[Apabila Rakyat menolak politik perkauman, gagasan “1Malaysia”
juga ditolak. Makalah ini cuba menjelaskan sebabnya.]
Sementara para politikus sibuk berkempen
memancing undi, saya mahu mengimbas satu konsep/slogan yang diperkenalkan pada
April 2009 dan masih belum diterapkan sepenuhnya oleh pihak yang
memperkenalkannya secara “separuh masak”.
Saya merujuk kepada slogan muluk “Satu Malaysia” yang kemudian bertukar
menjadi “1Malaysia” dan terus “menghantui” orang
ramai pada setiap saat dan ketika. Segala benda dan bukan benda dimasukkan
label “1Malaysia”. Satu-satunya produk yang belum diperkenalkan adalah “Kondom 1Malaysia”, walaupun saya ada
mencadangkan dalam sebuah makalah di Free
Malaysia Today pada 12 Januari 2013.
Berbalik kepada konsep 1Malaysia, selepas
menjadi Perdana Menteri dahulu, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sedikit demi
sedikit nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan itu menerusi blog beliau pada
April 2009. Nilai-nilai berkenaan adalah Budaya Kecemerlangan, Ketabahan,
Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan, dan Integriti.
Kalau anda mahu menguji sama ada konsep
1Malaysia benar-benar diamalkan dan difahami oleh orang-orang Barisan Nasional (BN) sendiri, kini adalah
masa terbaik!
Jangan lupa bahawa calon-calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
mungkin datang bertemu, berbual, bersalam dan bertanya khabar anda (pengundi)
di pasar malam, pasar borong, tandas awam, tepi jalan, tanah perkuburan, rumah
atau di mana-mana tempat ada manusia.
Sebagai usaha mengelakkan politikus
terbabit mengganggu ketenangan hidup anda dengan ucapan dan kata-kata retorik
yang tiada apa-apa makna selain sekadar usaha memancing undi, anda perlu bertindak
lebih cepat dan bertanya: “Boleh senaraikan dan huraikan lapan nilai 1Malaysia
yang diperkenalkan oleh Najib pada 2009?”
Soalan itu boleh juga ditanya kepada Najib
sendiri jika beliau datang bertemu anda di mana-mana. Boleh juga bertanya
soalan tambahan kepada Najib: “Memandangkan Dr Mahathir menganggap Datuk Seri sebagai
PM yang lemah, apakah konsep 1Malaysia akan tetap ada jika Datuk Seri tidak
lagi menjadi PM selepas PRU-13?”
Bagi Rakyat (huruf besar disengajakan) yang
meneliti evolusi slogan 1Malaysia sejak April 2009, pasti sedar bahawa ia
sekadar “alat” untuk membuatkan orang ramai setia kepada BN. Bukti nyata adalah
apabila nama BN pun ditulis sebagai “Bar1san Nas1onal”. Kononnya konsep
1Malaysia diperkenalkan kepada Rakyat sebagai satu strategi baru oleh Kerajaan
BN bagi mengeratkan hubungan kaum dalam jangka masa panjang.
Saya sebenarnya tidak hairan dengan segala
slogan muluk ini kerana sejak diasaskan pada Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
sudah mengamalkan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Kempen 1Malaysia hanya “gimik politik”
berbanding konsep yang sudah lama diterapkan dan menjadi jati diri Rakyat sejak
dahulu. Hal ini nyata apabila slogan muluk tersebut kononnya langkah terbaik
kerajaan dan paling sesuai bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Saya pernah menyatakan perkara ini dalam
sebuah makalah pada September 2009. Najib pula cuba menegaskan bahawa gagasan
1Malaysia bukan retorik politik serta berjanji untuk menterjemahkannya “secara
evolusi melalui proses tertentu”.
Rakyat diperkuda, diperkotak-katikkan
Najib dulu mengatakan
bahawa konsep 1Malaysia mementingkan sikap saling hormat-menghormati dan
menerima antara satu sama lain. Sebenarnya itu adalah konsep “Bangsa Malaysia” dan integrasi; bukannya sesuatu yang baru lahir daripada
idea beliau.
Apa-apa pun, janji
Najib mengenai sikap saling menghormati musnah sepenuhnya pada saat beliau
dengan angkuh mengangkat seorang individu rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra
kiasu bernama Zulkifli Noordin sebagai “rakan BN” untuk bertanding kerusi Parlimen Shah
Alam dalam PRU-13 – BACA DI SINI.
Agak menarik juga
apabila calon UMNO
yang sepatutnya bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan memutuskan
untuk tidak mengemukakan borang pencalonan pada 20 April. Akhirnya, Presiden
Perkasa, Ibrahim Ali yang juga “rakan BN” akan bertanding sebagai calon bebas
pada 5 Mei 2013.
Gagasan 1Malaysia
kononnya mementingkan konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” tetapi
tindak-tanduk Najib dan BN sejak empat tahun lalu membuktikan bahawa semua itu
tidak benar. Rakyat sebenarnya diperkudakan dan diperkotak-katikkan.
Mungkin anda masih
ingat bagaimana pada 5 Mei 2009, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan untuk
membantu para pemimpin ketika berucap. Kata kunci adalah “akan” kerana sehingga
kini tiada garis panduan dikeluarkan.
Sebenarnya, ramai yang
masih tidak pasti apakah gagasan 1Malaysia sebenarnya ideologi politik (political ideology) atau satu strategi
tadbir urus (governance strategi),
seperti pernah ditegaskan ahli akademik, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Pada 2009, Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dilaporkan
berkata, kementeriannya sedang mengambil beberapa langkah untuk memasyarakatkan
dan mengoperasikan gagasan 1Malaysia. Apa yang ada sampai sekarang hanyalah
kempen dan propaganda BN! Mungkin itulah makna 1Malaysia bagi Rais.
Saya pernah
membentangkan kertas kerja mengenai 1Malaysia pada Konvensyen Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan di Seremban pada 9 Mei 2009. Ramai hadirin
mengaku tidak faham apa yang cuba dimaksudkan oleh BN menerusi gagasan
1Malaysia.
Malah, rata-rata
peserta konvensyen itu menegaskan bahawa Rakyat sudah sedia mengamalkan
nilai-nilai yang kononnya menjadi asas bagi gagasan itu. Maka, mereka berkata –
dan saya amat bersetuju – bahawa Rakyat yang sudah sedia mengamalkan semangat
Bangsa Malaysia wajar “mengajar” politikus yang sedang cuba mengajar Rakyat.
Itulah antara semangat
“The Third Force” di mana Rakyat berani berkata “tidak” apabila berdepan
dengan politikus yang kurang bijak tetapi cuba “mengajar” orang. Rakyat perlu
bangkit bersuara dan menegaskan kepada politikus bahawa Rakyat lebih berkuasa
dan lebih bijak daripada orang politik.
Drama UMNO, MIC, Perkasa, Hindraf
Masalah dalam arena politik
di Malaysia adalah apabila politikus – khususnya pihak yang sudah lebih 55
tahun memegang tampuk kuasa Kerajaan Pusat – mula lupa diri dan menganggap
mereka tahu lebih banyak berbanding Rakyat yang sebenarnya telah memilih dan
meletakkan politikus terbabit di kerusi empuk yang sedang diduduki.
Ridhuan Tee Abdullah
yang menghina penganut agama Hindu pada Februari 2013 dibiarkan
meneruskan kerja-kerja yang bertentangan dengan gagasan 1Malaysia. Tindakan
mengangkat Zulkifli pula adalah bukti terbaru bahawa gagasan 1Malaysia hanya
retorik politik dan BN tidak pernah memandang berat pandangan, perasaan dan
sensitiviti Rakyat pelbagai kaum. Ditambah pula dengan “drama” calon BN tidak
bertanding di Pasir Mas.
Drama lain yang membuatkan orang ramai –
khususnya pengundi kaum India – semakin berani untuk menolak UMNO/MIC secara
terbuka adalah drama BN dan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan P.
Waythamoorthy menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada 18 April lalu.
Terdahulu, orang ramai (khususnya kaum
India) secara terang-terangan menolak Human Rights Party (HRP) apabila
pertubuhan tidak berdaftar pimpinan P. Uthayakumar itu membuat keputusan
bertanding dalam PRU-13 sebagai calon bebas dengan niat “kacau daun”. Kononnya
mahu mendapatkan undi “kaum India miskin” untuk menghantar Uthayakumar ke
Parlimen sebagai “calon Hindraf pertama”.
Malangnya kempen HRP (menggunakan nama
“Hindraf”) di alam nyata dan alam siber terbukti bersikap rasis, fanatik dan
ultra kiasu – lalu dilabel oleh pelbagai pihak sebagai “Perkasa versi India”.
Rakyat pelbagai kaum yang menolak politik perkauman ternyata turut menolak HRP.
Apabila Rakyat menolak serta mempersenda
gagasan 1Malaysia, mereka bukannya menolak semangat Bangsa Malaysia. Sebaliknya
mereka menolak cubaan licik BN memanipulasi semangat kebangsaan dengan
mengatakan bahawa untuk menjadi warganegara yang mencintai Malaysia, maka Rakyat
wajib menyokong BN.
Samalah juga apabila Rakyat menolak Hindraf
dan HRP. Apa yang ditolak bukanlah hak serta kepentingan kaum India tetapi
cubaan licik Hindraf (Waythamoorthy) memujuk kaum India
mengundi BN, serta semangat rasis yang dibawakan oleh HRP (Uthayakumar).
Alasan jurucakap rasmi HRP dan sejumlah
penyokong adalah bahawa jika UMNO dan Perkasa boleh bersikap rasis, mengapa
mereka diselar apabila mengamalkan sikap yang serupa. Agak-agaknya (dengan
meminjam perumpamaan lazim dalam kalangan penutur Bahasa Tamil) kalau UMNO dan Perkasa makan tahi, apakah HRP
juga mahu makan tahi?
Apa yang pasti, PRU-13 menandakan penolakan
mutlak masyarakat pelbagai kaum/agama terhadap politik perkauman. Umpama unggun api
yang dipasang sempena sambutan Boghi pada malam sebelum sambutan Ponggal untuk “membakar” segala
perkara/objek/pemikiran negatif yang menjadi penghalang kepada kejayaan yang
diimpikan oleh Rakyat dengan semangat sejati Bangsa Malaysia.
Nota:
Keputusan PRU-13 pada 5 Mei 2013 menunjukkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendapat
33,431 undi sementara Ibrahim Ali mendapat 25,384 undi bagi kerusi Parlimen
Pasir Mas.
[Uthaya Sankar SB tidak menyokong mana-mana
parti politik walaupun beberapa rakannya adalah politikus dan calon yang
bertanding dalam PRU-13. Makalah ini ditulis pada 22 April 2013 dan disiarkan
di Free Malaysia Today pada 22 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]