[Hujah yang dikemukakan oleh penyokong dan jurucakap sesebuah
parti boleh membantu pengundi memahami serba-sedikit niat sebenar calon
bertanding.] – [BACA BAHAGIAN 1 DI SINI]
Pada 8 April 2013, sementara Niera Jp mengutuk Pakatan Rakyat (PR)
dengan kata-kata “Anuar [Anwar] cukuplah! Cukup! Jangan pakai lagi taktik zaman
Mahathir!”, Bendahari Human Rights Party (HRP), A. Sugumaran (Cikgu
Suguz) tampil membuat pengakuan di Facebook
bahawa “Ya kepada PR jika mereka bawa Hindraf bersama”.
Niera Jp juga mendedahkan bahawa “PM Najib memberi ruang untuk
Hindraf berbincang” iaitu merujuk pada pertemuan antara P. Waythamoorthy dan
Presiden Barisan Nasional (BN), Najib Razak. Untuk rekod, HRP diketuai oleh
P. Uthayakumar. HRP pernah meminta kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) daripada
PR. Maka, Hindraf dan HRP adalah dua entiti yang
berbeza; meminta “peluang” daripada dua parti politik yang berbeza.
Niera Jp mempamerkan sikap oportunis sebenar apabila turut
menyatakan: “Kalau PR prihatin sangat dengan kaum India, sekurang-kurangnya
bincanglah dengan Uthayakumar ataupun Waythamoorthy.” Dia sekali lagi merujuk
pada peluang HRP dan Hindraf bertanding dalam PRU-13 atas tiket PR dan BN.
Dalam pada merayu-rayu supaya HRP/Hindraf diberi peluang bertanding
oleh PR dan BN, Niera Jp tetap mengatakan bahawa “Tak ada bezalah kalau PR
ambil alih (Putrajaya) pun. Biar kami kaum India memberi pengajaran kepada
mereka yang sanggup menderhaka.”
BN dan PR dilabel sebagai penderhaka, tetapi kepada “penderhaka”
itulah juga Niera Jp, Hindraf dan HRP seolah-olah merayu-rayu dan
meminta-meminta diberi tiket untuk bertanding dalam PRU-13! Akhirnya, nampak
gayanya, kata-kata Mahathir Muhammad bahawa “syaitan yang dikenali
adalah lebih baik daripada malaikat yang tidak dikenali” terbukti sesuai dalam
kes Hindraf dan HRP.
Sugumaran sudah mengesahkan pendirian HRP menyokong PR “jika
mereka bawa Hindraf bersama” dan secara terang-terangan menolak BN/UMNO. Niera
Jp pula bangga kerana “PM Najib memberi ruang untuk Hindraf”.
“Kami bimbang PR tiada kewibawaan politik untuk tidak meneruskan
dasar-dasar UMNO yang rasis. Kita tidak mahu jadi mangsa dua kali. Kita
hendak berhati-hati terhadap politikus, lebih-lebih lagi menjelang pilihan
raya!” Demikian komen Sugumaran.
Maka, jelaslah bahawa HRP/Hindraf bimbang kemungkinan PR tidak
dapat menjaga kebajikan “kaum India miskin” jika PR menang dalam PRU-13. Sebab
itulah HRP mahu bertanding – sebagai calon bebas – merebut tiga kerusi Parlimen
dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang sebelum ini
dikuasai PR menerusi PKR dan PAS.
Serah kaum India pada simpati UMNO?
Sangat nyata bahawa – sama ada disedari atau tidak – HRP akan memecah undi supaya BN boleh menang mudah di
Selangor. [SENARAI CALON BN DI SELANGOR] Maka, “kaum India
miskin” yang dibela oleh HRP akan kembali bernaung di bawah BN dan mengharapkan
simpati “UMNO yang rasis”. Benarlah kata-kata Mahathir!
Walaupun tarikh penamaan calon hanya pada 20 April 2013, pada 8
April lagi jurucakap HRP sudah mengakui bahawa impian HRP/Hindraf adalah untuk
mendapatkan “kerusi”!
“Kami mahu bertanding kerusi di tempat-tempat majoriti pengundi kaum
India; khususnya di Selangor di mana satu per tiga jumlah penduduk kaum India
tinggal. Anda perlu faham bahawa kami melakukannya khusus untuk memberi tekanan
kepada PR supaya PR memberi laluan (kerusi) kepada Hindraf,” kata Sugumaran
menerusi komennya.
Komen tambahan yang secara terang-terangan membuktikan niat
sebenar HRP/Hindraf juga datang daripada jurucakap berkenaan: “Tidaklah
keterlaluan untuk memberi beberapa kerusi kepada Hindraf. Masih belum terlewat
untuk PR memberi laluan kepada Hindraf untuk menentang UMNO/BN.”
Menerusi komen di Free
Malaysia Today (FMT) pada 8 April 2013, Sugumaran menegaskan pendirian
HRP/Hindraf bahawa “UMNO/BN dan PR ialah syaitan yang dikenali! Hanya UMNO/BN
syaitan yang lebih senior!” Lalu, mengapa pula masih sanggup merayu-rayu dan
mendesak PR memberi peluang calon HRP bertanding menggunakan tiket PR?
Bukankah tindakan itu seperti menjilat ludah sendiri? Mungkinkah
ini imej/maruah “kaum India miskin” yang mahu diberikan oleh HRP/Hindraf? Maaf!
Saya tidak mahu bersubahat dalam usaha menjatuhkan martabat, maruah dan imej kaum India di Malaysia.
Satu lagi hakikat yang tidak dapat dipandang dengan sebelah mata
atau disapu di bawah karpet adalah mengenai “perpecahan” yang amat nyata dalam
kumpulan Hindraf itu sendiri. Misalnya,
Waythamoorthy cuba meminta peluang daripada Najib manakala Uthayakumar cuba
(dan gagal) meminta peluang daripada Anwar.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 9 April 2013 oleh
bekas ketua penerangan Hindraf, S. Jayathas, pemimpin dan aktivis akar-umbi
Hindraf memberi tempoh 48 jam kepada Waythamoorthy untuk “meninggalkan” (renounce) BN dan “bekerja ke arah
menumbangkan BN dalam PRU-13”.
Memandangkan PR tidak bersetuju memberikan kerusi kepada HRP,
Sugumaran menyatakan pada 10 April 2013 bahawa “HRP perlu bertanding sebagai
calon bebas dan kacau daun!”
HRP hanya mahu kacau daun
Dua DUN di mana calon HRP mahu bertanding sebagai calon bebas –
kerana pendaftaran HRP sebagai parti politik belum diluluskan – adalah Sri
Andalas dan Sri Muda.
Jumlah pengundi berdaftar di Sri Andalas terdiri daripada sekitar
23,000 orang Melayu (41%), sekitar 13,800 pengundi
Cina (25%) dan hampir 19,000 kaum India (34%).
Hasil culaan baru-baru ini di Sri Andalas (selepas HRP mengumumkan
akan bertanding) didapati bahawa sekitar 11,600 pengundi lelaki dan sekitar
11,900 pengundi wanita memilih PR; sementara 4,700 lelaki dan 4,300 wanita
memilih BN. Sekitar 11,000 pengundi lelaki dan 12,100 pengundi wanita pula
belum membuat pilihan.
Di Sri Muda, terdapat sekitar 25,000 pengundi Melayu (52%), hampir
12,800 kaum Cina (26%) dan lebih kurang 10,500 orang India (22%).
Tinjauan menunjukkan bahawa hampir 9,500 pengundi lelaki dan 8,800
pengundi wanita condong kepada PR; manakala sekitar 6,600 lelaki dan 5,800
wanita condong kepada BN. Lebih kurang 8,500 pengundi lelaki dan 8,500 pengundi
wanita masih belum membuat pilihan.
HRP secara terang-terangan mahu berjuang bagi “kaum India miskin”
dengan hanya bergantung pada undi kaum India; khususnya penyokong Perhimpunan
Hindraf pada November 2007.
Kita ambil contoh DUN Sri Muda dan Sri Andalas. Katakanlah kesemua
10,500 pengundi kaum India di Sri Muda dan kesemua 19,000 pengundi kaum India
di Sri Andalas memangkah calon HRP yang bertanding sebagai calon bebas.
HRP masih tidak ada peluang untuk menang. Apatah lagi untuk
merealisasikan impian dan cita-cita menghantar “calon Hindraf pertama ke Parlimen” dengan Uthayakumar
bertanding di Kota Raja.
Namun, semua itu tidak menjadi persoalan kerana seperti diakui di
ruang siber oleh Sugumaran: “HRP perlu bertanding sebagai calon bebas dan kacau
daun!”
Demikianlah analisis saya sambil duduk di bilik yang tidak ada
pendingin hawa serta tiada akses internet yang laju; seperti dibayangkan oleh
Niera Jp. Analisis ini juga bukan untuk sesuap nasi; seperti dikatakan Niera
Jp. Sebaliknya sebagai kempen saya bagi menyedarkan para pengundi agar tidak
tersilap membuat pilihan apabila keluar mengundi pada 5 Mei 2013.
[Makalah
ini ditulis pada 11 April 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 15 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]