[Selagi polisi tidak diubah, selagi itulah masalah dokumen
pengenalan diri tidak akan selesai.]
Sejak hampir setahun lalu, saya sering
mendengar dan membaca mengenai kempen pendaftaran dokumen pengenalan diri yang
diterajui pihak tertentu. Kempen dan jerayawara (roadshow) diadakan di pelbagai tempat, khabarnya untuk membantu
orang ramai mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Bagaimanapun, dua perkara membuatkan saya
ingin tahu lebih lanjut mengenai usaha berkenaan. Pertama, adakah “kempen” itu
bersifat sementara atau masalah yang timbul benar-benar diteliti pada peringkat
akar-umbi lalu diselesaikan sepenuhnya.
Dengan erti kata lain, apakah benar-benar
dilakukan dengan ikhlas atau sekadar kempen bagi kepentingan politik pihak
tertentu. Selepas tempoh kempen selesai, mangsa tetap kekal sebagai bukan
warganegara di negara sendiri.
Persoalan kedua yang muncul dalam fikiran saya
adalah mengenai penglibatan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar,
Malaysia (DHRRA Malaysia).
Setahu saya, pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) itu terlibat secara aktif dan berterusan sejak 2003 dalam usaha-usaha
menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri. Lalu, mengapa nama DHRRA
Malaysia tidak muncul langsung dalam kempen dan roadshow kali ini?
Saya bertemu presidennya, Saravanan M. Sinapan untuk mendapatkan
penjelasan berhubung persoalan itu serta beberapa isu berkaitan.
Menurutnya, isu ketiadaan sijil kelahiran,
kad pengenalan dan kewarganegaraan (statelessness)
sesungguhnya diketengahkan oleh DHRRA Malaysia dengan kerjasama ERA Consumer
Malaysia sejak 2003.
“Kami menjalankan pelbagai kempen untuk
membantu anggota masyarakat yang menghadapi isu dokumen pengenalan diri. Kami
berusaha mendaftar mereka agar mereka mendapat hak-hak asasi mereka,” katanya
sewaktu ditemui di pejabat DHRRA Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Ogos 2012.
Saya difahamkan bahawa suatu seminar
diadakan pada 2005, melibatkan sekitar 250 individu yang menghadapi masalah
dokumen pengenalan diri. Sambutan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)
sendiri didapati kurang baik kerana gagal menghantar wakil ke seminar
berkenaan.
“Tetapi kami mendapat wakil dari UNHCR dan
pelbagai NGO lain yang menghadiri seminar polisi itu untuk berkongsi pengalaman
cara-cara mengatasi masalah dokumen pengenalan di Thailand, Sri Lanka dan
sebagainya. Selepas itu, kami cuba berhubung dengan agensi kerajaan terbabit
dan menegaskan bahawa salah satu isu dalam kalangan masyarakat India di
Malaysia adalah dokumen pengenalan diri,” Saravanan menghuraikan.
Sambil mengakui bahawa pihak-pihak tertentu
tidak mengambil serius isu tersebut, beliau menegaskan bahawa DHRRA Malaysia
tetap meneruskan usaha dan kempen secara berterusan bagi membantu masyarakat
pelbagai kaum.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan
persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menubuhkan satu pasukan
khas yang dipengerusikan beliau sendiri dan bertujuan mengenal pasti apakah
punca-punca masyarakat India tidak menyokong (mengundi) Barisan Nasional pada
2008,” katanya.
Agak menarik bahawa salah satu isu yang
turut dibangkitkan oleh DHRRA Malaysia dalam perbincangan Rancangan Malaysia
Kesepuluh adalah isu dokumen pengenalan diri. Tentulah amat wajar kerana tiada
gunanya segala RMK sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai dokumen
pengenalan diri yang membolehkan mereka mendapat apa-apa kebaikan daripada RMK
itu.
Hasil daripada saranan itu, Special Implementation Task Force (SITF)
ditubuhkan dan dipengerusikan Datuk Dr S. Subramaniam, lalu memulakan kempen
“My Daftar”.
Wajar disebutkan bahawa jawatankuasa itu
mengundang DHRRA Malaysia untuk melatih pegawai terbabit supaya kempen “My
Daftar” dapat dijalankan dengan berkesan; dan bukan hanya hangat-hangat tahi
ayam atau indah khabar dari rupa.
“Semasa perbincangan dengan kumpulan SITF,
kami telah tegaskan bahawa masalah dokumen pengenalan ini tidak boleh
diselesaikan dalam masa singkat kerana isu sebenar adalah berkenaan dengan
polisi,” Saravanan menegaskan.
Perkara ini amat penting kerana kebanyakan
individu yang berdepan dengan masalah ketiadaan dokumen pengenalan tidak
mempunyai bahan bukti yang cukup; sekali gus sukar untuk diselesaikan dalam
masa yang singkat – misalnya dalam tempoh kempen selama dua minggu.
Maka, suatu hakikat yang perlu diterima
adalah bahawa walaupun kempen “My Daftar” diadakah secara besar-besaran selama
beberapa minggu di seluruh negara, isu sebenar yang dihadapi “mangsa” masih
belum selesai.
Sebagai sebuah NGO yang bukan mementingkan
“hasil” dan “nama” dalam masa yang singkat, DHRRA Malaysia meneruskan pula
kempen berterusan yang dinamakan “My Document” dan mendapat sokongan Jabatan
Perdana Menteri (JPM).
Turut dilancarkan adalah “My Search” iaitu
talian Pusat Panggilan Komuniti yang beroperasi sepanjang tahun, dari 9:00 pagi
hingga 9:00 malam. Dengan menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil
sebagai bahasa pengantar, DHRRA Malaysia sedia membantu masyarakat pelbagai
kaum di seluruh negara untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Saya sendiri sentiasa mengikuti
perkembangan aktiviti DHRRA Malaysia melalui laman sesawang dan Facebook. Namun, di media arus perdana,
kredit sentiasa diberikan kepada pihak lain; khususnya politikus atau agensi
kerajaan.
Apabila dikemukakan pertanyaan itu,
Saravanan menjelaskan bahawa akhbar-akhbar Tamil sering memaparkan berita
mengenai usaha-usaha yang dilakukan NGO itu dalam membantu masyarakat.
“Dalam akhbar-akhbar dan media lain, mereka
menumpukan pada inisiatif yang diambil oleh kerajaan. My Daftar adalah salah
satu inisiatif seumpama itu, maka keutamaan liputan media arus perdana lebih
menjurus ke sana,” katanya.
Ringkasnya, DHRRA Malaysia tidak
mendambakan pengiktirafan atau liputan meluas di akhbar dan media arus perdana
atas sumbangan dan inisiatif yang diambilnya. Sebab itulah juga ramai yang
tidak tahu bahawa wakil DHRRA Malaysia pernah membentangkan kertas kerja di
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai peranan NGO dalam menyelesaikan
isu-isu dokumen pengenalan diri.
Apakah cara terbaik dan paling berkesan
untuk mengatasi masalah rakyat negara ini yang tidak mempunyai dokumen
pengenalan diri seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen
kewarganegaraan?
“Saya percaya, Ahli-ahli Parlimen dan
Kerajaan Persekutuan harus mengadakan seminar polisi dan seterusnya menukar
polisi sedia ada. Contohnya, apabila seorang individu diminta mengemukakan
bahan bukti kelahiran dan saksi, dia tidak dapat berbuat demikian kerana estet
tempat asalnya sudah tidak wujud,” Saravanan menghuraikan.
Saranan DHRRA Malaysia adalah supaya
kes-kes seperti ini diberi sedikit kelonggaran. Jika tidak, generasi demi
generasi keluarga itu akan kekal tanpa dokumen pengenalan diri dan tanpa
kewarganegaraan. Misalnya, individu yang disahkan “negara asal: Malaysia”
tetapi hanya diberi taraf “pemastautin tetap”.
“Kami mencadangkan supaya mereka yang lahir
di Malaysia, ibu bapa mereka juga orang Malaysia, dan mereka tidak mempunyai
sebarang kerakyatan lain, maka harus diberi kewarganegaraan secara automatik
mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya.
(Makalah ini ditulis pada 3 Ogos 2012 dan
disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Ogos 2012. © Uthaya Sankar SB.
Maklumat lanjut mengenai DHRRA Malaysia boleh diakses di www.dhrramalaysia.org.my
atau talian 03-78747680/81.)