Sebaik sahaja tarikh
mengundi untuk memilih ketua panchayat
ditetapkan, Pragalath melipat-gandakan kempen untuk memikat hati penduduk.
Malah, sebenarnya, dia sudah berkempen sejak dua bulan lalu.
Niatnya adalah untuk
menjadi ketua panchayat supaya boleh
mengaut untung dengan cara menyalah gunakan kuasa. Rakan-rakannya tahu mengenai
rancangan itu dan sama-sama berharap akan turut mendapat sedikit habuan nanti.
Panchayat adalah majlis
timbang tara dalam amalan hidup kaum India yang diwarisi daripada
nenek-moyang di Benua Kecil India. Tarafnya lebih kurang seperti mahkamah
penghulu dalam kalangan orang Melayu, tetapi tidak sama.
Pada asalnya, panchayat di Siru Kambam diwakili oleh lima (panca)
orang warga tua terhormat di kampung berkenaan. Akan tetapi, mengikut peredaran
zaman, panchayat mula dipengerusikan oleh seorang sahaja; biasanya ketua
kampung.
Sebagai usaha menyemarakkan semangat demokrasi dan memberikan
kuasa memilih kepada penduduk, maka sejak puluhan tahun dahulu, pilihan raya
diadakan bagi memberi peluang kepada penduduk kaum India memilih ketua panchayat.
Pemilihan biasanya diadakan sebulan selepas tarikh pilihan raya
umum. Maka, pemilihan pada kali ini ditetapkan pada 2 Jun 2013. Namun begitu,
Pragalath sudah mula mengelilingi kampung kecil ini sejak bulan Februari dan
berusaha memancing undi.
Saya mengenali
Pragalath sejak kami sama-sama belajar di Universiti Malaya. Malah, saya
mendapat tahu mengenai sikap dan perangainya semasa di maktab perguruan
daripada beberapa rakan yang sama-sama belajar dengannya dahulu.
Kemudian, apabila
Pragalath menjadi guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Siru Kambam, saya masih berpeluang untuk mengikuti
perkembangan dirinya. Ringkasnya, dia seorang individu yang tidak berintegriti
dan tidak amanah.
Maka, saya sedikit pun
tidak hairan apabila mendapat tahu bahawa pemuda itu mula bergiat aktif dalam Pertubuhan Politik India (PPI) cawangan Siru Kambam. Turut sama ialah
Laksamana iaitu budak pejabat di SJKT Ladang Siru Kambam.
Berbekalkan sokongan
padu PPI jugalah Pragalath dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua panchayat Siru Kambam. PPI memerlukan
“orang”nya memegang jawatan itu supaya mudah dimanipulasi dan diperalatkan demi
kepentingan politik.
Pada pemilihan lalu
(April 2008), Murugan bertanding atas sokongan PPI. Lawannya ialah Sivanesan
yang bertanding atas niat mahu meneruskan tradisi panchayat yang menjadi sebahagian budaya kaum India.
Peluang merebut jawatan dalam parti politik
Walaupun PPI menggunakan kuasa wang untuk membantu Murugan berkempen, penduduk Siru Kambam memilih Sivanesan bagi jawatan penting itu. Mesej jelas yang dihantar oleh penduduk adalah bahawa mereka mahukan ketua panchayat yang berwibawa, beretika dan berjiwa rakyat.
Bagi pemilihan pada
kali ini, Pragalath menawarkan diri kerana dia memang pandai membodek dan
mengampu pihak berkenaan dalam PPI. Akhirnya, PPI bersetuju untuk menaja kos
kempen bagi memungkinkan lelaki itu menjadi ketua panchayat.
Pragalath memang
menjadi pilihan utama PPI kerana individu yang korup seperti itu mudah dimanipulasi
dan dijadikan boneka untuk mencapai agenda politik di Siru Kambam. Bagi
Pragalath pula, dia melihat jawatan ketua panchayat
selama lima tahun sebagai peluang baik untuk mengayakan diri dan bersedia
merebut jawatan lebih tinggi dalam PPI.
Maka, dia bersama-sama
Laksamana pergi ke hulu ke hilir untuk memujuk para penduduk supaya memilihnya
menjadi ketua panchayat. Mereka
memberikan “hadiah” dan “sumbangan” berupa beras, susu dan bijirin kepada
hampir semua keluarga kaum India di Siru Kambam.
Baru-baru ini, timbul
desas-desus bahawa PPI mungkin menyokong Murugan supaya kembali bertanding merebut
jawatan ketua panchayat. Sebaik
sahaja mendengar khabar itu, Laksamana pergi bertemu lelaki berkenaan dan
memberi amaran.
“Pragalath sudah mula
membuat kempen dengan menggunakan wang sendiri. Awak jangan kacau daun. Saya
memerlukan Pragalath menjadi ketua panchayat
supaya saya boleh memiliki Ladang Tebu Siru Kambam,” kata lelaki itu kepada
Murugan.
Dipendekkan cerita,
pada keesokan hari, Murugan mengumumkan bahawa dia mahu menumpukan perhatian
pada kerja-kerja dalam parti PPI dan tidak ada apa-apa cadangan untuk
bertanding merebut jawatan ketua panchayat
Siru Kambam. Dia tidak mendedahkan kepada sesiapa mengenai ugutan dan amaran
yang diterima daripada Pragalath.
Pragalath sudah
membayangkan dirinya duduk di bawah pohon beringin tidak jauh dari Kuil Sivaperuman dan menyelesaikan pelbagai isu dalam kalangan masyarakat
kaum India di Siru Kambam. Lebih daripada itu, dia sudah merancang mempengaruhi
jawatankuasa kuil supaya sejumlah wang masuk ke akaunnya secara berkala.
Usaha PPI untuk menutup
SJKT Ladang Siru Kambam pada suatu masa dahulu menemui kegagalan. Misi tambahan
Pragalath adalah untuk memastikan sekolah itu ditutup dan PPI mendapat untung
apabila tanah itu dijual kepada pemaju perumahan. Pastilah habuan akan turut
dimilikinya.
Laksamana pula
awal-awal lagi sudah meminta supaya dokumen hak milik ladang tebu terbesar di
Siru Kambam ditukar ke atas namanya. Maka, dapatlah dia menjual tanah itu
kepada orang luar untuk mengaut untung besar. Sekali lagi, habuan menanti
Pragalath.
Keyakinan Pragalath
untuk merampas jawatan penting sebagai ketua panchayat juga berikutan pengesahan bahawa Sivanesan menghidap
penyakit barah. Doktor pakar mengesahkan perkara itu (mengenai penyakit yang
dihidap Sivanesan; bukan mengenai keyakinan Pragalath) pada tahun lalu.
Sivanesan dinasihatkan
supaya berehat. Namun begitu, lelaki berkenaan terus giat melaksanakan tugas
dan tanggungjawab seperti biasa.
Umpama memilih Ahli Parlimen, ADUN
“Saya tidak patut menjadikan masalah peribadi saya sebagai alasan untuk tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh para penduduk. Betullah saya disahkan menghidap barah dan mungkin tiada peluang untuk hidup lama. Tapi adakah itu alasan untuk mengetepikan kerja-kerja sebagai ketua panchayat? Tambahan pula, ajal dan maut di tangan Tuhan.”
Demikian Sivanesan
berkata kepada beberapa penduduk yang mengunjunginya sebaik keluar hospital.
Sepanjang dia menjadi ketua panchayat,
para penduduk memang berpuas hati dengan mutu kerjanya.
Kalau boleh, mereka
mahu Sivanesan bertanding lagi dan terus memegang jawatan ketua panchayat. Akan tetapi, mereka sedar
bahawa tindakan itu mungkin kurang adil memandangkan lelaki berkenaan menghidap
barah.
Namun begitu, hasil
rawatan yang diterima, keadaannya dilaporkan lebih baik dan doktor sendiri hairan melihat
perubahan positif pada diri Sivanesan.
Maka, dua minggu lalu,
Sivanesan mengesahkan akan bertanding bagi mempertahankan jawatan ketua panchayat. Tentulah pengumuman itu
menjadi tamparan hebat kepada Pragalath yang telah mengharapkan peluang untuk
menang mudah.
Berbekalkan bantuan
dana daripada PPI, Pragalath meningkatkan kempen dan kerja-kerja memberi
“sumbangan ikhlas” dan “bantuan” kepada penduduk kaum India di Siru Kambam.
Bantuan turut diberi kepada penduduk kaum-kaum lain dengan harapan mereka akan
memujuk, menasihat dan mempengaruhi jiran kaum India supaya mengundi Pragalath
pada tarikh mengundi.
“Terimalah bantuan
ikhlas daripada kami. Bukan hanya Barisan Nasional dan MIC
yang bermurah hati memberikan beras kepada penduduk kaum India yang miskin di
seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. PPI juga prihatin terhadap nasib penduduk kaum
India di Siru Kambam. Terimalah sumbangan ikhlas daripada kami dan jangan lupa
membalas budi apabila tiba tarikh mengundi nanti.”
Sebagai individu yang
ada sokongan padu daripada PPI, Pragalath mampu melakukan apa sahaja demi
memastikan kemenangan berpihak kepadanya. Halal atau haram tidak menjadi persoalan.
Malah, pengalamannya sejak di maktab perguruan dahulu menjadikannya seorang
individu yang tidak amanah, tidak berwibawa, tidak bermaruah, tidak boleh
dipercayai dan tidak boleh diharap. ... Bersambung ... dalam buku Pulau Pendatang (2015).
Mahu membaca terjemahan Tamil berjudul வாக்களிக்கும் தேதிக்கு முன்? [Klik di Sini]
Mahu membaca terjemahan Tamil berjudul வாக்களிக்கும் தேதிக்கு முன்? [Klik di Sini]
Nota sampingan: Dalam PRU-13, bagi kerusi Parlimen Subang, Sivarasa mendapat 66,268
undi; Pakas Rao (39,549); Edros Abdullah (218); Nazaruddin (460); Mohamad
Ismail (4,454).
[Uthaya
Sankar SB menulis faksyen ini sebagai sebahagian kempen
menolak calon PRU-13 yang korup dan tidak berwibawa. Faksyen ini ditulis pada 14 April 2013
dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 April
2013, sebelum dimuatkan dalam buku Pulau Pendatang (2015). Segala persamaan dengan realiti adalah disengajakan. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]