18 Dec 2011

Perkasa kecewa novel Interlok ditarik

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) amat kecewa dan sungguh kesal dengan keputusan kerajaan menarik balik novel Interlok sebagai buku tek.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung, Syed Hasan Syed Ali berkata, kerajaan terlalu lemah dan gagal mempertahankan tekanan dari golongan minoriti yang besar kepala.


“Perkasa sangat marah dan kesal atas pengumuman yang dibuat oleh Presiden MIC, Datuk G Palanivel bahawa novel Interlok digugurkan dari silibus Tingkatan Lima. Menurut Palanivel, perkara ini telah diputuskan oleh Kabinet minggu lalu.


“Ini sungguh menghairankan memandangkan kerajaan sudah membentuk jawatankuasa menyelesaikan isu buku ini dan bersetuju membuat beberapa perubahan dan buku baru sudah diedit beberapa bahagian dan telah pun dicetak,” katanya.


Ujar Syed Hasan, “kos mengedit dan mencetak melibatkan berjuta-juta ringgit sudah dibelanjakan tapi sekarang nak tarik balik secara total. Ini sungguh membazir. Perkasa sedar ini kehendak MIC demi menagih undi kaum India untuk Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).


“Ini sangat biadap kerana undi kaum India, maruah penulis Melayu terhina. Perkasa yakin pengundi Melayu tidak akan memberi undi kepada calon-calon MIC atau calon-calon India yang anti-Melayu dan mungkin ada calon bebas yang akan bertanding d kawasan calon MIC bertanding d mana pengundi Melayu lebih 50%,” katanya.


Menurut beliau, apa yang tertera dalam novel tersebut adalah fakta, bukan niat menghina. Yang menghina adalah mereka yang berada kasta atas kepada kasta bawah yang dipanggil p****. Bukan penulis Melayu itu.


“Ia masih berlaku dalam masyarakat India di Tanah Besar India sendiri. Filem-filem mereka terbaru masih banyak menceritakan kesah kasta-kasta kaum India,” katanya.


(Disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)