Drama mogok lapar yang berlaku di perkarangan
pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), Putrajaya pada minggu lalu mengingatkan
saya kepada beberapa drama hampir sama pada masa lalu.
Masih ingat suasana semasa novel Interlok: Edisi Murid (2010) sedang
hangat berikutan ia dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa
Malaysia (Komsas) dahulu?
Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT)
membuat pengumuman akan mengadakan mogok lapar bagi membuktikan bahawa mereka
serius dalam pendirian menuntut kerajaan “memansuhkan” novel karya Allahyarham
Datuk Abdullah Hussain itu.
“Kita (NIAT) sanggup lakukan mogok lapar.
Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan
berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” kata pengerusinya, Datuk
Thasleem Mohamed Ibrahim (The Malaysian
Insider, 28 Mei 2011) – BACA DI SINI.
Akan tetapi, drama itu tamat begitu sahaja.
Trailer lebih hebat daripada drama
sebenar. Mungkin selepas Thasleem sebagai seorang India-Muslim mula sedar
bahawa tindakannya bertentangan dengan ajaran Islam.
Apa yang dilakukan oleh P Waythamoorthy
pula lebih dramatik dan mendapat liputan lebih meluas di media pelbagai bahasa.
Pada 8 Mac 2013, pemimpin Hindraf itu memulakan mogok lapar sebagai usaha
mendesak dan memujuk Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak
menerima pelan tindakan khas bagi kaum India yang dikemukakannya.
Hanya selepas mogok lapar “yang hampir
meragut nyawanya” itu dihentikan, barulah orang ramai mendapat tahu bahawa
Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan Waythamoorthy sudah diluluskan
pendaftarannya dua hari sebelum mogok lapar bermula.
Rasa-rasanya kita perlu faham mengapa fakta
disembunyikan. Tentulah drama mogok lapar tidak begitu suspens dan menarik
perhatian khalayak jika para penyokong sudah tahu pendaftaran Hindraf sudah
diluluskan.
Mogok lapar penuh nekad yang dimulakan oleh
Waythamoorthy berakhir secara baik – seperti rata-rata filem Tamil – bilamana
memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara BN dan Hindraf pada 18
April 2013. Serta-merta Waythamoorthy menyeru kaum India supaya kembali
menyokong BN demi menjamin kejayaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei
2013.
Kisah Waythamoorthy “dianugerahkan” jawatan
di Jabatan Perdana Menteri, dan bagaimana jawatan itu juga kemudian terpaksa
dilepaskannya, tidak perlulah diperincikan di sini – kerana tidak melibatkan
mogok lapar susulan. [BACA DI SINI]
Mogok Lapar Bukan Perkara Baru
Dalam perkembangan lain, Bernama (18 Mei 2012) pernah memetik
kenyataan presiden Malaysia Hindu Dharma, Dr N S Rajendran dan presiden
Malaysia Hindu Sangam, R S Mohan sebagai berkata kononnya demonstrasi (tunjuk
perasaan) dan perhimpunan dilarang dalam agama Hindu. Tentulah larangan sama
bagi mogok lapar.
Dalam kes Datuk G Kumar Aaman mengadakan
mogok lapar pada 22 Januari 2015, timbalan presiden MIC, Datuk Seri Dr S
Subramaniam menyifatkannya sebagai bukan sebahagian daripada budaya Malaysia.
“Ini ialah budaya (negara) India. Biarkan
sahaja budaya itu di benua tersebut. Kita harus membawa aspek yang baik dan
bukan aspek buruk budaya (India) ke negara ini,” katanya (Bernama, 22 Januari 2015).
Saya tertanya-tanya sama ada Subramaniam
pernah membaca memoir Bahasa Tamil bertajuk Thalamaithuvam Or Uyirpporaatham
(2007) yang menyajikan pengalaman S V Lingam, seorang tokoh kaum India yang
disegani tetapi kurang diberi perhatian dalam sejarah tanah air.
Menerusi buku itu, Lingam menceritakan
secara terperinci dan mendalam – berserta fakta dan dokumen rasmi sebagai
sokongan – mengenai penglibatan beliau dalam pelbagai tunjuk perasaan,
perhimpunan dan mogok lapar sejak tahun 1960-an demi memperjuangkan nasib
golongan buruh.
Kumar pula memulakan mogok lapar di
perkarangan pejabat ROS dengan penuh semangat. Kenyataan media ketua pengarah
ROS, Mohammad Razin Abdullah (23 Januari 2015) menyebut:
“Antara individu yang dikenal pasti memberi
sokongan dengan menemani beliau dalam mogok lapar ini ialah, Datuk S Murugesan
(Bendahari MIC), Sivasubramaniam (Ketua Penerangan MIC) dan K Murali (peguam
dan bekas ketua PKR Puching).”
“Saya akan tidur di luar bangunan (pejabat
ROS) dan hanya menelan cecair sehingga keadilan dilaksanakan,” kata Kumar (Bernama, 22 Januari 2015) yang khabarnya
mendapat inspirasi daripada cara perjuangan Mahatma Gandhi.
Masih Ingat Drama Usung Keranda?
Pada awal tahun ini, Kumar dilantik menjadi
setiausaha agung MIC oleh presiden, Datuk Seri G Palanivel selepas melucutkan
Prakash Rao. Bagaimanapun, ROS tidak mengiktiraf pelantikan itu.
Menurut laporan Bernama (23 Januari 2015), kemelut bermula pada 5 Disember 2014
apabila ROS meminta MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib
presiden dan 23 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari.
Arahan itu berikutan ROS mendapati wujud
salah laku dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada 30
November 2013. ROS turut menasihati MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan
agung tahunan sehingga semua perkara itu selesai.
Kumar yang tidak setuju dengan keputusan
ROS mengumumkan pula keputusan “tidak akan makan sehingga Kementerian Dalam
Negeri campur tangan dan menyingkirkan Ketua Pengarah ROS”.
Dia juga berjanji akan mogok lapar “hingga
hembusan nafas terakhir” sambil menambah bahawa mogok lapar itu dibuat demi
masyarakat (kaum India) serta dia sanggup mati demi
masyarakat.
Drama ini tentu mengingatkan orang lama
kepada kisah mendiang Tan Sri M G Pandithan yang pernah menggegarkan negara
berikutan tindakan nekad mengusung keranda ke ibu pejabat MIC.
Pandithan mengadakan mogok lapar pada 1988
sebagai usaha membuktikan dirinya tidak bersalah dalam pelbagai tuduhan yang
dilemparkan kepadanya semasa MIC masih diterajui Datuk Seri S Samy Vellu.
Mogok lapar itu dihentikan selepas 28 jam
setelah dipujuk oleh timbalan presiden waktu itu, Datuk S Subramaniam.
Bagaimanapun, pada 1989, Pandithan dilucutkan keahlian dalam MIC. Mendiang
kemudian mengasaskan IPF; tetapi itu cerita lain pula.
Kumar pula berjaya dipujuk supaya
menamatkan mogok lapar dalam masa tidak sampai 24 jam; walaupun ROS tetap
dengan keputusan tidak mengiktirafnya sebagai “ahli CWC, yang dilantik sebagai
setiausaha agung yang baru” dalam MIC.
Kejayaan memujuk Kumar menamatkan mogok
lapar adalah berkat campur tangan Palanivel yang kononnya sering “hilang”
apabila diperlukan dalam parti; atau apabila perlu melaksanakan tugas Menteri
Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Ahli Parlimen Cameron Highlands.
“Saya gembira kerana Kumar bersetuju dan
akur dengan permintaan saya untuk menamatkan mogok lapar,” kata Palanivel
sementara Kumar mengaku “akan mematuhi kehendak presiden parti” (Bernama, 23 Januari 2015).
Sediakan Popcorn, Teruskan Menonton
Sementara Palanivel dan setiausaha agung
pilihannya saling memujuk dan menyapu air mata – dengan iringan muzik latar
penuh sayu – Subramaniam pula bijak mengatur suatu perjumpaan tertutup selama
lebih empat jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama (24 Januari 2015), 90 ketua bahagian MIC sebulat suara
setuju CWC bagi 2009-2013 menguruskan parti itu sementara menanti CWC baru
dipilih menurut Akta Pertubuhan 1966 seperti ditetapkan ROS.
Agak pelik juga mengapa Palanivel selaku
presiden tidak menghadiri perjumpaan penting itu. Subramaniam berkata,
Palanivel sudah dimaklumkan mengenai perjumpaan itu tetapi entah mengapa tidak
hadir. Maka, keputusan perjumpaan akan dimaklumkan sahaja kepada Palanivel.
Khabarnya ada juga suara-suara yang mahukan
usul undi tidak percaya terhadap presiden (Palanivel) dibuat pada perjumpaan
tertutup itu tetapi Subramanian tidak membenarkan isu berkenaan dibahaskan.
Nampaknya drama mogok lapar selama kurang
24 jam yang dilakukan oleh Kumar tidak berjaya mengembalikan jawatan setiausaha
agung seperti diharapkannya.
Sebaliknya, drama itu hanya mencetuskan
pergerakan plot cerita yang lebih mencemaskan, ada twist
di luar dugaan, malah mungkin menjejaskan kedudukan kerusi Palanivel sendiri
yang memang sudah goyah sejak mula.
Saya tidak akan terkejut jika Palanivel
sendiri terdesak sehingga terpaksa mengumumkan mogok lapar bagi meraih semula
sokongan kesemua 135 ketua bahagian MIC.
Tambahan pula, naib presiden, Datuk M
Saravanan mendakwa “saya rasa ada orang ketiga … saya tahu nama, tapi tidak
mahu menyebut, tapi memang ada dalang” yang menghalang Palanivel daripada
bertemu dengan Subramaniam bagi menyelesaikan krisis dalaman MIC (Bernama, 25 Januari 2015).
Sama-sama kita nantikan klimaks drama penuh
mendebarkan ini seperti menonton filem Tamil di pawagam. Jangan lupa membawa
bertih jagung (popcorn) kerana
penonton tidak perlu menyertai mogok lapar. [Baca juga – Kelekaan Palani Punca Kemelut MIC]
[Makalah ini ditulis pada 25 Januari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 26 Januari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]