18 Dec 2011

Interlok: Kavyan tunggu kenyataan rasmi, hairan ‘flip-flop’ Putrajaya, MIC

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2011 — Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), sementara menunggu kenyataan rasmi Kementerian Pelajaran berhubung “Interlok”, hairan dengan kenyataan dua pemimpin MIC serentak semalam — berbeza dalam seminggu lalu — bahawa Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan novel kontroversi itu sebagai silibus sastera.

Dengan keputusan Kabinet itu, “Interlok” tidak akan digunakan sebagai teks sastera mulai tahun depan.


Novel itu diperkenalkan buat pertama kali di sekolah-sekolah Zon Dua iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan tahun ini.


Presiden Kavyan Uthaya Sankar SB berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai isu ini.


“Khabarnya, pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat. Maka, Kavyan hanya akan menerima berita penarikan balik ‘Interlok Edisi Murid’ sebagai benar dan sah apabila pengumuman rasmi dilakukan Muhyiddin,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini. [BACA DI SINI]


Kata beliau, akhbar Makkal Osai pada 10 Disember lalu melaporkan bahawa Presiden MIC Datuk G. Palanivel antara lain mengatakan bahawa segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel itu sudah dibetulkan.


“Maka, Kavyan mempunyai alasan untuk berasa amat hairan mengapa MIC tiba-tiba perlu meminta Kabinet menarik balik sebuah novel yang sudah pun diluluskan olehnya dan dicetak semula baru-baru ini atas persetujuannya sendiri,” katanya.


Beliau yang juga salah seorang ahli panel kajian semula “Interlok” memberitahu, Kavyan bimbang jika keputusan yang tiba-tiba ini bermotif politik dan semata-mata bertujuan meraih undi rakyat khususnya kaum India menjelang pilihan raya umum ke-13.


Mengikut laporan semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam mengumumkan di Ayer Keroh, Melaka bahawa novel “Interlok Edisi Murid” akan ditarik balik daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) mulai tahun depan.


Kenyataan yang sama dibuat oleh Palanivel di Kulim, Kedah bahawa keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.


Kedua-dua mereka merupakan menteri Kabinet.


Pengumuman menarik balik novel itu adalah siri perkembangan terbaru berkaitan “Interlok” sejak awal tahun ini.


Kandungan novel itu sepatutnya dimurnikan dengan menerima lebih daripada 100 syor dan saranan panel khas yang ditubuhkan.


Selepas siri bantahan dan protes beberapa pertubuhan bukan kerajaan, novel itu dicetak semula dan dihantar ke sekolah kira-kira dua bulan lalu.


Menurut Kavyan, pada 22 Jun lalu, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan bahawa pencetakan semula 390,000 naskhah novel itu melibatkan kos sekitar RM1 juta, termasuk kos penghantaran.


“Kavyan mahukan penjelasan daripada Kementerian Pelajaran mengapa novel yang belum sepenuhnya dimurnikan seperti dipersetujui itu dicetak dan kini mahu ditarik balik penggunaannya.


“Pada Jun 2011 juga pelekat ajaib digunakan untuk melakukan pindaan minimum pada novel berkenaan sedangkan tindakan itu tidak selaras dengan apa yang dijanjikan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011. Kavyan ingin tahu berapa banyak wang rakyat terbazir dalam proses mencetak ‘pelekat ajaib’ itu,” katanya lagi.


Dalam kenyataan 29 November lalu, Kavyan memutuskan bahawa “Interlok” kulit biru, yang dihantar semula ke sekolah lebih dua bulan lalu adalah edisi lebih baik daripada “Interlok” kulit merah yang diterbitkan tahun lalu, tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac 2011.


“Atas kegagalan Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan ‘Interlok Edisi Murid’ dalam edisi yang dimurnikan sepenuhnya seperti dijanjikan pada 23 Mac 2011, Kavyan setuju bahawa novel yang dicetak semula baru-baru ini perlu ditarik balik daripada digunakan di sekolah sebagai teks Komsas.


“Bagaimanapun, Kavyan berminat untuk tahu apa alasan sebenar yang bakal diberikan oleh Muhyiddin dalam masa terdekat untuk menjelaskan mengapa Kabinet memutuskan pada minggu lalu supaya novel itu ditarik balik,” katanya lagi.


Uthaya Sankar berkata, pada masa yang sama, Kavyan mahu Kementerian Pelajaran dan DBP memberi jaminan bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tetap menerima royalti bagi “Interlok” kulit merah dan “Interlok” kulit biru yang sudah dicetak, walaupun novel itu tidak dijadikan teks Komsas.


“Kavyan tetap mempertahankan bahawa Abdullah tidak boleh dipersalahkan dalam kontroversi yang timbul berikutan kegagalan Kementerian Pelajaran dan DBP menerbitkan novel berkenaan dalam bentuk edisi murid yang sesuai sejak mula.


“Kavyan juga menggesa DBP mengembalikan hak cipta karya kepada Abdullah,” katanya lagi.


(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 17 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)