Nampaknya Parti Hak Asasi (Human Rights Party) sudah
memulakan kempen untuk bertanding merebut tiga kerusi Parlimen iaitu Kota Raja,
Kelana Jaya dan Kuala Selangor, serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
iaitu Sri Andalas, Sri Muda, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok.
Gambaran paling umum yang diberikan adalah
seolah-olah “kubu kuat” HRP – yang merupakan serpihan berikutan perpecahan
Hindraf – hanyalah di Selangor. Malah, seolah-olah HRP hanya mampu merebut
kerusi yang ditandingi/dipertahankan calon Pakatan Rakyat (PR).
Suatu kebimbangan yang pasti wujud dalam kalangan
pengundi di Parlimen dan DUN terbabit adalah kemungkinan undi penduduk
(khususnya kaum India) pecah
akibat keputusan wakil-wakil HRP bertanding sebagai calon bebas. Apabila undi
berpecah antara calon PR dan HRP, calon Barisan Nasional (BN) yang
akan untung besar.
Perkara ini saya timbulkan menerusi laman rangkaian
sosial Facebook pada 6 April 2013 dan
wakil HRP, A. Sugumaran (Bendahari) tampil memberikan penjelasan.
Rakan-rakan lain juga terlibat dalam perbincangan terbuka yang
sekurang-kurangnya membuka ruang untuk berdialog tentang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut Sugumaran, HRP mahu bertanding kerana
UMNO/BN dan PR “kedua-duanya menafikan hak orang India miskin. Mereka sudah
tiada pilihan. Kalau tak mahu undi pecah, suruh Anwar Ibrahim beri laluan untuk
HRP lawan BN”.
Nagathisen
Katahenggam dari Jelutung, Pulau Pinang juga yakin bahawa
tindakan HRP hanya bertujuan memecahkan undi dan akhirnya pihak yang mendapat
faedah adalah BN. Kebimbangan ini memang wajar dan amat berasas kerana kesemua
kerusi yang ditandingi HRP adalah milik PR selepas PRU-12.
Berbalik kepada kenyataan Sugumaran mengenai hak
orang India miskin dinafikan, saya tertanya-tanya apakah HRP memperjuangkan hak
pengundi kaum India miskin sahaja? Tambahan pula, itulah gambaran jelas yang
diberikan menerusi risalah HRP yang turut diedarkan di sekitar Taman Sri Muda,
Shah Alam dan saya juga menerimanya pada 5 April 2013.
Sugumaran, seorang guru swasta yang tinggal di Kota
Kemuning, Shah Alam segera menafikan kata-kata itu. Menurutnya, HRP bersikap
antirasisme.
“Kami tidak mahu mana-mana kerajaan amalkan/teruskan
polisi perkauman yang menindas orang India miskin secara langsung dalam segenap
lapangan. Kami tidak percaya pada retorik politik kononnya PR berjuang untuk
semua kaum. Makna ‘semua kaum’ bagi PR hanya merujuk kepada kaum Melayu dan Cina!”
Demikian kata jurucakap HRP kelahiran Bedong, Kedah itu.
Seorang kenalan dari Taman Sri Muda, Adam Farhan
yang merupakan bakal pengundi Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda turut
mengemukakan pandangan.
Pada pengamatan Adam, taktik yang cuba diamalkan
oleh HRP adalah “muslihat tertua dalam politik” iaitu teknik “pecah dan
perintah”. Pemuda ini adalah pemerhati politik dan hasil perbualan saya
bersama-samanya sebelum ini, Adam memang memiliki pengetahuan dan maklumat yang
mendalam mengenai hal-hal politik.
“Taktik pecah undi bukan sesuatu yang baru. Apabila
sudah tahu tidak boleh menang majoriti, maka pihak tertentu akan cuba pecahkan
undi pihak lawan. Berdasarkan statistik yang ada di tangan saya, sekitar 95
peratus pengundi Cina di Kota Raja akan mengundi calon PR. Sekitar 84 peratus
pengundi India dan hampir 44 peratus pengundi Melayu juga dijangka memilih PR.
“BN tahu bahawa mustahil untuk mendapatkan kembali
undi kaum Cina. Sokongan orang Melayu pada BN masih kuat. Maka, undi kaum India
di Kota Raja dan Sri Muda cuba dipecah kerana ramai pengundi India di sini.
Kalau undi kaum India berpecah antara PR dan HRP di Parlimen dan DUN terbabit,
ada peluang BN menang dengan majoriti kecil. Saya harap pengundi kaum India
menyedari taktik politik yang cuba diterapkan ini,” katanya.
Saya juga tertanya-tanya mengapa HRP secara khusus
hanya bertanding di tiga kerusi parlimen dan lima kerusi DUN yang dikuasai PR
di Selangor.
“Kota Raja mempunyai pengundi kaum India yang
terbanyak (29 peratus) di Malaysia dan satu per tiga penduduk kaum India
tinggal di Selangor. Kawasan ini juga mempunyai penyokong Hindraf yang paling ramai terlibat
dalam Perhimpunan Hindraf (November 2007). Jadi ini adalah tempat terbaik untuk
Hindraf menang,” Sugumaran menjelaskan.
Mengenai soal memecah undi pula, guru swasta itu
bertanya: “Mengapa perlu menghadapi risiko undi pecah? Mintalah Anwar menerima
Uthayakumar sebagai calon PR di Kota Raja. PR pasti memang dan pengundi kaum
India seluruh negara tidak akan keliru siapa yang perlu diundi. Kami sokong PR
hanya jika PR menerima calon kami. Apa kurangnya Uthayakumar?”
Berdialog, berkongsi maklumat di Facebook
Berikut adalah perbincangan lanjut yang berlaku
menerusi Facebook berkenaan topik
tersebut:
Adam:
Benar. Malangnya undi kaum India sahaja tidak mencukupi untuk HRP menang di
Kota Raja. Harus diingat bahawa pengundi Melayu adalah sekitar 46 peratus dan
Cina pula 25 peratus di Kota Raja. HRP masih memerlukan undi kaum-kaum lain
tetapi tentulah sukar diperoleh jika HRP hanya mahu menjadi “juara” bagi kaum
India. Sebaliknya, BN akan mendapat untung apabila undi berpecah antara PR dan
HRP.
UthayaSB:
Apakah penyokong Hindraf (2007) semuanya masih menyokong HRP dan Uthayakumar?
Sugumaran:
Tiada siapa yang tahu. Satu cara untuk tahu adalah dengan bertanding di situ!
UthayaSB:
Apakah Uthayakumar dan HRP mahukan undi kaum India sahaja? Adakah Uthayakumar
mahu ke Parlimen untuk mewakili kaum India sahaja selepas mendapat mandat dan
sokongan pengundi pelbagai kaum di Kota Raja?
Sugumaran:
Tidak dan tidak (bagi kedua-dua soalan di atas). Pengundi yang antirasisme
patut mengundi HRP. Selepas menang, kami akan jaga hal semua kaum, termasuk hal
kaum India yang sering dipinggirkan.
Adam: Terus terang, saya tiada masalah jika
HRP ingin bertanding di Kota Raja kerana ini negara demokrasi dan sesiapa
sahaja boleh bertanding jika layak. Tetapi untuk mengubah tampuk pemerintahan
negara, undi kepada BN mesti dinafikan dan PR harus berjaya ke Putrajaya. HRP
hanya bertanding di tiga kawasan Parlimen. Maka jelaslah niat HRP bukan mahu ke
Putrajaya tetapi mahu meletakkan wakil HRP di Parlimen. Tiada salah dalam
impian itu. Tetapi amat malang jika tindakan mereka bertanding hanya memecah
undi, menguntungkan calon BN, sekali gus menafikan peluang HRP sendiri untuk
menghantar wakil ke Parlimen.
UthayaSB: Berbalik pada pengakuan Sugumaran
tadi, kalau Anwar tiba-tiba memberi peluang kepada Uthayakumar dan HRP untuk
bertanding atas tiket PR, apakah semua maklumat menghentam PR dalam risalah
yang diedarkan pada 5 April 2013 akan dipadam dan dilupakan?
Sugumaran: Sistem pilihan raya di Malaysia tidak
adil. Ada 800 ribu pengundi kaum India tetapi tidak ada satu kerusi majoriti
pun kerana masyarakat India tinggal berselerak. Jika ada pun kawasan pengundi
majoriti kaum India, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah lakukan persempadanan
semula sehingga tiada satu pun kawasan majoriti pengundi kaum India. Inilah
punca utama isu kaum India tidak dapat dibawa ke Parlimen; termasuk oleh Ahli
Parlimen kaum India sebelum ini yang rata-rata menang atas undi Melayu dan
Cina. Kita asyik salahkan Samy Velu sedangkan sistem pilihan raya tidak berlaku
adil kepada kaum India!
UthayaSB: Maknanya, Uthayakumar mahu ke
Parlimen dengan undi kaum India; berbanding Ahli Parlimen kaum India sebelum
ini (PRU-12) yang pada pendapat HRP telah menang atas undi Melayu dan Cina?
Adam: Jika Uthayakumar berjaya menjadi Ahli
Parlimen, apakah beliau masih menggunakan tagline
“Calon Hindraf Pertama di Parlimen”? Bagi saya, mana-mana calon yang bertanding
haruslah mewakili semua kaum kerana tidak mungkin dia menang dengan undi satu
kaum sahaja. Tambahan pula, sejak PRU-12, politik berasaskan kaum semakin ditolak generasi muda.
Suguramaran: Konsep mewakili semua kaum itu adalah
penipuan semata-mata! Anwar, Hadi Awang dan Lim Kit Siang; mereka ini adakah
wakili semua kaum?
Adam: Harus diingat bahawa PAS, PKR dan DAP
membuka keahlian kepada semua kaum. Manakala UMNO, MCA dan MIC yang merupakan komponen utama BN hanya eksklusif bagi
kaum yang diwakili. Maka dengan jelas sudah dapat dinilai siapa yang sebenarnya
mewakili semua kaum dan sebaliknya. Saya ingin tahu juga adakah keahlian HRP
eksklusif untuk kaum India miskin sahaja atau dibuka kepada semua kaum di
Malaysia?
Sugumaran: Saya tak nak dengar retorik politik.
Kaum saya merana; saya mahukan penyelesaian mutlak! Kalau benar PR untuk semua
kaum, suruh Anwar buka Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk semua kaum; buka
Giatmara untuk semua kaum! Cuba layari laman HRP dan lihatlah sendiri tahap
penindasan terhadap orang India miskin. Tak ada di mana-mana dalam dunia;
Malaysia paling rasis!
Perbincangan
di atas mungkin kelihatan hanya melibatkan tiga individu tetapi saya percaya
masih mewakili pelbagai pihak yang mempunyai pandangan yang serupa. Atau
sekurang-kurangnya membuka laluan untuk perbincangan lanjut dalam kalangan
orang ramai.
Apa
yang penting, orang ramai perlu memahami situasi yang akan wujud sekiranya HRP
bertanding merebut kerusi yang turut ditandingi calon PR. Orang ramai juga wajar
memahami punca dan alasan HRP mahu bertanding dalam PRU-13 sebagai calon bebas.
– Baca juga: “Impian Hindraf ke Parlimen”
[Uthaya
Sankar SB tidak menyokong mana-mana parti politik. Beliau tidak mahu pengundi
tertipu. Makalah ini ditulis pada 6 April 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]