[Walaupun tarikh
penamaan calon PRU-13 masih jauh, muncul kekeliruan berterusan tentang niat
sebenar calon bebas mahu bertanding.]
Apabila saya menulis analisis bertajuk “Rakyat perlu tunjuk taring!” (Free Malaysia Today, 6 April 2013) dan “Impian Hindraf ke Parlimen” (FMT, 8 April 2013), saya memang sudah
menjangkakan reaksi dan “salakan” daripada pelbagai pihak yang “berfikir
menggunakan lutut”.
Seperti yang sudah dijangkakan, komen segera datang daripada
seorang ahli/penyokong Human Rights Party (HRP). Individu yang
menggunakan nama “Niera Jp” menulis begini; dan saya memutuskan untuk
menurunkan sepenuhnya tanpa mengubah apa-apa:
“Hoi… Uthaya SB, sudahlah! Dah
meluat aku tengok muka hang yang suka mengampu. Masa kat Gapena hang cakap apa? Hang buat pengakuan
bahawa penggunaan perkataan paria adalah wajar, betul tak Tuan Haji Uthaya SB
(tak lama lagi)? Hang nie adalah pengkhianat kepada kaum India!
“Kalau PAS boleh
memperjuangkan Islam, mengapa Hindraf-HRP tidak boleh memperjuangkan nasib kaum
India yang malang sejak 50 tahun lalu? Hang jangan nak bodek kaum Melayu la
bang, kononnya ada seorang India yang bernama Uthaya SB berfikiran waras, betul
tak (Syiok Sendiri)? Kalau hang nak tunjuk baik sangat janganlah sampai nak
mengampu.
“Meluat tengok ‘low class’
macam hang cakap pusing-pusing! Hang tulis article nie pun semata-mata untuk
dapatkan tepukan gemuruh daripada Pakatan Rakyat, betul tak? Hang terhina
sangatkah sampai sanggup melupakan akar umbi? Tak [ada] pendirian? Sanggup jadi
lalang untuk sesuap nasi! Ptuuih! Buat lagi kerja hina! Teringin sangat nak
jumpa Dato Anwar dan Ratu Azizah la tue. … Uthaya SB ini apa cerita – [PAUTAN KLIP VIDEO BERKENAAN].”
Mungkinkah Niera Jp terkeliru antara saya dan Raja Rajeswari Seetha Raman dalam isu novel Interlok: Edisi Murid (2010)? Tidak
mungkin kerana pautan klip video “Kavyan chairman at Gapena gathering” di YouTube yang diberikannya itu adalah
mengenai apa yang berlaku di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 – BACA DI SINI.
Dalam insiden itu, walaupun saya hanya hadir sebagai penonton,
saya diminta naik pentas dan diasak supaya menceritakan mengapa kaum India
marah dengan penggunaan novel Interlok:
Edisi Murid sebagai teks Komsas. Saya dengan tenang meminta kumpulan yang
penuh emosional itu supaya menghadiri taklimat anjuran Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan) di Shah Alam pada 16 Januari 2011 jika mahu mendapatkan
penjelasan lengkap.
“Minta maaf kalau dah
terkasar”
Kepada komen Niera Jp yang sudah pun boleh dipertikaikan tahap
intelektualitinya, saya menasihatkan begini menerusi komen balas:
“Cuba tarik nafas dan bertenang. Kemudian tonton semula klip video
yang saudara sendiri berikan di atas. Fahami apa yang diperkatakan. Untuk
maklumat tambahan, sila ke blog saya [pautan diberikan]. … Selebihnya saya serahkan
kepada saudara sendiri untuk membuat penilaian.” – LIHAT DI SINI
Harus saya akui bahawa komen penuh emosional yang ditulis oleh
individu itu – secara bersendirian atau secara berkumpulan? – berjaya mengatasi
cadangan Subari Ahmad di Facebook pada April 2011 yang meminta saya dikenakan tahanan ISA
kerana saya mengatakan Bahasa Malaysia adalah milik semua rakyat
Malaysia.
Pada 16 Januari 2013 pula, seorang individu bernama Huya Fatta menulis begini pada dinding Facebook penyair terkenal, Pyan Habib:
“Itu pasal bro Pyan… Kita ni ‘konon sporting’ sangat! Memang
lahanat la depa ni. … Sekor lagi anak Hindu paria keling Uthaya Sankar. Yang
orang kita pon punya la dok sokong … konon-konon habis intelektual sangah dah.”
Kini, seorang penyokong tegar HRP bernama Niera Jp pula
berpendapat saya cuba mengampu orang Melayu! Bagi saya, Niera Jp berjaya
mengatasi komen Huya Fatta yang sesat dan Subari Ahmad yang jahil. Pada masa
sama, saya juga berasa kasihan memikirkan kemungkinan mentaliti individu itu
mewakili mentaliti pertubuhan yang diwakilinya.
Pada keesokan hari, Niera Jp sudah membuang komen asal di FMT dan menggantikannya dengan komen
baru seperti berikut:
“Uthaya SB, I nak minta maaf
la kalau dah terkasar. Tapi saya nak tanya sikit, macam mana kaum India nak
percaya Anwar Ibrahim sedangkan dalam Manifesto PR, beliau telah menolak
penderitaan kaum India yang dipinggirkan selama 50 tahun? Manifesto PR adalah
racist dan bermotifkan politik. Orang Asli diutamakan, orang Melayu Felda dan
veteran army diutamakan (dengan 500 milion). Tahap pendidikan sekolah Cina juga
diberi keutamaan tetapi mengapakah isu kaum India ditolak dengan penuh
kebencian? Inikah perangai bakal Perdana Menteri?
“Hanya kerana protest
Hindraflah Interlok diberi sekatan, jikalau tidak, saudara juga akan digelar
paria. Sampai sekarang saya tidak faham perangai kaum India. Bila diberi mandat
untuk berhujah di Parlimen hanya isu kaum Melayu dan Cina sahaja dibincangkan.
Ini pun semata-mata untuk mengampu dan memancing undi rakyat majoriti (ini kita
taulah).
“Mengapakah pendirian kaum
India kita begitu lemah? Adakah kita berfikir bahawa dengan sikap mengampu
segalanya boleh dibeli? Terkutuk sangatkah perangai menteri-menteri India kita
yang diberi mandat? Yang saya tau, kaum India kita ada satu penyakit iaitu
penyakit kulit!”
Menulis hanya untuk sesuap
nasi?
Tentulah saya tidak boleh menjawab bagi pihak PR, menteri-menteri
kaum India dan sebagainya. Pada masa sama, saya melihat persamaan yang terlalu
amat ketara antara komen Niera Jp dan komen-komen yang sering saya berpeluang
baca di Facebook penyokong tegar HRP
dan laman sesawang rasmi pertubuhan itu! Bagaikan sudah ada senarai skema hujah
standard disediakan.
Apabila saya memilih untuk tidak menjawab bagi pihak Anwar
Ibrahim, Niera Jp kembali emosional dan menulis komen susulan:
“Dalam article yang ditulis
saudara memberi pendapat bahawa sebagai seorang pengundi, saudara akan melihat
pada kemampuan seorang calon mewakili Bangsa Malaysia tanpa mengira etnik, kaum
dan agama. Bagaimanakah saudara mengenal pasti ahli politik yang berwibawa dan
adil? Adakah saudara menulis article ini hanya untuk sesuap nasi?
“Dalam video clip Gapena pun
saudara dihina. Kenyataannya dengan hanya menulis article di dalam bilik aircon
dengan speed internet yang laju tidak akan membawa saudara ke mana-mana. Kalau
lain kali nak tulis article buatlah ulang kaji dulu, bukannya menulis sesuatu
untuk mengampu segolongan masyarakat.
“Di dalam laman web yang diberi
oleh saudara [isu novel Interlok: Edisi
Murid] hanyalah boleh dibaca tetapi ia tidak langsung memainkan peranan
sebagai pressure group sebagai HINDRAF untuk menyekat kemasukan Interlok ke
sekolah kebangsaan. Harap article yang akan datang tidak akan ikut angin utara
atau selatan.”
Sebagai menghormati “saranan” Niera Jp, pelbagai saranan bernas
yang dikemukakannya dipaparkan semula di atas bagi mengubah minda “kaum India
miskin” yang katanya diwakili oleh HRP.
Pada 8 April 2013, sementara individu ini mengutuk PR dengan
kata-kata “Anuar [Anwar] cukuplah! Cukup! Jangan pakai lagi taktik zaman
Mahathir!”, seorang jurucakap HRP tampil membuat pengakuan terbuka yang
menggemparkan di Facebook. – [BERSAMBUNG DI SINI]
[Makalah
ini ditulis pada 11 April 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 13 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]