat di laman rangkaian sosial seperti Facebook, ramai yang kurang faham mengenai cara-cara menanda kertas undi dengan betul. Kebanyakan golongan berkenaan adalah orang muda yang akan mengundi bagi pertama kali.
 
Saya mempunyai pengalaman bertugas di sebuah pusat mengundi (sekali gus pusat pengiraan undi) di Shah Alam pada 2004 dan 2008. Maka, saya menggunakan pengalaman itu untuk membimbing orang ramai menerusi Facebook dan blog.
 
Ramai yang tidak tahu bahawa dalam proses memutuskan undi ragu, aspek “niat (intention) pemilih adalah jelas” diambil kira berdasarkan Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu yang dikeluarkan oleh SPR dan menjadi rujukan wajib Ketua Tempat Mengundi (KTM). Orang ramai boleh merujuk blog saya untuk maklumat terperinci berhubung perkara ini.
 
Baru-baru ini, ada berita tidak rasmi yang disebarkan menerusi Facebook bahawa ada tanda titik tercetak pada nama salah seorang calon pada kertas undi. Maka timbul persoalan apakah kertas undi itu akan dikira sebagai “undi rosak”. Penerangan mengenai perkara itu juga ada di blog saya.
 
Satu lagi perkara yang menimbulkan persoalan adalah berhubung penggunaan dakwat kekal. Timbul isu dakwat kekal yang digunakan pada hari pengundian awal (30 April 2013) hilang apabila dicuci. SPR memberikan alasan bahawa mungkin petugas terlupa mengoncang botol dakwat!
 
Undi dengan tenang, jangan kiasu
 
Selain daripada itu, ramai juga yang risau secara berlebih-lebihan memikirkan kemungkinan dakwat kekal itu akan membuatkan kertas undi rosak jika tercalit dakwat dari jari telunjuk kiri. Sikap “kisau” yang ditunjukkan ini memang keterlaluan dan membuatkan saya menyampah!
 
Panduan yang saya berikan adalah amat mudah: Pegang sahaja kerta undi dengan tangan kanan. Kalau anda kidal, tetap pegang kertas undi itu dengan tangan kanan. Sambil itu, berhati-hatilah supaya dakwat kekal pada jari telunjuk kiri – jika belum kering sepenuhnya – tidak tercalit pada kertas undi. Lebih kurang seperti apabila kuku disapu pewarna atau dipakai inai.
 
Nasihat saya kepada pengundi adalah supaya jangan mengada-ngada. Dunia tidak akan berakhir semata-mata kerana jari telunjuk kiri pengundi dicalitkan dakwat kekal sebelum mengundi. Memang ada pihak yang mengada-ngada dan kononnya mahu menggunakan sarungan tangan, plastik dan kondom untuk menutup jari telunjuk kiri selepas dicalitkan dakwat kekal.
 
Sebenarnya, kalaulah ditakdirkan bahawa dakwat kekal itu tercalit pada kertas undi, maka anda sebagai pengundi berhak untuk meminta supaya kertas undi itu digantikan dengan kertas undi yang baru. Jangan takut dan jangan bimbang. Itu adalah hak anda sebagai pengundi dan KTM bertanggungjawab memenuhi permintaan anda.
 
PRU-13 juga membuka ruang kepada orang ramai menggunakan kreativiti untuk menghasilkan pelbagai klip video; sebagai “saingan” kepada kempen propaganda BN yang sudah terlalu banyak di akhbar, radio, televisyen dan Stesen Komuter.
 
Contoh klip video yang disasarkan khusus bagi pengundi kaum India (penutur Bahasa Tamil) adalah “Poi Poi” (Tipu Tipu) yang diubah suai daripada lagu “Soi Soi” (filem Kumki) dan “Change This Barisan Government” daripada lagu “Why This Kolaveri” (filem 3).
 
Ada juga rakan-rakan bukan kaum India yang bertanya apakah kandungan lagu-lagu itu. Saya tidak sempat menterjemahkan keseluruhan lirik lagu tetapi cukuplah jika dikatakan bahawa isu BR1M, MyDaftar, Perhimpunan Semenyih, hak kewarganegaraan, isu pertukaran agama, kes tahanan mati dalam penjara dan sebagainya yang melibatkan kaum India di bawah pemerintahan BN termuat kemas dalam lagu-lagu ini.
 
Baru-baru ini, penyanyi warga India, Dheephan Chakkravarthy memuat lagu “Beribu-ribu Tahniah” di YouTube untuk mengampu MIC dan BN. Lagu itu sebaliknya bertukar menjadi bahan lawak dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum kerana memang amat melucukan. Dalam masa hampir 24 jam, keluar pula versi “remix” lagu itu yang mempersoalkan kredibiliti Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan “Tokoh 1Malaysia”.
 
Turut dikongsikan di ruang siber adalah suatu iklan MIC yang pernah disiarkan di akhbar The Star pada Februari 2008; iaitu sebelum PRU-12. “If you don’t vote for MIC then be prepared to pay the price …” kata tajuk kecil pada iklan berbayar itu.
 
Memang amat melucukan apabila iklan itu dapat dibaca semula lima tahun kemudian. Malah, amat ironis bahawa pada 8 Mac 2008, orang ramai sudah pun berani menolak MIC. Perkara sama juga dijangka akan dilakukan pada skala lebih besar pada PRU-13. Orang ramai sudah tidak boleh dimomokkan seperti dahulu.
 
A vote for MIC is a positive vote for action and solution. Every Indian goes to sleep daily knowing MIC is there as their ‘invisible’ partner and one who can deliver. … Can anyone come up and say that MIC is irrelevant or redundant?” kata iklan semuka itu lagi.
 
Kuam India dihina, MIC membisu
 
Memang sungguh melucukan apabila saya membaca semula kandungan iklan itu. Kalaulah MIC berani bertanya soalan sama pada kali ini, pasti jawapan lantang akan diberikan oleh orang ramai; khususnya apabila calon-calon MIC hanya mampu menjadi pengecut dan diam membisu berikutan pemilihan Zulkifli Noordin, Ahmad Nawawi M Zin dan Hamidah Othman sebagai calon BN.
 
Klip video yang menunjukkan dengan jelas Zulkifli menghina agama Hindu serta melabel kaum India dan Cina sebagai pendatang turut tersebar secara meluas di ruang siber. Tentulah juak-juak BN (termasuk MIC dan Hindraf) bermati-matian menafikannya. Agaknya mereka lupa bahawa orang ramai tidak sebodoh para penyokong mereka!
 
Masyarakat pelbagai kaum/agama yang mencintai keamanan dan meraikan kepelbagaian kaum/agama serta menolak segala bentuk penghinaan yang dilakukan orang-orang seperti Zulkifli, Ibrahim Ali, Ahmad Nawawi dan Hamidah wajar memberi pengajaran penting kepada politikus terbabit menerusi kuasa undi pada PRU-13.
 
Saya secara peribadi menolak parti-parti politik dan politikus yang hanya mahu berjuang bagi satu-satu kaum. Saya menolak politik perkauman. Atas dasar itulah juga saya menolak Hindraf.
 
Perlu diakui bahawa pergerakan Hindraf berjaya menyumbang kepada “tsunami politik” pada 2008. Malangnya, tsunami itu sudah berpecah-pecah dan berlaku perebutan kuasa dalam kalangan para pemimpin gerakan iru sendiri. Ramai kaum India yang pernah menyokong serta terlibat dalam perhimpunan Hindraf pada November 2007 sudah sedar bahawa Hindraf kini sudah tersasar jauh daripada landasan asal.
 
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa satu kumpulan Hindraf berkempen menentang BN/UMNO, satu kumpulan Hindraf berkempen menyokong BN/UMNO, satu kumpulan Hindraf berkempen menentang Pakatan Rakyat (PR), satu kumpulan Hindraf berkempen menyokong PR dan satu kumpulan Hindraf berkempen menyokong calon bebas dari Human Rights Party (HRP). [BACA DI SINI]
 
Salah seorang pengasas pergerakan Hindraf, Uthayakumar dalam satu wawancara pada 6 Disember 2007 mengiktiraf adiknya, Waythamoorthy sebagai pengerusi Hindraf. Bagaimanapun, baru-baru ini, Uthayakumar menafikan perkara itu serta mengiktiraf dirinya sebagai pemimpin de facto bagi Hindraf. Demikian perebutan kuasa yang amat nyata dalam kalangan bekas pemimpin Hindraf.
 
Dalam situasi sekarang, tiada beza antara BN, Perkasa dan Hindraf. Orang ramai sudah menyedari hakikat itu. Satu undi bagi BN samalah dengan satu undi bagi Perkasa. Satu undi bagi Hindraf/HRP (calon bebas) samalah dengan satu undi bagi BN. Demikian sifir mudah yang boleh difahami oleh sesiapa sahaja yang mampu berfikir.
 
Dalam pada itu, sebagai individu kelahiran Taiping, Perak, harapan saya adalah semoga menerusi PRU-13, penduduk negeri berkenaan mampu mendapat kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat menerusi kuasa undi; bukan kerajaan negeri yang diputuskan berikutan “aksi lompat katak” seperti yang berlaku selepas PRU-12.
 
Sebagai pemastautin dan pengundi di Selangor pula, berdasarkan prestasi cemerlang yang berjaya ditunjukkan sehingga kini, saya amat menyokong BN kekal sebagai pembangkang di negeri ini. Semoga para pengundi lain juga mempunyai penilaian yang sama.
 
[Makalah ini ditulis pada 2 Mei 2013 dan disiarkan di Roketkini pada 4 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]