[Najib ternyata sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan undi
kaum India yang bakal menentukan keputusan PRU-13.]
Ternyata pelbagai perkara yang
menggemparkan dan melibatkan kaum India berlaku di negara ini sejak
belakangan ini. Apa-apa yang berlaku adalah lebih menarik berbanding plot filem
dan drama bersiri Tamil dari India.
Dalam perkembangan terbaru yang boleh
disimpulkan sebagai “sleeping with the
enemy”, Barisan Nasional (BN) yang dikemudi UMNO sudah bersekutu secara rasmi
dengan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan P. Waythamoorthy.
Harus dijelaskan bahawa Hindraf ini adalah
sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiba-tiba diluluskan pendaftarannya
pada 8 Mac 2013, iaitu dua hari sebelum Waythamoorthy memulakan mogok lapar
sebagai usaha mendesak/memujuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menerima pelan tindakan
khas bagi kaum India yang dikemukakannya.
Berita mengenai pendaftaran Hindraf sebagai
sebuah NGO hanya diketahui melalui laporan di portal berita dalam talian
seperti Free Malaysia Today pada 13
April 2013. Jika tidak didedahkan, mungkin kita masih beranggapan Hindraf (2013) yang pro-BN sama dengan Hindraf (2006) yang bercita-cita menumbangkan BN/UMNO.
Pendedahan itu juga sebenarnya amat penting
supaya orang ramai – khasnya kaum India – tidak terkeliru dengan penggunaan
nama “Hindraf” oleh sebuah lagi parti politik iaitu Parti Hak Asasi atau Human
Rights Party (HRP) yang belum diluluskan pendaftarannya.
Seperti diakui menerusi laman sesawang
rasmi HRP, pertubuhan itu yang diketuai P. Uthayakumar – abang kepada
Waythamoorthy – telah berusaha mengemukakan pelan tindakan khas bagi “kaum
India miskin” kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apabila cadangan serta permintaan supaya
Pakatan Rakyat (PR) memberi sejumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) untuk ditandingi oleh HRP ditolak, maka pada 4 April 2013, HRP
mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di tiga kerusi Parlimen dan
lima kerusi DUN.
Saya turut menerima risalah yang diedarkan
oleh HRP dalam kempen “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”. Dalam risalah
itu dinyatakan secara terang-terangan supaya “Jangan Undi BN” – termasuk dalam
Bahasa Tamil. HRP mula meludah PR; sambil masih mengharapkan/merayu diberi
peluang bertanding sebagai calon PR.
Secara logik, Hindraf dan HRP adalah dua
entiti (pertubuhan) yang berbeza: Hindraf adalah sebuah NGO berdaftar manakala
HRP adalah parti politik yang belum diluluskan pendaftaran. Tentulah tidak
wajar HRP “menyalah gunakan” nama Hindraf sehingga mampu mengelirukan orang
ramai; khususnya pengundi kaum India menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sementara itu, satu lagi kejutan besar yang
diterima masyarakat pelbagai kaum adalah apabila
pada 16 April 2013, Najib dengan bangganya mengumumkan pemilihan Zulkifli Noordin sebagai “rakan BN”
untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Shah Alam – BACA DI SINI. [SENARAI CALON BN DI SELANGOR]
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
sementara masyarakat awam (pelbagai kaum) meluahkan rasa tidak puas hati
menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook
sebagai membantah pemilihan lelaki rasis, etnosentrik, fanatik dan ultra kiasu
itu, tidak ada seorang pun pemimpin MIC serta calon MIC yang cukup “jantan”
untuk tampil membantah pemilihan itu.
Hanya pada keesokan hari, Ketua Publisiti
dan Perhubungan MIC, Vell Paari mula bersuara menerusi portal berita dalam
talian, sementara para pemimpin MIC yang kononnya “pembela maruah kaum India”
terus kekal sebagai orang dayus dan bisu. Mungkin terlalu sibuk berkempen di
kawasan masing-masing.
UMNO, Hindraf berkongsi bantal, selimut
Sebelum ini, apabila Ridhuan Tee Abdullah menghina agama Hindu dan penganut agama Hindu
menerusi sebuah rencana di akhbar Sinar
Harian (18 Februari 2013), Vell Paari tampil memberi tempoh dua minggu
kepada kerajaan (baca: BN/UMNO) mengambil tindakan terhadap lelaki ultra kiasu
itu.
Jika tidak ada tindakan diambil dalam masa
dua minggu, anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu itu “mengugut” akan mengetuai
gerakan menggesa orang ramai tidak mengundi mana-mana calon BN dalam PRU-13.
Tempoh “dua minggu” sudah menjadi “dua
bulan” tetapi nampak gayanya Vell Paari masih setia bersama MIC dan BN. Cuma,
dalam perkembangan terbaru, dia tiba-tiba muncul kembali untuk memberi amaran
bahawa tindakan meletakkan Zulkifli sebagai calon BN akan menyebabkan BN kalah
di Selangor.
Usah terkejut jika Vell Paari sekali lagi
memberikan tempoh “dua minggu” kepada BN untuk menyingkirkan Zulkifli daripada
senarai calon – walaupun seluruh negara tahu bahawa tarikh penamaan calon
adalah pada 20 April 2013 dan tarikh mengundi pula dalam masa “dua minggu” (5
Mei 2013).
Sehingga makalah ini ditulis, belum ada
mana-mana calon MIC yang menyuarakan bantahan terhadap pencalonan Zulkifli.
Tindakan paling besar yang berlaku hanyalah seorang rakan saya yang merupakan
calon MIC bagi satu kerusi DUN di Buntong, Perak bertindak menyekat (“block”) saya dalam Facebook selepas saya menghantar mesej peribadi bertanya
pandangannya mengenai tindakan Najib memilih Zulkifli.
Kini, secara logik, sementara UMNO
“berkongsi bantal dan selimut” bersama musuh lamanya iaitu Hindraf, MIC pula
perlu melakukan perkara sama bersama-sama pemimpin Perkasa yang secara terang-terangan
menghina kaum India dan agama Hindu.
Tentu sahaja tidak akan ada mana-mana
pemimpin, pengikut, penyokong dan juak-juak dalam MIC yang berani membantah
pencalonan Zulkifli. Sebaliknya, mereka terpaksa memuji-muji dan memuja-muja
lelaki ultra kiasu itu sebagai calon terbaik bagi para pengundi pelbagai kaum
di Parlimen Shah Alam.
Jangan terkejut jika MIC, NGO India dan
jawatankuasa kuil tertentu mengundang Zulkifli ke upacara sembahyang khas di
kuil serta mengkalungkannya dengan malai gergasi mengatasi malai yang pernah
dikalungkan kepada Najib dan isterinya yang anggun di Batu Caves sebelum ini.
Pada masa sama, memandangkan Najib (UMNO)
“tidur sebantal dan seselimut” dengan Waythamoorthy (Hindraf), tentulah sekali
lagi pemimpin dan juak-juak MIC terpaksa melakukan perkara sama. Sejak
kebangkitan Hindraf (sebagai suatu gerakan; bukan sebagai NGO) pada 2007, MIC
terpaksa menjadi musuh kepada Hindraf kerana akur pada arahan tuan (UMNO).
Apatah lagi kerana MIC sentiasa mendabik dada mahu kekal menjadi satu-satunya
entiti yang layak dan berhak mewakili kaum India dalam kerajaan.
Kini, para pemimpin MIC (khasnya presiden,
Palanivel dan naib presiden, M. Saranan yang hadir semasa MoU) terpaksa
berjabat tangan serta berpeluk-pelukan dengan para pemimpin Hindraf. Pengikut,
penyokong dan juak-juak dalam MIC terpaksa mengaku bahawa ahli Hindraf (NGO
pimpinan Waythamoorthy) adalah “saudara kandung”.
Di pihak Hindraf pula, sebagai sekutu
kepada BN/UMNO, tentulah Waythamoorthy akan meminta para pengikut dan
penyokongnya melupakan kenangan pahit dan pedih diperlakukan serta dihina
seperti anjing kurap di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan tempat-tempat
lain pada 25 November 2007.
Politikus sanggup jilat kembali ludah
Orang Hindraf juga akan diwajibkan tampil
berkempen bagi calon-calon BN/UMNO/MIC. Malah, selepas memorandum persefahaman (MoU)
ditandatangani bersama setiausaha agung UMNO di dewan SJKT Vivekananda,
Brickfields pada 18 April 2013, Waythamoorthy sudah mula merayu supaya kaum
India kembali menyokong BN.
Pada pendapatnya, hanya BN (baca: UMNO)
boleh menjaga kebajikan kaum India di negara bertuah ini dan pengundi kaum
India perlu memastikan BN menang majoriti dua per tiga dalam PRU-13.
Demikianlah perkembangan plot drama politik tanah air yang mengatasi kehebatan
drama bersiri Tamil di stesen televisyen berbayar!
Keputusan Waythamoorthy untuk “meniduri”
Najib pasti membuatkan abangnya, Uthayakumar sakit hati dan tidak mampu tidur
dengan tenang. Apa tidaknya! Uthayakumar mengetuai kempen besar-besaran
menggesa “kaum India miskin” di seluruh negara supaya “Jangan Undi BN” tetapi
adik kesayangannya pula sudah memulakan kempen lebih besar menggesa kaum India
di seluruh negara “Undilah BN”.
Lebih malang bagi Uthayakumar dan HRP
kerana jika mereka masih khusyuk dan agresif membuat kempen “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”
maka mereka seolah-olah membuat kempen percuma bagi Waythamoorthy! Rugilah
segala poster, sepanduk dan risalah yang disediakan oleh HRP tanpa menyedari
bahawa Waythamoorthy sudah secara senyap-senyap mendaftar Hindraf sebagai
sebuah NGO pada awal Mac 2013 sedangkan kempen HRP bermula secara rasmi pada
awal April 2013. Inilah yang dikatakan jatuh tangga ditimpa tangga.
Di pihak Najib pula, ternyata “Tokoh Nambikei” itu terlalu terdesak
sehingga sanggup “menjilat kembali ludah”. Sebagai “upah” kepada Waythamoorthy
kerana berkempen bagi pihak BN/UMNO, tentulah ada “cadangan” bahawa jika BN
menang majoriti dalam PRU-13, maka pemimpin Hindraf itu dilantik sebagai
Senator.
Hal ini bermakna bahawa penyokong, pengikut
dan juak-juak dalam HRP tidak boleh marah kerana apa yang berlaku adalah
selaras dengan kempen mereka: “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”.
Parlimen terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Senator boleh dilantik
ke Dewan Negara.
Bagaimana pula dengan harapan Uthayakumar?
Secara logik, memandangkan Uthayakumar secara spesifik hanya mahukan undi “kaum
India miskin”, maka mustahil dia akan mampu menang kerusi Parlimen Kota Raja.
Perkara paling “besar” yang boleh dilakukannya dengan penuh jaya adalah memecah
undi dan memastikan Dr Siti Mariah (PAS) kalah kepada S. Murugesan (BN/MIC).
Maka, secara amat logik, kesemua wakil HRP
yang khabarnya mahu bertanding sebagai calon bebas di 3 kerusi Parlimen dan 5
kerusi DUN di Selangor sebenarnya merupakan “rakan BN” yang membantu memastikan
calon BN menang dengan cara pecah undi! Bezanya, Hindraf (pimpinan
Waythamoorthy) mendapat pelbagai habuan manakala HRP (pimpinan Uthayakumar)
terpaksa telan air liur sahaja.
Akhirnya, Hindraf dan HRP ternyata memang
mempunyai tujuan yang sama, walaupun masing-masing menggunakan laluan yang
berbeza. Waythamoorthy (Hindraf) memujuk pengundi kaum India mengundi calon BN.
Uthayakumar (HRP) pula memujuk saki-baki pengundi kaum India memilih calon HRP
supaya calon PR akan kalah. Akhirnya, BN akan kembali menguasai Selangor.
Agak menarik bahawa pada 19 April 2013,
wakil HRP membuat kempen di Facebook
untuk “memujuk” Anwar supaya menerima Uthayakumar bertanding di Kota Raja atas
tiket PR. Aneh kerana wakil yang sama mengesahkan pada 13 April 2013 bahawa
Uthayakumar sudah membayar deposit untuk bertanding di Kota Raja dan Seri
Andalas “menentang” calon PR.
Nampaknya, kaum India di Selangor khasnya
dan di seluruh negara amnya hanyalah seperti “kambing” dan “lembu” di mata BN,
UMNO, MIC, HRP dan Hindraf. Politikus terbabit boleh berbincang, berunding,
tawar-menawar dan jual-beli kaum India.
Akan tetapi, mereka lupa bahawa pengundi
kaum India tidak boleh diperlakukan sesuka hati atau diperbodohkan. Cukuplah
segala apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun dahulu!
Kaum India – sebagaimana rakan-rakan
daripada kaum/etnik lain – menolak politik perkauman. Mereka akan
bersama-sama menggunakan kuasa undi pada 5 Mei 2013 untuk menghukum
“syaitan-syaitan dikenali” yang cuba memujuk dan menghasut orang ramai masuk ke
pintu neraka.
[Makalah ini ditulis pada 19 April 2013 dan
disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]