[Gagasan murni yang diperkenalkan Najib seperti sudah dijadikan
alat oleh kroni dan kapitalis untuk mengaut keuntungan.]
Ada idiom Inggeris berbunyi “the straw that broke the camel’s back”
yang sebenarnya berasaskan peribahasa Arab. Peribahasa dengan makna yang hampir
sama juga ditemui dalam Bahasa Belanda, Perancis, Itali, Portugis, Rusia,
Sepanyol dan Turki.
Peribahasa itulah yang muncul secara
spontan dalam minda apabila saya mendapat tahu mengenai program Roti 1Malaysia yang diperkenalkan pada
Ogos 2011 dan Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia yang dilancarkan pada
7 Januari 2013.
Dua hari sebelum itu, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak melancarkan AirAsia 1Malaysia Integration Programme serta memuji syarikat penerbangan itu
kerana mengangkat semangat 1Malaysia (selepas ini: 1M) bagi
meningkatkan peluang perpaduan dan hubungan antara
Sabah, Sarawak dan Semenanjung (The Star,
6 Januari 2013).
Nampaknya, kini semua benda dan bukan benda
di negara bertuah ini wajib menggunakan nama 1M padanya. Kalau anda tidak percaya,
cuba dengar radio, tonton televisyen, baca akhbar/majalah atau pandang
sekeliling. Berapa banyak 1M yang kelihatan atau kedengaran?
Gagasan 1M yang sebenarnya dimulakan
sebagai “Satu Malaysia” diperkenalkan oleh Najib
pada 2 April 2009. Kemudian, sedikit demi sedikit, makna, hala tuju dan konsep
gagasan yang amat absurd itu didedahkan menerusi laman sesawang yang khabarnya
diuruskan sendiri oleh beliau. Intipati 1M adalah pembinaan satu bangsa tanpa
perbezaan kaum, etnik, agama dan budaya.
Pada 27 Jun 2009, sekitar 11,500 penduduk
pelbagai kaum dilaporkan hadir pada pelancaran logo 1M di Dataran Merdeka
sambil terlibat sama dalam acara Senam Seni Malaysia dan mendengar lagu 1M (Utusan Malaysia, 28 Jun 2009).
Segala kemeriahan dan laungan 1M – bukan
lagi “Satu Malaysia” – giat dirancakkan oleh para penyokong Barisan Nasional (BN) dan parti-parti
yang bernaung di bawahnya. Hal ini paling ketara apabila tanpa segan-silu, BN
mengambil logo 1M dan memasukkannya pada nama “Bar1san Nas1onal”.
Langkah kurang cerdik itu sekali gus
menjadi titik awal Rakyat mula celik mata dan sedar bahawa
gagasan 1M bukan sebenarnya gagasan yang dibawakan Perdana Menteri Malaysia
atau Kerajaan Malaysia, tetapi oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO dan
Kerajaan BN. Logo 1M dijadikan milik dan simbol mewakili BN dan konco-konconya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga ternyata
menyedari kecelaruan dan tindakan kurang cerdik yang sedang dilakukan UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan parti-parti
politik lain dalam BN serta pegawai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan
yang mula “lebih sudu daripada kuah” dalam mengangkat propaganda BN menerusi
slogan 1M. Sebab itulah pada 2 Ogos 2010, beliau meminta supaya pengertian
sebenar slogan 1M dijelaskan dengan terperinci bagi mengelakkan salah anggap.
Apa sebenarnya 1Malaysia?
Orang ramai pasti
masih ingat keputusan Kerajaan Negeri Selangor pada 22 Disember 2011 melarang
logo 1M pada papan-papan iklan di negeri itu kerana konsep 1M yang
dilaung-laungkan itu ternyata bermotif kepartian/politik dan bertentangan
dengan undang-undang larangan
mempamerkan iklan berbaur politik. Larangan itu kemudian ditarik balik demi
mempertahankan sikap demokrasi yang diamalkan di Selangor.
Terdahulu, pada
19 Oktober 2010, saya menulis pada ruangan status Facebook bahawa jika saya terpaksa meletakkan apa-apa nombor/angka
di depan nama tanah air, saya memilih 7 tanpa apa-apa alasan. Bagi saya, “7M”
kelihatan dan kedengaran cantik dan seksi. Demikian juga saya tegaskan dalam
catatan blog pada 1 November 2010 – BACA DI SINI.
Angka “1” (numerik) biasanya merujuk (tetapi tidak
terhad) kepada ukuran unit manakala perkataan “satu” (one) membawa makna yang lebih mendalam. “1” adalah fizikal/luaran
dan “satu” pula dalaman/semangat.
Sekadar contoh yang paling mudah difahami masyarakat
kita: “Saya ada 1 isteri, 2 kereta, 3 rumah, 4 buku.” Angka yang digunakan di
sini merujuk pada “unit” dan “jumlah”. Bezakan apabila individu itu berkata,
“Kesemua isteri saya satu kepala; asyik mengomel.” Dalam hal ini, perkataan “satu”
tidak bermakna keempat-empat isteri berkenaan berkongsi satu (angka) kepala!
Sebaliknya mereka memiliki pemikiran atau perangai yang sama.
Bezakan pula kalau lelaki yang sama merungut: “Kesemua
isteri saya ada 1 kepala.” Dalam konteks ayat ini, tentulah sedikit melucukan
kerana “1” tentu sahaja merujuk pada “angka” (empat isteri berkongsi 1 kepala)
atau bahawa memang setiap isteri itu normal dan masing-masing ada 1 kepala.
Begitulah juga – pada pandangan saya – apabila angka
atau pun nombor “1” diletakkan di hadapan “Malaysia” menjadi 1M. Kalau anda
merasakan saya silap, cubalah membazir masa bertanya kesemua menteri: apa yang
sebenar-benarnya mereka faham tentang konsep 1M.
Percayalah, anda akan mendapat puluhan jawapan;
tentunya tidak termasuk menteri-menteri yang tidak tahu bercakap, tidak mahu
bercakap, tidak dibenarkan bercakap, tidak dapat dihubungi, tidak boleh
dihubungi, tidak dapat dikesan, tidak mahu komen, menunggu arahan Perdana
Menteri dan entah apa lagi.
Dan kalau pun ada menteri-menteri yang bercakap –
memang ramai yang pantang diberi peluang bercakap, khususnya apabila ada kamera
televisyen sedang merakam – mereka akan hanya mengeluarkan kenyataan berciri
retorik yang sedikit pun tidak membantu menjawab pertanyaan “Apa yang anda
sebenar-benarnya faham mengenai konsep 1M”!
Bandingkan pula apabila digunakan frasa “Satu
Malaysia”. Kita tidak memerlukan seorang menteri yang tidak berpelajaran sekali
pun untuk memahami bahawa konsep “satu” (one
atau oneness) membawa makna
“kesatuan”, “perpaduan”, “integrasi” dan seumpamanya yang sebenarnya sudah
terangkum indah dalam konsep “Bangsa Malaysia”.
Malangnya, pada 5 Ogos 2010, Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz dilaporkan mempertikaikan konsep “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan Mahathir. Agak
menarik kerana pada 6 Jun 2009, Najib secara terbuka mengakui bahawa matlamat
akhir konsep 1M adalah “perpaduan nasional” – iaitu pembinaan Bangsa Malaysia.
Bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin pula, “bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1M” (Berita Harian, 10 Julai 2012).
Gagasan
PM disabotaj politikus, kapitalis
Dalam segala kecelaruan pemahaman dalam kalangan orang
BN itu sendirilah masing-masing tidak mahu melepaskan peluang meletakkan 1M
pada segala benda dan bukan benda asalkan boleh mengampu Pengerusi BN. Masih
ingat bagaimana segala-segalanya dikaitkan dengan “hadhari” semasa Tun Abdullah
Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri?
Kini, kita ada pelbagai barangan dan bukan barangan
berkonsepkan 1M. Senarai itu pasti tidak akan berkesudahan selagi masih ada
penyokong dan juak-juak yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan
sesuatu yang diharapkan dengan memperkenalkan segala macam barangan
berkonsepkan 1M.
Perlukah mereka faham apa makna sebenar 1M? Tidak
perlu. Letakkan sahaja 1M pada hujung nama barangan – Kerusi 1M, Mangkuk Tandas
1M, Jamban 1M, Tangga 1M, Lampu 1M – dan semua pihak (baca: Rakyat) sepatutnya
berfikir bahawa barangan itu selaras dengan gagasan 1M.
Siapa yang akan berani bersuara dan mempersoalkannya
apabila Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO sendiri
– atau isteri beliau atau wakil kepada isteri beliau – yang datang merasmikan
pelancaran barangan/perkhidmatan itu.
Pada pertengahan tahun lalu (Jun 2012), saya ada
mendengar mengenai program 1Murid 1Sukan yang heboh buat seketika dan kemudian
hilang begitu sahaja. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya Kementerian
Pelajaran berjaya mencatat nama dalam The
Malaysia Book of Records selepas mewajibkan (ulang: mewajibkan) lebih 3.6
juta pelajar/murid terlibat dalam Senamrobik
Serentak 1Murid 1Sukan peringkat kebangsaan pada 10 Julai 2012.
Anda mahu bergaya dengan memakai seluar dalam 1M? Ada.
Buku latihan 1M? Ada. Pensel, pen, tandas, lampin, tisu, songkok, stokin,
gincu, biskut, mihun, minyak masak atau apa sahaja yang boleh anda bayangkan,
semuanya pasti ada. Mulakan pencarian anda di Kedai Rakyat 1M.
Saya tidak akan terkejut jika ada Kondom 1M yang
secara khusus mencetak logo 1M bukan hanya pada pembungkus tetapi pada kondom
itu sendiri supaya pasangan yang menggunakannya akan dapat “menikmati”
sepenuhnya semangat 1M. Hal ini tidaklah menghairankan kerana Bernama pada 13 Januari 2012 melaporkan
bahawa “Malaysia kini di ambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia”.
Segala apa yang berlaku di negara bertuah ini
memberikan gambaran seolah-olah gagasan murni 1M yang diperkenalkan Perdana
Menteri tercinta sudah menjadi mainan dan disabotaj parti politik, politikus
dan kapitalis untuk kepentingan dan keuntungan peribadi, keluarga dan kroni.
Terbaru, pelancaran Persatuan Kebajikan Program Roti
1M yang melibatkan beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan
belia dan beberapa syarikat. Dengan adanya persatuan ini, akhirnya penghuni
rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya
(OKU), penghuni penjara serta kanak-kanak dalam Program Permata Negara (PPN)
akan mampu makan roti dan pastri.
Datin Seri Rosmah
Mansor yang melancarkan program itu dilaporkan meminta, “pastikan roti dan croissant ini sampai kepada anak-anak
ini, sebab saya tidak fikir anak-anak daripada pusat Permata pernah mengecapi croissant. Jadi, tolonglah beri mereka
peluang untuk merasai croissant.”
Memandangkan BN
akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, saya percaya
bahawa pemberian percuma roti dan croissant
(Oh, maaf! Roti 1M dan Croissant 1M) akan diperluaskan pula ke seluruh negara
untuk selama-lamanya. Kita sebagai Rakyat perlu ingat bahawa segala barangan
dan perkhidmatan yang ada “1M” pada namanya adalah projek BN dan bukan sekadar
projek Kerajaan Malaysia.
Selepas anda seronok dan puas menggunakan
Kondom 1M, kini masa balas budi.
[Makalah
ini ditulis pada 8 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB 2013.
Harap maklum bahawa anda membaca makalah
ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]