[Pelajar sebuah
sekolah berdepan dengan tugas berat memilih ketua yang mampu mewakili mereka
semua. Seorang calon pula cuba menggunakan sentimen perkauman untuk meraih undi
dalam faksyen ini.]
Musim persekolahan sudah bermula dan para
pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Che’ Wan Thani (SMKCWT), Taiping berdepan dengan satu tugas dan
tanggungjawab penting yang menguji kematangan pemikiran mereka.
Saban tahun, antara acara penting di
sekolah ini adalah pemilihan ketua tingkatan menerusi undi. Sebagai usaha
kecil-kecilan memperkenalkan para pelajar kepada sistem pilihan raya dan sistem
demokrasi, calon yang bertanding dibenarkan berkempen di dalam kelas selama dua hari sebelum tarikh pengundian.
Pada tarikh pemilihan, pelajar akan mengundi menggunakan kertas undi yang
disediakan oleh guru.
“Saya sangat-sangat berharap bahawa para
pelajar kelas ini akan memilih saya menjadi ketua tingkatan,” kata Kumaran kepada rakan-rakannya. “Inilah
satu-satunya peluang bagi seorang pelajar kaum India menerajui kelas.”
“Tapi bukankah ada juga kelas-kelas lain di
mana ketua tingkatan adalah pelajar kaum India? Malah, apa pula perlunya kita
memikirkan soal kaum dalam pemilihan ketua tingkatan?” Demikian seorang pelajar
kaum India dalam kelas itu bertanya apabila Kumaran berkempen secara
senya-senyap dalam kalangan pelajar kaum India.
“Mereka semua tidak boleh diharap! Mereka
semua tidak memperjuangkan hak golongan pelajar kaum India miskin di sekolah
ini!” bentak Kumaran dengan lantang.
Para pelajar lain turut terkejut mendengar
teriakan itu. Mujurlah tidak ada guru di kelas pada waktu itu dan masing-masing
pelajar membuat kerja sendiri. Kumaran pula mengumpulkan rakan-rakan kaum India
dan mula berkempen.
“Saya akan bertanding jawatan ketua
tingkatan dan saya harap semua pelajar kaum India di kelas ini mengundi saya,”
kata pelajar itu dengan tegas sambil matanya memandang seorang demi seorang
rakannya.
“Bukankah pemilihan dan pengundian akan
dibuat secara demokrasi? Bukankah setiap pelajar berhak mengundi mana-mana
calon yang dia mahu?”
“Awak jangan cakap banyak, Joseph. Ikut
sahaja arahan ketua,” Subramaniam
yang merupakan sahabat karib kepada Kumaran mencelah. “Kita sebagai para
pelajar kaum India perlu bersatu. Kita perlu bersatu atas dasar kaum!”
Hujah serta pemikiran Kumaran dan
Subramaniam membuatkan beberapa pelajar kaum India sendiri kurang bersetuju.
Malah, mereka tidak mahu dipaksa dan dipujuk supaya mengundi seorang pelajar
menjadi ketua tingkatan semata-mata atas dasar kaum.
“Apa salahnya kalau Siti Maria dipilih semula? Dia berjaya memberikan perkhidmatan yang
sangat baik sepanjang tahun lalu. Malah, dia juga bertanding pada kali ini,”
kata seorang pelajar lain.
Generasi muda tolak politik perkauman!
“Siti Maria itu siapa? Dia pelajar Melayu! Apakah awak fikir seorang
pelajar Melayu akan memahami jiwa dan keperluan para pelajar India yang
mengundinya? Tidak! Ketua tingkatan kaum Melayu dan kaum Cina hanya
mementingkan kaum masing-masing. Pelajar kaum India miskin pula akan
dipinggirkan secara licik dan terancang.”
Hujah Kumaran mendapat sokongan daripada
Subramaniam. Pelajar yang merupakan orang kanan kepada Kumaran segera bertepuk
dan tersenyum lebar; bagaikan kagum dengan ucapan yang diberikan oleh pemimpin
yang dipujanya.
“Pada tahun lalu, kita mengundi Siti Maria
kerana tiada pilihan. Tahun lalu, semasa tempoh pemilihan ketua tingkatan,
Kumaran digantung sekolah selama seminggu kerana terlibat dalam pergaduhan.
Pada tahun ini, dia ada di sini untuk menawarkan perkhidmatannya kepada kita
dengan bertanding jawatan ketua tingkatan,” Subramaniam menjelaskan.
“Usah lupa bahawa saya akan bertanding pada
kali ini khusus untuk mewakili pelajar kaum India miskin di kelas ini. Undilah
saya supaya saya boleh membawa suara anda ke peringkat lebih tinggi. Biar
seluruh SMKCWT bergegar dengan suara kaum India miskin!”
Beberapa pelajar mengerutkan kening
mendengar kata-kata Kumaran. Beberapa pelajar lain pula mengangguk-angguk tanda
sokongan. Subramaniam tersenyum meleret kerana berjaya mempengaruhi beberapa
pelajar kaum India untuk menyokong serta mengundi rakan karibnya, Kumaran.
“Tapi apa kurangnya dengan Siti Maria? Saya
tidak nampak apa-apa sifat perkauman atau pun sebarang penindasan terhadap
pelajar kaum India sepanjang dia menjadi ketua tingkatan pada tahun lalu.”
Hujah Sujatha membuatkan Kumaran merenung tajam
ke arah pelajar perempuan itu.
“Semua itu adalah taktik politik
semata-mata! Sama seperti parti-parti politik dalam pilihan raya umum. UMNO, MIC, MCA, DAP, PKR, PAS … semuanya
hanya berjuang, diwakili dan mewakili kaum masing-masing. Sudah tiba masanya
pelajar kaum India miskin di kelas ini bersatu dan menuntut hak! Untuk itu,
undilah saya menjadi ketua tingkatan. Inilah sahaja cara dan peluang terakhir
yang ada bagi kamu semua.”
“Tapi, Kumaran,” Joseph membalas tanpa
membuang masa, “memanglah UMNO, MCA dan MIC hanya diwakili dan
mewakili kaum masing-masing. Tetapi bukankah PKR, DAP malah PAS sendiri
diwakili dan mewakili masyarakat pelbagai kaum dan agama?
Itulah budaya politik baru yang dituntut negara ini. Malah, generasi muda
menolak politik perkauman.”
“Ah, sudah! Jangan bercakap hal politik di
sini! Saya antirasisme. Saya sangat menyampah dengan sesiapa yang menindas
kaum-kaum lain. Pelajar kaum India miskin sudah terlalu lama tertindas dan
terpinggir di sekolah ini. Kini saya akan bersuara dan berjuang mewakili
mereka,” kata Kumaran dengan lebih bersemangat.
Hujah-hujah yang dikemukakan oleh pemuda
itu membuatkan para pelajar kaum India di kelas berkenaan berfikir secara
mendalam. Fahamkah Kumaran akan tugas dan tanggungjawab sebenar seorang ketua
tingkatan? Siapakah sebenarnya yang bersikap perkauman atau rasis? Benarkah
pelajar kaum India – serta “pelajar kaum India miskin” seperti kata Kumaran –
tidak diberikan layanan oleh ketua-ketua tingkatan?
Demi pelajar kaum India miskin sahaja?
“Memandangkan awak mahu berjuang mewakili
pelajar kaum India sahaja—“
“Pembetulan! Pelajar kaum India miskin
sahaja!” Kumaran segera memintas kata-kata Sujatha.
“Baiklah. Memandangkan awak mahu berjuang
mewakili pelajar kaum India miskin sahaja, bolehkah awak mengharap
pelajar-pelajar lain di kelas ini mengundi awak? Maksud saya, pelajar kaum
Melayu dan Cina?”
“Pada tahun lalu, apabila saya digantung
sekolah kerana terlibat dalam pergaduhan, ramai pelajar kaum India datang
melawat saya di rumah. Ramai yang menelefon dan bertanya khabar. Maka, saya
optimis bahawa saya ada sokongan padu daripada semua pelajar kaum India di
kelas ini. Saya tidak memerlukan undi mana-mana pelajar Cina dan Melayu untuk
menang.”
“Ya! Jangan kita lupa bahawa Kumaran
menentang perkauman yang diamalkan oleh orang Melayu dan Cina. Kumaran
antirasisme. Dia hanya memerlukan undi pelajar kaum India untuk muncul sebagai
ketua tingkatan dan seterusnya memperjuangkan hak pelajar kaum India miskin.
Dialah masa depan dan harapan bagi kita semua!” Subramaniam segera menambah.
“Lupakan undi saya!” Joseph segera bangun
dan meninggalkan kumpulan pelajar yang sedang berbincang di penjuru kelas.
“Lupakan undi saya juga!” Sujatha turut
bangun dan kembali ke tempat duduknya di sebelah Elizabeth Wong.
Kumaran dan Subramaniam terdiam seketika.
Kemudian mereka berpandangan. – Bersambung …
Trivia:
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, bagi kerusi Parlimen Kota
Raja, Siti Mariah Mahmud mendapat 59,106 undi; Azman Idrus (280); Murugesan
Sinnandavar (29,711); Uthayakumar (2,364). [SENARAI CALON BN SELANGOR]
[Faksyen ini ditulis pada 13 April 2013
dan disiarkan di Roketkini pada 14 April 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Segala persamaan dengan realiti
adalah disengajakan. Lihat juga: Senarai Cerpen.
Harap maklum bahawa anda membaca faksyen ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]