18 Dec 2011

NIAT mahu mogok lapar desak Putrajaya tarik balik Interlok

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2011 – Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) mahu mengadakan mogok lapar jika kerajaan tidak memansuhkan novel Interlok, yang menjadi komponen sastera tingkatan lima, yang kontroversinya berterusan hingga kini.

Novel itu kini melalui proses pindaan bahagian-bahagian yang sensitif.


Langkah itu bertujuan membuktikan bahawa NIAT serius dalam pendiriannya menuntut novel tersebut digugurkan.


“Saya ingin memberi amaran kepada kerajaan, jangan memandang rendah terhadap suara rakyat. Mereka tidak tahu apa kita boleh lakukan walaupun jumlah kita sedikit.


“Kita sanggup lakukan mogok lapar. Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” kata Pengerusi NIAT, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim pada sidang media petang tadi.


Bagaimanapun, beliau berkata, bila mogok lapar itu bakal diadakan akan diberitahu kemudian.


Dalam pada itu, Thasleem turut mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar berdebat dengan pihaknya.


Beliau berkata, dirinya tidak gentar untuk berhadapan dengan Muhyiddin semata-mata bagi memastikan Interlok edisi murid itu dapat dihapuskan.


“Saya mencabar TPM untuk berdebat dengan saya bercakap mengenai novel Interlok, adakah ia bagus untuk negara dan bagus dari perspektif Islam,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S Subramaniam meletakkan jawatan berikutan kegagalan mereka memastikan Interlok dimansuhkan.


Thasleem juga memberitahu, kini pihaknya giat menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai Interlok.


“Ramai lagi yang tak faham mengenai Interlok ini. Jadi kami akan jelajah negara untuk memberi penerangan kepada mereka,” ujarnya.


(Zulaikha Zulkifli, The Malaysian Insider, 28 Mei 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)