Aktiviti: Forum Mempertahankan
Agama Minoriti
Tarikh: 6 Julai 2014 (Ahad)
Masa: 4.00 petang [Waktu Kavyan]
Tempat: Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
[PETA]
Panel: Perzeus James – Calvin Pius Ohsey
– Elda Konsaga – Lindu
Livan – Emmanuel Joseph – [senarai akan dikemas kini]
Pemudah cara: Uthaya Sankar SB (Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan)
Borang Penyertaan: SILA KLIK DI SINI
PENDAHULUAN
Bayangkan jika suatu forum khas diadakan
bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah
dan serangan pihak luar.
Forum yang diadakan ini pasti sahaja
berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau
penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Perkara
3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
bahagian Persekutuan.
Seperti yang diterangkan dalam makalah
bertajuk “Mempertahankan Agama Minoriti” (Projek
Dialog, 23 Jun 2014), kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti”
ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan
mengamalkan agama masing-masing.
Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia
oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk
diperhatikan.
[Dapatkan juga -- Bahan Bacaan Bemutu untuk Rakyat Malaysia]
[Dapatkan juga -- Bahan Bacaan Bemutu untuk Rakyat Malaysia]
Ia antara lain membantu khalayak meneliti
realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu
dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul
kekeliruan dan salah tanggap.
Dewasa ini, banyak forum, seminar dan
perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda
Kristianisasi”.
Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara
anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah
Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu secara terang-terangan
mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta
secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira
sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam.
Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak
Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, tiada sebarang
tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti
adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”. [BACA MAKLUMAT LANJUT DI SINI]
Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun
2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius
Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian
terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara
agama melalui penganjuran seminar itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar
itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada
cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu
dilihat secara positif – MAKLUMAT LANJUT DI SINI dan DI SINI.
Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti bertujuan membicarakan
cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak
luar.
Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk,
forum ini bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi
melanggar Perkara 11 (4) dan
“mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang
menganuti agama Islam”.
Bayangkan jika koleksi makalah berbentuk
penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup ini nanti dan diedarkan
kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik.
Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang
kandungan yang menyalahi Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta
Hasutan 1948. Buku itu nanti (jika terbit) hanya membincangkan tentang
usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah
pihak luar yang mengancam agama minoriti.
Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti
buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi
buku Pendedahan Agenda Kristian (2014)
terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM. [BACA DI SINI]
RASIONAL
Forum
Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program
akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak
luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama
minoriti.
Dalam forum ini, perbincangan dan
penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra,
selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam
suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain – meminjam jawapan
Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.
Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum
ini perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan
intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Forum tertutup ini juga difokuskan kepada
khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik
sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang
mungkin rasa tergugat dari segi keimanan.
Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau
“fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam
kepada orang Islam.
Buku Pendedahan
Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang
menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam
menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.”
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh
dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran,
kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina.
Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti, senarai “agama minoriti” tidak
akan dikhususkan kepada satu-satu agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana
agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama
bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1).
OBJEKTIF
Forum ini membuka peluang meneliti hak dan
kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta
menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak
penganut agama minoriti.
Panel juga memperkatakan isu-isu semasa
berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan
oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar
peruntukan Perlembagaan.
Ini adalah suatu forum ilmiah di mana panel
membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan
pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti.
Panel dan peserta berpeluang membincangkan
cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada
serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip
Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006).
Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh
dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan
sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
ATUR CARA
3:45
petang
Ketibaan panel, peserta dan wakil media – SILA ISI BORANG
4:00 petang [Waktu Kavyan]
Pengenalan dan syarat forum oleh pemudah
cara
Pembentangan pusingan pertama (10 minit
seorang – Waktu Kavyan)
Soal-jawab pusingan pertama (maksimum 4
soalan sahaja)
Pembentangan pusingan kedua (10 minit
seorang – Waktu Kavyan)
Soal-jawab pusingan kedua (maksimum 4
soalan sahaja)
Penggulungan (10 minit seorang – Waktu Kavyan)
Sesi khas bersama wartawan/media
* Majlis buka puasa ala kadar ditaja oleh Gopala Krishnan dan seorang lagi rakan yang meminta namanya tidak dipaparkan di sini.
PANEL/PEMBICARA
Pembicara atau ahli panel forum adalah
sukarelawan daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang
mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan
topik yang ditetapkan.
Panel diberikan kebebasan untuk berbicara
secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil
kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas
segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator)
pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang
difikirkan kurang sesuai.
PESERTA
Forum
Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti
tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi
kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri.
Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan
mahu hadir atas kerelaan sendiri.
Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu,
pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke
forum ilmiah ini.
Orang ramai, wakil media, pemerhati atau
sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan
mengisi borang dalam talian (online)
– SILA KLIK DI SINI.
Segala langkah berjaga-jaga ini penting –
antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan
forum ini tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan.
Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha
menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama
Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah).
Memandangkan forum diadakan di Selangor,
maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan
Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun
forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya
“menyebarkan agama minoriti”.
Sebelum forum bermula, pemudah cara mengingatkan
para peserta bahawa tujuan forum tertutup ini diadakan bukan untuk dicurigai,
memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan
kepercayaan penganut mana-mana agama lain.
Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata
bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi
kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan
seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar.
Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam
forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu
mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa
“serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai
“serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”.
WARTAWAN DAN MEDIA
Walaupun Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah acara tertutup, penganjur
membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan
media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir –
SILA KLIK DI SINI.
Apabila wartawan hadir dan membuat liputan,
mungkin timbul pula persoalan bahawa kandungan forum ini tidak lagi bersifat
“tertutup”. Tentulah perkara ini juga sudah difikirkan oleh penganjur.
Sebarang siaran berita mengenai forum agama
minoriti ini adalah atas dasar etika
kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam.
Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media
adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya
menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku
dalam forum.
BAHASA PENGANTAR
Forum dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan
kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa
komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain
digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan
diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
RAKAMAN AUDIO DAN VISUAL
Peserta dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio
dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk
disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum
yang diadakan ini adalah aktiviti tertutup (closed door forum).
Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah,
akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum.
MAKLUMAT LANJUT
Untuk
maklumat lanjut, hubungi uthayasb@yahoo.com.my atau kirim mesej
peribadi menerusi www.facebook.com/uthaya. Harap maklum
bahawa SMS tidak dibalas.